Home > Ubat & Anda > Keselamatan pengambilan pelbagai jenis ubat

Keselamatan pengambilan pelbagai jenis ubat

Adakah anda rasa anda perlukan semua ubat yang anda ambil?

Jika anda rasa sihat, adakah anda akan berhenti mengambil ubat anda?

Ketahui sama ada anda telah mendapat faedah sepenuhnya daripada ubat yang anda ambil. Cuba jawab Soal selidik ini.

Mengapa Saya Perlu Banyak Ubat?

Ubat yang diberikan pada anda bertujuan untuk merawat masalah kesihatan anda. Ubat yang berbeza diperlukan untuk merawat penyakit yang berbeza.

Lazimnya, warga tua sering menghadapi masalah kesihatan kronik berbanding dengan orang muda. Contoh penyakit yang biasa dalam kalangan warga tua adalah diabetes, tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

Oleh sebab mereka mempunyai pelbagai jenis masalah kesihatan dalam masa yang sama, adalah menjadi kebiasaan jika mereka perlu mengambil lebih daripada satu jenis ubat. Ubat yang berada di pasaran tidak mempunyai kuasa ajaib untuk merawat semua jenis penyakit sekaligus.

Selain itu, ubat juga diberi untuk tujuan menambahbaik kesan rawatan sedia ada. Sebagai contoh, anda mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan doktor mengarahkan anda mengambil dua jenis ubat darah tinggi.

Mengapa dua jenis? Adakah kesihatan anda semakin terjejas?

Tekanan darah dikawal oleh beberapa jenis sistem di dalam tubuh anda. Ubat darah tinggi yang diberikan akan bertindak ke atas sistem kawalan tekanan yang berbeza-beza.

Apabila anda mula mengambil ubat untuk menurunkan tekanan darah, ubat ini akan bertindak ke atas salah satu sistem kawalan di dalam tubuh anda. Tindakan ubat ini mungkin menyebabkan tubuh anda menggunakan sistem lain untuk meninggikan semula tekanan darah.

Hal inilah yang menyebabkan anda perlu mengambil ubat tekanan darah tinggi yang kedua.

Sebenarnya, kedua-dua ubat yang diberi itu mempunyai cara tindakan yang berbeza di dalam tubuh anda. Walau bagaimanapun, hasil mutakhirnya adalah penurunan tekanan darah ke tahap yang terkawal. Keputusan doktor tadi adalah untuk kebaikan jangka panjang kesihatan anda.

Cara Ambil Ubat Yang Betul

Bukan mudah untuk mengambil pelbagai jenis ubat dengan cara yang betul. Kadangkala sukar untuk mengingati indikasi setiap jenis ubat, bagaimana dan bila setiap satu perlu diambil. Tips berikut boleh membantu memudahkan anda mengambil ubat:

  • Semak label pada ubat sebelum mengambilnya untuk memastikan ia ubat yang betul dan untuk pesakit yang betul
  • Ambil ubat mengikut aturan yang ditetapkan pada label –> pastikan dos, masa dan cara pengambilan ubat yang betul.
  • Cuba wujudkan jadual pengambilan ubat yang teratur dan jadikannya suatu rutin.
  • Jangan mengambil jumlah ubat yang lebih atau kurang daripada yang telah diarahkan.
  • Biasakan diri untuk menyemak tarikh luput pada bekas ubat dan elakkan daripada mengambil ubat yang telah melebihi tarikh luput.
  • Baca dan simpan sebarang maklumat bertulis yang dibekalkan bersama-sama ubat.

Bagaimana Cara Untuk Saya Menguruskan Ubat Saya?

Berikut adalah beberapa strategi mudah yang boleh anda ikuti untuk membantu anda menguruskan ubat-ubatan dengan baik:-

  • Simpan senarai semak / jadual semua ubat dengan preskripsi dan ubat am yang anda ambil. Bagi setiap jenis ubat, catatkan jumlah yang perlu diambil, waktu ia perlu diambil dan maklumat sama ada ia perlu diambil dengan makanan atau tidak. Buat dua salinan jadual berkenaan; satu ditampal pada pintu peti sejuk atau di tempat anda menyimpan ubat, dan satu salinan lagi disimpan di dalam dompet anda.

    Untuk kegunaan Anda

    Nama Ubat
    Kegunaan
    Warna/Bentuk
    Tarikh Mula
    Doktor
    Dos
    Arahan
    xxx xxx xxx xxx xxx xxx xxx

    Contoh Senarai Semak / Jadual Ubat Anda

  • Kaji semula rekod ubat-ubatan pada setiap temujanji dengan doktor dan apabila doktor menambah ubat yang baru kepada anda. Dapatkan bantuan doktor / pegawai farmasi untuk memberi arahan bertulis tentang cara pengambilan ubat ataupun maklumat ubat yang penting.
  • Elakkan menunggu hingga ubat telah habis sebelum mendapatkan bekalan ubat yang baru

Tips Guna Ubat Cara Selamat

  • Simpan senarai semua ubat-ubatan yang dikemaskini secara berkala termasuk ubat dengan preskripsi, ubat am, vitamin, produk herba dan lain-lain produk nutrisi. Pastikan senarai tersebut sentiasa bersama dengan anda.
  • Sentiasa semak dan pastikan semua ubat yang anda terima adalah betul sebelum meninggalkan kaunter farmasi. Minta pegawai farmasi terangkan maklumat pada label ubat sehingga anda faham cara pengambilan ubat yang betul. Rujuk lampiran sebagai panduan soalan yang perlu ditanya.
  • Bincang dengan pegawai farmasi sebelum memotong, menghancur atau membuka tablet atau kapsul anda. Tindakan ini boleh menyebabkan kesan ubat berkurang atau hilang sekiranya ia memang perlu diambil secara keseluruhan.
  • Rujuk pegawai farmasi / doktor sebelum mengambil sebarang jenis ubat baru termasuklah ubat yang dibeli tanpa preskripsi. Pastikan ia tidak berinteraksi dengan ubat sedia ada. Produk berasaskan bahan semulajadi seperti herba juga boleh berinteraksi dengan ubat anda.
  • Simpan semua ubat-ubatan di tempat dingin dan kering yang dikhaskan dan sesuai di rumah anda – bukan di dapur atau di bilik air. Haba dan kelembapan boleh mempengaruhi kesan ubat.
  • Elakkan kekeliruan semasa kecemasan – simpan semua ubat di dalam bekas asal atau bekas yang di label dengan jelas.
  • Ubat yang perlu disimpan di dalam peti sejuk perlu diasingkan daripada bahan lain di dalam peti sejuk. Cuba simpan ubat di dalam bekas khas yang diletakkan di ruang khas di dalam peti sejuk.
  • Ubat makan seperti tablet dan sirap perlu diasingkan daripada ubat kegunaan luar seperti salap dan krim.
  • Pastikan ubat-ubatan disimpan jauh daripada kanak-kanak.
  • Ubat yang telah melebihi tarikh luput atau ubat yang tidak diperlukan lagi (atas arahan doktor) perlu dilupuskan dengan cara yang betul (atau dipulangkan ke kaunter farmasi di fasiliti kerajaan)
  • Jangan sesekali berkongsi ubat anda dengan orang lain.

Jika langkah-langkah ini diikuti, anda mampu mengelak daripada bahaya kesilapan pengubatan. Oleh itu, jangan berlengah lagi! Uruskan ubat-ubatan anda dengan baik supaya anda mendapat faedah sebanyak mungkin daripada pengambilan ubat-ubatan berkenaan.

Semakan Akhir : 11 Ogos 2014
Penulis : Nurshafiqa bt. Mohamad Salim
Akreditor : Rose Aniza bt. Rusli

 

(Visited 221 times, 1 visits today)