A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Pendengaran – Kesan kepada Perkembangan Kanak-kanak

Jika pengesanan awal masalah pendengaran dapat dilakukan, maka kanak-kanak akan menjalani rawatan dan terapi pemulihan pertuturan-bahasa secepat mungkin.

Soalan 1: Adakah pendengaran penting kepada kanak-kanak?

Ya. Kanak-kanak mempelajari bahasa, bercakap, belajar, bermain dan membina kemahiran sosial melalui pengalaman mendengar.

Soalan 2: Adakah masalah pendengaran akan memberi kesan buruk kepada perkembangan kanak-kanak?

Ya. Tiga kesan utama masalah pendengaran ialah:

  • Kelewatan perkembangan bahasa
  • Menghadapi masalah pembelajaran
  • Kesukaran untuk bersosial

Kesan 1: Lewat perkembangan bahasa

 
HURAIAN
CONTOH
Jumlah perkataan yang dikuasai kanak-kanak sedikit dan tidak sepadan dengan umur sebenar mereka Kata konkrit lebih mudah difahami daripada kata abstrak.
  • Kata konkrit: ayam, tidur, bola
  • Kata abstrak: malas, gembira, pekat.
Sukar memahami perkataan yang mempunyai banyak makna.

Melaka

  1. sejenis tumbuhan
  2. sejenis kuih
Guna ayat pendek dan ringkas Faham dan hasilkan ayat-ayat yang pendek dan mudah Ayat aktif: Baju abah Saya makan nasi
Sukar memahami dan menulis ayat-ayat panjang. Ayat pasif: ‘kucing itu cedera dibaling batu oleh budak itu’
Percakapan sukar difahami Pertuturan mereka sukar  difahami terutama orang luar (bukan ahli keluarga) Sebutan yang tidak jelas,  sebutan tidak sempurna atau salah
Tidak dapat atau sukar mendengar bunyi seperti /s/,/sh/,/t/ /f/,dan /k/. Bunyi yang tidak didengari akan digugurkan dan bunyi yang belum dikuasai akan diganti dengan bunyi lain. sikat jadi ‘iyat’
Tidak boleh mendengar suara mereka sendiri apabila mereka bercakap disebabkan masalah pendengaran yang dihadapi. Tidak pasti sebutan sendiri betul atau salah. Bercakap terlalu kuat atau terlalu perlahan, intonasi suara mendatar dan kadar pertuturan laju

Kesan 2: Masalah pembelajaran

  • Pencapaian lemah dalam pembelajaran terutama apabila melibatkan aktiviti membaca, menulis dan mengira.
  • Tahap pendengaran yang terhad menyebabkan kanak-kanak hilang tumpuan kerana kurang memahami apa yang di sampaikan oleh guru.

Kesan 3: Kesukaran untuk bersosial

Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran pada tahap yang teruk sering dilaporkan sukar untuk mendapat kawan, terasing, dan menyendiri di sekolah. Namun, ada segelintir kanak-kanak ini yang aktif, digelar nakal, tidak mendengar cakap dan tidak melakukan kerja sekolah. Mereka akan melanggar peraturan dan disiplin sekolah.

Keadaan ini boleh berlaku disebabkan mereka tidak atau kurang memahami arahan-arahan secara lisan yang diberi disebabkan oleh masalah pendengaran yang dialami.

Soalan 3: Apakah peranan anda sebagai ibubapa?

Ibu bapa atau penjaga adalah individu pertama yang dapat mengesan jika berlaku sebarang gangguan dalam perkembangan anak-anak. Ibu bapa atau penjaga seharusnya memerhati perkembangan anak-anak dari peringkat awal iaitu bayi sehingga ke peringkat sekolah. Ibu bapa perlu peka sekiranya anak-anak tidak memberi respons apabila namanya dipanggil. Ini mungkin petanda anak mengalami masalah pendengaran.

Soalan 4: Bagaimana anda mengesan masalah pendengaran dikalangan kanak-kanak?

Ibu bapa boleh menggunakan Senarai Semak Perkembangan Bayi dan Senarai Semak Kanak-kanak Prasekolah sebagai panduan untuk mengesan jika terdapat masalah pendengaran di peringakat awal lagi.

Senarai Semak Perkembangan Bayi

Jika jawapan anda kebanyakannya adalah TIDAK, bawalah bayi anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut

UMUR PEMERHATIAN (YA/TIDAK)
Lahir hingga empat bulan

  • Bayi terkejut apabila bunyi kuat
  • Bayi tenang pada bunyi suara pada kekuatan biasa
  • Bayi memberi tindak balas kepada suara anda (contoh ; senyuman atau menghasilkan suara/bunyi)
Empat bulan hingga sembilan bulan

  • Bayi menoleh ke arah sumber bunyi
  • Bayi bertindak balas dengan senyum dan bunyi-bunyian apabila anda berlawan bercakap dengannya
  • Tunjuk minat pada permainan yang berbunyi
  • Guna tangisan yang berbeza untuk maksud yang berlainan
Sembilan bulan hingga 15 bulan

  • Menghasilkan  bunyi-bunyi yang berbeza
  • Respon kepada nama apabila dipanggil
  • Respon berbeza kepada perubahan nada suara anda (anda ketawa atau marah)
  • Faham arahan ringkas
  • Tiru  bunyian/perkataan mudah yang anda buat
  • Keluarkan suara untuk menarik perhatian anda
  • Hasilkan perkataan sendiri seperti bye-bye, mama
15 hingga 24 bulan

  • Tunjuk ke arah objek apabila disebut
  • Suka dengar cerita dan lagu
  • Ikut arahan mudah
  • Sebut beberapa perkataan berkaitan aktiviti harian (contoh: nak, air , mum-mum, mama)
  • Tunjuk  ke arah anggota badan apabila ditanya

Senarai Semak Kanak-kanak Prasekolah

Jika jawapan anda adalah YA, anak anda perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor pakar anda untuk tindakan susulan.

BIL ADAKAH ANAK ANDA KERAP… YA / TIDAK
1. Menguatkan suara TV melebihi kadar yang digunakan oleh ahli keluarga  
2. Memberi jawapan yang tidak sesuai dengan soalan  
3. Tidak menyahut apabila anda memanggil namanya  
4. Sukar memahami pertuturan atau arahan  
5. Mempunyai masalah sebutan atau sebutan tidak jelas  
6. Mempunyai masalah pembelajaran  
7. Mengadu sakit telinga atau berkaitan dengan telinga  
8. Mempunyai kesukaran memahami percakapan orang lain  
9. Percakapan anak berbeza jika dibanding dengan kanak-kanak sebaya  
10. Meminta anda menguatkan suara ketika bercakap dengannya  
11. Lewat bercakap jika dibandingkan dengan rakan sebaya  

Soalan 5: Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anak anda menunjukkan ciri-ciri masalah pendengaran?

Ambil tindakan segera dengan menghubungi Pakar ENT dan Audiologis di hospital berdekatan tempat tinggal anda.

Jika pengesanan awal dapat dilakukan, maka kanak-kanak akan menjalani rawatan dan terapi pemulihan pertuturan-bahasa secepat mungkin. Dengan itu, kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran bahasa, sosial dan pendidikan setanding dengan rakan sebaya.

Rujukan

  1. American Speech-Language-Hearing Association. (n.d.) Effects of Hearing Loss in Development. Retrieved August 30, 2012, from http://www.asha.org/public/hearing/disorders/effects.htm
  2. Neil, B. (2006). New to Hearing Loss? Here’s the Help You Need!. Retrieved September 17, 2012, http://www.hearinglosshelp.com/articles/resources.htm
  3. Cochlear.com. (n.d.) My child has hearing loss. Retrieved August 30, 2012, from http://www.cochlear.com/wps/wcm/connect/au/home/understand/my-child-has-hl/
  4. CHE ISMAIL BIN CHE LAH (2008) Tesis Kajian Masalah Pendengaran dan Saringan Mutasi A1555g Gen DNA Mitokondria (mtDNA)  di Kalangan Kanak-Kanak  Bermasalah Pendengaran  Jenis Sensorineural Tidak Bersindromik  di Hospital Universiti Sains Malaysia. Retrieved August 30, 2012, from http://eprints.usm.my/9960/1/KAJIAN_MASALAH_PENDENGARAN.pdf
  5. American Speech-Language-Hearing Association. (n.d.) How Does Your Child Hear and Talk?. Retrieved August 30, 2012, from    http://www.asha.org/public/speech/development/chart.htm
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Norhafillah bt. Abdul Rahman
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Vaksin BCG/TB

Apa itu BCG? BCG adalah singkatan bagi Bacillus Calmette Gurrain.

Besar daripada Usia Kandungan (LGA)

Kebiasaan bayi normal mempunyai berat badan dalam lingkungan 3.4 kg hingga 3.5 kg. Bayi besar dari usia kandungan adalah lebih besar daripada bayi normal.

Tercekik

Tercekik adalah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,049,941

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia