A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesihatan Periodontium Dan Gigi Palsu

Pengenalan

Kepentingan gigi kebiasaannya hanya disedari selepas ianya hilang.  Gigi palsu merupakan aplians pergigian boleh tanggal yang dapat menggantikan gigi yang hilang.  Ia dapat membantu mengembalikan kualiti kehidupan dengan membantu fungsi seharian seperti pengunyahan, pertututran dan estetik.  Gigi palsu penuh digunakan dalam kes kehilangan semua gigi di kedua-dua rahang atas dan bawah, manakala gigi palsu sebahagian pula digunakan apabila satu atau lebih gigi asli masih ada pada rahang atas dan/atau bawah.

Pembuatan gigi palsu merupakan suatu prosedur yang mengambil masa.  Ia bergantung kepada banyak faktor seperti jenis gigi palsu, teknik yang digunakan, kesediaan pesakit dan sebagainya.  Maka, untuk memastikan hasil jangka panjang rawatan gigi palsu, perancangan rawatan yang teliti adalah sangat penting.  Rawatan tidak sepatutnya merisikokan kegigian yang masih ada dan tisu sekitarnya.  Salah satu keperluan sebelum rawatan yang perlu diambil kira ialah keadaan dan prognosis gigi-gigi yang masih ada dan tisu-tisu di sekitarnya. Higin mulut pesakit juga merupakan salah satu faktor yang penting yang menyumbang kepada rawatan gigi palsu yang berjangka panjang.

Selepas gigi palsu dipakai, kegigian yang masih ada dan gusi adalah berisiko untuk mendapat penyakit terutamanya dalam kes-kes dimana penjagaan mulut dan gigi palsu yang tidak mencukupi.

Kepentingan gusi yang sihat

Gigi dipegang dan disokong di dalam tulang oleh struktur penyokong  yang terdiri dari tulang alveolar, ligamen periodontium, simentum dan gusi dibahagian terluar.  Struktur penyokong yang sihat adalah penting  dalam menentukan prognosis jangka panjang gigi.  Secara klinikal ianya dapat dilihat dengan penampilan gusi yang sihat (Rajah 1).  Secara tidak lansung ia akan mempengaruhi jangka hayat satu-satu gigi palsu. 


Rajah 1: Gusi Yang Sihat

Penyakit Gusi

Penyakit gusi merupakan salah satu penyakit gusi yang global.  Di Malaysia, kadar prevalens adalah tinggi, ia melibatkan 94% atau 14.4 juta dari populasi (NOHSA, 2010).  Ini menunjukkan hanya 1 dari 10 orang dewasa di Malaysia mempunyai gusi yang sihat, manakala yang selebihnya mempunyai penyakit gusi dengan pelbagai peringkat keterukan.  Penyakit gusi yang sering terjadi ialah gingivitis dan periodontitis.

Gingivitis merupakan inflamasi kronik tisu gusi (Rajah 2).  Ia adalah penyakit gusi yang jenis yang tidak teruk atau penyakit gusi peringkat awal, di mana ia biasanya berkaitan dengan higin mulut yang tidak memuaskan.  Secara klinikal gusi adalah bengkak, kemerahan dan kebiasaannya mudah berdarah.  Pada peringkat ini tidak berlaku sebarang kehilangan tulang atau tisu lembut.  Oleh itu, gigi masih teguh disokong di kedudukannya yang asal.  Pengesanan awal dan rawatan membolehkan gusi kembali seperti penampilan asal.


Rajah 2: Gingivitis

Gingivitis yang tidak dirawat mungkin boleh merebak ke peringkat yang lebih teruk iaitu periodontitis (Rajah 3).  Tidak seperti gingivitis, periodontitis adalah tidak berbalik.  Periodontitis boleh dimanifestasi dalam pelbagai peringkat keterukan.  Pada peringkat ini gigi kehilangan tulang dan/atau tisu penyokong di sekitarnya.  Rawatan adalah bertujuan untuk mengawal dan menghalang penyakit dari terus merebak.  Penyakit gusi yang teruk mungkin menyebabkan kehilangan gigi sekiranya tidak dirawat.  Umumnya, penyakit gusi dikenalpasti sebagai salah satu punca utama kehilangan gigi orang dewasa.  Penampilan gusi dalam periodontitis hampir sama dengan gingivitis, tetapi gigi mungkin kelihatan lebih panjang dan longgar.


Rajah 3: Periodontitis

Kebanyakan penyakit gusi adalah disebabkan oleh kehadiran plak (Rajah 4).  Plak merupakan suatu lapisan yang melekit yang mengandungi mikroorganisma, ianya terbentuk di atas permukaan gigi pada setiap hari.  Pada awalnya plak mengandungi mikroorganisma yang tidak merosakkan.  Sekiranya tidak di bersihkan dengan sempurna semasa pemberusan gigi, plak yang terkumpul akan menjadi persekitaran yang sesuai untuk pembiakan mikroorganisma yang menyebabkan penyakit gusi.  Pengawalan plak yang mencukupi adalah penting untuk pengekalan gusi yang sihat.  Penyakit gusi boleh dirawat dengan jayanya jika pengawalan plak dapat dilaksanakan dengan betul. 


Rajah 4: Plak yang diwarnakan

Bagaimana penyakit gusi boleh mempengaruhi rawatan gigi palsu?

Penyakit gusi dapat mempengaruhi rawatan gigi palsu dalam beberapa cara seperti: 

  1. Perubahan dimensi gusi boleh berlaku akibat dari penyakit gusi.  Perubahan ini boleh menjejaskan padanan gigi palsu yang dihasilkan jika ia berlaku sebelum, semasa atau selepas gigi palsu dibuat.
  2. Penyakit gusi biasanya berkaitan dengan higin mulut yang tidak memuaskan. Pembuatan gigi palsu untuk individu dengan higin mulut yang tidak memuaskan adalah tidak digalakkan kerana pengawalan higin mulut adalah lebih sukar dengan kehadiran gigi palsu.
  3. Dalam individu yang mempunyai penyakit gusi yang teruk, gigi-gigi yang ada mungkin mengalami masalah seperti kegoyangan, gigi kelihatan lebih panjang dan gigi mungkin terganjak.  Ini bergantung kepada keterukan penyakit gusi yang dialami. (Rajah 4).  Kesemua masalah ini boleh mempengaruhi rancangan rawatan dan hasil jangka panjang  gigi palsu yang akan dibuat.  Antara masalah yang mungkin timbul ialah:
    • Untuk menentukan ramalan jangka hayat gigi-gigi masih ada kerana jangka hayat mungkin berbeza untuk setiap gigi dan secara tidak langsung ia akan mempengaruhi jangka hayat gigi palsu yang akan dibuat.
    • Kesukaran dalam mendapatkan pegangan dan kestabilan semasa merekabentuk gigi palsu. Ini terutamanya dalam kes dengan kehilangan semua gigi geraham dan kes dengan kehadiran gigi yang bergoyang.
    • Penampilan mungkin terjejas terutamanya dalam kes yang mempunyai gigi yang kelihatan lebih panjang dan keruangan yang ada di antara gigi.
    • Gigi yang terganjak akibat penyakit gusi boleh menjejaskan ruang yang ada untuk susunan gigi palsu.
    • Penyakit gusi yang teruk boleh mengakibatkan kehilangan tulang yang banyak dan diikuti dengan kehilangan gigi.  Seterusnya mengakibatkan batas alveolus menjadi kecil dan rata. Bentuk batas alveolus adalah sangat penting dalam pembuatan gigi palsu terutamanya untuk gigi palsu yang penuh kerana ia mempengaruhi pegangan gigi palsu.


      Rajah 4: Gigi dengan masalah gusi

Oleh itu, penyakit gusi perlulah dikawal terlebih dahulu kerana gusi yang sihat adalah penting dalam memastikan jangka hayat gigi-gigi yang masih ada. Gigi palsu boleh dibuat setelah penyakit sudah dipulihkan atau dikawal.

Terdapat juga kes dimana gigi palsu perlu dibuat walaupun dengan kehadiran penyakit gusi yang masih aktif, contohnya:

  • Kehilangan gigi yang menjejaskan penampilan.
  • Kehilangan fungsi pengunyahan, contohnya dalam kes dengan kehilangan gigi geraham.
  • Terdapat risiko pengeruptan berlebihan bagi gigi yang bertentangan dengan kawasan yang tiada gigi.

Secara amnya, rawatan gigi palsu boleh dibuat bagi mereka yang mempunyai penyakit gusi yang aktif sekiranya higin mulut yang memuaskan dapat dilaksanakan oleh mereka.

Bagaimana Pemakaian Gigi Palsu Boleh Mempengaruhi Kesihatan Gusi?

Pemakaian gigi palsu sering dikaitkan dengan pengumpulan plak atas permukaan gigi palsu dan gigi-gigi yang ada di dalam mulut.  Pengumpulan plak di atas permukaan gigi palsu adalah bergantung kepada jenis gigi palsu dan permukaannya.  Gigi palsu plastik atau akrilik adalah lebih poros, memudahkan pengumpulan plak terutamanya pada permukaan padanan yang biasanya tidak digilap.  Permukaan yang digilap pula tidaklah menghalang pengumpulan plak tapi ianya memudahkan pembuangan plak selagi lapisan kilatnya masih ada.  Permukaan gigi palsu yang diperbuat dari logam (Kobalt Kromium) kurang memerangkap plak berbanding dengan akrilik,  Walaubagaimanapun, faktor utama yang penting ialah keupayaan pemakai untuk mengekalkan kebersihan yang optimum bagi mulut dan gigi palsu

Pengumpulan plak di sekitar dan di permukaan gigi palsu  telah dikaitkan sebagai penyebab dalam kejadian penyakit gusi, penyusutan gusi dan karies gigi (Amaral et al., 2010).  Reka bentuk gigi palsu adalah bergantung kepada jenis bahan yang digunakan.  Reka bentuk yang menutupi lebih banyak mukosa mulut mungkin memudahkan pengumpulan plak.


Rajah 5: Penyakit gusi, karies gigi dan penyusutan gusi

Pengumpulan plak di bawah permukaan gigi palsu juga boleh menyumbang masalah terhadap mukosa yang berkaitan, iaitu Denture Induced Stomatitis (Rajah 6).  Ini merupakan keradangan kronik yang disebabkan oleh jangkitan fungus dan kebiasaannya sukar untuk dirawat. Risiko untuk mendapat jangkitan ini dikalangan pemakai gigi palsu adalah setinggi 36.7% (Emami et al., 2012). 


Rajah 6: Denture induced stomatitis

Iritasi yang berterusan dari gigi palsu dengan padanan atau kebersihan gigi palsu yang tidak memuaskan boleh menyebabkan mukosa mulut mengalami perubahan hiperplastik seperti denture induced hyperplasia (Rajah 7).


Rajah 7: Denture induced hyperplasia

Pemakai juga mungkin boleh mendapat reaksi alahan terhadap bahan gigi palsu seperti akrilik, tapi kes seperti ini jarang berlaku.  Kebanyakan kes alahan yang dilaporkan adalah bersifat setempat di mana ia timbul sebagai keradangan mukosa yang bersentuhan dengan gigi palsu.

Bagaimana mengekalkan kesihatan gusi semasa memakai gigi palsu?

Kebanyakkan masalah yang timbul adalah disebabkan oleh penjagaan mulut dan gigi palsu yang tidak memuaskan.  Arahan penjagaan higin mulut dan gigi palsu dari doktor gigi semasa pemberian gigi palsu adalah penting untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pemakaian gigi palsu.  Penjagaan selepas memulakan pemakaian gigi palsu adalah disasarkan untuk mengekalkan kesihatan mulut dan membenarkan gigi palsu agar dapat berfungsi secara optimal selama mungkin. 

Pemakai mestilah mengetahui:

  1. Kepentingan kebersihan mulut dan gigi palsu dalam mengekalkan kesihatan mulut dan mestilah berupaya untuk mencapai dan mengekalkan higin mulut dan gigi palsu yang optima.
  2. Kepentingan untuk lawatan pergigian berkala sekurang-kurangnya enam bulan sekali untuk memastikan:
    • Kebersihan mulut yang optima dicapai dan dikekalkan.
    • Gigi-gigi yang masih ada dan tisu-tisu di sekitarnya adalah sihat.
    • Gigi palsu berfungsi dengan sebaiknya
  3. Penyakit gusi adalah sangat prevalen dan adalah tanggungjawab setiap individu untuk memastikan higin mulut adalah memuaskan dan mengikut nasihat yang telah diberikan oleh doktor gigi.

Rujukan

  1. Do Amaral, B.A., Barreto, A.O., Gomes Seabra, E., Roncalli, A.G., Da Fonte Porto Carreiro, A., & De Almeida, E.O.  A clinical follow-up study of the periodontal conditions of RPD abutment and non-abutment teeth.  J. Oral Rehab; 37(7): 545-552.
  2. Emami, E., Taraf, H., de Grandmont, P., Gauthier, G., de Konick, L., Lamarche, C., & de Souza RF.  The association of denture stomatitis and partial removable dental prostheses: A systematic review.  Int J Prosthodont; 25(2):113-119.
  3. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia.  National Oral Health Survey of Adults 2010 (NOHSA 2010).  November 2013.

 

Semakan Akhir : 19 Jun 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Razida bt. Ismail
Akreditor : Dr. Chan Yoong Kian

 

Artikel Berkaitan

Penstabilan Gigi

Pengenalan Adalah prosedur pergigian untuk menstabilkan gigi yang longgar  melalui

Makanan Ringan (Snek)

Kurangkan pengambilan makanan melekit sepert gula-gula ‘toffee’, gula-gula jeli dan buah-buahan kering. Amalkan snek yang sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, keju, susu, dadih, kekacang dan air kosong.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,088,561

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia