A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Liken Planus Mulut

Liken planus adalah suatu keadaan keradangan kronik pada kulit tetapi juga boleh melibatkan mulut (liken planus mulut) dan membran mukus yang lain seperti kawasan kemaluan.

Apakah liken planus mulut (LPM) ?

Liken planus adalah suatu keadaan keradangan kronik pada kulit tetapi juga boleh melibatkan mulut (liken planus mulut) dan membran mukus yang lain seperti kawasan kemaluan. Liken planus mulut (LPM) boleh berlaku dengan sendiri atau seiring dengan liken planus pada kulit atau kawasan lain. Dianggarkan kira-kira 1 hingga 2% daripada jumlah penduduk Malaysia mempunyai LPM. LPM pada kebiasaanya berlaku di kalangan orang dewasa yang berumur lebih daripada 40 tahun,walau bagaimanapun dewasa muda dan kanak-kanak juga boleh mengalaminya. Ia lebih kerap  di kalangan kaum wanita. Pesakit dengan LPM boleh kekal tanpa sebarang simptom (gejala), walau bagaimanapun  sesetengah pesakit boleh mengalami ketidakselesaan atau kesakitan dalam mulut.

Sakit ini biasanya digambarkan sebagai rasa pedih atau perit terutamanya apabila mengambil makanan/minuman pedas atau berasid. Seringkali, kesakitan ini boleh mengganggu pengambilan makanan oleh pesakit. Kebanyakan pesakit juga sering mengalami ketidakselesaan apabila mengguna ubat gigi biasa.

Apakah yang menyebabkan LPM?

Punca/ mekanisme LPM belum lagi difahami dengan sepenuhnya tetapi ia dipercayai adalah satu keadaan keradangan autoimun di mana sistem imun badan mula bertindak balas terhadap lapisan kulit dalam mulut. Ia BUKAN sejenis jangkitan, jadi anda tidak boleh menjangkiti orang lain. Tiada bukti nyata yang menunjukkan LPM ialah sejenis penyakit yang diwarisi. Satu Keadaan yang menyerupai liken planus juga boleh disebabkan oleh sesetengah ubat-ubatan ataupun bahan tampalan pada gigi. Dalam kes-kes seperti ini di mana suatu penyebab spesifik dapat dikenal pasti, ia dikenali sebagai reaksi likenoid atau Lesi Likenoid Mulut ( LLM). Ubat-ubatan yang seringkali dikaitkan dengan LLM adalah:

  • Allopurinol
  • Ubat Darah Tinggi
  • Ubat Kencing Manis
  • ChloroquineAnti-Malaria
  • Emas
  • Ubat Anti-Keradangan Bukan Steroid

(Senarai ubat-ubatan di atas adalah hanya sebahagian dari ubatan yang telah diketahui)

Diagnosis

Dalam kebanyakan kes, diagnosis akan dibuat melalui pemeriksaan klinikal yang teliti oleh pakar perubatan mulut. LPM mungkin kelihatan sebagai tompok ulser, lesi putih atau merah, ataupun gusi yang merah. Berikut adalah beberapa contoh rupa klinikal LPM:

 
Liken planus mulut pada kawasan gusi
     
 
Liken planus mulut pada permukaan dalam pipi

 

Satu riwayat perubatan dan pergigian lengkap adalah diperlukan untuk menilai penglibatan kulit atau membran mukus yang lain serta kewujudan agen penyebab (seperti ubatan yang disenarai di atas). Walau bagaimanapun biopsi biasanya disyorkan dan sampel mukosa yang diambil kemudian diperiksa di bawah mikroskop untuk mendapatkan diagnosis yangmuktamad.

Bagaimanakah ia dirawat?

Dalam kebanyakan kes, LPM tidak akan sembuh sepenuhnya , tetapi boleh menjadi asimptomatik secara spontan ( tiada gejala seperti kepedihan). Dalam kebanyakan pesakit, lesi-lesi LPM akan melalui suatu kitaran dimana terdapat ketika di mana lesi LPM tidak memberi sebarang kesakitan (remisi) dan pada masa yang lain terdapat kesakitan. Liken planus mulut biasanya akan berlarutan untuk tempoh yang lebih lama jika dibandingkan dengan liken planus kulit dan mungkin berterusan selama beberapa tahun. Walau bagaimanapun, terdapat rawatan untuk mengurangkan gejala penyakit yang dialami oleh pesakit.

Anda mungkin diberi satu atau lebih daripada ubat-ubatan berikut untuk digunakan :

  • ubat kumur anti -keradangan atau anestetik
  • kortikosteroid topikal dalam bentuk krim , semburan atau salap untuk kegunaan mulut
  • kortikosteroid sistemik atau ubat anti-keimunan lain ( bagi kes-kes yang lebih teruk ); ini biasanya digunakan hanya untuk tempoh yang singkat dan penggunaan steroid sistemik jangka panjang biasanya dielakkan kerana berpotensi mengakibatkan kesan sampingan yang tidak diingini

Penjagaan kebersihan mulut yang baik adalah penting ,terutamanya bagi LPM yang melibatkan gusi  kerana kebersihan mulut yang kurang memuaskan boleh memburukkan lagi keadaan. Jadi, gigi perlu dikekalkan bersihdengan teknik pemberusanyang betul. Penukaran jenis ubat gigi dan berus gigi yang lebih lembut juga bolehmembantu didalam mengurangkan gejala-gejala.

Dalam kes di mana lesi LLM adalah disebabkan oleh ubat-ubatan atau bahan-bahan dalam tampalan gigi , penggantianubatan /tampalan berkenaan berkemungkinana boleh megurangkan ataupun menghilangkan tanda dan gejala LLM. Walaubagaimanapun, perubahan ini TIDAK boleh dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan pakar yang berkenaan. Harus diingat bahawa seringkali,rawatan yang diberi hanyalah untuk mengurangkan tanda & gejala dan bagi kebanyakkan pesakit adalah mustahil untuk menghilangkan kesemua tanda & gejala secara sepenuhnya. Rawatan mungkin juga  tidak diperlukan jika LPM anda tidak menjejaskan kualiti hidup anda.

Apakah komplikasi yang mungkin terjadi ?

Terdapat teori yang menyatakan terdapat kecenderungan lesi LPM untuk berubah kepada barah mulut apabila dibandingkan dengan mukosa mulut yang normal. Walaupun kekerapan perubahan kepada barah mulut dari lesi LPM dianggap kecil (dalam julat 0.5 – 5%) , ia bagaimanapun masih merupakan satu aspek penting dalam pengurusan pesakit LPM . Oleh itu, adalah penting untuk semua pesakit dengan LPM mengurangkan risiko perubahan barah mulut dengan mengurangkan faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko barah mulut seperti penggunaan tembakau. Adalah amat penting bahawa anda mendapatkan pemeriksaan oleh pakar pergigian / doktor gigi secara berkala supaya sebarang perubahan kepada barah mulut dapat dikesan lebih awal.

Rujukan

  1. Scully, C. (2008). Oral and maxillofacial medicine- The basis of diagnosis and treatment. (2nd ed.) Elsevier.
  2. Eisen D, Carrozzo M, Bagan Sebastian JV, Thongprasom K: Number V Oral lichen planus: Clinical features and management. Oral Dis  2005; 11:338-349.
  3. van der Meij EH, Schepman KP, van der Waal I: The possible premalignant character of oral lichen planus and oral lichenoid lesions: A prospective study. Oral Surg Oral Med Oral Pathol Oral Radiol Endod  2003; 96:164-171.
  4. Bornstein MM, Kalas L, Lemp S, et al: Oral lichen planus and malignant transformation: A retrospective fLLMow-up study of clinical and histopathologic data. Quintessence Int  2006; 37:261-271.
  5. Roosaar A, Yin L, Sandborgh-Englund G, et al: On the natural course of oral lichen lesions in a Swedish population-based sample. Oral Pathol Med  2006; 35:257-261.
  6. Al-Hashimi I, Schifter M, Lochart PB, et al: Oral lichen planus and oral lichenoid lesions: Diagnostic and therapeutic considerations. Oral Surg Oral Med Oral Pathol Oral Radiol Endod  2007; 103(Suppl S25):e1-e12.
  7. 573. Porter SR, Kirby A, Olsen I, Barrett W: Immunologic aspects of dermal and oral lichen planus. Oral Surg Oral Med Oral Pathol  1997; 83:358-366.

 

Semakan Akhir : 24 Januari 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam
Akreditor : Dr. Abdul Rahim bin Ahmad

 

Artikel Berkaitan

Trigeminal Neuralgia

Trigeminal Neuralgia adalah satu keadaan amat menyakitkan yang melibatkan saraf trigeminal, salah satu saraf utama kawasan muka dan mulut.

Restorasi Gigi Yang Telah Dirawat Akar

Gigi yang telah menjalani rawatan kanal akar mengalami kehilangan sebahagian struktur gigi dan perubahan dalam karakter fizikalnya seperti pengurangan modulus kenyalnya, yang kerapkali mengakibatkan peningkatan kerentanannya terhadap fraktur, berbanding dengan gigi vital yang tidak mempunyai sebarang restorasi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,053,609

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia