A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Pil Pencegah Kehamilan
  8. /
  9. Levonorgestrel & Ethinylestradiol (Nordette)

Levonorgestrel & Ethinylestradiol (Nordette)

Pil perancang kehamilan merupakan salah satu kaedah hormonal yang kerap digunakan. Hormon yang digunakan dalam pil perancang ialah hormon sama yang terlibat dalam sistem reproduktif wanita. Dua jenis hormon tersebut ialah hormon dari kumpulan estrogen dan kumpulan progesteron.

Terdapat dua kumpulan pil perancang kehamilan yang utama dalam pasaran. Pertamanya ialah pil yang mengandungi hormon kumpulan progesteron sahaja. Kedua pula, iaitu yang lebih kerap digunakan ialah pil yang mengandungi kombinasi kedua-dua hormon kumpulan estrogen dan progesteron.

Di samping itu, pil perancang kehamilan juga terdapat dalam dua jenis pek bungkusan yang akan menentukan cara ia perlu diambil. Secara umumnya, terdapat dua pek bungkusan pil pencegah kehamilan iaitu pek 21 biji tablet dan pek 28 biji tablet. Bilangan biji ini menunjukkan bilangan hari ubat tersebut perlu diambil dan jumlah hari tanpa ubat (drug-free period).

Levonorgestrel dan ethinyl estradiol secara umum

Dua jenis hormon yang digunakan dalam pil perancang kehamilan termasuklah levonorgestrel dan ethinylestradiol. Nordette merupakan jenama bagi pil kombinasi kedua-dua jenis hormon ini.

Levonorgestrel juga digunakan dalam pil pencegah kehamilan kecemasan, dalam alat IUD (intraunterine device) dan sebagai produk implan.

Ethinyl estradiol pula terhasil daripada hormon asal estradiol dan banyak digunakan sebagai salah satu kandungan dalam pil pencegahan kehamilan.

Tindakan dan kegunaan pil kombinasi levonorgestrel dan ethinyl estradiol (Nordette)

Nordette ialah kombinasi hormon levonorgestrel pada kepekatan 0.15 miligram dan hormon ethinyl estradiol pada kepekatan 0.03 miligram. Hormon yang dikeluarkan daripada pil ini akan menyebabkan perubahan fisiologi sistem reproduktif. Tindakan utama ubat ini ialah dengan menghalang proses ovulasi, iaitu penghasilan ovum daripada ovari.

Kedua-dua hormon ini akan menyebabkan mukus yang terdapat dalam serviks menjadi lebih pekat menyukarkan sel sperma untuk masuk dan bersenyawa dengan ovum. Ubat ini juga mengubahsuai permukaan dinding rahim dan menyebabkan penempelan ovum yang telah disenyawakan tidak dapat berlaku.

Cara pengambilan pil kombinasi levonorgestrel dan ethinyl estradiol (Nordette)

Nordette hanya perlu diambil sekali sehari pada waktu petang atau semasa hendak tidur. Sebiji pil perlu ditelan sepenuhnya dengan air dan tidak boleh dikunyah atau dipecahkan. Sebaik-baiknya masa pengambilan adalah sama pada setiap hari.

Setiap pek 28 biji pil Nordette terdiri daripada 21 biji pil berwarna jingga yang mengandungi hormon levonorgestrel dan ethinyl estradiol. Baki tujuh biji pil pula berwarna merah jambu dan tidak mengandungi hormon. Sekiranya seseorang wanita ingin mula mengambil pil ini, dia perlu mengambilnya pada hari Ahad pertama selepas haid. Jika hari pertama haid jatuh pada hari Ahad, pil tersebut hendaklah diambil pada hari yang sama. Penetapan satu hari yang khusus ini bertujuan untuk memudahkan pengguna mengingati hari pertama setiap kitaran sekaligus mengelakkan pengguna tertinggal dos.

Pil berwarna jingga perlu diambil secara berterusan pada setiap hari sehingga genap 21 hari. Selain itu, perlu diingatkan bahawa dalam tempoh tujuh hari pertama pil dimulakan, kesan pencegahan kehamilan tidak dapat dijamin. Justeru, pengguna perlu menggunakan kaedah pencegahan kehamilan bukan hormonal untuk mengelakkan kehamilan berlaku.

Pengguna akan mula mengambil pil berwarna merah jambu pada hari ke-22. Sepanjang tempoh ini dipanggil tempoh bebas hormon. Kebiasaannya, haid akan berlaku untuk dua hingga enam hari dalam tempoh tujuh hari bebas hormon ini. Seterusnya, pengguna itu akan memulakan pil berwarna jingga pertama daripada pek baharu sejurus selepas tempoh tujuh hari bebas hormon tamat. Pil perlu diambil walaupun pendarahan masih berlaku.

  1. Menukar pek 21 biji kepada pil Nordette

    Pek 21 biji ini berbeza daripada pek Nordette 28 biji kerana ia tidak mengandungi tujuh biji pil yang tidak mengandungi hormon. Oleh sebab itu, apabila ingin menukar daripada pek 21 biji kepada pek 28 biji, pengguna perlu mematuhi kaedah pengambilan pil. Secara mudahnya, pil pertama daripada pek 28 biji perlu diambil selepas tujuh hari pengguna menghabiskan pek 21 biji terdahulu. Ini adalah sama seperti pengguna mengambil pek 28 biji, cuma pengguna tidak perlu mengambil pil tanpa hormon sepanjang tujuh hari ini. Sepanjang tempoh ini, pengguna akan mengalami haid untuk beberapa hari. Selain itu, ditegaskan juga bahawa pengguna tidak sepatutnya melengah-lengahkan pengambilan pil sehingga melebihi tempoh tujuh hari.

  2. Menukar pil mengandungi hormon progesteron sahaja, suntikan progesteron atau implan kepada pil Nordette

    Bukan pek 21 biji sahaja, malahan sekiranya pengguna menggunakan pil atau kaedah lain sebelum ini, pengguna boleh bertukar kepada pil Nordette dengan cara tertentu. Sekiranya pengguna menggunakan pil yang mengandungi hormon progesteron sahaja, pengguna boleh mengambil pil Nordette pertama pada hari berikutnya selepas hari terakhir mengambil pil progresteron tersebut.

    Sekiranya pengguna bertukar daripada implan, pil Nordette pertama perlu diambil pada hari yang sama implant tersebut dikeluarkan. Pengguna yang mengambil suntikan progesteron pula, boleh menukar kepada pil Nordette dengan mengambil pil pertama pada hari pertama selepas tempoh kesan suntikan itu berakhir. Contohnya, sekiranya suntikan itu perlu diambil pada setiap tiga bulan, pil Nordette yang pertama perlu diambil pada hari pertama bulan keempat.

    Selain itu, semasa proses transisi daripada kaedah lama kepada pil Nordette, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan kaedah pencegahan kehamilan alternatif sebagai tambahan bagi mengelakkan kehamilan. Kesan pil Nordette hanya boleh dijangkakan sepenuhnya selepas ia diambil untuk tujuh hari berturut-turut.

  3. Pendarahan (breakthrough bleeding) dan tompokan darah

    Kebiasaannya sepanjang tempoh 21 hari penggunaan pil Nordette, pengguna tidak akan mengalami haid. Haid hanya berlaku semasa tempoh tujuh hari bebas hormon. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan seseorang pengguna akan mengalami pendarahan atau penghasilan tompok darah semasa menggunakan pil yang mengandungi hormon. Ini ialah perkara biasa. Pengguna tidak seharusnya berhenti mengambil pil tersebut.

    Pendarahan sebegini kebiasaannya tidak memudaratkan dan akan berhenti dengan sendiri. Namun, sekiranya pendarahan lebih serius dan berpanjangan berlaku, pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan doktor.

Kesan sampingan pil Nordette

Pil Nordette biasanya tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius. Antara kesan sampingan yag kerap dilaporkan termasuklah loya, muntah-muntah, berlaku pendarahan antara haid, peningkatan berat badan, perubahan kepada payudara dan kesulitan menggunakan kanta lekap. Rasa loya dan muntah-muntah akan hilang dalam tempoh tiga bulan selepas menggunakan pil Nordette.

Kesan sampingan yang lebih serius pula jarang berlaku terutama sekiranya pengguna itu mengamalkan cara hidup yang sihat dan tidak merokok. Walau bagaimanapun, penggunaan pil ini secara berpanjangan boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan menjadi lebih teruk. Contohnya ialah pembentukan gumpalan darah dalam salur darah di kaki dan paru-paru, angin ahmar dan serangan jantung. Semua keadaan ini boleh dikaitkan dengan faktor risiko merokok, justeru, pengguna dinasihatkan untuk berhenti merokok sekiranya ingin menggunakan pil ini.

Selain itu, pengambilan pil Nordette juga dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah. Namun, tekanan darah tinggi ini akan kembali kepada paras normal selepas penggunaan pil dihentikan. Pengguna juga perlu diingatkan tentang risiko kaki dan tangan menjadi sembap akibat pengumpulan cecair dalam badan di kawasan berkenaan. Keadaan edema ini juga antara penyebab peningkatan darah tinggi dalam kalangan pengguna yang rentan.

Kesimpulan

Pengguna yang bercadang untuk merancang kehamilan dengan menggunakan pil Nordette hendaklah mematuhi cara pengambilan yang disarankan. Konsep hari Ahad pertama diyakini dapat membantu pengguna untuk lebih disiplin kepada kitaran pilnya. Kesan sampingan daripada pil Nordette adalah sama seperti kesan sampingan yang dijangka daripada pengambilan pil hormon. Keberkesanan pil ini hanya boleh diperolehi sekiranya diambil secara konsisten. Walau apapun, pengguna dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor atau ahli farmasi sekiranya mempunyai keraguan tentang pil Nordette ini.

Semakan Akhir : 24 Oktober 2016
Penulis : Mohd Shahiri bin Abd Ghapar
Akreditor : Narimah bt. Mohd Yusof

Artikel Berkaitan

Vaksin Pneumokokal

Apakah Penyakit Pneumokokal ? Penyakit pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan

Adik, ubat bukan gula-gula

Ibu bapa perlu bijak memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak berkenaan penggunaan ubat-ubatan secara selamat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,094,167

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia