A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Pemakanan Umum
  6. /
  7. Lebuh Raya Arteri –...

Lebuh Raya Arteri – Peranan Asid Lemak Trans

Apakah Asid Lemak Trans ?

Asid lemak trans terhasil daripada proses hidrogenisasi minyak sayuran iaitu penambahan molekul hidrogen ke dalam makanan yang menjadikan ia pepejal seperti di dalam marjerin. Proses ini sering dilakukan di dalam industri makanan bagi menambah kestabilan dan jangka hayat lemak tersebut. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan rasa apabila ditambah di dalam sesuatu produk makanan.

Gambar 1 : Marjerin

Antara makanan yang tinggi kandungan asid lemak trans adalah produk bakeri seperti :

  • pastri

  • kek

  • ‘crossaints’

  • donat

  • biskut krim

  • marjerin

  • mi segera

  • makanan segera yang bergoreng.

Gambar 2 : Contoh makanan yang tinggi kandungan asid lemak trans.

Asid lemak trans yang semula jadi juga terkandung di dalam produk susu dan hasil tenusu serta daging dalam kuantiti yang kecil hasil daripada proses biohidrogenasi melalui bakteria yang terdapat di dalam haiwan tersebut.

Apa Kesannya Terhadap Kesihatan Kita ?

Kajian mendapati bahawa pengambilan asid lemak trans secara berlebihan boleh menyebabkan kenaikan ‘low density lipoprotein’ (LDL) atau lebih dikenali sebagai ‘kolesterol  tidak baik’ dan menurunkan jumlah ‘high density lipoprotein’ (HDL) yang dikenali sebagai kolesterol baik.

LDL  mengangkut kolesterol ke seluruh badan manakala HDL pula memungut kolesterol yang berlebihan untuk dibawa ke hati untuk dilupuskan. Selain itu, pengambilan asid lemak trans yang berlebihan juga boleh menyebabkan kenaikan aras trigliserida (TG) iaitu sejenis lemak di dalam darah.

Paras kolesterol LDL dan TG yang tinggi dan kolesterol HDL yang rendah di dalam darah akan meningkatkan risiko penyakit jantung koronori. Kandungan TG dan kolesterol LDL yang tinggi menyumbang kepada pengumpulan lemak (plak) di dinding arteri atau ‘atherosclerosis’.

Arteri merupakan saluran darah elastik yang membawa darah dari jantung. Terdapat 2 jenis arteri di dalam tubuh manusia iaitu :

  1. arteri pulmonari

  2. arteri sistemik.

Arteri pulmonari membawa darah dari jantung ke paru-paru di mana darah menyerap oksigen. Darah yang kaya dengan oksigen kemudian akan kembali ke jantung melalui vena pulmonari.

Arteri sistemik pula menghantar darah ke seluruh badan. Antara contoh arteri sistemik adalah arteri koronari yang membekalkan jantung dengan darah beroksigen dan nutrien.

Pengumpulan lemak (plak) di dinding arteri koronari akan menyebabkan salur darah menjadi sempit seterusnya aliran darah di dalam jantung terjejas.  Kekurangan aliran darah di dalam arteri koronari akan menyebabkan seseorang individu akan berasa sakit dada (angina) dan juga sesak nafas.

Jika berlaku sumbatan pada arteri koronari, individu tersebut akan mengalami serangan jantung manakala sumbatan yang berlaku di otak akan menyebabkan strok kerana kekurangan bekalan oksigen dan juga nutrien.

Rajah 1 : Keratan rentas rajah perubahan arteri normal kepada arteri yang mempunyai plak.
(Sumber : A.D.A.M)

Rajah 2 : Perbezaan arteri normal dan arteri yang mempunyai plak.
(Sumber : A.D.A.M)

Anggaran Kandungan Asid Lemak Trans Di Dalam Makanan

Kategori Makanan Asid Lemak Trans (g) per 100g Hidangan
Marjerin dan sapuan 0.0 g – 3.0 g
Piza sejuk beku 0.0 g – 5.0 g
Biskut 0.0 g – 4.5 g
Snek ringan 0.0 g – 7.0 g

Bagaimana Cara Untuk Mengawal Pengambilan Asid Lemak Trans ?

American Heart Association (AHA) mencadangkan agar pengambilan asid lemak trans di dalam diet harian perlu kurang 1% daripada jumlah tenaga harian yang diperlukan oleh setiap individu.

Sebagai contoh, keperluan tenaga untuk wanita yang berumur antara 19-29 tahun ialah 2000 kcal sehari. Maka,

pengambilan asid lemak trans = 1 % X 2000 kcal = 20 kcal/hari = 2 g / hari

Oleh itu, pengambilan asid lemak trans perlu kurang daripada 2 gram setiap hari.

Berikut adalah beberapa langkah untuk mengawal pengambilan asid lemak trans secara berlebihan dalam diet seharian :

  1. Sentiasa membaca label makanan yang terdapat pada bungkusan makanan.
  • Dapatkan maklumat kandungan asid lemak trans melalui maklumat pemakanan yang terdapat pada bungkusan makanan.

  • Sentiasa pilih makanan yang mengandungi 0% asid lemak trans.

Rajah 3 : Contoh maklumat pemakanan pada pembungkus makanan.

  • Periksa senarai kandungan makanan tersebut. Elakkan produk yang mengandungi ‘hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’ kerana produk yang mengandungi kurang daripada 0.5g asid lemak trans boleh dilabel sebagai 0.0g asid lemak trans.

Gambar 3 : Contoh kandungan lemak yang dilabel pada pembungkus makanan.

  1. Pilih makanan yang rendah lemak tepu (saturated fat) juga setiap kali memilih makanan rendah asid lemak trans.
  1. Kurangkan lemak daripada pepejal (contoh : ‘shortening’ atau marjerin) dan gantikan dengan minyak sayuran seperti :
i.  minyak mono tak tepu seperti : ii.  minyak poli tak tepu seperti :
  • minyak kanola


Sumber : www.oil-press-machine.com

  • minyak jagung


Sumber : www.redorbit.com

  • minyak zaitun


Sumber : jowonews.com

  • minyak bunga matahari


Sumber : www.shesaidbeauty.com

  1. Cara yang terbaik untuk mengurangkan pengambilan asid lemak trans adalah dengan memilih makanan seimbang di dalam diet harian yang terdiri daripada :
  • bijirin penuh

  • buah-buahan

  • sayur-sayuran

  • susu dan hasil tenusu

  • sumber protein seperti ikan dan daging segar.

Gambar 4 : Contoh makanan untuk diet mengurangkan pengambilan asid lemak trans.

  1. Kurangkan pengambilan makanan segera seperti kentang goreng, pastri, donat dan kek.
  • Gantikan dengan makanan yang kurang lemak seperti kentang bakar, apam kukus, popiah basah, jagung rebus dan buah-buahan segar.

Selain itu, sentiasalah membuat pemeriksaan lemak darah secara rutin dan amalkan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal kerana ia membantu meningkatkan paras kolesterol baik (HDL) di dalam kandungan darah.

Pilih makanan secara sihat. Maklumat pemakanan ini diharap dapat membantu mengurangkan risiko ‘kesesakan’ lebuh raya arteri anda !

Rujukan

  1. Mozaffarian D, Katan M.B., Ascherio A, Stampfer M.J.,,  & Willett W.C. (2006). Trans fatty acids and cardiovascular disease.N Engl J Med. 354:1601-1613. doi: 10.1056/NEJMra054035.
  2. Recommended Nutrient Intakes for Malaysia, A Report of Technical Working Group on Nutrition Guideline, National Coordinating Committee on Food and Nutrition, Ministry of Health Malaysia, Putrajaya, 2005.
  3. http://biology.about.com/od/anatomy/ss/artery.htm
  4. http://www.mayoclinic.com/health/coronary-artery-disease/DS00064/DSECTION=symptoms
  5. http://www.mayoclinic.com/health/trans-fat/CL00032/NSECTIONGROUP=2
  6. http://www.cdc.gov/nutrition/everyone/basics/fat/transfat.html
  7. http://www.thefoodadvicecentre.co.uk/reference/fats/trans-fats/
  8. http://www.ethicurean.com/2007/04/05/trans-fat-label/
  9. http://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/atherosclerosis/
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Pn. Hanee Fakhrurazi
Penyemak : Nik Mahani Binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,246,058

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia