Home > Laman Utama > Luka

Luka

PENGENALAN

Tercedera semasa menjalankan aktiviti harian merupakan perkara biasa di kalangan kebanyakan orang. Jenis kecederaan yang paling kerap dialami adalah luka dan melecet dan ianya boleh berlaku ketika melakukan kerja rumah, berkebun, atau semasa mengendalikan peralatan bermesin. Kanak-kanak sering mendapat luka semasa bermain sesama sendiri, menjalankan aktiviti sukan atau akibat terjatuh ketika menunggang permainan beroda, seperti basikal, skuter, atau ‘skateboards’.

Luka merupakan hirisan yang terjadi pada kulit  yang biasanya disebabkan oleh objek yang tajam seperti pisau atau sekeping kaca. Kebanyakan luka adalah kecil dan boleh dirawat sendiri di rumah.

 

GEJALA DAN TANDA

Luka menyebabkan gejala berikut:

  • Pendarahan
  • Kesakitan
  • Kemerahan
  •  Pembengkakan

 

KOMPLIKASI

Jangkitan

Luka boleh dijangkiti kuman dan tanda-tanda jangkitan termasuk:

  • Luka bertambah sakit
  • Kawasan kemerahan bertambah besar
  • Kawasan luka membengkak
  • Nanah terbentuk di dalam dan sekitar kawasan luka
  • Berasa tidak sihat
  • Demam
  • Pembengkakan kelenjar limfa yang berhampiran (nodus limfa)

 

RAWATAN

Bantu awal bagi luka

Luka kecil

Luka kecil adalah luka yang tidak dalam, bersih dengan pendarahan yang sedikit. Langkah berikut boleh diambil bagi merawat sendiri luka kecil

  • Basuh tangan anda dengan sabun dan air dan kemudian basuh luka di bawah air bersih yang mengalir.
  • Tekan pada luka yang berdarah dengan kain atau pembalut steril dan tinggikan bahagian yang luka.
  • Anda boleh sapukan krim antibiotik jika ada.
  • Balut luka dengan ‘gauze’/ pembalut luka yang steril dan tidak melekat, untuk melindungi luka dari jangkitan
  • Pastikan kawasan sekitar luka sentiasa dalam keadaan bersih dan pastikan pembalut yang kotor ditukar dengan segera.
  • Dapatkan rawatan perubatan jika luka tidak sembuh atau bertambah merah, semakin sakit, bernanah atau berair, terasa panas atau bengkak kerana ini adalah tanda-tanda jangkitan kuman.

 

Dapatkan rawatan perubatan SEGERA:

  • Jika luka masih berdarah selepas 5 minit mengenakan tekanan
  • Jika terdapat sesuatu yang tertanam dalam luka
  • Jika luka pada mulut, muka, tangan, atau kemaluan.

 

Luka yang kotor

Luka yang kotor berisiko untuk dijangkiti kuman. Jika anda tidak mampu untuk membersihkan luka dengan betul, tutup luka dengan pembalut yang steril/bersih dan dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

 

Luka yang dalam

Jika anda mengalami luka yang lebih dalam dan mendedahkan struktur tisu lemak, otot, tendon atau tulang, anda hanya perlu tutup luka dengan pembalut yang bersih dan dapatkan rawatan perubatan dengan segera

  • Jangan sekali-kali membasuh luka yang dalam kerana ia boleh meningkatkan pendarahan

Jangan alihkan pembalut yang berlumuran darah daripada luka yang dalam kerana ini boleh mengakibatkan pendarahan semula. Sebaliknya, tambahkan balutan dengan kain pembalut baru sehingga pendarahan berhenti.

 

PROGNOSIS

Tanpa sebarang komplikasi jangkitan kuman, kebanyakan luka boleh sembuh dengan baik. Parut mungkin terbentuk bergantung kepada saiz dan kedalaman luka yang dialami.

 

RUJUKAN

  1. John Murtagh, General Practice, Third Edition, page 1340-1353

 

Last Reviewed : 13 Jun 2012
Writer : Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary
Translator : Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary
Accreditor : Dr. Rosnah bte. Ramly