Home > Umum > Terapi Bahasa & Pertuturan > Mari Belajar Sebut Bunyi /p/ dan /b/

Mari Belajar Sebut Bunyi /p/ dan /b/

Pengenalan

Semasa anak kita sedang membesar, mereka mula belajar bertutur. Di peringkat awal belajar bertutur, banyak kesilapan sebutan dalam perkataan serta ayat yang berlaku. Antara bunyi yang kerap digugurkan atau ditukarkan dalam perkataan adalah bunyi /p/ dan /b/. Bunyi /p/ dan /b/ merupakan bunyi konsonan dan dikategorikan sebagai bunyi letupan di bibir.

Masalah ini juga boleh berlaku kepada individu yang mengalami kelemahan pada otot-otot di sekitar mulut disebabkan oleh strok atau mereka yang mempunyai masalah klef pada bibir dan lelangit.

Bagaimana bunyi /p/ dihasilkan?

Bunyi /p/ boleh dihasilkan apabila kita merapatkan bibir atas dan bibir bawah. Sekatan ini adalah untuk mengelakkan udara yang terkumpul di dalam rongga mulut daripada terkeluar tanpa dapat di kawal. Dalam masa yang sama anak tekak dinaikkan untuk menghalang udara dari keluar melalui rongga hidung.

Kedua-dua bibir akan dibuka secara serta-merta untuk melepaskan udara yang terkumpul di dalam rongga mulut dan bunyi /p/ akan terhasil. Bunyi /p/ ini juga dipanggil sebagai bunyi letupan tidak bersuara di mana semasa penghasilan bunyi ini, keadaan pita suara dalam keadaan tidak bergetar. Bunyi ini juga boleh dipanggil sebagai bunyi bilabial kerana ia dihasilkan antara kedua-dua bibir mulut.

Video ? Cara menyebut bunyi /p/

Bagaimana bunyi /b/ dihasilkan?

Bunyi /b/ dihasilkan sama seperti penghasilan bunyi /p/. Bunyi ini juga disebut sebagai bunyi letupan bersuara kerana semasa penghasilannya, pita suara adalah dalam keadaan bergetar. Ini berbeza dengan penghasilan bunyi /p/. Semasa penghasilan bunyi ini, kedua-dua bibir dibuka dan udara dari rongga mulut dilepaskan secara perlahan-lahan.

Video ? Cara menyebut bunyi /b/

Tempat Penghasilan Bunyi /p/ dan /b/
Cara Penghasilan Bunyi /p/ dan /b/

Apakah kesalahan bunyi /p/ dan /b/ yang sering dilakukan?

Kesalahan bagi bunyi /p/ boleh berlaku seperti dalam perkataan [pintu] disebut [intu] dan [pokok] disebut [bokok].

  • /p/ ditukar kepada /b/
  • /p/ ditukar kepada /f/
  • /p/ ditukar kepada /h/
  • /p/ ditukar kepada /?/
  • /p/ digugurkan

Kesalahan bagi bunyi /b/ pula boleh berlaku seperti dalam perkataan [baju] disebut [aju] dan [batu] disebut [matu]

  • /b/ ditukar kepada /p/
  • /b/ ditukar kepada /v/
  • /b/ ditukar kepada /m/
  • /b/ digugurkan

Apakah strategi dalam penghasilan bunyi /p/ dan /b/?

Terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan untuk membantu individu yang mempunyai masalah untuk menghasilkan bunyi /p/ dan /b/ dengan betul. Antara kaedah yang boleh digunakan adalah seperti :

Meniru

Ini juga dikenali sebagai rangsangan pendengaran di mana individu tersebut dikehendaki untuk mengulangi semula apa yang didengar dan mengulanginya sehingga betul.

Penggunaan dalam konteks

Pendekatan ini dilakukan sekiranya individu itu boleh menghasilkan bunyi /p/ dan /b/ dalam perkataan tertentu tetapi tidak dapat menghasilkannya dengan betul dalam perkataan lain. Terapis Pertuturan-Bahasa akan memulakan latihan menggunakan penempatan fonetik. Dalam aktiviti ini, kaedah meniru juga diperlukan untuk latihan.

Perletakan Bunyi Bibir

Rapatkan bibir sebelum bunyi dihasilkan. Letakkan batang aiskrim di antara bibir untuk mengingatkan pesakit supaya merapatkan bibir sebelum menghasilkan bunyi tersebut. Terapis Pertuturan-Bahasa juga boleh menunjukkan diagram, gambar alat artikulasi semasa penghasilan bunyi /p/ dan /b/.

Apakah aktiviti dalam menghasilkan bunyi /p/ dan /b/?

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah bagi menyebut /p/ dan /b/ dengan menggunakan pendekatan di atas. Paling utama adalah latihan dilakukan secara berterusan. Antara aktiviti yang sesuai adalah melalui permainan dengan menggunakan kad bergambar yang mempunyai bunyi yang dikehendaki. Kanak-kanak diminta menyebut perkataan tersebut dengan betul cth; [bola], [paku]. Sekiranya kanak-kanak hanya menyebut [ola] atau [aku] bermakna kanak-kanak tersebut telah menggugurkan bunyi /b/ atau bunyi /p/ dalam perkataan-perkataan tersebut.

Minta kanak-kanak tersebut untuk merapatkan bibirnya atau kita boleh meletakkan batang aiskrim di antara bibirnya. Ingatkan dia supaya bibir dirapatkan agar batang aiskrim tidak jatuh. Kemudian minta dia untuk menyebut semula perkataan [bola]. Apabila kanak-kanak berjaya menyebut dengan betul, beri pujian seperti ‘bagus’ untuk menggalakkan kanak-kanak meneruskan tingkah laku tersebut. Ulang beberapa kali supaya kanak-kanak mahir untuk menyebut bunyi /b/. Ini boleh di lakukan dengan menggunakan perkataan lain.

Apakah contoh perkataan bagi bunyi /p/ dan /b/?

Terdapat banyak perkataan dalam Bahasa Melayu yang mempunyai bunyi /p/ dan bunyi /b/. Bunyi ini boleh berada di hadapan, tengah ataupun di akhir perkataan seperti berikut :

 

Awal

Tengah

Akhir

Bunyi /p/

Pancing
Pisau
Paku
Pistol
Perut
Pukul

Siput
Api
Lampu
Topi
Kopi
Sapu

Lap
Letup
Mop
Tutup
Letup
Ketap

Bunyi /b/

Baju
Buku
Bola
Batu
Biskut
Bakul

Abu
Lembu
Labu
Labah
Lebah
Sabun

Arnab
Akrab
Darab
Arab
Kelab
Adab

Rujukan

  1. Kelly, E.L (1972). Form-A-Sound. Ideal School Supply Company.
  2. Secord, W. (1981). Eliciting Sounds Techniques for Clinicians: Merill’s Test Series.
  3. Ya’acob, Z. (1999). Masa Mula Bersuara Pada Bunyi Plosif Bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Semakan Akhir : 18 Februari 2016
Penulis : Zaidi bin Ya’acob
Akreditor : Noormala bt. Anuar Ali