Home > Pemakanan > Makanan Sunnah

Makanan Sunnah

Pendahuluan

Makanan dan minuman memainkan peranan yang sangat penting untuk kesihatan manusia. Seperti mana definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan adalah kesejahteraan jasmani, rohani dan sosioekonomi.

Kebanyakan manusia mendapat penyakit disebabkan oleh corak / pola pemakanan yang salah dan kurang pengetahuan mengenai pemakanan sihat.

Nabi Muhammad SAW adalah manusia teladan yang membawa integriti Islam dengan menyentuh seluruh aspek kehidupan. Teladan baginda ini berkaitan dengan pelbagai perkara termasuklah sesuatu yang mungkin kelihatan remeh iaitu pemakanan. Rasulullah SAW mengajar bukan sahaja setakat memilih makanan tetapi juga cara dan adab makan serta minum.

Adab Makan Dan Minum oleh Rasulullah SAW

Beberapa adab makan dan minum oleh Rasullullah SAW adalah :

  1. Mencuci tangan sebelum makan

    Membasuh tangan sebelum makan dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada tangan dan seterusnya dapat mengelakkan penyakit.

  2. Membaca basmalah dan doa sebelum makan
    • Memulakan makan dengan doa akan mendatangkan berkat.
    • Makanan yang berkat akan memberi tenaga dan tenaga yang berkat ini akan digunakan untuk kesihatan diri dan kebajikan.
  3. Makan dengan 3 jari tangan kanan
    • Menggunakan tiga jari kanan mengecilkan saiz suapan dan seterusnya makanan dapat dikunyah dengan sempurna.
    • Makan dengan jari tangan kanan merupakan cara untuk memperoleh hasil terbaik proses pencernaan.
    • Menurut artikel yang diterbitkan dalam paparetta.wordpress.com pada Oktober 2010, makan menggunakan tangan terbukti lebih menyihatkan kerana jari akan mengeluarkan enzim ‘RNAse’ yang dapat mengawal aktiviti bakteria sehingga ke tahap minima dalam sistem pencernaan. Ini mampu menghindarkan penyakit yang disebabkan oleh perut.  
  4. Duduk dengan baik, tegap dan tidak bersandar
    • Posisi ini memudahkan makanan turun serta dihadamkan dengan sempurna.
  5. Bersikap sederhana dan tidak berlebihan ketika makan
    • Rasulullah SAW tidak pernah makan hingga terlalu kenyang, tidak makan lagi sesudah kenyang dan tidak makan melebihi sepertiga perut kerana sepertiga lainnya adalah untuk minuman dan udara (nafas). Dengan erti lain Rasulullah SAW makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.
  6. Mulai makan dari hidangan atau bahagian yang terdekat dengan kita
    • Selain kelihatan lebih sopan, tenang dan tidak rakus, tindakan ini juga boleh memperoleh keberkatan makanan tersebut.
  7. Tidak memenuhkan mulut dengan makanan yang terlalu banyak
    • Lebih sopan dan tidak kelihatan gelojoh.
  8. Tidak banyak bercakap ketika sedang makan
    • Mengelakkan makanan daripada terkeluar dan menampakkan sikap tidak sopan / rakus.
  9. Makan bersama-sama dengan ahli keluarga dan sahabat (tidak makan bersendirian)
    • Mengeratkan ikatan silaturrahim serta menambahkan keberkatan makanan.
  10. Tidak mengeluarkan suara keras ketika sedang mengunyah makanan
    • Mengelakkan gangguan kepada orang lain.
  11. Tidak mengawasi dan melihat orang yang sedang makan
    • Mengelakkan orang yang diawasi daripada berasa terganggu / malu dan menjejaskan selera makan mereka.
  12. Tidak menyisakan makanan di pinggan
    • Memupuk sikap terpuji iaitu tidak membazir serta mendapat keberkatan makanan.
  13. Tidak mencela makanan yang tidak disukai
    • Jika Rasulullah SAW tidak berselera, baginda akan meninggalkan makanan tanpa mencela makanan tersebut.
    • Cacian terhadap makanan boleh mengurangkan keberkatan yang Allah SWT berikan dalam makanan tersebut dan memberi kesan negatif terhadap kesihatan tubuh sekiranya makanan tersebut dimakan.
  14. Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan mulut dari tempat minum ketika bernafas serta tidak meniup makanan / minuman yang panas
    • Mengelakkan kita mengambil minuman yang tercemar dengan karbon dioksida hasil daripada hembusan nafas ke dalam minuman.
    • Adab ini juga menerap nilai kesabaran dan kesopanan dalam diri.
  15. Menutup bekas makanan dan minuman
    • Mengelakkan makanan / minuman daripada tercemar.
  16. Menjilat makanan yang tersisa di jari-jari (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah) ketika suapan terakhir
    • Ia mestilah dilakukan dengan tertib, indah dan berperaturan agar tidak menimbulkan persepsi yang negatif.
    • Penemuan kesihatan moden menunjukkan bahawa dengan menjilat jari setelah selesai makan, jari akan mengeluarkan enzim yang sangat membantu kelancaran proses pencernaan.
  17. Setelah selesai makan, bacalah : “Alhamdulillah”
    • Menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT terhadap makanan dan minuman yang telah dikurniakan. 
  18. Cuci tangan setelah selesai makan
    • Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk mencuci tangan sebelum dan sesudah makan supaya terhindar daripada kuman dan penyakit.
  19. Tidak meninggalkan makan malam
    • Rasulullah melarang umatnya untuk meninggalkan makan malam.
    • Barang siapa yang meninggalkan makan malam dia akan dimamah usia dan tahap kolesterol dalam darah akan meningkat.
    • Makan malam adalah sebelum Maghrib iaitu lebih kurang jam 7.00 malam.

Makanan Dan Minuman Sunnah

Rasulullah hanya makan/minum makanan/minuman yang halal mengikut syariat dan berkhasiat. Beberapa jenis makanan kegemaran Rasulullah SAW adalah :

  1. Air Zamzam
    • Kajian saintifik menunjukkan bahawa air zamzam mempunyai struktur molekul air yang unik dan bersifat beralkali. Ciri ini dapat mengimbangi keasidan di dalam badan.
    • Di samping itu, ia mengandungi banyak mineral seperti fluorida, kalsium, klorida, sulfat, bikarbonat, kalium dan natrium.
    • Imam At-Tirmizi menerangkan bahawa air zamzam yang diminum akan memberi manfaat kepada seseorang mengikut hajat baik orang tersebut.
  2. Daging kambing bahagian lengan
    • Bahagian ini :
    • Mengandungi kurang lemak.
    • Paling lembut.
    • Mudah dihancurkan / dihadamkan.
    • Mengandungi banyak zat besi.
    • Memberi tenaga untuk kekuatan otot dan membangkitkan semangat.
  3. Roti yang diperbuat daripada tepung barli yang tidak diproses
    • Mengekalkan serat dan khasiat vitamin kerana lapisan bran dikekalkan. 
  4. Susu
    • Susu yang mengandungi khasiat yang lengkap terdiri daripada protein, lemak dan mineral yang dapat membantu pembentukan tulang serta mencegah penyakit anemia.
    • Kajian mendapati bahawa susu kambing dapat memberikan lebih khasiat kepada badan berbanding susu lembu.
  5. Keju
    • Rasulullah SAW menyukai keju yang diperbuat daripada susu lembu dan kambing. Keju rendah lemak mempunyai lebih manfaat sama seperti susu rendah lemak.
  6. Kurma
    • Menurut kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, W and Marshall, RJ bertajuk The Fruit Of The Date Palm : Its Possible Use As The Best Food For The Future dan International Journal of Food and Science Nutrition, 54 (4):247-259, buah kurma boleh menjadi makanan yang ideal pada masa hadapan kerana ia mengandungi :
      • 15 jenis garam dan mineral,
      • Kaya dengan vitamin,
      • Kadar karbohidrat yang tinggi (44-88%),
      • Serat (6.4-11.5%),
      • Protein (2.3-5.6%),
      • Lemak (0.2-0.5%) dan
      • Minyak (0.2-0.5%).
    • Mengandungi 23 jenis asid amino, sebahagiannya tidak ditemui dalam buah-buahan yang popular seperti oren, epal dan pisang.
    • Kurma juga mengandungi :
      • Fluorin yang membantu meningkatkan kesihatan gigi, dan
      • Selenium yang diperlukan oleh sistem pertahanan badan bagi mencegah kanser. 
  7. Anggur
    • Kandungan vitamin C dan B6 cukup tinggi serta mineral kalium yang berfaedah untuk saluran pencernaan dan saluran kencing kerana bersifat diuretik.
    • Biji anggur mengandungi antioksidan pycnogenolyang berfungsi sebagai :
      • Penguat kolagen,
      • Meningkatkan fungsi pembuluh darah, dan
      • Anti-penuaan.
    • Kulit anggur kaya dengan flavanoid yang dapat mencegah risiko strok dan darah tinggi.
    • Anggur juga mengandungi Tannin yang mampu mencegah kerosakan gigi.
  8. Cuka kurma
    • Ibnu Sina dalam kitab beliau Al-Qanun Fi Al-Tib menyatakan bahawa cuka kurma dapat :
      • Mencegah sebarang pembengkakan di badan (bisul, kanser)
      • Menyucikan darah
      • Membaiki masalah pencernaan di perut
      • Masalah usus, kerongkong, kahak, batuk yang berpanjangan
      • Menjaga kulit daripada kepanasan matahari
      • Mengatasi masalah lemak-lemak di badan (kolesterol)
      • Menstabilkan asid dan garam di badan
      • Membuang keracunan badan (toksik)
      • Masalah rahim
      • Menguatkan gigi, mata dan telinga.
  9. Madu
    • Hasil kajian Universiti Zagreb di Croatia dan penemuan yang dimuatkan dalam Journal of the Science of Food and Agriculture menunjukkan madu lebah kaya dengan bahan antioksidan yang berfungsi menghalang bahan-bahan radikal bebas bertindak ke atas sel-sel badan bertukar kepada kanser.
    • Menurut dapatan kajian di Universiti Memphis di Tennessee, madu lebah sesuai untuk ahli-ahli sukan kerana mengawal kadar hormon kortisol di tahap rendah untuk meningkatkan lagi daya kekuatan otot. Madu juga merupakan sumber tenaga asli yang baik untuk semua orang termasuk ahli-ahli sukan seperti yang dilaporkan dalam artikel Honey For The Fast Track oleh British Honey Importers and Packers Association (BHIPA) Online di honeyassociation.com.
    • Profesor Madya Peter Charles Molan dari Universiti Waikato, New Zealand mengkaji dan mendapati madu lebah mampu membunuh pelbagai jenis kuman sama ada daripada jenis bakteria, fungus atau protozoa.
    • Hasil kajian University of Wales Institute Cardiff (UWIC), madu lebah berfungsi sebagai antibiotik di mana ia mampu menembusi sistem pertahanan kuman sekaligus mencegah pembiakan dan jangkitan kuman.
  10. Barli
    • Kajian berkaitan barli menunjukkan bahawa ia berkhasiat untuk mereka yang mengalami demam kerana ia lembut serta mudah dihadam. Di samping itu, ia dapat menurunkan kolesterol serta dapat melindungi usus daripada penyakit kanser.
  11. Jintan Hitam (Habbatussauda’)
    • Pelbagai penyelidikan terhadap jintan hitam menemukan kesan positif berkaitan dengan kesannya sebagai bahan antiradang dan antitumor serta meningkatkan sistem imunisasi badan.
  12. Minyak Zaitun
    • Minyak ini mempunyai lemak mono tak tepu yang mempunyai kelebihan seperti dapat melindungi diri daripada penyakit koronari jantung, menurunkan paras kolesterol darah, mengawal tekanan darah serta melindungi diri daripada kanser.
 

Penutup

Rasulullah SAW mengamalkan cara hidup sihat melalui gaya pemakanan yang seimbang dan sentiasa bersederhana. Gaya hidup baginda sangat sesuai dijadikan pedoman hidup agar terhindar daripada gejala penyakit.

Rasulullah SAW sentiasa menggalakkan umatnya agar menjaga kesihatan. Sekiranya seseorang itu sihat dan kuat, dia dapat bekerja dan mencari nafkah untuk keluarganya serta dapat membela bangsa, masyarakat dan negara. Kesihatanlah yang membolehkan seseorang itu menyempurnakan kewajipan dunia dan agamanya.

Rujukan

  1. Yusuf Al-Hajj Ahmad (2010). Islamic Medicine. The Key to a Better Life. Maktaba Dar-us-Salam. Riyadh. ISBN: 978-603-500-061-1.
  2. Javier Díaz-Castro, María Jm Alférez, Inmaculada López-Aliaga, Teresa Nestares, Ana Sánchez-Alcover, Margarita S Campos. Bile composition, plasma lipids and oxidative hepatic damage induced by calcium supplementation; effects of goat or cow milk consumption. Journal of Dairy Research. 2013;80(2):246-54. doi:10.1017/S0022029913000058.
  3. Donald Hensrud. If olive oil is high in fat, why is it considered healthy? www.mayoclinic.org/helathy-living/nutrition-and-healthy-eating expert-answers/food-and-nutrition/faq-20058439. Accessed 25.10.2014.
  4. Dr. Danial Zainal Abidin (2012), Quran Saintifik : Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Terbitan PTS Millenia Sdn Bhd.
  5. Nordin Jaafar (2012), Cara Dan Etika Rasulullah SAW : Adab Makan Dan Minum, Terbitan Inteam Publishing Sdn Bhd.
  6. Asadullah Al-Faruq (2012), Mengapa Rasulullah Tidak Mudah Sakit, Terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd
  7. Indra Kusumah, SKL, S.Psi , Panduan Diet Cara Rasulullah SAW, Terbitan Synergy Media.
  8. Ummu ‘Abdillah (2009), Adab Makan Minum Cara Nabi, Terbitan Al-Hidayah Publication
  9. Muhammad Azraie (2010), Cara Makan & Minum Nabi, Terbitan Crescent News (K.L) Sdn Bhd
  10. Majalah Solusi Isu No. 47 2012, Lazat Berzat Berkat, ms 16-24
  11. Majalah Inilah Islam Isu 3 2013, Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat Membina Umat Yang Kuat, ms 6-12
Semakan Akhir : 28 Februari 2018
Penulis : Zarina bt. Samsudin
Akreditor : Rashidah bt. Ambak