Home > Bayi & Kanak-Kanak > Ketidakupayaan Pembelajaran

Ketidakupayaan Pembelajaran

Pengenalan

Ketidakupayaan pembelajaran adalah masalah biasa yang dihadapi oleh kira-kira 10-15% daripada kanak-kanak sekolah. Ia boleh dibahagikan kepada ketidakupayaan pembelajaran umum atau khusus. Istilah lain yang digunakan untuk ketidakupayaan pembelajaran termasuklah kurang upaya intelek, terencat akal (di Amerika Syarikat) dan kesukaran pembelajaran (di United Kingdom). Masalah ini adalah dua kali ganda lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Ketidakupayaan pembelajaran umum atau menyeluruh boleh disebabkan oleh pelbagai sebab seperti:-

  • Gangguan kromosom atau genetik (contohnya sindrom Down)
  • Pembentukan dan perkembangan otak abnormal
  • Kerosakan otak akibat komplikasi semasa mengandung (contohnya jangkitan rubela kongenital), semasa kelahiran atau awal kanak-kanak (contohnya jangkitan otak atau kecederaan)
  • Gangguan hormon endokrin (contohnya hipotiroidisme)
  • Masalah perubatan tertentu (contohnya epilepsi tidak terkawal, autisme, ADHD)
  • Faktor persekitaran (contohnya keracunan plumbum, kekurangan zat makanan)

Kecacatan deria (penglihatan atau pendengaran) juga boleh menyumbang kepada ketidakupayaan pembelajaran. Walau bagaimanapun, punca sebenar tidak dapat dikenal pasti dalam majoriti kanak-kanak kurang upaya pembelajaran.

Sebaliknya, ketidakupayaan pembelajaran khusus seperti disleksia berlaku pada individu yang mempunyai kesukaran yang tidak dijangka dalam membaca. Mereka ini mempunyai semua prasyarat yang diperlukan untuk pembelajaran seperti kepintaran, motivasi dan persekolahan yang dianggap perlu untuk membolehkan mereka membaca dengan tepat dan fasih. Selalunya mereka juga mempunyai masalah lain seperti menulis, mengeja dan mengira.

Satu kajian pada tahun 2005 oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, kekerapan pelajar tahun satu dengan ketidakupayaan pembelajaran khusus (disleksia) adalah sebanyak 4.25%.

Tanda dan Gejala

  1. Ketidakupayaan Pembelajaran/Intelek Umum
    • Kelewatan dalam banyak aspek perkembangan awal kanak-kanak (seperti berjalan, pertuturan, pergaulan dengan kanak-kanak lain atau pengurusan diri sendiri).
    • Sebilangan kanak-kanak mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran.
    • Ketidakupayaan pembelajaran biasanya dapat dikesan di tadika seperti masalah pembelajaran huruf, nombor dan warna.
    • Tidak memberi perhatian di dalam kelas atau terlalu aktif.
    • Mungkin mempunyai ciri-ciri wajah yang luar biasa, saiz kepala yang tidak normal atau sawan.
  2. Ketidakupayaan Pembelajaran Khusus (Disleksia)
    • Perkembangan awal kanak-kanak biasanya normal.
    • Mungkin mempunyai sejarah kelewatan pertuturan, kesukaran dengan menyanyi lagu kanak-kanak dan kesukaran mengingat perkataan.
    • Sebilangan kanak-kanak mungkin mempunyai kurang tumpuan atau cemerkap.
    • Masalah pembelajaran mungkin boleh dikesan di tadika.
    • Mengelak tugasan membaca atau menulis.
    • Mungkin mempunyai kelemahan memori jangka pendek.
    • Sebilangan mereka akhirnya dapat membaca tetapi tidak lancar.
    • Pemahaman sesuatu perkara lebih baik melalui pendengaran daripada membaca.
    • Fungsi kognitif seperti kebolehan membuat rumusan, perbendaharaan kata dan pemikiran abstrak adalah setanding dengan rakan-rakan sebaya.
    • Sebilangan mereka lebih cemerlang dalam tugasan artistik seperti lukisan, sukan atau drama.

Beberapa contoh kesukaran yang dihadapi oleh kanak-kanak yang mempunyai disleksia:-

  1. Kesukaran dalam menyalin, membaca, menulis atau mengeja perkataan yang mudah
    • Kesilapan dalam turutan huruf atau suku kata
    • Pembalikan imej huruf tertentu contohnya ‘b’ dan ‘d’, ‘p’ dan ‘q’,
    • Kekeliruan dengan huruf tertentu seperti ‘m’ dan ‘n’ / ‘w’, ‘j’ dan ‘g’
    • Kekeliruan antara sebutan atau ejaan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu
Tulisan
Kesalahan
Perkataan yang betul
elolyw
yellow
falimi
family
kuba
kuda
Ejaan
saku
suka
buwa
buah
nisa
nasi
meje
meja
  1. Masalah turutan yang teruk
alt
  1. Kandungan penulisan adalah memadai tetapi banyak kesilapan!
alt

 

  1. Komen yang tidak membina daripada guru!
alt

Komplikasi

  • Prestasi akademik yang lemah.
  • Perasaan rendah diri.
  • Keengganan untuk bersekolah.
  • Masalah emosi dan tingkah laku menyebabkan mereka sering disalah anggap sebagai ‘cuai’, ‘malas’ dan ‘bodoh’.
  • Masalah sosial.

Rawatan

  • Tiada rawatan perubatan yang khusus untuk disleksia melainkan mereka yang mempunyai masalah perubatan tertentu (seperti epilepsi, hipotiroidisme, ADHD).
  • Walau bagaimanapun, kesemua mereka memerlukan sokongan dan pemulihan pendidikan yang bersesuaian.

Pencegahan

  • Tiada pencegahan khusus untuk kebanyakan kes.
  • Suntikkan rubela sebelum mengandung.
  • Saringan untuk HIV dan sifilis semasa mengandung.
  • Ibu yang mengandung dinasihatkan tidak merokok, minum arak atau mengambil dadah.
  • Pengesanan awal dan proses pemulihan adalah penting untuk membantu pencapaian akademik di sekolah mengikut tahap kebolehan intelektual kanak-kanak tersebut disamping membantu masalah sosial dan emosi.

Pemulihan / Penumpuan

Garis Panduan Am untuk Ibu Bapa:-

  1. Ketidakupayaan Pembelajaran / Intelek Umum
    • Jika anda mengesyaki anak anda mempunyai masalah pembelajaran, sila dapatkan penilaian awal untuk mengesan punca yang boleh dirawat.
    • Daftarkan anak anda untuk program intervensi awal yang sesuai jika dia mempunyai masalah perubatan tertentu seperti sindrom Down, autisme atau cerebral palsy.
    • Kanak-kanak kurang upaya pembelajaran memerlukan perhatian tambahan dalam kumpulan kecil, seelok-eloknya seorang guru untuk seorang murid.
    • Sasarkan pencapaian akademik yang tinggi tetapi realistik untuk anak anda.
    • Jangan lupa tentang keupayaan mereka dan sayangi mereka sama seperti kanak-kanak lain.
    • Kebanyakkan mereka mungkin memerlukan sokongan pembelajaran berterusan dan sebaiknya disediakan dalam suasana pendidikan khas.
    • Sebilangan kanak-kanak boleh mengikuti pendidikan aliran biasa dengan baik melalui program inklusif atau pemulihan.
    • Kerjasama erat dan hubungan baik dengan sekolah dan guru-guru kelas adalah penting.
  2. Ketidakupayaan Pembelajaran Khusus (Disleksia)
    • Penilaian awal dan sokongan adalah penting.
    • Pengajaran di peringkat awal dengan menggunakan teknik berasaskan suku kata didapati berkesan .
    • Dalam sebilangan kanak-kanak, penumpuan kepada satu atau dua bahasa sahaja boleh membantu untuk mengurangkan tekanan dan kekecewaan.
    • Kenalpasti kelebihan mereka dan beri dorongan.
    • Ramai daripada mereka boleh mendapat manfaat daripada pendidikan khas dengan Program Pemulihan Khas Disleksia.
    • Pemberian masa tambahan dapat membantu mereka menyiapkan tugasan contohnya semasa peperiksaan.
    • Sebilangan mungkin memerlukan bantuan pembaca semasa peperiksaan.

Sokongan Komuniti dan Agensi Kerajaan Berkaitan:-

  1. Persatuan Disleksia Malaysia
    No 6, Persiaran Kuantan
    Titiwangsa Setapak, 53200 Kuala Lumpur
    Telefon / Fax : 03-40255109
  2. Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia
    (web-link at http://www.moe.gov.my/jpkhas)
  3. Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
    (web-link at http://www.upkkl.com)

Rujukan:-

  1. Shaywitz SE, Shaywitz BA. Dyslexia (Specific reading disabilities). Biol Psychiatry 2005;57:1301-1309
  2. Alexander AW et al. Current Status of Treatments for Dyslexia: Critical Review. J Child Neurol 2004;19:744-758
Tarikh Semakan : 27 Mac 2013
Penulis : Dr. Khoo Teik Beng