Ketuat Genital

Apakah itu Ketuat Genital?

Ketuat kemaluan disebabkan oleh virus yang digelar Human Papilloma Virus (HPV). Ianya boleh merebak melalui:

  • Hubungan seks (vagina, oral, dubur)
  • Dari ibu ke bayi semasa proses kelahiran

 

Apakah ciri-ciri Ketuat Genital?

Kebanyakan mereka yang dijangkiti tidak mengalami sebarang tanda/gejala. Ketuat mungkin timbul 3 minggu hingga 3 bulan selepas terdedah dari jangkitan. Ketuat ini:

  • Berwarna merah jambu atau berwarna kulit
  • Lembut
  • Mungkin timbul atau rata
  • Mungkin timbul secara berkumpulan atau bersendirian


Ketuat kecil di sekitar alat kelamin wanita

Bagi wanita, ia tumbuh di bahagian vagina, dubur ataupun pangkal rahim/servik manakala bagi lelaki, ia tumbuh di bahagian penis ataupun buah zakar. Ketuat boleh kekal di dalam tubuh badan untuk jangkamasa yang panjang tanpa memberi sebarang masalah.

 

Adakah kemungkinan untuk mendapat komplikasi?

Ya, jika tidak dirawat, ketuat akan tumbuh dengan lebih besar dan lebih banyak lagi. Bagi wanita, ia boleh menyebabkan kanser pangkal rahim.

 

Bagaimana Ketuat Genital dirawat?

Ketuat mungkin hilang secara spontan. Jika jangkitan disyaki, buat pemeriksaan doktor. Doktor dapat mengesan kehadiran virus ketuat (HPV), walaupun tiada ketuat dengan membuat PAP smear bagi wanita. Sesetengah ketuat boleh dirawat dengan menggunakan ubat topikal khas yang disapu pada dikulit. Jika ketuat adalah besar, doktor boleh membekukannya dengan menggunakan cecair nitrogen atau terapi laser Ketuat mungkin berulang jika HPV masih terdapat di bahagian kulit.

 

Bolehkah Ketuat Genital dicegah?

Ketuat Genital boleh dicegah melalui :

  • Cara yang paling baik adalah dengan mengelakkan diri dari hubungan seks.
  • Jika anda berumur 16 tahun ke bawah, menjalin hubungan seks adalah salah di sisi undang-undang kecuali anda telah berkahwin.
    • Undang-undang Malaysia menyatakan bahawa perhubungan seks dengan remaja perempuan yang berumur 16 tahun dan ke bawah, samada dengan persetujuan atau tidak, akan mengakibatkan lelaki berkenaan disabitkan kesalahan merogol.
  • Jika anda aktif melakukan hubungan seks, amalkan hubungan seks yang selamat.
    • Setia pada seorang pasangan. Elakkan daripada bertukar-tukar pasangan.
    • Gunakan kondom. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan dalam pencegahan Chlamydia, tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
    • Elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah di mana ia akan menjejaskan pertimbangan anda.

 

Semakan Akhir : 27 April 2012
Penulis : Dr. Hargeet Kaur Basant Singh
Penyemak : Dr. Iskandar Firzada b. Osman