A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Lalat : Indikasi Masa...

Lalat : Indikasi Masa Kematian

Umumnya lalat digunakan untuk membantu pakar forensik, doktor dan ahli entomologi untuk menganggarkan waktu kematian suatu mayat yang dibedahsiasat. Kajian yang telah dilakukan mendapati lalat adalah serangga pertama yang sampai kepada mayat untuk bertelur.

Entomologi Forensik

Entomologi Forensik adalah salah satu cabang Sains Forensik yang mengaplikasikan maklumat berkaitan serangga yang ditemui bersama-sama mayat manusia dengan tujuan untuk membantu penyiasatan kes-kes polis terutama dalam menentukan masa atau tempuh sejak kematian. Antara serangga utama yang ditemui bersama-sama mayat adalah lalat, semut dan kumbang. Namun lalat merupakan serangga yang paling banyak memberi informasi apabila anggaran masa kematian diperlukan.

Sejarah awal penggunaan lalat dalam penyiasatan jenayah

Di dalam sebuah buku bertajuk “The Washing Away Of Wrongs”, telah dicatatkan bagaimana lalat telah digunakan sebagai penunjuk untuk mengenalpasti seorang pembunuh. Kisah yang berlaku pada kurun ke-13 ini mengisahkan bagaimana seorang penyiasat Sung Chi telah ditugaskan untuk mencari pembunuh seorang pesawah padi yang telah ditemui mati dibunuh menggunakan pisau sabit. Sung Chi telah mengumpulkan semua pesawah padi di kampung tersebut dan meminta mereka semua memegang pisau sabit masing-masing. Dalam masa yang singkat akhirnya Sung Chi telah dapat mengenalpasti pembunuh tersebut. Pembunuh tersebut telah mengaku bahawa dialah pembunuh sebenarnya. Dalam kes ini Sung Chi mendapati pisau sabit pembunuh tersebut telah dihinggapi lalat walaupun pada mata kasar tiada kesan darah pada pisau sabit tersebut. Hal ini kerana lalat mempunyai organ deria yang sangat sensitif dengan bau darah.

Kaitan lalat dengan bedahsiasat

Umumnya lalat digunakan untuk membantu pakar forensik, doktor dan ahli entomologi untuk menganggarkan waktu kematian suatu mayat yang dibedahsiasat. Kajian yang telah dilakukan mendapati lalat adalah serangga pertama yang sampai kepada mayat untuk bertelur. Lalat mempunyai kitar hidup ataupun metamorfosis secara berperingkat mengikut tempoh waktu yang tertentu bermula dari telur, larva, pupa dan seterusnya menjadi lalat dewasa yang secara langsung dapat membantu dalam menyiasat masa atau tempuh sejak kematian seseorang manusia. Larva yang ditemui bersama mayat merupakan satu bahan bukti yang amat berguna dalam menentukan indikasi masa kematian. Bagi tujuan ini, adalah penting ahli entomologi tersebut mengenalpasti jenis-jenis lalat kerana setiap lalat adalah berbeza dari segi kadar perkembangan dan juga metamorfosis.

Jenis-jenis lalat

Lalat merupakan salah satu insekta (serangga) yang dikelaskan dalam ordo diphtera yang mempunyai sepasang sayap berbentuk membran. Lalat diklasifikasikan sebagai berikut:

Kingdom: Animalia
Phylum : Arthropoda
Class : Hexapoda
Ordo : Diptera
Family : Musca, Sarcopagidae, Challiporidae, dll
Genus : Musca, Stomoxys, Phenisia, Sarchopaga, Fannia, dll
Spesies ; Musca domestica,Stomoxy calcitrans, Phenia sp, Sarchopaga sp, Fannia sp, dll
Dalam bidang entomologi forensik yang bertujuan menentukan masa kematian antara lalat yang menjadi fokus utama adalah dari jenis Langau (Calliphoridae) dan Lalat Daging (Sarcopagidae).

  Langau (Calliphoridae)

Langau

Di Malaysia, lalat dari family Calliphoridae dikenali sebagai langau. Langau betina dipercayai sebagai serangga terawal yang akan bertelur pada badan manusia selepas berlakunya kematian. Langau (blow flies, bottleflies) ini jarang memasuki rumah dan restoran. Kebiasaannya langau akan bertelur pada bangkai binatang yang mula membusuk. Lalat dewasa jenis ini dapat dikenalpasti kerana ia mempunyai toraks dan abdomen berwarna metalik seperti warna hijau, biru dan hitam.

  Lalat Daging (Sarchopagidae)

Lalat daging

Lalat daging (Flesh flies) adalah dari genus Sarcophaga iaitu jenis lalat yang memakan daging. Ukuran lalat daging adalah lebih kecil berbanding langau. Lalat daging dapat dikenalpasti kerana ia mempunyai abdomen yang berjalur hitam dan kelabu. Lalat daging juga juga dapat diklasifikasikan jenis bertelur dan jenis yang mengeluarkan larva.

Kitaran hidup lalat dan indikasi kematian

Kitar hidup lalat ataupun metamorfosis bermula daripada telur kemudian menjadi larva (instar pertama, instar kedua dan instar ketiga). Daripada larva seterusnya menjadi pupa dan akhirnya menjadi lalat dewasa. Telur lalat kebiasaannya ditemui pada bahagian rongga hidung, mulut, mata serta bahagian luka yang terdedah. Telur lalat seterusnya akan menetas di antara 12 hingga 24 jam menjadi larva. Larva ini dikenali sebagai instar pertama bersaiz kurang 2.5mm dan mempunyai tabiat pemakanan yang sangat aktif. Selepas 12 jam, instar pertama akan menjadi instar kedua yang berukuran 8mm. Aktiviti pemakanan instar kedua juga sangat aktif. Selepas 18 jam, instar kedua akan menjadi instar ketiga bersaiz 15mm. Tujuh puluh dua jam kemudian larva instar ketiga akan mengalami perubahan menjadi pupa. Pada masa ini instar ketiga mula meninggalkan mayat dan bergerak ke tempat yang lebih kering. Pupa ialah peringkat di mana larva lalat dibaluti dengan kulit kitin yang keras. Larva akan berada pada keadaan pupa selama 90 jam, bersifat dorman dan tiada aktiviti pemakanan sepanjang proses ini. Selepas 90 jam lalat akan menetas dari keadaan pupa dan menjadi lalat dewasa bersifat matang dari segi seksual dan berupaya melahirkan generasi lalat yang seterusnya. Bagi lalat dewasa pula jangka hayatnya adalah di antara 1 hingga 2 bulan. Secara amnya 9 hingga 14 hari diperlukan untuk telur lalat menjadi lalat dewasa.


Kitar hidup lalat secara umum. (www.trutv.com)

Dengan memahami metamorfosis lalat ini, seorang pakar forensik ataupun ahli entomologi dapat menganggarkan masa kematian seseorang berdasarkan spesis lalat dan peringkat metamorfosis yang ditemui pada mayat tersebut. Ini kerana setiap peringkat metamorfosis berlaku mengikut aturan dan mempunyai jangka masa yang tertentu.

Sebagai contoh, terdapat satu kes kematian di mana larva pada peringkat instar ketiga spesis Chrysomya rufifacies (Family: Calliphoridae)  telah ditemui pada mayat. Berdasarkan kitar hidup atau metamorphosis lalat tersebut, umur larva tersebut dianggarkan 5 hari. Berdasarkan umur larva yang ditemui itu dapat dibuat kesimpulan bahawa manusia tersebut telah mati sekurang-kurangnya 5 hari yang lepas.

Ketepatan anggaran tempoh sejak kematian

Bidang entomologi forensik telah digunakan untuk menganggar atau menentukan masa kematian secara meluas. Antara serangga utama yang digunakan untuk menentukan masa kematian adalah lalat. Namun begitu terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi anggaran masa kematian tersebut. Faktor-faktor tersebut adalah:

  • Faktor suhu – suhu merupakan faktor utama yang mempengaruhi kitar hidup lalat. Pada suhu persekitaran yang lebih tinggi kadar perkembangan lalat menjadi sangat cepat dan hal sebaliknya berlaku pada suhu yang rendah. Maka perubahan dari satu fasa lalat ke satu fasa lalat yang lain akan bergantung pada suhu dan seterusnya mempengaruhi ketepatan dalam anggaran masa kematian..
  • Spesis lalat yang berbeza – spesis lalat yang berlainan mempunyai kitar hidup yang berbeza. Sebagai contoh, lalat daging (Sarchopagidae) kebanyakannya bersifat larviparus.  Lalat jenis ini tidak akan bertelur sebaliknya melahirkan larva. Maka kitar hidup lalat ini adalah lebih singkat berbanding lalat bersifat oviparous iaitu lalat yang bertelur.
  • Tempat kejadian – sekiranya mayat tersebut ditemui mati di luar rumah dipercayai lalat akan bertelur pada mayat tersebut dalam jangkamasa yang singkat. Berbanding mayat yang ditemui di dalam rumah atau bangunan yang tertutup, maka lalat dipercayai mengambil masa yang lama untuk bertelur kerana terdapat halangan untuk memasuki bangunan atau rumah tersebut.

Rujukan

  1. Foran, D. (2007). Generating More Precise Post Mortem Interval Estimates With Entomological Evidence: Reliable Patterns Of Gene Expression Throughout Calliphorid Larval And Pupal Development. Michigan State University.
  2. Susi Riana. (2011) Entomologi Forensik. Jurusan Biologi, Fakultas Matematika & Ilmu Pengetahuan Alam. Universitas Syiah Kuala Darussalam, Banda Aceh. Diambil daripada riaris.blogspot.com
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Mohd Shukri b. Ahmad
Akreditor : Dr. Mohamad Azaini bin Ibrahim
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

Artikel Berkaitan

Pengalaman MH17 : Peranan Forensik

MH17 merupakan satu tragedi bencana ramai mangsa yang melibatkan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam pada jam 12.15 petang (GMT +0200) 17 Julai 2014.

Latihan Auditori

Latihan auditori ialah proses mengajar otak untuk mendengar. Ia merupakan proses mengajar individu bermasalah pendengaran.

Nasib Si ‘Keldai Dadah’

Keldai dadah merujuk kepada seseorang yang secara rela atau diperdaya untuk menjadi kurier, membawa dadah atau barang seludup ke negara lain.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,572

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia