A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Ketagihan ubat batuk

Ketagihan ubat batuk

Definisi Batuk

Batuk merupakan salah satu tindak balas refleks tubuh badan untuk melegakan tekak dan salur pernafasan. Walau bagaimanapun, jika batuk berlarutan ia akan mendatangkan masalah kesihatan. Kebiasaannya, seseorang individu akan mencari ubat untuk melegakan batuk disebabkan ketidakselesaan yang dialaminya.

Batuk

Terdapat dua jenis batuk yang sering berlaku iaitu:

  1. Batuk berkahak (productive cough)
  2. Batuk tidak berkahak (non-productive cough)

Kedua-dua jenis batuk ini adalah berbeza dari segi punca berlaku dan jenis ubatnya. Oleh itu adalah penting untuk mengenalpasti jenis batuk yang dialami supaya rawatan yang diberikan adalah berkesan.

Jenis-jenis Ubat Batuk

Pada amnya, sesetengah individu memilih untuk merawat batuk secara sendiri dengan membeli ubat-ubatan di farmasi atau di kedai runcit (swapengubatan). Terdapat pelbagai jenis ubat batuk yang boleh dibeli sendiri tanpa preskripsi doktor.

Walaubagaimanapun, beberapa jenis ubat batuk yang mengandungi bahan aktif tertentu memerlukan nasihat dan preskripsi daripada doktor.

Pelbagai jenis ubat batuk

Berikut adalah jenis-jenis ubat yang biasa digunakan untuk merawat gejala yang berkaitan dengan batuk mengikut jenis batuk yang dialami:

  1. Ubat jenis decongestant (pelega saluran pernafasan): Kumpulan ubat ini akan bertindakbalas dengan otot saluran pernafasan dan membantu mengembangkan saluran tersebut. Contoh ubat – ephedrine, phenylephrine, oxymethazoline dan pseudoephedrine.
  2. Ubat mengeluarkan kahak: Kumpulan ubat ini akan bertindak mencairkan kahak serta merangsangkan batuk bagi mengeluarkan kahak. Contoh ubat – ammonium chloride, guaifenesin dan sirap ipecac.
  3. Ubat pelega batuk: Kumpulan ubat ini berfungsi mengurangkan kekerapan batuk terutamanya bagi batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan. Contoh ubat – Dihydrocodeine, dextromethorphan dan diphenhydramine hydrochloride.

Berdasarkan kepada fungsi ubat dan jenis batuk di atas, sebelum seseorang meminum ubat batuk adalah disarankan supaya terlebih dahulu mendapat nasihat daripada doktor atau ahli farmasi.

Penyalahgunaan dan Ketagihan Ubat Batuk

Ubat batuk seringkali dikaitkan dengan penyalahgunaannya oleh golongan tertentu terutama dalam kalangan belia. Namun tidak semua jenis ubat batuk boleh menyebabkan ketagihan. Masalah ketagihan ubat tidak akan berlaku jika ia diambil pada dos dan selang masa yang betul.

Dihydrocodeine dan Dextromethorphan adalah jenis ubat batuk yang sering disalahgunakan. Ubat batuk jenis ini jika diminum berlebihan akan memberikan kesan narkotik seperti melalikan, melemahkan deria dan ketagihan. Dihydrocodeine merupakan ubat batuk dan ubat tahan sakit yang disenaraikan di dalam Akta Racun 1952 sebagai salah satu ubat yang hanya boleh didapati daripada ahli farmasi berlesen dengan preskripsi doktor. Dextromethorphan juga merupakan salah satu ubat batuk yang sering disalah guna. Ubat ini boleh diperoleh daripada ahli farmasi di kedai farmasi tanpa preskripsi daripada doktor. Walaubagaimanapun, terdapat penjualan secara haram yang meningkatkan masalah ketagihan ubat batuk

Selain harganya yang murah, warna sediaan ubat ini juga merupakan ciri utama yang tidak dapat dibezakan dengan warna minuman ringan yang terdapat di pasaran. Warna perang gelap ubat ini serupa dengan warna kopi `O’ atau minuman cola. Kebanyakan ubat batuk yang dijual secara haram biasanya dimasukan ke dalam plastik minuman biasa, bekas-bekas atau botol minuman ringan berkarbonat. Kebiasaannya, individu yang menyalahgunakan ubat batuk ini meminum lebih daripada dos yang disyorkan untuk mendapatkan kesan serta merta.

Kesan Penyalahgunaan Ubat Batuk

Pengambilan ubat batuk mengandungi Dihydrocodeine yang berlebihan akan memberi kesan mengantuk serta mengurangkan tahap aktiviti mental, rasa pening, mual dan seterusnya muntah.

Apabila ia diambil berulang kali, ia boleh menyebabkan seseorang itu bergantung kepadanya dan memerlukannya setiap hari. Kesan kebergantungan ini dipanggil tolerans. Dos ubat terpaksa ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan kesan seperti yang pernah dialami sebelumnya. Lama-kelamaan lebih banyak ubat diperlukan setiap kali pengambilan. Ini membuatkan seseorang ketagih terhadap ubat batuk tersebut.

Pengambilan ubat secara berterusan dengan kuantiti yang berlebihan akan memberi kesan sampingan yang berbahaya. Kesan pengambilan ubat batuk secara berlebihan akan menunjukkan kesan ketagih dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi. Penagih akan mengalami kerosakan paru-paru, hati, sistem penghadaman (zat makanan tidak mencukupi) dan buah pinggang.

Otot-otot badan akan mengecut (badan menjadi lesu dan tidak bermaya) dan berat badan menurun. Penagih selalunya akan sentiasa berada dalam keadaan khayal, lali dan hanya berminat untuk tidur.

Kesimpulan

Penyalahgunaan ubat batuk boleh menyebabkan ketagihan seterusnya menjurus kepada banyak risiko negatif yang lain. Oleh itu, pesakit harus berhati-hati apabila mengambil ubat dan perlu mengikut arahan yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi. Cegah sebelum parah kerana kecuaian boleh membawa padah.

Rujukan

  1. Cough. National Institutes of Health. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/003072.htm
  2. Kesan Menyalahguna Ubat Batuk, Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia. 1995.
  3. Preventing Teen Over-The-Counter Cough Medicine (Dxm) Abuse: A Parent’s Guide. Consumer Healthcare Products Association (CHPA).
  4. www.knowyourmedicine.gov.my
Semakan Akhir : 04 Disember 2014
Penulis : Siti Masyitah bt. Mohd Tawil
Akreditor : Munira bt. Muhammad

 

Artikel Berkaitan

Produk Kecantikan Atau Produk Kosmetik?

Produk kosmetik selalunya dikenali sebagai alat solek atau produk yang digunakan secara luaran untuk mencantikkan seseorang individu. Produk kosmetik tidak hanya merujuk kepada gincu, bedak muka, maskara malah ia merangkumi lain-lain produk penjagaan pembersihan diri seperti syampu, sabun badan dan produk penjagaan gigi.

Awas! Sinaran Matahari

Pendedahan kepada cahaya matahari yang lama boleh menyebabkan kulit terbakar (Sunburn), penuaan pra-matang, kanser kulit dan kerosakan mata akibat sinaran ultra violet (UV)

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,065,251

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia