Home > Dewasa > Masalah Pernafasan Semasa Tidur

Masalah Pernafasan Semasa Tidur

Pengenalan

Apakah Permasalahan Pernafasan Semasa Tidur atau “sleep apnoea”?

Jika anda mendengkur, anda mungkin mengalami Permasalahan Pernafasan Semasa Tidur yang juga dipanggil “sleep apnoea”. Ada dua terma yang biasa digunakan apabila membincangkan Permasalahan Pernafasan Semasa Tidur, ia adalah “apnoea”, iaitu saluran pernafasan di bahagian atas tersumbat secara keseluruhan dan “hypopnoea” apabila saluran pernafasan bahagian atas tersumbat secara separa semasa seseorang itu tidur.

Terdapat tiga jenis Permasalahan Pernafasan Semasa Tidur

    1. “Obstructive Sleep Apnoea”
      Ini adalah jenis Permasalahan Pernafasan Semasa Tidur yang paling biasa. “Apnoea” dan “hypopnoea” berlaku berulangkali dengan pernafasan cuba diteruskan oleh pesakit. Sebab utama keadaan ini adalah hilangnya “muscle tone” semasa tidur dan lebihan tisu di saluran pernafasan bahagian atas.

 

    1. “ Central Sleep Apnoea”
      Ini terjadi hanya pada 5-10% populasi penduduk. Ia berlaku apabila pernafasan berhenti dan angin tidak masuk ke dalam badan. Pernafasan terhenti adalah akibat daripada kurangnya daya untuk bernafas.

 

  1. “Mixed Apnoea”
    Sangat jarang berlaku. Terjadi apablia terdapat kedua-dua komponen “obstructive” dan “mixed sleep apnoea”.

Jika anda mengalami OSA, “apnoea” dan “hypopnoea” biasanya diiringi dengan bunyi dengkuran. Satu episod “apnoea” menyebabkan anda berhenti bernafas sekurang-kurangnya 10 saat, dan boleh terjadi hingga ke beratus-ratus kali semalam. Episod yang berulang kali menyebabkan kurangnya kadar oksigen dan ini dikesan oleh otak supaya kita terjaga di waktu malam untuk bernafas semula. Anda mungkin ingat ini telah terjadi dan berasa sangat penat di sebelah siang. Anda akan sedar bahawa anda terjaga pada waktu malam secara tidak semena-mena. Teman tidur juga akan terganggu disebabkan bunyi dengkuran yang kuat. Akibatnya, kualiti tidur akan terjejas dan tekanan darah akan meningkat.

Simptom-Simptom Dan Komplikasi

  • Berdengkur
  • Terhenti bernafas yang disaksikan oleh teman tidur
  • Pernafasan tidak teratur semasa tidur
  • Tidak puas atau tidak lena tidur
  • Sakit kepala apabila bangun pagi atau pada sebelah pagi
  • Tersangat mengantuk pada siang hari
  • Hilang tumpuan pada waktu siang
  • Kurang ingatan
  • Darah tinggi
  • Kemalangan jalanraya akibat terlelap semasa memandu
  • Kemalangan di tempat kerja terutama mereka yang mengendalikan peralatan-peralatan seperti jentera-jentera berat dan sebagainya.

Siapakah yang berisiko mendapat OSA?

  • Berat badan berlebihan atau obesiti
  • Lelaki
  • Umur meningkat
  • Terdapat sejarah  OSA dalam keluarga
  • Pengambilan alkohol
  • Pengambilan ubat sedatif
  • Merokok
  • Kelainan anatomi di bahagian atas sistem pernafasan
  • Pesakit hypotiroid, pesakit akromegali

Jika anda syak yang anda ada masalah pernafasan semasa tidur, anda dinasihatkan berjumpa doktor yang akan merujuk kepada pakar permasalahan tidur.

Apakah soalan-soalan yang akan ditanya oleh doktor?

  • Adakah anda rasa penat atau tidak bermaya setiap waktu?
  • Adakah anda selau tidur pada siang hari?
  • Adakah anda susah untuk tidur sepanjang malam?
  • Adakah anda terpaksa buang air kecil banyak kali pada waktu malam?
  • Sejak bila anda mengalami masalah ini?
  • Adakah simptom anda berterusan atau terjadi pada waktu tertentu sahaja?
  • Seteruk manakah simptom anda?
  • Apakah yang mengurangkan simptom anda?
  • Apakah yang menerukkan lagi simptom anda?

