Luka Kecil

Apakah luka?

Luka berlaku apabila permukaan badan atau kulit pecah atau tercalar selepas kecederaan.

 

Apakah yang perlu dilakukan?

Bertenang. Biasanya pendarahan luka kecil berhenti dengan sendiri, cuma ia perlu dijaga dengan teliti bagi mengelakkan jangkitan atau komplikasi lain.

Rehatkan pesakit. Ini akan mengurangkan denyutan jantung dan seterusnya mengurangkan pengaliran darah dan boleh mengelakkan kejutan.

 

Rawatan segera

  • Basuh tangan dan pakai sarung tangan
  • Hentikan pendarahan dengan menekan pada bahagian luka dengan kain pembalut atau kain bersih. Angkat bahagian yang cedera atau luka sambil mengekalkan tekanan padanya. Ini akan mengurangkan pengaliran darah pada bahagian luka
  • Bersihkan luka ini dan bilas dengan air bersih
  • Tutup luka dengan balutan bersih dan kekalkan tekanan pada bahagian luka
  • Tampalkan plaster pada balutan luka
  • Sekiranya balutan dipenuhi darah, jangan buangkan balutan tetapi tambahkan balutan dan kekalkan tekanan. Sekiranya balutan dibuka ia boleh mengganggu proses pembekuan darah dan mendedahkan luka pada kontaminasi (pencemaran)
  • Sekiranya luka terus berdarah, dapatkan rawatan doktor dengan segera

Jumpa doktor, sekiranya

  • Pendarahan berterusan
  • Luka terlalu dalam dan memerlukan jahitan
  • Terdapat benda asing / serpihan habuk dalam luka
  • Luka tidak sembuh atau menjadi merah, bengkak, berasa panas dan bernanah

Semakan Akhir : 27 April 2012
Penulis : Dr. Wan Fadhilah bt. Wan Ismail
Penyemak : Dr. Salmiah bt. Md. Sharif
: Dr. Wan Fadhilah bt. Wan Ismail