A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Lewat Berjalan

Sekiranya anak anda belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.

Kebanyakan kanak-kanak sudah mampu berjalan pada umur setahun. Secara umum 85% kanak-kanak mula berjalan tanpa berpegang sekitar umur antara 10-14 bulan.

Sekiranya anak anda belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.

Perkembangan Awal Kanak-kanak

Kemampuan berjalan adalah suatu tahap perkembangan yang sangat penting bagi seseorang kanak-kanak. Selain itu terdapat tahap-tahap perkembangan otot kasar (gross motor) lain yang boleh diperhatikan di peringkat lebih awal.

Berikut ialah kemampuan otot kasar serta umur yang mana seseorang bayi sepatutnya mencapai perkembangan tersebut:

  • Kawalan kepala – umur 3 bulan
  • Kaki memijak – umur 4 bulan
  • Meniarap – umur 6 bulan
  • Duduk tanpa bantuan – umur 9 bulan
  • Berdiri tanpa sokongan – umur 12 bulan

Apakah punca yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat berjalan?

  1. Faktor keluarga atau keturunan: Sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut sendiri mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, anak mereka mungkin menghadapi masalah yang sama disebabkan faktor keturunan. Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berumur 2 tahun serta tiada masalah perubatan yang lain, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka.
  2. Kelainan pada kekuatan otot
    1. Cerebral palsy:
      • Kanak-kanak yang menghadapi masalah cerebral palsy biasanya boleh dikesan di peringkat awal, terutama sekiranya mereka mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran kurang matang. Walau bagaimanapun ada kanak-kanak cerebral palsy hanya dikesan apabila mereka diperiksa oleh doktor kerana lewat berjalan.
      • Kanak-kanak cerebral palsy umumnya mengalami kekejangan otot serta kesukaran menggerakkan anggota badan dengan baik. Contohnya, mereka sukar duduk bersila tetapi memilih untuk duduk dengan kaki dilipat ke belakang (posisi ‘W’), atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.
    2. Masalah otot:
      • Ini termasuk penyakit-penyakit yang dikenali sebagai muscular dystrophy, spinal muscular atrophydan congenital myopathy. Penyakit-penyakit ini menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah.
      • Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan. Oleh itu mereka biasanya lewat berjalan, bahkan ada yang langsung tidak mampu berjalan atau berdiri.
  3. Kelahiran pra matang: Secara umumnya bayi yang dilahirkan pra matang atau ‘premature’ akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan, termasuk lewat berjalan. Jadi kelewatan sekitar 2-3 bulan mungkin tidak menjadi masalah, bergantung kepada tahap bayi tidak matang tersebut semasa lahir.
  4. Lewat perkembangan secara umum (global):
    • Ini bermaksud masalah lewat berjalan kanak-kanak tersebut adalah sebahagian daripada lewat perkembangan dalam aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif (berfikir).
    • Terdapat banyak punca-punca lewat perkembangan global. Antaranya ialah masalah sindrom seperti Down syndrome, kecederaan otak disebabkan lemas atau jangkitan kuman, atau pelbagai penyakit kronik yang lain.

Bilakah anak saya perlu dibawa untuk pemeriksaan sekiranya disyaki lewat berjalan?

Kebiasaannya kanak-kanak di Malaysia akan diperiksa pada umur setahun semasa ketika pengambilan suntikan imunisasi. Sekiranya anak anda masih tidak mampu berdiri semasa berumur setahun atau mengalami masalah perkembangan lain, anak anda mungkin akan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Secara umumnya, kanak-kanak yang tidak mampu berdiri semasa berumur setahun dan tidak berjalan semasa berumur 18 bulan perlu diperiksa oleh doktor. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak. Walau bagaimanapun itu tidak semestinya bermakna kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan.

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Nor Azni b. Yahaya
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Piramid Makanan Malaysia 2020

Piramid Makanan Malaysia merupakan satu panduan pemakanan sihat dalam bentuk grafik yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ia bertujuan untuk memberi maklumat mengenai keperluan kalori harian yang disarankan bagi kumpulan umur berusia 7 tahun dan ke atas, termasuk orang dewasa dan warga emas.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,236,997

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia