A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Latihan Pengendali Makanan

Pengenalan

Sering kali kita terlihat pengendali makanan di premis-premis makanan mengabaikan keperluan pengendalian makanan yang bersih dan selamat di premis-premis makanan.

  • Contohnya seorang penebar roti canai menghisap rokok semasa menyediakan roti canai di warung atau seorang operator makanan menggaru kepala ketika memproses mi di kilang makanan.

Mungkin ia kelihatan remeh tetapi amalan-amalan buruk ini boleh menyumbang kepada pencemaran terhadap makanan.

Bagi mereka yang peka tentang amalan-amalan buruk yang dilakukan oleh pengendali makanan tersebut pasti akan membatalkan hasrat membeli makanan di premis tersebut TETAPI perkara ini jarang berlaku.

Pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihanGambar 1 : Pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan

 Menyedari hakikat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan semua pengendali makanan menjalani Latihan Pengendali Makanan (LPM) di mana-mana institusi yang diiktiraf oleh KKM melalui Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

  • Institusi ini dipanggil sebagai Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta, badan berkanun, persatuan, koperasi dan Institut Pengajian Tinggi.
  • KKM bertanggungjawab sepenuhnya dalam aktiviti pengiktirafan dan pemantauan bagi SLPM dan tenaga pengajar yang mengendalikan kursus LPM.

Objektif LPM secara amnya adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada semua pengendali makanan di sektor perkhidmatan dan industri makanan.

  • LPM juga menekankan aspek-aspek asas dalam kebersihan dan keselamatan makanan, termasuk diri pengendali dan premis makanan.
  • Secara tidak langsung, kejadian keracunan makanan di seluruh negara dapat dikurangkan.

Melalui LPM ini juga, pengendali makanan akan dilatih oleh tenaga pengajar menggunakan modul pengajaran yang disediakan oleh KKM.

  • Sijil kehadiran kursus akan diberikan kepada pengendali makanan yang menghadiri kursus LPM mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan Latihan Pengendali Makanan

Skim Akreditasi Program LPM telah dibangunkan oleh KKM bagi memberi panduan kepada SLPM dan tenaga pengajar yang telah diiktiraf untuk menjalankan kursus LPM.

Di samping itu, skim ini juga dapat membantu pegawai di KKM ini untuk menjalankan pemantauan dan pengauditan yang seragam ke atas SLPM dan tenaga pengajar.

cover-GP-LPM2015Gambar 2 : Buku Garis Panduan Program LPM

(Link : http://fsq.moh.gov.my/v5/ms/garis-panduan-skim-akreditasi-program-latihan-pengendali-makanan-lpm-3/)

Pelaksanaan LPM melibatkan aktiviti-aktiviti seperti berikut :

1)  Akreditasi SLPM

  • Proses pengiktirafan yang melibatkan sesebuah institusi atau organisasi bagi membolehkan kursus LPM dijalankan terhadap pengendali makanan.

2)  Pengiktirafan Tenaga Pengajar

  • Proses pengiktirafan yang melibatkan individu yang layak mengajar dan mengendalikan kursus LPM kepada pengendali makanan.
  • Semua calon tenaga pengajar perlu lulus dalam penilaian pengajaran Kursus Wajib Tenaga Pengajar yang diadakan sebanyak 3 sesi setahun.

3)  Antara terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh SLPM dan tenaga pengajar semasa mengendalikan kursus LPM adalah :

  • SLPM dan Tenaga Pengajar diiktiraf oleh KKM.
  • Bayaran bagi 1 sesi kursus untuk seorang peserta adalah RM50.00.
  • Tempoh masa kursus adalah tidak kurang dari 3 jam tidak termasuk waktu pendaftaran, rehat untuk makan dan minum.
  • Bilangan peserta tidak boleh melebihi 30 orang bagi setiap sesi.

Peserta semasa kursus LPMGambar 3 : Peserta semasa kursus LPM

4)  Pemantauan dijalankan bagi memastikan SLPM dan tenaga pengajar mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh KKM melalui :

  • Audit Pelaksanaan Kursus dijalankan oleh juruaudit JKN/PKD semasa sesi kursus LPM dilaksanakan.
  • Audit siasatan sekiranya aduan pelanggaran terma dan syarat diterima.
  • Sebarang ketidakpatuhan yang ditemui dan dapat dibuktikan, akan dilaporkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM untuk tindakan selanjutnya.

5)  Tindakan yang dikenakan bagi mana-mana SLPM dan tenaga pengajar yang didapati gagal mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan :

  • Surat amaran atau tunjuk sebab.
  • Penggantungan sijil pengiktirafan dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun.
  • Jika SLPM didapati telah kehilangan fungsi sebagai institusi yang diiktiraf, akreditasi boleh ditarik balik dan disenarai

6)  Kandungan modul yang diguna pakai oleh tenaga pengajar meliputi skop seperti berikut :

No. Seksyen Skop
1. Pengenalan
  • Syarat Kursus LPM
  • Kuasa Perundangan
  • Kepentingan Kebersihan dan Keselamatan Makanan.
2. Kebersihan Makanan
  • Definisi Kebersihan Makanan
  • Diri Pengendali Makanan
  • Peralatan
  • Premis Makanan
  • Persekitaran Premis Makanan.
3. Keselamatan Makanan  
  • Pemilihan Bahan Mentah
  • Kaedah Penyimpanan
  • Pengendalian Bahan Mentah
  • Penyediaan Makanan
  • Penghidangan Makanan
  • Pengangkutan dan Pengedaran.
4. Faktor-Faktor Risiko Keracunan Makanan
  • Penyenaraian 12 faktor yang boleh menyebabkan keracunan makanan seperti menyentuh makanan dengan tangan, makanan tidak cukup masak, pencemaran silang dan lain-lain.
5. Penutup
  • Tayangan video berkaitan pengendalian makanan yang bersih dan selamat
  • Kuiz pendek (Pre- and post-test).

 

Pencapaian Latihan Pengendali Makanan

  1. Sehingga Mac 2014, seramai 1,009,151 orang pengendali makanan telah dilatih oleh lebih daripada 100 buah SLPM yang telah diiktiraf oleh KKM.
  1. Seramai 440 orang tenaga pengajar telah dilatih dan diiktiraf oleh KKM sehingga Mac 2014. Tenaga pengajar perlu berdaftar dengan mana-mana SLPM terlebih dahulu sebelum dibolehkan mengajar.

Keperluan menghadiri Latihan Pengendali Makanan

  1. Semua pengendali makanan wajib mengikuti kursus LPM sekali seumur hidup sahaja.
  1. Sekiranya pengendali makanan tidak menghadiri kursus LPM, denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 2 tahun akan dikenakan.

Bagaimanakah untuk menghadiri Latihan Pengendali Makanan?

1)  Merujuk senarai SLPM yang telah diiktiraf oleh KKM.

(Link : http://fsq.moh.gov.my/v5/wp-content/uploads/2015/10/Senarai-SLPM-26052016.pdf)

2)  Memilih mana-mana SLPM yang berhampiran.

3)  Menghubungi koordinator SLPM bagi mendapatkan maklumat berkenaan tarikh, masa dan tempat kursus LPM.

4)  Mendaftar, membuat bayaran yuran dan menghadiri kursus seperti mana yang telah ditetapkan oleh SLPM.

5)  Menerima dan menyimpan sijil kehadiran kursus LPM yang diberikan oleh SLPM.

6)  Mengamalkan pengendalian makanan yang bersih dan selamat.

Pengendali makanan perlu menjaga kebersihanGambar 4 : Pengendali makanan perlu menjaga kebersihan

  Rujukan

  1. Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM. (2010). Modul Pengajaran Sekolah Latihan Pengendali Makanan. Kementerian Kesihatan Malaysia.
  2. Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM. (2011). Garis Panduan Skim Akreditasi Program Latihan Pengendali Makanan (LPM). Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. Lembaga Penyelidikan Undang-Undang. (2013). Akta Makanan 1983. Edisi Kemaskini. International Law Book Services.

 

Semakan akhir : 30 September 2016
Penulis : Aimi Syahirah binti Shokarny
Akreditor : Dr. P. Jeyaletchumi a/p S. Ponniah

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,235,018

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia