A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Keadaan Spesifik
  6. /
  7. Masalah Penelanan Di Kalangan...

Masalah Penelanan Di Kalangan Warga Emas

Kerap kali kita mendengar warga emas menyatakan perubahan keupayaan mereka untuk makan dan menelan. Masalah penelanan juga dikenali sebagai disfagia.

Penelanan Normal

Proses penelanan merupakan satu proses yang kompleks. Proses penelanan berlaku apabila otak memproses maklumat untuk membolehkan aktiviti fizikal berlaku. Seterusnya, setiap fasa penelanan akan berinteraksi antara satu dengan yang lain. Setiap fasa penelanan akan mempengaruhi kebolehan fasa seterusnya berfungsi dengan baik. Terdapat empat fasa penelanan iaitu fasa pra-oral, oral, faringeal dan esofageal.

Penelanan dan Warga Emas

Pertambahan usia seorang individu dari bayi ke warga emas menyebabkan perubahan pelbagai proses fizikal dan fisiologi manusia. Antara perubahan fizikal adalah:

  • Perubahan ketegangan kulit
  • Otot menjadi lemah
  • Tulang menjadi reput
  • Pengurangan daya ingatan

Manakala perubahan proses fisiologi yang berlaku akibat pertambahan usia:  

  • Kelambatan penyembuhan luka,
  • Kelemahan sistem imun badan
  • Proses penelanan/makan semakin tidak efisien

Kerap kali kita mendengar warga emas menyatakan perubahan keupayaan mereka untuk makan dan menelan. Antara rungutan yang biasa didengari adalah “tidak berselera”, “susah nak kunyah”, “susah nak telan” dan “rasa makanan tersangkut di tekak”.

Masalah penelanan juga dikenali sebagai disfagia (dysphagia). Sebarang aduan berkaitan disfagia di kalangan warga emas perlulah diberi perhatian yang sewajarnya bagi mengelak sebarang komplikasi kesihatan yang lain.

Masalah Penelanan Warga Emas

Masalah penelanan di kalangan warga emas semakin mendapat perhatian serius di kalangan ahli professional kesihatan. Amerika Syarikat telah menganggarkan tujuh hingga sepuluh peratus warga emas mengalami disfagia (Spieker, M.R. 2000).

Peningkatan usia selalunya menyebabkan masalah kurang daya ingatan. Masalah kurang ingatan dan kognitif yang serius seperti nyanyuk (demensia) boleh menjejaskan keupayaan seorang individu untuk menelan dengan selamat dan berkesan. Antara penyakit yang mempunyai komplikasi nyanyuk adalah penyakit Alzhiemer.

Tiga kumpulan utama orang yang dilaporkan disfagia di kalangan warga emas adalah nyanyuk, angin ahmar dan penghuni rumah orang tua.

Kesan Nyanyuk Terhadap Penelanan

Nyanyuk dan kecacatan kognitif boleh memberi implikasi kepada penelanan terutama pada fasa pra-oral  dan fasa oral. Gangguan pada fasa oral akan memberi kesan kepada penelanan fasa faringeal. Hal ini boleh menyebabkan keselamatan paru-paru terjejas semasa penelanan.

Disfagia yang kerap berlaku dikalangan warga emas adalah apabila, proses penelanan menjadi sangat perlahan. Disfagia fasa faringeal pula boleh berlaku apabila menelan,saluran pernafasan yang lambat tertutup. Ini menyebabkan makanan/minuman masuk ke dalam saluran pernafasan.

  • Jangkitan Kuman di Paru-paru (Aspiration Pneumonia)

    Warga emas lebih berisiko terdedah kepada aspek keselamatan penelanan. Keadaan ini boleh memberikan implikasi yang besar kepada kesihatan disebabkan oleh sistem imun yang semakin lemah. Apabila makanan masuk ke dalam saluran pernafasan semasa menelan, mereka senang menghadapi jangkitan kuman di paru-paru.

    Keadaan ini boleh berlaku sama ada ketika makan atau apabila orang lain menyuapkan makanan. Jangkitan kuman di paru-paru seringkali menjadi punca kepada kematian pesakit warga emas.

  • Kekurangan Zat Makanan

    Kekurangan pengambilan makanan boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan dehydration. Warga emas yang nyanyuk sering memberi alasan tiada selera, sudah kenyang dan enggan makan/minum. Kesannya, individu tersebut mengalami kehilangan berat badan dan memerlukan bantuan orang lain untuk makan.

  • Penggunaan Tiub Pemakanan

    Bergantung kepada jenis diagnosa dan tahap keterukan disfagia, pesakit perlu memberi perhatian terhadap jenis makanan yang boleh diambil melalui mulut.

    Bagi pesakit yang tidak selamat untuk makan melalui mulut, tiub pemakanan (nasogastric tube) akan dicadangkan. Sehingga disfagia pesakit pulih atau menunjukkan peningkatan, pesakit perlu mendapatkan zat makanan melalui susu yang dicadangkan oleh pegawai dietetik.

    Terdapat dua jenis tiub susu secara amnya;

    • Nasogastric tube: tiub dimasukkan melalui hidung
    • Gastrostomy feeding tube : pembedahan kecil di perut untuk memasukkan tiub.

    Ramai pesakit atau ahli keluarga enggan menerima cadangan memakai tiub. Penggunaan tiub pemakanan boleh memberikan kesan psikologi seperti kemurungan, kesedihan serta kurang bersosial. Oleh yang demikian, adalah penting untuk ahli keluarga berbincang bersama pakar yang terlibat sebelum membuat sesuatu keputusan.

Mengatasi dan Merawat Disfagia

Untuk menangani masalah disfagia di kalangan warga emas, satu pasukan pelbagai profesional (interdisciplinary team) diperlukan. Pakar yang terlibat di dalam pasukan tersebut adalah terapis pertuturan-bahasa, pakar perubatan warga emas (geriatrik) dan pegawai dietetik.

Peranan terapis pertuturan-bahasa dalam pengendalian disfagia adalah;

  • Menjalankan penilaian disfagia tanpa instrumen (penilaian oral-motor)
  • Menjalankan penilaian disfagia menggunakan instrumen iaitu Flexible Endoscopy Evaluation of Swallowing dan Videoflouroscopy of Swallowing Study (hyperlink artikel, 2015 Ujian Instumentasi/Peralatan Berteknologi Tinggi Penelanan)
  • Mencadangkan intervensi disfagia yang bersesuaian
  • Menjalankan rehabilitasi penelanan  (hyperlink artikel 2015, Behavioral Feeding Management)

Pakar geriatrik berperanan dalam memastikan aspek perubatan dinilai dan dirawat sebagaimana yang sepatutnya.

Manakala pegawai dietetik berperanan dalam memastikan jumlah makanan/minuman yang diambil oleh pesakit mencukupi berdasarkan keperluan perubatan dan keperluan harian pesakit.

Kesimpulan

Pesakit disfagia dan ahli keluarga dinasihatkan untuk berbincang dengan pakar yang terlibat sebelum mengambil sesuatu keputusan yang melibatkan nyawa. Sebarang persoalan boleh diajukan kepada pakar yang berkenaan.

Rujukan

  1. Boss & Seegmiller, (1981) Age-Related Physiological Changes and Their Clinical Significance: http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1273316/
  2. British Geriatrics Soceity. Dysphagia Management for Older People Towards the End of Life. www.bgs.org.uk/index.php/topresources/publicationfind/goodpractice/2328-bpgdysphagia
  3. Spieker, M.R. (2000). Evaluating Dysphagia . Am Fam Physician Jun 15;61 (12): 3639-3648. Peroleh dari www.aafp.org/afp/2000/0615/p3639.html pada 11/9/2015
  4. Sura et. al (2012). Dysphagia in the elderly: management and nutritional considerations http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3426263/
  5. World Health Organization. Definition of an older or elderly person http://www.who.int/healthinfo/survey/ageingdefnolder/en/

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Maryam bt. Aizudddin
Akreditor : Nurshahira bt. Razali
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,221,414

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia