Home > Kesihatan Pergigian > Bidang Kepakaran > Masalah Penelanan : Penjagaan Kesihatan Mulut

Masalah Penelanan : Penjagaan Kesihatan Mulut

Penjagaan Kesihatan Mulut Bagi Individu Yang Mempunyai Masalah Sukar Menelan

Apa itu sukar menelan?

Ketidakupayaan untuk menelan makanan atau minuman secara sepenuhnya.

Punca-punca :

  • Anatomi (kecacatan struktur) Contoh : kanser mulut , kanser tekak , kanser esofagus , parut di rongga mulut, tekak atau esofagus akibat pembedahan , terapi radiasi atau reaksi bahan kimia
  • Neurologi Anatomi rongga mulut, kerongkong dan esofagus adalah sempurna tetapi fungsi saraf terlibat terjejas. Contoh : strok , penyakit Parkinson, sklerosis berbilang (multiple sclerosis), penyakit neuron motor , myasthenia gravis , kecederaan otak
  • Psikologi Sesetengah orang mungkin merasa susah untuk menelan apabila mereka mengalami tekanan/stres atau berasa cemas
  • Proses persediaan untuk menelan yang terjejas Perubahan deria bau dan rasa, mulut menjadi kering, kesakitan pada lidah atau pipi, masalah mengunyah

Tanda-tanda seseorang mungkin mengalami masalah sukar menelan:

  • Makanan masih tertinggal dalam mulut atau terkeluar dari mulut sewaktu proses menelan
  • Tersedak, batuk atau makanan/minuman terkeluar dari hidung sewaktu makan
  • Mengambil masa yang lama untuk menelan
  • Merasa makanan tersangkut di tekak
  • Kerapkali mengosongkan tekak yang tersangkut makanan semasa makan
  • Air liur meleleh
  • Sejarah jangkitan saluran pernafasan atau radang paru-paru yang berlaku berulang kali

Mengapa ianya penting untuk menelan dengan baik?

  • Untuk mengelakkan makanan/minuman termasuk ke dalam paru-paru
    • Apabila kita menelan, makanan atau minuman perlu dikosongkan dari mulut ke dalam tekak dan kemudian ke dalam esofagus
    • Ia adalah satu proses automatik
    • Apabila fungsi untuk menelan terjejas, sebahagian daripada makanan atau minuman dan juga air  liur boleh termasuk ke dalam kerongkong dan kemudian ke dalam paru-paru (memasuki ruang pernafasan –lung aspiration)
    • Ini boleh membawa kepada jangkitan paru-paru yang boleh mengancam nyawa
  • Untuk memastikan zat, nutrisi dan hidrasi tubuh yang mencukupi

Sesetengah orang mungkin mengalami makanan atau cecair yang memasuki ruang pernafasan (aspiration) secara senyap tanpa menunjukkan tanda-tanda kesukaran menelan yang ketara.

Bagaimana individu dengan masalah sukar menelan dibantu dari segi perubatan?

  • Mereka perlu belajar cara bagaimana untuk menelan dengan betul- Patologis Pertuturan akan mengajar strategi menelan yang betul dan selamat
  • Keadaan posisi
    • Duduk tegak
    • Letakkan dagu dengan kedudukan ke bawah dan ke belakang ke arah dada- ini membantu menutup saluran pernafasan semasa menelan
    • Kepala dicondongkan ke bahagian yang lumpuh/lemah (dalam kes penyakit strok)

      Posisi yang betul (duduk tegak)
      Posisi yang salah (menyandar)

      Posisi duduk untuk memastikan makanan/minuman ditelan dengan baik dan selamat Sumber : http://www.safeswallowing.com.au/StrategiesforManagingDysphagia.html 2007

  • Mereka mungkin perlu mengubah diet mereka
    • Contoh : Tekstur makanan : Lembut (Soft) , Dicincang dan lembap (Minced and moist) atau Puri (Smooth pureed) Cecair yang dipekatkan (Thickened fluid) : Sedikit pekat (Mildly thick), Sederhana pekat (Moderately thick)  atau Sangat pekat (Extremely thick)
    • Tujuan untuk menjadikan tekstur makanan dan cecair pekat adalah untuk memastikan laluan yang selamat ke dalam kerongkong dan seterusnya menghalang dari masuk ke dalam saluran pernafasan. Diet yang perlu diubahsuai bergantung kepada tahap kesukaran untuk menelan dan penilaian risiko oleh Patologis Pertuturan.
      Tekstur makanan dan konsisten cecair yang diubahsuai bagi individu dengan kesukaran menelan.
      (Sumber : Dieticians Association of Australia and Speech Pathologist Australia 2012).
  • Makan melalui tiub Sesetengah orang mungkin mempunyai risiko yang tinggi untuk makanan/cecair masuk ke saluran pernafasan (aspiration) semasa makan. Oleh yang demikian, mereka dinasihatkan oleh doktor untuk makan melalui tiub. Tiub boleh dimasukkan melalui hidung sehingga ke perut (tiub nasogastrik) atau ia boleh dimasukkan menerusi permukaan kulit bahagian abdomen terus ke dalam perut (tiub gastrostomi) . Pemakanan melalui tiub membantu mengekalkan zat, nutrisi dan hidrasi seseorang.

Implikasi masalah sukar menelan ke atas kesihatan mulut

  • Masalah sukar menelan mungkin disebabkan oleh otot-otot disekeliling mulut yang lemah. Ini menyebabkan aktiviti pembersihan mulut secara semulajadi (self-cleansing action) merosot. Di samping itu, kesan-kesan buruk lain juga boleh berlaku seperti makanan tertinggal di dalam mulut, mulut berbau, kerosakan gigi dan jangkitan mulut.
  • Diet dan cecair yang dimodifikasi akan mudah tertinggal di dalam mulut untuk masa yang panjang, ia meningkatkan risiko kerosakan gigi dan nafas yang berbau.
  • Seseorang yang makan melalui tiub akan mengalami risiko kadar pengumpulan plak dan karang gigi yang lebih cepat. Ini meningkatkan risiko penyakit gusi dan nafas yang berbau. Masalah ini bertambah teruk terutamanya dengan kepercayaan oleh sesetengah pihak bahawa mereka tidak perlu memberus gigi lagi kerana mereka tidak makan melalui mulut.
  • Air liur meleleh adalah fenomena biasa di kalangan mereka yang mempunyai masalah sukar menelan. Ini berlaku bukan kerana rembesan air liur yang berlebihan tetapi disebabkan aktiviti penelanan air liur yang tidak cekap. Kesannya adalah jangkitan kulit di sekitar mulut dan nafas yang berbau.
  • Kesukaran untuk meludah boleh menjadi faktor penghalang untuk aktiviti memberus gigi kerana risau tertelan ubat gigi. Malangnya, ini juga meningkatkan risiko jangkitan mulut, kerosakan gigi dan penyakit gusi.

Kepentingan mengekalkan kesihatan mulut yang baik

  • Semua orang perlu mengekalkan kesihatan mulut untuk membantu kesihatan umum.
  • Makanan perlu dikunyah dengan betul supaya dapat ditelan dengan baik. Kesihatan gigi yang baik membantu proses pengunyahan dan penyediaan makanan sebelum ditelan.
  • Pencegahan jangkitan paru-paru Kajian saintifik telah membuktikan bahawa rongga mulut boleh bertindak sebagai medium untuk pembiakan bakteria yang biasa terdapat di saluran pernafasan. Ini dilihat terutamanya di kalangan mereka yang mengalami masalah sukar menelan dan mempunyai kebersihan mulut yang kurang memuaskan. Risiko untuk mendapat jangkitan paru-paru menjadi lebih tinggi apabila air liur yang penuh dengan bakteria ini masuk ke dalam saluran pernafasan.

Tips untuk penjagaan gigi

  • Penyingkiran plak gigi secara mekanikal (memberus gigi) adalah cara yang paling mudah, murah dan penting untuk mengekalkan kesihatan mulut
  • Cari masa dan tempat yang sesuai untuk memberus gigi
    • Ini boleh dilakukan di ruang tamu atau bilik tidur, tidak semestinya di bilik mandi
    • Cari masa apabila seseorang itu lebih peka

      Pemberusan gigi boleh dijalankan bukan sahaja di bilik air tetapi juga di dapur, ruang tamu atau di luar rumah
  • Posisi
    • Pastikan duduk dalam keadaan tegak.
    • Dagu ditundukkan ke bawah dan ke belakang ke arah dada
    • Lapikkan tuala supaya pakaian tidak basah.
    • Jika seseorang itu tidak dapat duduk, posisikan beliau mengiring (di bahagian yang lebih lemah) dan kepala diletakkan bantal. Lapikkan bantal dengan tuala
    • Biarkan rembesan mulut mengalir keluar dari mulut
  • Berus Gigi dan Ubat Gigi
    • Pilih berus gigi dengan kepala kecil dan bulu yang lembut.
    • Jika seseorang itu dapat memberus gigi dengan sendiri tanpa bantuan, kekalkan sikap berdikari itu. Pemegang berus gigi mungkin perlu diubahsuai jika seseorang itu tidak dapat memegang berus gigi dengan baik.
    • Satu alternatif lain adalah penggunaan berus gigi elektrik
    • Penggunaan ubat gigi berfluorida tidak berbuih (bebas Sodium Lauryl Sulfate) disyorkan kerana seseorang yang mengalami  masalah sukar menelan mungkin merasa tidak selesa dengan buih yang berlebihan (Contoh-contoh: ubat gigi untuk mulut kering Biotene, Parodontax, Sensodyne Pronamel)
    • Penggunaan ubat gigi tidak keterlaluan. Hanya sebesar kacang pis.
    • Pengunaan ubat gigi masih selamat walaupun seseorang itu tidak dapat meludah. Ini kerana kita tidak semestinya perlu membilas mulut selepas memberus gigi. Gunakan kain lembap yang bersih sebagai ganti membilas mulut. Tinggalkan ubat gigi berlebihan di dalam mulut kerana fluorida yang kekal di permukaan gigi membantu mencegah kaviti. Anda tidak perlu risau sekiranya tertelan sedikit ubat gigi.

      Contoh pemegang berus gigi yang telah diubahsuai
  • Kekerapan Memberus gigi disyorkan sekurang-kurangnya dua kali sehari, iaitu pagi selepas sarapan pagi dan malam sebelum tidur. Di samping itu, amalan kesihatan mulut yang baik ialah mengumur mulut dengan air setiap kali selepas makan, Ini membantu menghilangkan sisa-sisa makanan yang mungkin tertinggal di dalam mulut.
  • Diet
    • Cecair/minuman yang dipekatkan Cecair/minuman yang dipekatkan boleh didapati sama ada sebagai pra-campuran (dibeli secara komersial) atau dipekatkan sendiri dengan serbuk pemekat. Dalam cecair pra-campuran,jumlah kandungan gula biasanya terhad. Walau bagaimanapun, mereka yang memekatkan cecair secara sendiri perlu berhati-hati dalam pemilihan minuman mereka. Elakkan minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.
    • Makan melalui tiub Cuba kekalkan aktiviti memberus gigi walaupun seseorang itu hanya makan melalui tiub dan tidak makan melalui mulut. Ia membantu untuk kurangkan pengumpulan plak dan karang gigi yang boleh terjadi dengan lebih cepat dari keadaan biasa.
  • Individu yang tidak mempunyai gigi
    • Walaupun seseorang itu tidak mempunyai gigi, tisu lembut di dalam mulut dan lidah masih boleh menjadi permukaan untuk pembiakan bakteria.
    • Tisu lembut  dan lidah perlu dibersihkan setiap hari.
    • Gigi palsu perlu dibersihkan dengan sempurna >> Dentur- Pemakaian dan Penjagaan
    • Dalam keadaan tertentu terutamanya apabila seseorang tidak dapat mengawal otot-otot disekeliling mulutnya, disarankan agar tidak memakai gigi palsu.
    • Sila dapatkan penjelasan lebih lanjut dari doktor gigi anda.

Kesimpulan

Individu yang mengalami masalah sukar menelan mempunyai kecenderungan untuk menyedut rembesan mulut ke dalam paru-paru. Mengekalkan kebersihan mulut adalah penting bukan sahaja untuk kesihatan umum tetapi juga untuk mencegah jangkitan paru-paru. Penjagaan kesihatan mulut boleh dilakukan dengan baik dan selamat selagi langkah-langkah berhati-hati diamalkan.

Rujukan

  1. Langmore ES, Kimberly AS, Pil SP, Brant EF. Predictors of aspiration pneumonia in nursing home residents. Dysphagia 2002;17(4):298-320.
  2. Shay K, Scannapieco FA, Terpenning M, Smith BJ, Taylor GW. Nosocomial pneumonia and oral health. Special Care in Dentistry 2005;25(4):179-87.
  3. Yoneyama T, Yoshida M, Ohrui T, et al. Oral care reduces pneumonia in older patients in nursing homes. Journal of the American Geriatrics Society 2002;50(3):430-33.
Semakan Akhir : 11 Mei 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Eileen Yap Ai Ling
Akreditor : Dr. Norjehan bt. Yahaya