Mendapatkan diagnosa dan rawatan awal adalah penting untuk mengurangkan risiko komplikasi dan seterusnya mendapatkan kualiti hidup yang baik.

Apakah yang anda boleh lakukan sebelum berjumpa dengan doktor?

  • Cuba tidur secara mengiring.
  • Hindarkan dari pengambilan alkohol atau ubat sedatif.
  • Jika anda mengantuk, jangan memandu atau mengendalikan jentera-jentera berat kerana risiko untuk kemalangan adalah tinggi.

Diagnosa

Bergantung kepada sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal, dan ujian tidur atau polisomnografi (PSG). Polisomnografi boleh dijalankan di makmal tidur, atau di rumah bergantung kepada kapasiti pusat perubatan.

Apakah terjadi semasa PSG?

Di makmal tidur, staf akan memasangkan sensor pada badan anda untuk memantau tidur. Sensor-sensor akan dipasang pada:

  • Hidung
  • Kelopak mata
  • Bahagian kepala
  • Bahagian dada
  • Bahagian abdomen

Semasa tidur kamera infrared akan dipasang untuk melihat kelakuan anda semasa tidur. Ujian ini dijalankan semalaman.

Apabila keputusan telah diperolehi, pakar akan berbincang dengan anda samada anda disahkan mengidap penyakit permasaalahan tidur, jika ada, berapa teruk dan kesannya terhadap kesihatan anda dan rawatan pilihan yang boleh diberikan.

Anda juga akan dirujuk kepad pakar telinga hidung dan tekak untuk memeriksa samada bahagian atas salur pernafasan tersumbat seperti organ tonsil yang besar, saluran hidung terlalu sempit atau senget, atau terdapat polip di dalam hidung.

Rawatan

    1. Permasalahan pernafasan semasa tidur boleh dirawat dengan menggunakan peralatan berikut:
        1. Alat “Continuous Positive Airway Pressure” (CPAP) – memberi tekanan yang boleh membuka saluran pernafasan dan tekanan adalah tetap.
        2. Alat “Automatic Positive Airway Pressure” (APAP) – memberi tekanan mengikut tahap penyumbatan salur pernafasan.
          Alat “Bilevel”- ini digunakan dimana tekanan yang tinggi diperlukan untuk memudahkan menghembus angin keluar semasa bernafas.

      Rawatan yang diberikan akan:

      • Membuka saluran pernafasan yang tersumbat dan memudahkan bernafas.
      • Mengurangkan  atau menghilangkan dengkuran.
      • Seterusnya memperbaiki kualiti tidur anda dan teman anda.
      • Anda mendapat rehat yang secukupnya dan boleh berfungsi dengan baik pada siang hari.

 

    1. Segelintir pesakit memerlukan rawatan pembedahan.

 

  1. Bagaimana ahli keluarga boleh membantu?
    Seringkali, pesakit tidak tahu yang mereka mengalami penyakit ini. Mereka tidak sedar yang pernafasan mereka berhenti banyak kali semasa mereka tidur. Ahli keluarga dan teman tidur adalah orang yang mula-mula menyedari yang pesakit itu berdengkur dan berhenti bernafas.
    Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga termasuk:

    • Memberitahu pesakit bahawa mereka berdengkur
    • Menggalakkan pesakit mendapat rawatan
    • Membantu pesakit mematuhi arahan doktor termasuk penggunaan alat CPAP
    • Alat dibersihkan secara berkala
    • Sokongan secara emosi dan moral
    • Adalah penting pesakit permasalahan tidur berjumpa doktor untuk diagnosa dan rawatan yang betul. Harus diingat, permasaalahan tidur akan memperbaiki kesihatan keseluruhan pesakit termasuk kebahagiaan dan kualiti tidur, bukan sahaja untuk pesakit, tetapi untuk seluruh keluarga. Pemeriksaan susulan adalah penting, untuk memastikan rawatan anda berkesan dan tiada kesan sampingan.

Pencegahan

Mengamalkan cara hidup sihat dengan :

  • Mengawal berat badan.
  • Pemakanan yang seimbang.
  • Senaman.
  • Tidak mengambil alkohol atau ubat sedatif.
  • Dapatkan rawatan jika anda mengalami penyakit darah tinggi, hipotiroid atau akromegali.

 

Semakan Akhir : 19 September 2013
Penulis : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali