Home > Ubat & Anda > Mas Cotek

Mas Cotek

Mas cotek 1

Daun dan buah Mas cotek

(Sumber: Foto daripada http://www.majalahsains.com/mas-cotek-tumbuhan-herba-ajaib/)

Pengenalan

Mas cotek adalah sejenis tumbuhan herba yang digunakan dalam perubatan Melayu. Nama saintifiknya ialah ‘Ficus Deltoidea’, lebih dikenali sebagai Sempit-sempit di negeri Sabah, Sarawak dan Kepulauan Kalimantan. Terdapat juga suku kaum di Sabah menggelarnya sebagai ‘agoluran’.

Deskripsi

Terdapat 2 jenis Mas cotek iaitu mas cotek jantan (berdaun kecil) dan mas cotek betina (berdaun besar). Mas cotek diberikan nama berdasarkan kewujudan bintik-bintik halus berwarna emas (kuning) di permukaan atas setiap helaian daun. Mas cotek jantan berbeza dengan mas cotek betina dari rupa bentuk daunnya yang kecil, tirus, nipis dan ringan berbanding mas cotek betina. Di belakang mas cotek jantan juga terdapat bintik merah.

Mas cotek 2

Mas cotek jantan dan mas cotek betina

(Sumber: Foto daripada http://www.khasiatherba.com/herba/khasiat-mas-cotek.html)

Kegunaan Tradisional

Mas cotek digunakan secara tradisional untuk mengecutkan saluran peranakan dan merapatkan pintu rahim serta mengembalikan rahim pada kedudukan asal serta mengukuhkannya. Selain itu, ia digunakan untuk menyembuh dan membetulkan kerosakan urat saraf dengan cara mengeringkan 2-3 helai daunnya (campuran antara pokok jantan dan betina) dan direbus dengan 3 cawan air hingga tinggal secawan. Selain dari daun dan akarnya yang direbus, buahnya juga boleh dimakan (sebanyak 3-5 biji sehari) untuk menyihatkan badan. Antara penyakit lain yang dapat dibantu adalah seperti berikut ;

  1. Mengeluarkan toksin dalam badan
  2. Melancarkan perjalanan darah
  3. Gout
  4. Membuang kolestrol dan lemak
  5. Buasir
  6. Migraine /sakit kepala
  7. Senggugut
  8. Sakit pinggang
  9. Keletihan
  10. Masalah tidur
  11. Merangsang hormon Lelaki
  12. Sakit lutut
  13. Mencantikkan dan melicinkan kulit

Kegunaan Mas Cotek secara tradisional masih dalam kajian. Walaubagaimanapun, bagi penyakit-penyakit di atas, keberkesanannya masih belum dapat dibuktikan secara ujian klinikal.

Kesan sampingan/interaksi

Kebanyakan kajian menyatakan Mas cotek selamat digunakan. Namun, pengambilan ubat-ubatan tradisional yang berlebihan dalam jangka masa panjang boleh mengganggu fungsi hati dan buah pinggang. Contoh kesan sampingan yang biasa ditemui seperti alahan kulit, kerosakan buah pinggang dan fungsi hati.

Nasihat kepada pengguna

Memandangkan penggunaan ubat-ubatan tradisional semakin mendapat tempat di hati pengguna di Malaysia, isu keselamatan, keberkesanan dan kualiti ubat-ubatan tersebut harus dititikberatkan. Pengguna disarankan memilih produk tradisional yang telah didaftarkan dengan KKM dengan nombor pendaftaran yang sah. Disamping itu, pengguna dinasihatkan mendapat khidmat nasihat daripada ahli farmasi atau doktor sekiranya ingin mengambil ubat-ubatan tradisional bersama ubat-ubatan moden.

Pesakit yang mengalami penyakit-penyakit kronik dinasihatkan merujuk kepada hospital dan pakar perubatan profesional kerana ubat-ubatan tradisional ini hanyalah rawatan alternatif. Pengguna juga dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya mengalami alahan yang teruk atau kesan sampingan yang berterusan apabila mengambil produk tradisional tersebut.

Di samping itu, pengguna harus berhati-hati terhadap cara penyediaan ubat-ubatan tradisional kerana proses penyediaan dan penyimpanan juga mempengaruhi kebersihan dan keselamatan produk tersebut. Dos yang berlebihan juga boleh mengundang bahaya terhadap kesihatan. Oleh itu, pengguna boleh mendapat nasihat daripada pakar dan badan bertauliah seperti Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan IMR sekiranya ingin mendapat kesahihan maklumat produk herba berkaitan.

Rujukan

  1. Khasiat Herba untuk Kesihatan (2014). Diambil pada Mac 3, 2016, dari http://www.khasiatherba.com/herba/khasiat-mas-cotek.html
  2. Diyanatul A.Z. (2016, Mac 10). Jamu Cina Alternatif Popular. Rencana Utama. Diambil dari http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
  3. Chris C. O. & Jan L. M. (2000). Drug interactions due to cytochrome P450. Jurnal Proc (Bayl Univ Med Cent),v.13(4).
  4. Mazira M. G. (2010, 3 November). Perubatan dan Kesihatan. Mas Cotek : Tumbuhan Herba Ajaib. Majalah Sains.
Semakan Akhir : 16 Mei 2016
Penulis : Anis Hazwani bt. Abdullah
Akreditor : Mazli bt. Muhamad
(Visited 414 times, 1 visits today)