A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Klef Bibir Dan Lelangit: Pengurusan Ortodontik

Klef bibir dan lelangit merupakan masalah kongenital yang paling kerap berlaku di seluruh dunia yang melibatkan bahagian muka sesuatu pesakit

Pengenalan

Klef bibir dan lelangit merupakan masalah kongenital yang paling kerap berlaku di seluruh dunia yang melibatkan bahagian muka sesuatu pesakit. Di Malaysia, telah dilaporkan bahawa 1 dalam 700 kelahiran bayi mengalami masalah klef3.

Siapakah Pakar-pakar Yang Terlibat?

Seorang kanak-kanak yang dilahirkan dengan klef bibir dan lelangit memerlukan rawatan yang kompleks dan berpanjangan bermula sejak lahir sehingga berumur sekurang-kurangnya 20 tahun, Tahap komplek rawatan yang diperlukan bergantung kepada keterukan kes tersebut. Pengurusan pesakit klef bibir dan lelangit melibatkan ramai pakar-pakar dari perbagai bidang yang akan merawat masalah-masalah yang berbeza yang disebabkan oleh klef tersebut2,3,4,6.

Ahli-ahli Sebuah Pasukan Klef

Pakar Pembedahan Klef (Plastik/ Bedah Mulut/ Kraniofasial)

Pakar Ortodontik

Ahli Terapi Percakapan

Pakar Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak

Pakar Kanak-kanak

Pakar Pergigian Kanak-kanak

Pakar Pergigian Prostodontik

Ahli Psikologi

Ahli Terapi Pendengaran

Ahli Genetik

Doktor Gigi

Pakar Pemakanan

Pekerja Sosial

Rawatan Untuk Klef Bibir dan Lelangit

Berikut dibawah adalah contoh aliran pengurusan penjagaan kesihatan pesakit klef bibir dan lelangit3:

  • Semasa lahir: Kaunseling, nasihat dalam cara pemberian makanan, rawatan ortopedik pra-pembedahan
  • 1 – 3 bulan: Pembaikan bibir
  • 9 – 12 bulan: Pembaikan lelangit
  • 1 – 2 tahun: Penilaian pendengaran
  • 3 – 4 tahun: Penilaian percakapan/pertuturan
  • 3 – 7 tahun: Kegigian desidus: Memberi nasihat kesihatan rawatan pergigian pencegahan
  • 8 – 10 tahun: Kegigian campuran: Menilaikan pesakit untuk menentukan keperluan membuat rawatan ortodontik pada tahap umur ini.
  • 9 – 12 tahun: Kegigian campuran: Merancangkan dan membuat rawatan geraf tulang alveolus (ABG).
  • 13 – 17 tahun: Kegigian kekal: Merancangkan dan membuat rawatan ortodontik menyeluruh.
  • 18 tahun dan ke atas: Merancangkan dan membuat penilaian untuk pembedahan rahang dan pembedahan plastik (sekiranya perlu)

Bagaimana Klef Bibir dan Lelangit Memberi Kesan Kepada Gigi?

Klef pada bibir, gusi (tulang alveolus), dan / atau tulang rahang boleh menghasilkan pelbagai masalah pergigian. Masalah pergigian yang biasa ditemui adalah seperti yang berikut2,4:

  • Gigi hadapan kadangkala tumbuh dalam keadaan terputar dan / atau pada kedudukan yang salah.
  • Bentuk korona gigi dan/ atau akar yang terbentuk adalah tidak sempurna atau cacat (tidak normal).
  • Gigi bersaiz kecil atau berbentuk pasak (peg shaped).
  • Gigi lewat tumbuh.
  • Susunan gigi yang tidak normal dan tidak teratur.
  • Rahang dan arkus atas kadangkala menjadi sempit di dalam klef yang telah dibetulkan.
  • Terbentuknya gigitan silang pada bahagian gigi hadapan dan / atau pada bahagian gigi belakang.

Penjagaan Pergigian Semasa Kegigian Desidus

Lawatan awal ke klinik gigi adalah amat digalakkan. Sekiranya perlu, lawatan pertama ke klinik gigi boleh dibuat pada umur satu tahun ataupun lebih awal sekiranya ada masalah pergigian. Rawatan pergigian pencegahan akan dimulakan sebaik sahaja gigi desidus (susu) mula tumbuh. Arahan penjagaan kebersihan mulut danarahan nasihat pemakanan akan di beri pada masa ini. Sekiranya perlu, doktor pergigian akan memulakan penggunaan rawatan florida tambahan. Kanak-kanak klef bibir dan lelangit perlu memgekalkan kesihatan mulut yang baik kerana kebanyakkan antara mereka mempunyai gigi yang tidak terbentuk dengan sempurna. Oleh yang demikian, gigi-gigi mestilah dipastikan berada dalam keadaan yang sihat untuk mempermudahkan rawatan ortodontik pada masa yang akan datang.

Penjagaan Pergigian Semasa Kegigian Campuran

Kegigian campuran bermula bila gigi kekal tumbuh pada umur lebih kurang 6 tahun. Penilaian ortodontik menyeluruh perlu dibuat pada tahap umur ini.

Pada umur lebih kurang 8-10 tahun, rawatan penambahan tulang alveolus (ABG) mungkin diperlukan bagi sesetengah kanak-kanak klef bibir dan lelangit sekiranya klef tersebut menghasilkan renggangan berongga pada tulang rahang. Renggangan berongga ini boleh menghalang gigi kekal tumbuh dengan betul. Fungsi ABG adalah untuk memperbaiki renggangan berongga ini dengan cara mengisi dengan tulang geraf supaya gigi baru dapat tumbuh keluar dan juga untuk memberi sokongan tulang yang stabil kepada arkus. Serpihan tulang geraf kebiasaannya di ambil daripada tulang peha ataupun kaki. Prosedur ini biasanya dilakukan sebelum gigi kanin arkus atas mula tumbuh.

Kebiasaannya sebelum prosedur ABG dibuat, rawatan ortodontik diperlukan untuk pengembangan arkus atas yang sempit, dan juga untuk menyediakan akses pembedahan yang lebih baik supaya pakar pembedah dapat mengisi renggang berongga klef ini dengan jumlah tulang yang sebanyak yang boleh untuk menentukan kestabilan pembedahan yang baik. Pengembangan arkus boleh dibuat samada dengan aplian tetap ortodontik ataupun aplian boleh tanggal. Aplian tetap yang paling kerap digunakan untuk tujuan ini ialah aplian ‘quadhelix’. Fasa rawatan ini mungkin mengambil masa selama 6-12 bulan1,6. Pakar ortodontik, pakar bedah mulut atau pun pakar pembedahan plastik akan menentukan masa yang sesuai untuk menjalankan prosedur rawatan ABG ini.


Aplian ‘Quad Helix’

Penjagaan Pergigian Semasa Kegigian Kekal

Apabila semua gigi kekal telah tumbuh (pada umur lebih kurang umur 13 tahun), rawatan ortodontik definitif / menyeluruh boleh dimulakan. Rawatan ini boleh terdiri daripada mana-mana yang berikut2:

Rawatan Ortodontik sahaja
Aplian tetap (braces) biasanya disarankan untuk meluruskan susunan gigi dan di mana perlu, untuk menutupkan ruang-ruang berlebihan tanpa menggunakan gigi palsu (dentur), jambatan atau implan.
Rawatan ortodontik dan diikuti dengan kerja prostodontik
Kerja prostodontik melibatkan penggantian gigi yang hilang menggunakan gigi palsu (dentur), jambatan atau implan.
Rawatan ortodontik dan diikuti pembedahan ortognatik
Di dalam kes yang melibatkan masalah kecacatan tulang rahang yang teruk, rahang kadangkala perlu dipotong dan di atur semula untuk membetulkan kedudukan arkus gigi supaya gigitan arkus yang betul diperolehi. Pembedahan rahang ini dinamakan pembedahan ortognatik. Prosedur ini boleh melibatkan samada menggerakkan salah satu rahang atau kedua-dua rahang secara pembedahan. Pembedahan ortognatik biasa dilakukan apabila pesakit klef bibir dan lelangit hampir selesai tumbesaran sepenuhnya pada umur 18 tahun.
Rawatan ortodontik, pembedahan ortognatik dan diikuti kerja prostodontik.  

Faedah-faedah Menjalani Rawatan ini

Faedah-faedah menjalani rawatan ini adalah1,6:

  • Memperbaiki fungsi kegigian, supaya pesakit dapat makan dengan lebih selesa.
  • Memperbaiki penampilan diri.
  • Gigi yang teratur adalah lebih senang untuk dibersihkan.
  • Meningkatkan keyakinan diri.
 Rujukan
  1. Cleft Lip and Palate Association (2015). Services: Publications and Information Leaflets. Retrieved March 19, 2015 from http://www.clapa.com/services/pdf_downloads/
  2. Cleft Lip and Palate Association of Ireland (2015). Publications: Information Leaflets. Retrieved March 19, 2015 from http://www.cleft.ie/publications/information-leaflets/
  3. Cleft Lip and Palate Associationof Malaysia (CLAPAM) (2015). Introduction. Retrieved March 19, 2015 from http://english.clapam.org.my/index.php/extensions/introcleft.
  4. Cleft Palate Foundation (2015). Dental Care for Child with Cleft Lip and Palate. Retrieved March 19, 2015 from http://www.cleftline.org/parents-individuals/publications/dental-care-for-a-child-with-cleft-lip-and-palate/
  5. Cobourne, M.T. & DiBiase A.T. (2010). Handbook of Orthodontics. Philadelphia: Mosby Elsevier.
  6. Devlin, H.B. (2003). The Treatment of Cleft Lip & Palate, A Parent’s Guide. London. The Royal College of Surgeons of England.
  7. Prakash, A. (2013). Image of Quadhelix. Retrieved March 20, 2015 from http://orthocj.com/2013/05/post-expansion-methods-of-retention/
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Then Poh Kiun
Penterjemah : Dr. Rozaimah bt. Mat Shafiei
Akreditor : Dr. Farid Patrick bin Abdullah
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

 

Artikel Berkaitan

Komplikasi Cabutan Gigi

Cabutan gigi adalah satu proses pembuangan gigi dari soketnya di tulang rahang .Cabutan gigi yang ideal ditakrifkan sebagai satu  proses pembuangan keseluruhan gigi atau akar gigi yang tidak menyakitkan, dengan trauma yang minimum ke atas  tisu sekelilingnya supaya luka bekas cabutan akan sembuh dengan sempurna.

Rawatan Selan Fisur

Selan Fisur merupakan suatu bahan plastik khas, digunakan oleh doktor pergigian untuk menutup lubang-lubang kecil (pits) dan alur yang dalam (fissures) pada permukaan mengunyah gigi geraham (molar).

Autisma Dan Kesihatan Pergigian

Individu dengan autisma memerlukan pendekatan khas untuk penjagaan kesihatan mulut. Pencegahan masalah pergigian adalah isu penting disebabkan oleh beberapa faktor

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,955,088

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia