A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Makanan Terubah Suai Genetik dan Status Halalnya

Makanan Terubah Suai Genetik?

Adakah anda tahu apakah yang dimaksudkan dengan makanan terubah suai genetik (genetically modified foodGMF)? Ia merujuk kepada tumbuhan, haiwan atau mikroorganisma yang telah terubah suai daripada aspek kandungan DNA yang mana ciri-ciri unik yang dikehendaki diaplikasikan bagi tujuan menambah baik kualiti produk akhir dalam makanan.

Makanan Terubah Suai GenetikGambar hiasan.

Di negara-negara maju, kebanyakan produk makanan yang dimakan adalah GMF secara keseluruhannya atau hanya sebahagian bahan mentahnya terdiri daripada komponen terubah suai genetik.

Kejuruteraan genetik amat berkait rapat dengan penghasilan GMF. Ia merupakan satu hasil sains yang unik dan mampu memberikan impak positif dalam kehidupan manusia. Kajian mengenai makanan terubah suai ini telah bermula sejak tahun 1960-an dan masih terus berkembang dengan pesat sehingga ke abad ini dengan lebih banyak teknik dan produk yang mampu untuk diinovasikan.

Bioteknologi tumbuhan melibatkan penggunaan mikrob dan bahan genetik untuk tujuan yang spesifik bagi menghasilkan tumbuhan yang mempunyai kualiti yang lebih baik daripada pelbagai aspek. Daripada tumbuhan yang terubah suai genetik ini, maka akan terhasillah pelbagai bahan mentah seperti minyak, tepung, produk perisa dan pewarna, sirap dan sebagainya yang akan digunakan oleh pelbagai industri termasuklah industri makanan yang merupakan pengguna terbesar bagi bahan-bahan mentah ini.

Apa yang dijangkakan oleh para pengkaji adalah mutu keluaran daripada kejuruteraan genetik ini adalah lebih baik berbanding produk sedia ada.

 

Bagaimana Proses Penghasilan Produk GMF?

Dalam menghasilkan produk terubah suai genetik, beberapa komponen utama perlu diberi perhatian :

  1. Maklumat genetik yang ingin dipindahkan
  2. ‘Pengangkutan’ yang digunakan bagi pemindahan maklumat genetik
  3. Sasaran spesis yang menerima bahan genetik.

Penghasilan tomato yang kaya dengan Vitamin A

Proses menyalin maklumat genetik

Proses menyalin maklumat genetik (DNA) yang
menukarkan pigmen warna kepada beta-carotene
(sumber kepada vitamin A) daripada lobak merah.
Gen lobak merah dimasukkan ke dalam plasmid agribacterium.

arrow_down
Genetik lobak merah menggunakan medium ‘pengangkutan’ Genetik lobak merah menggunakan medium ‘pengangkutan’,
plasmid agrobacterium untuk dimasukkan ke dalam sel daun
tomato dan dibiakkan dalam piring petri yang diperkaya
dengan hormon pertumbuhan.
arrow_down
Sel tomato akan tumbuh dan berkembang Sel tomato akan tumbuh dan berkembang dengan pesat
membentuk pucuk dan akar yang baru. Apabila ditanam
di atas tanah, genetik lobak merah akan dipindahkan
dan menukarkan pigmen dalam pokok tomato kepada
beta-carotene dan menghasilkan tomato terubah suai
genetik yang kaya dengan vitamin A.

(Sumber : Cathryn, M.D., & Kenneth, W.M. Gambar rajah proses penghasilan produk GMF. April 3, 2014, daripada www.brown.edu/ce/adult/arise/resources/docs/yw10/pdf).

 

Jenis Produk GMF

Terdapat beberapa jenis GMF yang telah diperkenalkan di pasaran. Antaranya adalah :

  1. Kacang soya

 kacang soyaGambar hiasan

Tanaman kacang soya adalah tanaman yang berasal dari China. Kacang soya merupakan bahan mentah yang penting dalam menghasilkan pelbagai jenis makanan seperti kicap, air soya dan lesitin yang menjadi bahan mentah dalam penghasilan coklat dan marjerin serta banyak lagi produk-produk lain.

Selain daripada itu, mereka yang alah kepada laktosa atau protein susu mempunyai pilihan lain iaitu dengan mendapatkan susu soya.

Mosanto adalah salah satu pengeluar terbesar kacang soya terubah suai genetik yang mampu menghasilkan bahan untuk menghindarkan tumbuhan liar yang mampu merosakkan pertumbuhannya. Kacang soya ini juga resistant (tahan rintangan) terhadap serangga perosak dan fungus (kulat).

Oleh yang demikian, penghasilan kacang soya yang tinggi dan lebih berkualiti mampu diperoleh.

 

  1. Jagung

jagungGambar hiasan

Jagung terubah suai genetik yang pertama telah ditanam pada tahun 1997. Penanaman jagung terus berkembang dan diperluas ke banyak negara seperti Utara dan Selatan Amerika Syarikat, Afrika dan Asia. Penanaman tanaman kontan seperti jagung telah giat dijalankan disebabkan oleh permintaan yang tinggi di pasaran.

Kegunaannya dalam pelbagai hidangan sama ada dalam bentuk makanan sejuk beku, makanan dalam tin atau direbus dan terus dimakan, menjadikannya sebagai salah satu makanan yang sering mendapat perhatian pengguna. Para petani menghadapi masalah serangan serangga perosak. Selain daripada itu, kehadiran fungus membawa kepada kehadiran racun – mikotoksin. Masalah ini juga sangat sukar dikawal dan menelan belanja yang tinggi untuk menanganinya.

Jagung manis terubah suai genetik dihasilkan untuk mempunyai ciri-ciri yang resistant terhadap herbicide (racun tumbuhan) dan serangga perosak. Selain itu, penemuan tanaman ini mampu mengurangkan kos penggunaan bahan kimia.

 

Apakah Kelebihan Makanan Terubah Suai Genetik?

Perkembangan sains melalui teknologi kejuruteraan genetik ini mampu memberikan kebaikan kepada semua peringkat rantaian makanan, bermula dari ladang ke meja makan, melibatkan petani, persekitaran dan juga pengguna. Makanan terubah suai genetik ini berpotensi untuk :

  1. Meningkatkan jangka hayat dan kualiti makanan
  2. Meningkatkan kualiti nutrisi dan kesihatan
  3. Meningkatkan hasil keluaran pertanian
  4. Menghasilkan tumbuhan yang rentan terhadap makhluk perosak, serangga, cuaca, dan penyakit
  5. Meningkatkan kualiti protein dan kandungan karbohidrat.

 

Pelabelan Produk GMF

Berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, makanan atau minuman yang diperoleh melalui kaedah bioteknologi moden ini perlu dinyatakan sumber genetiknya pada pelabelan pembungkusan.

Selain daripada itu, pernyataan seperti “(nama ramuan) diubah suai secara genetik” perlu dinyatakan dengan jelas pada label bagi memberikan maklumat kepada pengguna. Peraturan ini mula dikuat kuasakan pada 9 Julai 2014.  

 

Status Halal GMF

Isu yang sering dibangkitkan adalah sejauh mana pengguna mampu memperoleh makanan terubah suai genetik yang halal kerana ada antara bahan yang digunakan diperoleh daripada sumber yang tidak halal seperti babi atau haiwan yang tidak diketahui status halalnya.

Islam telah menggariskan ciri-ciri utama dalam pemilihan produk makanan iaitu HALAL dan BAIK seperti mana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran bagi menjamin kesihatan dan kemaslahatan ummah. Umum mengetahui bahawa makanan yang halal adalah baik dimakan namun makanan yang baik tidak semestinya halal untuk dimakan.

Dalam memahami GMF daripada perspektif Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan beberapa fatwa yang berkaitan. Fatwa tersebut adalah seperti berikut :

  1. Bioteknologi dalam makanan dan minuman (Muzakarah Khas, Julai 1991)
  2. Hukum memakan makanan terubah suai genetik (Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 95, 17 Jun 2011)
  3. Penghasilan monosodium glutamat (MSG) menggunakan mikroorganisma terubah suai (Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 105, Februari 2014).

Intipati utama daripada keputusan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan makanan terubah suai genetik adalah :

  1. Apa-apa sahaja sumber genetik yang diperoleh daripada sumber babi adalah HARAM.
  2. Penggunaan sumber genetik yang HARAM dan boleh MEMUDARATKAN manusia serta memberikan kesan NEGATIF kepada alam sekitar adalah tidak dibenarkan.
  3. Sumber yang diperoleh daripada haiwan yang halal dimakan dan disembelih dengan mengikut syarak adalah dibenarkan.
  4. Sumber bakteria terubah suai genetik yang digunakan dalam penghasilan MSG diperoleh daripada usus orang dewasa dibenarkan kerana ia telah melalui proses pengasingan dan penyucian serta tidak menyalahi hukum syarak.

 

Rujukan

  1. Akta Makanan 1983 & Peraturan-peraturan Keselamatan Makanan 1985
  2. Anonymous. (Disember 3, 2008). Maize, GMO Compass. Diambil pada April 3, 2014 daripada gmo-compass.org/eng/grocery_shopping/crops/18.genetically_modified_maize_eu.html
  3. Anonymous. Is there scary side to genetically modified soy? Vegan Nutrinista. Diambil pada April 3, 2014, dari http://www.vegan-nutritionista.com/genetically-modified-soy.html.
  4. Cathryn, M.D., & Kenneth, W.M.(2000). Creating better plants. Your World, Biotechnology & You, Issue 1, Vol.10. Diambil pada April 3, 2014, daripada brown.edu/ce/adult/arise/resources/docs/yw10/pdf
  5. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia, JAKIM
  6. Latifah,A, Nor Ayuni, AA, Jamil, A, Abdul Latif, S., & Mohamad, SH. (2010). Ethical Perception of Golden Rice in Malaysia, 11 (2), 71-78.
  7. Stella, G.U. (2000). The impact of genetic modification of human foods in the 21st century: A review. Biotechnology Advances, 18, 179-206.

 

Semakan akhir : 31 Mei 2015
Penulis : Pn. Nur Aniqah binti Muhamad Amin
Akreditor : En. Kamarudzaman bin Ahmad

 

Artikel Berkaitan

Pemakanan Sihat Untuk Remaja

Melangkah ke usia remaja merupakan satu pengalaman yang bermakna dalam kehidupan seseorang. Dalam usia sebegini, remaja memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi bagi menjalani kehidupan yang aktif.

Pemakanan Wanita

Pengenalan Pemakanan yang baik merupakan komponen utama yang menyumbang kepada

Diet Vegetarian

Deskripsi Sumber protein dalam diet vegetarian adalah daripada tumbuh-tumbuhan seperti

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,370,139

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia