Home > Kesihatan Pergigian > Bidang Kepakaran > Kesan Tidak Menjaga Korona Atau Jambatan

Kesan Tidak Menjaga Korona Atau Jambatan

Apakah Tampalan Korona atau Jambatan?

Korona adalah  tampalan gigi tidak langsung yang diproses di makmal pergigian seramik, juga dikenali sebagai cap.  Korona dibuat apabila keadaan struktur gigi memerlukan perlindungan atau terdedah kepada keretakan. Gigi yang memerlukan tampalan korona akan dipotong menjadi kecil sebagai persediaan untuk dilekatkan dengan tampalan korona apabila ia disiapkan dari makmal seramik.(Gambar 1)


Sumber gambar : Onedollardentist.com
Gambar 1: Tampalan Korona

Jambatan adalah tampalan gigi palsu tetap,yang melibat tampalan korona  pada gigi asli bersebelahan gigi yang hilang sebagai gigi tumpang. Apabila terdapat satu atau lebih gigi yang hilang diganti dengan  tampalan jambatan, gigi yang bersebelahan gigi yang hilang akan  ditampal sebagai korona sebagai gigi tumpang kepada gigi palsu yang menggantikan gigi yang hilang (pontic)  tersebut. Ia juga dikenali sebagai gigi palsu separa tetap.(Gambar 2)


Sumber gambar : Onedollardentist.com
Gambar 2: Tampalan Jambatan

Berapa Lamakah Tampalan Korona atau Jambatan Boleh Bertahan?

Berdasarkan teori atau literatur, korona dan jambatan boleh bertahan sekurang-kurangnya sepuluh tahun (Smith 1990) atau seumur hidup; namun biasanya tidak kekal selama-lamanya. Faktor utama yang menyebabkan  jangka hayat jambatan atau korona  yang pendek adalah tahap kebersihan mulut. Oleh itu, adalah sangat penting mendapatkan tunjuk ajar mengenai penjagaan kebersihan mulut yang betul apabila anda mempunyai  tampalan korona atau jambatan supaya anda boleh melakukan penjagaan kebersihan mulut sendiri di rumah.

Apakah yang Dimaksudkan dengan Penjagaan Sendiri di Rumah?

Berikut adalah beberapa cara penjagaan tampalan korona dan jambatan yang perlukan dilakukan oleh pesakit di rumah;

  1. Memberus gigi dengan cara yang betul tiga kali sehari (Gambar 3).
  2. Menggunakan flos untuk membersihkan celah-celah gigi terumanya tampalan korona dan jambatan (Gambar 4)
  3. Jambatan tetap memerlukan pembersihan tambahan di bawah gigi palsu (pontic). Ini kerana gigi palsu telah  bersambung dengan korona gigi bersebelahan. Superflos digunakan untuk membersihkan plak atau sisa makanan yang terdapat dibawah gigi palsu (pontic). Superflos ini  boleh didapati di kebanyakan farmasi (Gambar 5)
  4. Menggunakan berus interdental untuk menggantikan superflos jika ruang antara gigi besar atau ruang dibawah gigi palsu(pontic) tampalan jambatan (Gambar 6).
  5. Elakkan daripada menggigit benda atau makanan yang terlalu keras seperti ketulan ais menggunakan gigi yang ditampal dengan korona atau jambatan kerana ia boleh menyebabkan keretakan pada lapisan luar porselin. Perubahan suhu yang melampau juga akan meningkatkan potensi keretakan lapisan porselin dan gigi asli.
  6. Pemeriksaan gigi dilakukan di klinik pergigian secara berkala setiap enam bulan.

Sumber gambar : martinsouthondentist.co.uk

Sumber gambar : Selluille-dentist.com
Gambar 3: Memberus gigi dengan cara yang betul.
Gambar 4: Mengflos di celah korona.

Sumber gambar : imgkid.com

Sumber gambar : Selluille-dentist.com
Gambar 5: Menggunakan superflos dibawah pontic.
Gambar 6: Menggunakan berus interdental di celah korona.

Apakah Kesan Tidak Menjaga Tampalan Korona dan Jambatan dengan Baik?

Berikut adalah antara komplikasi yang boleh berlaku sekiranya tampalan korona dan jambatan  tidak dijaga dengan baik;

  1. Penyakit Kerosakan Gigi
    1. Karies

      Karies ialah sejenis penyakit kerosakan gigi yang disebabkan oleh bakteria yang terdapat pada plak gigi. Ia boleh menyebabkan gigi yang dijangkiti rosak dan pecah. Jika keadaan ini berlaku pada gigi tumpang tampalan korona atau jambatan, ia akan menyebabkan kegagalan pada tampalan korona atau jambatan.

      Karies biasanya berlaku pada ruang pertemuan tampalan korona dan permukaan gigi tumpang( gambar 7 & 8) yang boleh menyebabkan kegagalan lekatan korona pada gigi tumpang. Tampalan korona dan jambatan masih mudah terdedah kepada karies. Karies lebih cenderung terjadi pada permukaan yang berhampiran gusi terutamanya sekiranya anda tidak mengamalkan  penjagaan kebersihan mulut yang baik di rumah. Karies  boleh menjejaskan jangka hayat korona dengan bermuladi mana-mana gigi dan merebak.


      Sumber gambar : directionsindentistry.net

      Sumber gambar : pixshark.com
      Gambar 7: Karies pada pertemuan lekatan korona dengan gigi.
      Gambar 8: Karies pada pertemuan lekatan korona dengan gigi dikesan dengan peralatan pergigian.

      Apakah Rawatan bagi Karies yang Berkaitan dengan Tampalan Korona dan Jambatan?

      1. Membuat tampalan secara terus dengan bahan tampalan konvensional

        Sekiranya karies tidak mengganggu lekatan korona atau jambatan, ianya boleh ditampal dengan menggunakan tampalan secara terus sama ada menggunakan komposit atau gelas ionomer.

      2. Membetulkan korona  atau jambatan

        Dalam keadaan yang melibatkan keadaan tampalan korona atau jambatan rosak kecil seperti keretakan sedikit pada lapisan porselin atau permukaan yang kasar, ia boleh menyebabkan pengumpulan plak pada permukaan tampalan yang menjadi punca karies.  Keretakan porselin boleh  dibaiki  dengan menggunakan bahan tampalan pergigian khas untuk baiki porselin, bergantung pada permukaan gigi yang terlibat. Manakala permukaan tampalan yang kasar, boleh diratakan dengan menggunakan polishing bur.

      3. Membuat semula tampalan korona atau jambatan yang baru

        Dalam keadaan kerosakan yang teruk, di mana gigi memerlukan rawatan yang rumit seperti rawatan akar gigi kerana karies telah merebak dan telah menyebabkan kerosakan pada salur akar gigi tumpang. Bila keadaan ini berlaku, kebiasaan berlaku kegagalan pada lekatan tampalan korona pada permukaan gigi dan dengan itu tampalan korona atau jambatan perlu dibuat semula.

        Sekiranya keseluruhan struktur gigi tumpang sudah reput disebabkan oleh karies, gigi perlu dicabut. Tampalan korona atau jambatan perlu diganti dengan tampalan baru sama ada implant, jambatan atau gigi palsu.

  2. Penyakit Gusi / Keradangan Gusi
    1. Gingivitis (Gambar 9)

      Gingivitis adalah satu keadaan keradangan gusi yang biasanya boleh diterbalikkan dengan memberus gigi dan menggunakan flos setiap hari dan juga perkhidmatan penskaleran berkala oleh doktor gigi serta pakar gusi. Bentuk penyakit gusi tidak melibatkan kehilangan tulang dan tisu yang memegang gigi di tempatnya. Tanda-tanda gingivitis biasanya adalah gusi didapati senang berdarah dan kelihatan bengkak.

    2. Penyakit periodontal / Periodontitis(Gambar 10)

      Apabila gingivitis tidak dirawat, ia boleh berubah ke periodontitis (yang bermaksud keradangan di sekitar gigi). Dalam periodontitis, lekatan gusi antara gigi akan hilang dan keadaan akan menyebabkan ruang terhasil (dipanggil poket) yang dijangkiti. Sistem imun badan melawan bakteria merebak dan bertambah bersama-sama plak di bawah garis gusi. Toksin bakteria yang terhasil daripada tindak balas terhadap jangkitan tersebut mula menghancurkan tulang dan tisu penghubung yang memegang gigi di tempatnya. Jika tidak dirawat, tulang dan tisu yang menyokong gigi dimusnahkan. Gigi akhirnya boleh menjadi goyang dan perlu dicabut. Jika periodontitis terjadi pada gigi yang terdapat tampalan korona atau gigi tumpang tampalan jambatan, gigi perlu dicabut dan secara tidak langsung anda akan kehilangan tampalan korona dan jambatan.


      Sumber gambar : bucodental. Comule.com

      Sumber gambar : bucodental. Comule.com
      Gambar 9: Gingivitis
      Gambar 10: Penyakit periodontal

Apakah Rawatan bagi Penyakit Gusi yang Berkaitan dengan Tampalan Korona dan Jambatan?

Matlamat utama rawatan adalah untuk mengawal jangkitan. Bilangan dan jenis rawatan akan berbeza-beza, bergantung kepada tahap penyakit gusi. Setiap rawatan yang akan dilakukan memerlukan anda mengamalkan penjagaan kebersihan mulut harian yang baik secara berterusan di rumah.

Doktor gigi, pakar gusi, atau pakar kebersihan pergigian membersihkan gigi melalui kaedah penskaleran  dan pengetaman akar gigi yang terlibat . Rawatan  ini melibatkan pembersihan tartar dan plak  di permukaan gigi dari atas dan di bawah garis gusi menggunakan mesin.

Dalam kes-kes yang teruk, gigi perlu dicabut kerana terlalu goyang  dan tampalan korona atau jambatan mungkin perlu digantikan dengan tampalan baru sama ada  jambatan baru, implan atau gigi palsu.

Kesimpulannya, korona menguatkan bahagian gigi di atas gusi tetapi kawasan lekatan korona dan gigi  ini memerlukan penjagaan khas. Memberus dan menggunakan flos setiap hari di rumah adalah satu kemestian bagi memastikan jangka hayat tampalan korona atau jambatan berpanjangan. Mendapat tunjuk ajar dari doktor gigi anda penjagaan kebersihan tampalan korona dan jambatan adalah sangat penting bagi mengekalkan kebersihan korona atau jambatan serta rongga mulut. Ini kerana, bagaimanapun juga sempurna tampalan korona atau jambatan anda, karies gigi dan penyakit periodontal masih boleh terjadi sekiranya kebersihan mulut tidak dijaga dengan baik dan berterusan di rumah.

Rujukan

  1. Smith BGN.( 1990) Crown and Bridge failure and repair. In: Planning and Making crowns and Bridges 3th edn. Martin Dunitz Ltd,; 255-274
  2. Walton JN, Gargner FM, Agar JR. (1986) A survey of crown and fixed partial denture: length of service and reasons for replacement. J Prosthet. Dent; 56: 416-421
  3. www.nidcr.nih.gov/oralhealth/Topics/GumDiseases/PeriodontalGumDisease.htm

  

Semakan Akhir : 11 Mei 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Nik Fareedah bt. Mustafa
Akreditor : Dr. Rohani bt. Mahmood