A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Pendekatan dari Segi Gejala
  6. /
  7. Masalah Kesakitan Pada Warga...

Masalah Kesakitan Pada Warga Emas

Kesakitan merupakan aduan yang biasa di kalangan warga emas. Apabila umur meningkat, kejadian kesakitan juga turut meningkat

Pengenalan

Kesakitan merupakan aduan yang biasa di kalangan warga emas. Apabila umur meningkat, kejadian kesakitan juga turut meningkat.

Sebanyak 25% hingga 50% warga emas daripada komuniti dan 45% hingga 80% warga emas dari pusat jagaan warga emas menghadapi masalah kesakitan.

Masalah kesakitan selalunya tidak dilaporkan kerana sesetengah warga emas percaya bahawa kesakitan merupakan proses penuaan yang biasa. Tambahan pula, gejala kesakitan yang dialami oleh warga emas mungkin berbeza daripada gelaja kesakitan yang biasa ditemui pada golongan orang muda. Oleh itu, pengesanan dan pengendalian masalah kesakitan pada warga emas adalah mencabar untuk doktor.

Sebab-sebab kesakitan pada warga emas:

  • Penyakit tulang dan sendi (seperti Osteoarthritis, Rheumatoid Arthritis)
  • Kesakitan disebabkan oleh kanser
  • Sakit dada (seperti sakit disebabkan oleh serangan jantung)
  • Kesakitan disebabkan oleh penyakit kayap
  • Kesakitan/ kebas kaki disebabkan oleh penyakit diabetes
  • Kerapuhan tulang (osteoporosis) tanpa patah atau dengan patah
  • Kesakitan kaki atau tangan disebabkan oleh pengaliran darah yang terjejas akibat penyakit saluran darah (peripheral vascular disease)

Penilaian kesakitan

Penilaian kesakitan pada warga emas melibatkan proses yang rumit. Proses ini melibatkan doktor dan anggota kesihatan daripada pelbagai disiplin (seperti doktor di kesihatan primer, pakar perubatan, pakar neurologi (saraf), pakar perubatan geriatrik (warga emas), pakar ortopedik (tulang), jurupulih fisioterapi (anggota), jurupulih cara kerja dll). Selepas penilaian awal, pemeriksaan selanjutnya meliputi :

  • Pengambilan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal yang lengkap untuk mengesan punca kesakitan yang tepat (mungkin pelbagai punca).
  • Pemeriksaan dijalankan ke atas tempat yang sakit, tahap kesakitan, faktor-faktor yang meningkatkan kesakitan, faktor-faktor yang melegakan kesakitan dan kesan kesakitan ke atas tidur serta emosi.
  • Saringan ke atas keupayaan daya ingatan.
  • Saringan ke atas kemurungan.
  • Penilaian ke atas fungsi dalam melakukan aktiviti kehidupan harian (seperti mandi, memakai baju, penggunaan tandas, pertukaran posisi badan daripada satu kedudukan ke kedudukan yang lain, makan dan keupayaan mengawal pundi kencing atau membuang air besar) dan aktiviti kehidupan harian yang menggunakan alat (seperti penggunaan telefon, melancong, membeli-belah, menyediakan makanan, kerja rumah, mencuci pakaian, pengambilan ubat dan menggunakan wang).
  • Penilaian ke atas gaya berjalan dan keseimbangan.
  • Saringan ke atas fungsi penglihatan dan pendengaran.

Komplikasi

Kesan kesakitan adalah lebih teruk pada warga emas :

  • Kesakitan boleh mengakibatkan warga emas kurang berupaya untuk berfungsi dan lebih bergantung kepada penjaga yang lain.
  • Warga emas mungkin mengalami kesusahan untuk tidur dan berasa penat.
  • Mereka mungkin kehilangan selera makan dan mengakibatkan kekurangan zat makanan.
  • Kesakitan mungkin menghalang warga emas daripada bergaul dengan orang lain atau keluar dari rumah. Akibatnya, mereka mungkin terpinggir dan menjadi murung.
  • Kesakitan boleh menyebabkan warga emas kurang aktif dan kehilangan kekuatan otot, mengakibatkan warga emas sukar menjalankan aktiviti dan meningkatkan risiko jatuh.

Rawatan

Selepas diagnosis dibuat, satu rancangan perawatan perlu dirangka untuk mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi pesakit.

Pendekatan daripada pelbagai disiplin diperlukan untuk mengenal pasti cara rawatan yang terbaik untuk pesakit, termasuklah rawatan ubat dan bukan ubat.

Rawatan Ubat

Semasa berasa sakit, adalah dinasihatkan bahawa penggunaan ubat penahan sakit diambil secara berkala (contohnya setiap 3 – 6 jam) untuk mengelakkan kesakitan sebelum kesakitan itu bermula. Pengambilan ubat penahan sakit selepas kesakitan dirasai adalah tidak digalakkan. Ini adalah kerana pengambilan ubat melalui mulut memerlukan masa (dari setengah jam ke sejam) sebelum ia berkesan. Oleh itu, warga emas akan mengalami kesakitan jika tidak mengambil ubat penahan sakit secara berkala.

Seboleh-bolehnya, pengambilan ubat yang dicadangkan mesti diambil melalui mulut. Penggunaan ubat penahan sakit boleh mengikut turutan berikut :

  1. Untuk kesakitan ringan, ubat yang paling sesuai dan selamat untuk melegakan kesakitan ialah Paracetamol.
  2. Untuk kesakitan yang ringan ke sederhana ataupun kesakitan yang tidak dapat dikawal oleh Paracetamol, penggunaan ubat penahan sakit seperti asid mefanamik (NSAIDs) adalah bersesuaian.
  3. Untuk kesakitan yang tidak dapat dilegakan oleh NSAIDs, atau kesakitan sederhana dari permulaan, ubat opioid yang lemah (contohnya codeine) adalah sesuai sebagai pilihan utama. Ubat opioid yang lemah boleh digunakan bersama dengan Paracetamol.
  4. Untuk kesakitan yang tidak dapat dilegakan oleh penggunaan ubat terdahulu, atau kesakitan yang teruk, ubat opioid yang lebih kuat (contohnya morphine) boleh digunakan.
  5. Ubat yang lain juga mungkin boleh digunakan pada masa-masa tertentu untuk mengurangkan kerisauan dan keresahan bagi warga emas yang mengalami kesakitan.

Rawatan bukan ubat

Rawatan bukan ubat seperti pengunaan haba dan mengurut, sokongan daripada penjaga dan ahli keluarga boleh membantu warga emas menangani kesakitan dan mengurangkan keperluan penggunaan ubat.

Untuk warga emas yang memilih untuk rawatan penggunaan haba dan mengurut, nasihat daripada doktor adalah penting kerana rawatan ini adalah lebih berbahaya kepada warga emas terutamanya untuk mereka yang mengalami masalah kurang deria rasa kulit dan / atau kulit yang nipis.

Rawatan lain seperti akupunktur mungkin juga boleh membantu. Adalah penting untuk mendapatkan rawatan ini daripada pengamal yang terlatih.

Rawatan bukan ubat seharusnya digabungkan dengan rawatan ubat untuk mengurangkan kesakitan warga emas secara berkesan.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis/Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Masalah Geletar (Tremor) Di Kalangan Warga Emas

Masalah geletar (Tremor) merupakan masalah yang sering berlaku di kalangan warga emas. Geletar boleh didefinisikan sebagai ‘pergerakan bahagian-bahagian badan yang tidak dapat dikawal, dan mempunyai irama/corak tersendiri’.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,235,856

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia