A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Uncategorized
  4. /
  5. Kesihatan Pergigian

Kesihatan Pergigian

Rawatan pendakap gigi diberikan oleh Pakar Ortodontik di klinik pergigian kerajaan memberi keutamaan kepada murid-murid sekolah yang berumur 18 tahun dan ke bawah

  1. ORTODONTIK
  1. Apakah syarat untuk mendapatkan rawatan pendakap gigi (braces) di klinik pergigian kerajaan?

Rawatan pendakap gigi diberikan oleh Pakar Ortodontik di klinik pergigian kerajaan memberi keutamaan kepada murid-murid sekolah yang:

  1. Berumur 18 tahun dan ke bawah
  2. Mempunyai Index Keperluan Rawatan Ortodontik (Index of Orthodontic Treatment Need- IOTN) yang tinggi sahaja.

Selain itu ia bergantung kepada keadaan maloklusi, keadaan gigi dan gusi serta kebersihan mulut. Bagi menentukan sama ada pesakit tersebut layak mendapatkan rawatan pendakap gigi di klinik pergigian kerajaan, pesakit perlu melakukan pemeriksaan dahulu dengan doktor gigi sebelum dirujuk ke Klinik Pakar Ortodontik. Maknanya, rawatan ortodontik di klinik pergigian kerajaan tidak diberikan secara lazimnya kepada orang dewasa melainkan kes-kes yang melibatkan pelbagai disiplin pergigian (multi-disciplinary approach).

 

  1. Apakah anggaran kos untuk rawatan pendakap gigi?

Kos rawatan bergantung kepada jenis aplians ortodontik yang digunakan iaitu:

  1. Aplians Boleh Tanggal – RM100.00 (Sila rujuk Portal MyHealth >> Aplians Boleh Tanggal)
  2. Aplians Fungsi – RM200.00 (Sila rujuk Portal MyHealth >> Aplians Fungsi)
  3. Aplians Tetap – RM500.00 (Sila rujuk Portal MyHealth>> Aplians Tetap)
  4. Retainers atas dan bawah – RM100.00 setiap satu (Sila rujuk Portal MyHealth>> Retainers)

Bayaran boleh dibuat secara berperingkat.

 

  1. Apakah prosedur untuk mendapatkan rawatan pendakap gigi (braces) di klinik pergigian kerajaan?

Seseorang yang berminat menjalankan rawatan pendakap gigi (braces) perlu mendapatkan pemeriksaan dan surat rujukan dari mana-mana doktor gigi di klinik pergigian kerajaan yang berhampiran untuk temu janji di Klinik Pakar Ortodontik. Setelah itu, dapatkan pemeriksaan daripada Pakar Ortodontik untuk menentukan tahap keterukan masalah gigi dan keperluan rawatan.

 

  1. Apakah tempoh masa menunggu untuk memulakan rawatan pendakap gigi (braces) di klinik pergigian kerajaan?

Untuk rawatan ortodontik (braces), pesakit mungkin perlu menunggu lama untuk memulakan rawatan, bergantung kepada jumlah senarai pesakit yang masih menunggu giliran di klinik tersebut.

 

  1. Apakah tempoh masa dari mula hingga tamat rawatan pendakap gigi (braces)?

Tempoh rawatan dari mula hingga tamat rawatan pendakap gigi adalah lebih kurang dua tahun dan ke atas (bergantung kepada kes) dan pesakit perlu datang ke klinik setiap 6 minggu sekali. Selepas tempoh ini, pesakit perlu menjalani rawatan pasif dengan memakai retainer selama satu tahun. Pemakaian retainer adalah mustahak untuk menstabilkan kedudukan gigi selepas rawatan aktif tamat.

 

  1. Di mana terdapat rawatan pendakap gigi (braces) di klinik kerajaan?

Terdapat di klinik pergigian kerajaan yang mempunyai Unit Pakar Ortodontik. Sila jalani pemeriksaan di mana-mana klinik pergigian yang terdekat. Sekiranya memerlukan rawatan lanjut daripada Pakar Ortodontik, doktor gigi akan merujuk kes ke Unit Pakar Ortodontik berhampiran.

 

  1. Apakah masa operasi klinik pergigian kerajaan untuk rawatan ortodontik?

Klinik Pakar Ortodontik kerajaan beroperasi secara amnya dari Isnin hingga Jumaat bermula pada pukul 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Sebaik-baiknya, sila hubungi klinik pergigian yang anda bercadang mendapat rawatan untuk mengetahui masa rawatan ortodontik dan mengelakkan kekeliruan.

  1. UMUM
  1. Apakah kepentingan menggunakan flos gigi?

Penggunaan flos gigi adalah sangat berkesan untuk mengeluarkan sisa makanan dan plak gigi yang melekat di antara celah gigi yang tidak dapat dibersihkan ketika memberus gigi. Tabiat menggunakan flos digalakkan supaya gigi bersih.

Sila rujuk Portal MyHEALTH Dental Floss untuk maklumat lanjut.

 

  1. Bayi saya berusia 1 tahun 9 bulan terjatuh dari sofa sehingga menyebabkan giginya tercabut bersama akar gigi seolah-olah dicabut oleh doktor. Adakah gigi susu yang tercabut secara tidak sengaja akan menjejaskan pertumbuhan gigi kekal?

Keadaan yang dialami oleh anak Puan dipanggil avulsi (gigi yang tertanggal sepenuhya daripada soket tulang gigi). Trauma yang berlaku pada gigi mungkin mengganggu gigi kekal yang tumbuh tetapi bergantung pada tahap kecederaan. Sila bawa bayi anda ke klinik pergigian untuk pemeriksaan dan nasihat yang selanjutnya.

Sila rujuk Portal MyHEALTH Kecederaan Gigi dan Kecederaan Gigi Susu untuk maklumat lanjut.

 

  1. Kebelakangan ini, bahagian bawah lidah saya ada bonjolan warna merah yang menyakitkan. Apa yang perlu saya lakukan?

Sekiranya terdapat sebarang benjolan sama ada menyakitkan atau tidak, sila berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan lanjut.

Sila rujuk Portal MyHEALTH Ketulan dan benjolan dalam kaviti oral untuk maklumat lanjut.

 

  1. Terdapat bintik-bintik putih di tepi dan dihujung lidah dan saya lidah terasa pedih dan ngilu. Apa yang perlu saya lakukan?

Lap lidah anda dengan kapas. Jika bintik putih hilang apabila dilap dengan kapas, kemungkinan terdapat jangkitan kulat. Jangkitan kulat selalunya menyebabkan rasa pedih dan ngilu.

Sila SEGERA berjumpa doktor gigi atau Pakar Perubatan Mulut untuk mendapatkan rawatan dan nasihat yang sewajarnya.

 

  1. Bolehkah saya mendapatkan pemeriksaan kanser mulut di klinik pergigian kerajaan?

Boleh. Pemeriksaan kanser mulut diperoleh di mana-mana klinik pergigian kerajaan. Sekiranya terdapat tanda-tanda yang mencurigakan atau gejala yang menganggu, anda perlu memaklumkan kepada doktor gigi yang menjalankan pemeriksaan agar dapat dirujuk kepada Pakar Bedah Mulut di hospital kerajaan untuk pemeriksaan and rawatan yang menyeluruh.

Sila rujuk Portal MyHEALTH Kanser mulut untuk maklumat lanjut.

 

  1. Anak saya yang berumur 8 tahun masih belum tumbuh gigi depan walaupun gigi susu sudah tercabut 6 bulan lalu. Adakah ini normal?

Kebiasaannya gigi hadapan atas akan tumbuh dalam lingkungan umur 7 ke 8 tahun. Ini bermakna jika gigi tidak tumbuh selepas umur ini ia boleh dikategorikan sebagai pertumbuhan “lewat”. Terdapat beberapa sebab yang boleh menghalang pertumbuhan gigi tersebut. Oleh itu, Puan perlu membawa anak Puan ke klinik pergigian yang berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan.

Sila rujuk Portal MyHEALTH Gigi kekal lewat tumbuh untuk maklumat lanjut.

 

  1. Saya mengalami ulser dan luka di bahagian lidah dan bibir dan ini menimbulkan kesukaraan untuk menelan. Adakah keadaan ini serius?

Ulser di mulut adalah suatu keadaan yang biasa berlaku dan sembuh dengan sendirinya dalam tempoh 14 hari. Oleh itu, anda tidak perlu risau. Walau bagaimanapun keadaan ulser dan luka pada lidah dan bibir yang menimbulkan masalah menelan tidak boleh dibiarkan tanpa mendapatkan pemeriksaan lanjut oleh doktor gigi. Sila SEGERA berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan pemeriksaan rapi dan rujukan ke pakar pergigian sekiranya perlu.

Sila rujuk Portal MyHEALTH Lepuh dan ulser mulut untuk maklumat lanjut.

 

  1. Saya mempunyai gigi tambahan di antara gigi hadapan. Bagaimana untuk merawatnya?

Gigi yang tumbuh di antara gigi hadapan puan adalah gigi tambahan (Supernumerary tooth) kepada gigi biasa. Gigi tersebut tidak mendatangkan manfaat dari segi fungsi dan mungkin mengakibatkan kemudaratan. Terdapat beberapa jenis gigi supernumerary dan gigi tersebut kebiasaannya tumbuh secara spontan dan boleh menganggu pertumbuhan gigi lain. Walau bagaimanapun untuk memastikan kehadiran gigi tambahan, pemeriksaan oleh doktor gigi dan pemeriksaan melalui x-ray perlu dilakukan. Sila berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan sebarang masalah lain jika keadaan ini dibiarkan.

 

  1. Baru-baru ini terdapat ketulan atau bengkak keras sebesar jari kelingking di lelangit saya. Bengkak tersebut tidak sakit. Apa yang perlu saya lakukan?

Sebaik-baiknya ketulan atau bengkak ini perlu diperiksa oleh seorang doktor gigi. Sila ke klinik pergigian kerajaan terdekat untuk pemeriksaan yang lengkap agar punca dapat dikenalpasti.

 

  1. Mengapa nafas dan mulut saya sering berbau walaupun telah memberus gigi dan menggunakan ubat kumur?

Nafas dan mulut yang berbau boleh disebabkan oleh banyak faktor termasuklah masalah dari saluran pernafasan, perut dan juga mulut. Tetapi kebanyakannya adalah dari rongga mulut dan gigi. Gigi yang rosak dan penyakit gusi selalunya mengakibatkan bau ini. Selain itu, permukaan lidah adalah kasar dan memerangkap banyak bakteria. Penggunaan ubat kumur semata-mata tidak memadai. Oleh itu, beruslah gigi dengan berkesan termasuk memberus permukaan lidah semasa memberus gigi.

Sila rujuk Portal MyHEALTH:

http://myhealth.moh.gov.my/index.php/my/pergigian/masalah-pergigian/nafas-berbauuntuk maklumat lanjut.

      

  1. Kenapa gigi saya terasa ngilu (sensitif) selepas minum ais dan makan makanan yang manis atau masam?

Gigi yang sensitif berpunca dari permukaan dalam gigi (dentin) dan akar yang terdedah. Ia berpunca dari gusi yang telah menyusut akibat penyakit gusi atau cara memberus yang salah. Gigi yang retak juga mengakibatkan rasa sensitif. Selain itu, gigi yang berkaries (berlubang) juga mengakibatkan rasa sensitif dan sakit. Sila ke klinik pergigian untuk mendapatkan pemeriksaan bagi mengenalpasti punca dan mendapatkan rawatan selanjutnya.

Sila rujuk Portal MyHEALTH Gigi sensitif untuk maklumat lanjut.

 

  1. Apakah perbezaan antara karies, plak dan kalkulus (tartar)?

Karies adalah kerosakan gigi (berlubang). Plak adalah lapisan bakteria yang melekit serta tidak berwarna yang melekap pada permukaan gigi, lidah, gigi palsu dan tempat-tempat lain di dalam mulut. Plak sering disalah tafsirkan sebagai sisa makanan yang melekat pada gigi. Kalkulus (tartar) adalah plak yang telah mengeras dan melekat pada gigi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH:

http://myhealth.moh.gov.my/plak-gigi/

http://myhealth.moh.gov.my/karies-gigi/

 

  1. Bolehkah ibu mengandung menjalani rawatan pergigian?

Boleh. Ibu mengandung yang sihat dinasihatkan menjalani rawatan pergigian semasa trimester kedua. Trimester kedua adalah pada minggu ke-13 hingga minggu ke-27 kehamilan. Walau bagaimanapun, bagi kes kecemasan, SEGERA ke klinik pergigian yang berdekatan.

Sila layari Portal MyHEALTH >>Panduan Penjagaan Kesihatan Pergigian Untuk Ibu Hamil untuk maklumat lanjut

http://myhealth.moh.gov.my/kesihatan-pergigian-ketika-mengandung/

 

  1. Anak perempuan saya yang berumur 5 tahun mengalami kerosakan gigi yang teruk. Dia selalu menghadapi kesukaran mengunyah makanan. Sekiranya saya ingin mendapatkan rawatan untuk beliau di klinik pergigian kerajaan, apakah proses yang akan dilakukan?

Sila SEGERA bawa anak Puan ke klinik gigi bagi pemeriksaan dan rawatan. Bagi tujuan pendaftaran, sila pastikan Puan membawa dokumen pengenalan diri anak yang rasmi (myKID atau sijil beranak). Seterusnya, anak Puan akan diperiksa oleh Jururawat Pergigian kami. Ini adalah penting untuk mengetahui tahap keterukan penyakit pergigian yang dihadapi dan rawatan yang sesuai. Jururawat akan melakukan rawatan yang diperlukan seperti tampalan mudah, cabutan mudah (gigi susu) dan juga flouride varnish.

Sekiranya rawatan yang lebih kompleks diperlukan, Jururawat Pergigian akan merujuk anak Puan kepada doktor gigi. Doktor gigi akan menjalankan rawatan dan prosedur yang sesuai termasuklah rujukan kepada Pakar Pergigian Kanak-Kanak di hospital sekiranya perlu.

Sila layari Portal MyHEALTH >>Karies Awal Kanak-Kanak untuk maklumat lanjut.

http://myhealth.moh.gov.my/karies-awal-kanak-kanak/


  1. RAWATAN IMPLAN GIGI
  1. Adakah klinik kerajaan menyediakan perkhidmatan implant gigi? Jika ada, apakah cara untuk mendapatkan perkhidmatan ini?

Rawatan implan gigi terdapat di Klinik Pakar Bedah Mulut di hospital kerajaan atau di Klinik Pakar Periodontik di klinik pergigian kerajaan. Untuk mendapatkan rawatan ini, sila berjumpa doktor gigi di klinik pergigian kerajaan yang berdekatan. Doktor gigi akan membuat pemeriksaan, memberi nasihat dan rawatan. Jika perlu, anda akan dirujuk untuk rawatan lanjut contohnya implan gigi.

Sila rujuk Portal MyHEALTH:

http://myhealth.moh.gov.my/implan/ dan http://myhealth.moh.gov.my/mengapa-implan-pergigian/ untuk maklumat lanjut.

 

  1. Saya ingin menjalani rawatan implan gigi. Berapakah kos rawatan ini?

Secara umumnya implan gigi adalah salah satu rawatan alternatif untuk menggantikan gigi yang hilang. Secara puratanya kos rawatan implan bagi sebatang gigi adalah RM3000 dan ke atas bergantung kepada sistem implan yang digunakan. Kos implan gigi ini adalah harga yang dibayar kepada pembekal sistem implan yang digunakan.

Sila layari:

http://myhealth.moh.gov.my/implan/

http://myhealth.moh.gov.my/mengapa-implan-pergigian/

 

  1. Adakah harga implan gigi berbeza jika saya adalah anggota kerajaan?

Tidak. Harga implan gigi adalah sama tidak mengira sama ada pesakit adalah kakitangan kerajaan atau tidak. Namun, bayaran pendaftaran dan rawatan yang lain (contohnya pembedahan dan x-ray) dikecualikan sekiranya surat pengesahan/Guarantee Letter kerajaan (eGL) dikemukakan semasa pendaftaran.

 

  1. CABUTAN GIGI
  1. Apakah prosedur untuk mencabut gigi bongsu (wisdom tooth) di fasiliti kerajaan?

Sila pergi ke klinik pergigian kerajaan yang berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan awal. Doktor gigi akan membuat pemeriksaan untuk mengetahui keadaan gigi bongsu tersebut. Tidak semua gigi bongsu perlu cabutan atau pembedahan. Jika pesakit telah disahkan (oleh doktor gigi) memerlukan rawatan pakar, pesakit akan dirujuk ke Klinik Pakar Bedah Mulut di hospital kerajaan yang berdekatan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH:

Gigi Bongsu

 

  1. Saya dinasihatkan untuk mencabut beberapa batang gigi geraham bawah di kiri dan kanan kerana telah rosak (berlubang besar). Apakah kesan jika gigi tersebut dicabut?

Kehilangan gigi boleh menyebabkan pelbagai masalah. Berbincanglah dengan doktor gigi yang merawat. Sekiranya masih terdapat sebarang kemusykilan dan untuk mengetahui kesan-kesan akibat kehilangan gigi. Sila layari:

Portal MyHEALTH >>Kehilangan Gigi – Bagaimana Ianya Diganti

 

  1. Mengapakah saya masih terasa sakit selepas mencabut gigi geraham semalam walaupun sudah mengambil ubat tahan sakit yang dibekalkan iaitu paracetamol?

Tahap ketahanan seseorang terhadap kesakitan adalah berbeza. Bagi cabutan biasa, ubat tahan sakit berkandungan aktif paracetamol atau acetaminophen adalah mencukupi untuk mengawal kesakitan selepas cabutan. Namun, terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kesakitan yang lebih teruk dari biasa selain tahap ketahanan seseorang seperti:

  1. Keadaan gigi sebelum cabutan contohnya jika terdapat jangkitan atau bernanah.
  2. Rawatan cabutan yang sukar. Selalunya cabutan gigi geraham adalah lebih sakit.
  3. Faktor merokok boleh menjadikan soket cabutan lambat sembuh dan lebih sakit.
  4. Kebersihan mulut pesakit yang kurang memuaskan.
  5. Penjagaan selepas cabutan yang salah seperti menyentuh soket cabutan dengan jari atau lidah. Berkumur-kumur akan melambatkan darah berhenti mengalir.

Jika anda masih mengalami kesakitan yang berlarutan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor gigi di klinik yang sama untuk rawatan atau ubat yang lain.

Sila layari Portal MyHEALTH, Cabutan Gigi untuk maklumat lanjut: Cabutan Gigi

 

  1. Saya telah kehilangan 4 gigi geraham bawah beberapa tahun yang lepas. Saya dapati gigi geraham atas saya telah memanjang hampir mencecah gusi bawah. Apakah rawatan yang sesuai untuk masalah gigi saya ini?

Dari riwayat ringkas yang telah diberikan, kehilangan gigi dalam tempoh masa yang lama menyebabkan pergerakan gigi yang tidak dikehendaki. Sehubungan itu, anda dinasihatkan pergi ke klinik pergigian dan menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan rawatan yang sesuai untuk mengatasi masalah anda.

Sila layari Portal MyHEALTH, Kehilangan Gigi – Bagaimana Ianya Diganti untuk maklumat lanjut:

 

  1. Gigi geraham saya telah dicabut tetapi akar masih ada. Kadangkala saya masih terasa sakit di bahagian tersebut. Apa yang perlu saya lakukan?

Untuk memastikan bahawa sememangnya terdapat akar gigi yang tertinggal, anda perlu membuat pemeriksaan dan siasatan lanjut melalui x-ray untuk tujuan diagnosis dan memudahkan proses rawatan. Langkah ini perlu sekiranya pemeriksaan klinikal tidak memadai.
Jika telah dipastikan sememangnya masih terdapat akar yang tertinggal, akar tersebut perlu dibuang dengan cara cabutan biasa atau pembedahan kecil bergantung kepada keadaan akar dan gusi di kawasan terlibat.
Rawatan ini adalah perlu untuk menghilangkan rasa sakit dan mengelakkan dari komplikasi yang lebih buruk seperti jangkitan dan bengkak di kawasan itu.

Sila SEGERA ke klinik pergigian untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang perlu.

 

  1. Rawatan Pembedahan Rahang
  1. Rahang bawah saya agak ke hadapan berbanding rahang atas. Keadaan ini agak menganggu saya. Adakah klinik pergigian kerajaan menyediakan rawatan pembedahan rahang?

Rawatan pembedahan rahang terdapat di Klinik Pakar Bedah Mulut di hospital kerajaan. Sila pergi klinik pergigian kerajaan yang berhampiran untuk pemeriksaan awal, nasihat dan seterusnya rujukan ke Klinik Pakar Bedah Mulut.

Sila layari Portal MyHEALTH, Pembedahan Rahang Kosmetik untuk maklumat lanjut >> Pembedahan Rahang Kosmetik

 

  1. Berapakah anggaran kos rawatan pembedahan rahang

Anggaran kos rawatan adalah RM3000 ke atas bergantung kepada jenis prosedur yang akan dilakukan.

Sila layari Portal MyHEALTH, Pembedahan Rahang Kosmetikuntuk maklumat lanjut.

 

  1. Berapakah umur yang sesuai untuk melakukan pembedahan rahang?

Umur yang sesuai untuk menjalani pembedahan ini ialah 18 tahun dan ke atas apabila tumbesaran rahang telah lengkap dan berhenti.

Sila layari Portal MyHEALTH, Pembedahan Rahang Kosmetik untuk maklumat lanjut.

 

  1. Penyakit Gusi

Gusi Berdarah

  1. Kenapa gusi saya kerap berdarah?

Punca utama gusi kerap berdarah adalah disebabkan oleh jangkitan atau keradangan yang berlaku pada gusi anda. Jangkitan ini adalah disebabkan oleh kehadiran plak (tahi gigi) yang melekat pada gigi. Terdapat juga beberapa penyakit yang boleh menyebabkan perdarahan seperti leukemia dan juga pengambilan ubat untuk mencairkan darah.
Sila rujuk Portal MyHEALTH untuk maklumat lanjut : >> Gusi Berdarah

  1. Gusi saya kadang-kadang berdarah apabila memberus gigi. Adakah ini normal?

Gusi berdarah bukan keadaan yang normal. Gusi yang sihat tidak akan berdarah walaupun diberus menggunakan berus gigi yang keras. Ini menandakan anda mempunyai masalah gusi. Sila SEGERA ke klinik pergigian untuk pemeriksaan selanjutnya.

Sila rujuk Portal MyHEALTH untuk maklumat lanjut:>> Gusi Berdarah

  1. Kenapa gusi saya masih berdarah walaupun saya rajin memberus gigi dan mendapatkan rawatan scaling (cuci gigi)?

Anda mungkin mengalami masalah gusi (gingivitis/periodontitis). Penyakit gusi adalah penyakit yang kronik (penyakit yang berpanjangan). Menjalani rawatan scaling sahaja tidak memadai. Sila ke klinik pergigian untuk pemeriksaan lanjut. Jika perlu, anda akan dirujuk ke klinik pakar periodontik (gusi) untuk rawatan lanjut.

Sila rujuk Portal MyHEALTH untuk maklumat lanjut: >> Penyakit Gusi

 

Penyakit gusi dan kesihatan badan

  1. Adakah penyakit gusi mempunyai kesan terhadap kesihatan badan?

Ya. Ini kerana mulut adalah sebahagian daripada badan malah merupakan pintu kepada bahagian dalam badan. Penyakit gusi adalah penyakit kronik (berpanjangan) dan ia boleh mempengaruhi kesihatan badan secara amnya dan kepada pesakit kencing manis secara khususnya.

Kaitan Antara Penyakit Gusi dan Badan

Penyakit Periodontium (Gusi) Dan Penyakit Kardiovaskular

 

Gusi bengkak

 

  1. Mengapa gusi saya bengkak semula walaupun saya telah mengambil antibiotik?

Gusi bengkak boleh disebabkan oleh penyakit gusi ataupun gigi yang rosak. Ianya disebabkan oleh bakteria. Pengambilan antibiotik akan melegakan bengkak untuk sementara waktu dan akan bengkak semula dengan bertambahnya bakteria. Sila ke klinik pergigian bagi mengenalpasti punca dan mendapatkan rawatan untuk mengelakkan gusi bengkak semula.

 

  1. Gusi saya selalu bengkak tetapi di tempat yang berlainan dan tidak sakit. Kenapa ini berlaku?

Bengkak gusi pada tempat yang berlainan setiap kali, besar kemungkinan disebabkan oleh penyakit gusi. Anda digalakkan untuk mendapat pemeriksaan gusi secara menyeluruh.

 

  1. Gigi palsu
  1. Berapa lama harus saya menunggu untuk membuat gigi palsu selepas gigi dicabut?

Secara amnya gusi dan tulang penyokong gigi perlu sembuh sepenuhnya sebelum diganti dengan gigi palsu. Ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan. Jangkamasa ini lebih panjang jika seseorang itu merokok, mengalami penyakit kencing manis dan penyakit-penyakit lain.

 

  1. Bolehkah saya mendapat gantian segera untuk gigi palsu selepas cabutan?

Gantian segera tidak digalakkan kerana kawasan cabutan perlu dipastikan sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu seperti gigi hadapan gantian segera boleh dibuat sementara untuk menunggu kawasan cabutan sembuh. Sila rujuk doktor anda.

Sila rujuk Portal MyHEALTH untuk maklumat lanjut: Gigi Palsu

 

Artikel Berkaitan

Keganasan

Apakah itu keganasan? Keganasan adalah satu tindakan agresif ketahap dimana

R

Relaksasi {jcomments off}

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,300,025

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia