A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Kesan Perubahan Tekanan Udara...

Kesan Perubahan Tekanan Udara Pada Pendengaran (Barotrauma)

Barotrauma ialah kecederaan akibat perubahan tekanan udara dalam telinga.

Barotrauma ialah kecederaan akibat perubahan tekanan udara dalam telinga. Biasanya telinga menjadi tidak selesa disebabkan oleh perbezaan tekanan udara antara luaran/sekeliling dan dalaman telinga. Keadaan ini menyebabkan rasa sakit pada telinga dan kadangkala boleh mengakibatkan masalah pendengaran.

Bagaimana Barotrauma Boleh Menjejaskan Pendengaran

http://www.mountsinai.org/patient-care/health-library/diseases-and-conditions/barotrauma

Telinga terbahagi kepada 3 bahagian iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Telinga tengah terletak antara telinga luar dan telinga dalam. Di bahagian telinga tengah terdapat ruang udara, tulang osikel dan tiub Eustachia. Tiub Eustachia adalah penghubung antara telinga tengah dengan hidung dan tekak.

Pada keadaan normal, tekanan udara pada telinga tengah (yang dipisahkan oleh gegendang telinga dengan bahagian telinga luar) adalah sama dengan tekanan udara luaran. Tiub Eustachia akan terbuka ketika menelan atau mengunyah untuk membenarkan udara keluar masuk dari telinga tengah. Proses ini adalah untuk memastikan tekanan udara dapat diseimbangkan antara dalam dan luar telinga.

Walau bagaimanapun, tekanan udara dalam telinga boleh berubah dengan melampau jika tiub Eustachia tersumbat. Keadaan ini juga dipanggil barotrauma.

http://www.drugs.com/health-guide/barotrauma.html

Bagaimana Barotrauma Berlaku?

Perubahan tekanan udara mewujudkan ruang vakum di dalam telinga tengah dan menarik gegendang telinga ke dalam. Jika perubahan tekanan tersebut berlaku secara mendadak ia boleh mengakibatkan rasa sakit ataupun kecederaan pada telinga.

Sesetengah kes barotrauma yang teruk, akan menyebabkan pengumpulan cecair (serous otitis media), yang ditarik keluar daripada lapisan saluran darah pada bahagian telinga apabila badan cuba mengimbangkan semula tekanan pada kedua-dua bahagian gegendang telinga. Cecair ini hanya boleh dikeluarkan jika Tiub Eustachia terbuka dengan baik. Pengumpulan cecair di belakang gegendang yang menyerupai jangkitan pada telinga tengah boleh menyebabkan rasa sakit dan kesukaran untuk mendengar.

Barotrauma yang teruk juga boleh menyebabkan kebocoran gegendang telinga dan seterusnya boleh menjejaskan pendengaran. Namun bagi kes yang sangat teruk, keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan pada organ pendengaran di bahagian telinga dalam sekaligus menyebabkan masalah keseimbangan.

Faktor Risiko

Aktiviti berisiko yang boleh menyebabkan kesan perubahan tekanan dalam telinga ialah:

  • Menaiki kapal terbang
  • Menyelam
  • Mendaki gunung
  • Pendedahan pada bunyi yang sangat kuat seperti letupan
  • Sukan ekstrem  seperti terjunan bebas dari tempat tinggi

Faktor menyebabkan tiub Eustachia tidak berfungsi antaranya ialah:

  • Allergi hidung atau selsema
  • Jangkitan telinga tengah
  • Tiub Eustachia tidak normal sejak lahir (kongenital)
  • Tumor yang menjejaskan fungsi tiub Eustachia
  • Sumbing pada lelangit atau bibir.

Tanda-Tanda Barotrauma

  • Tidak selesa atau sakit pada telinga – Rasa seperti ditekan di dalam telinga
  • Telinga rasa seperti tersumbat
  • Bunyi berdesing di dalam telinga (Tinnitus)
  • Keluar darah dari dalam telinga – pada kes yang teruk
  • Masalah pendengaran

Langkah-Langkah Melindungi Telinga Dari Kesan Perubahan Tekanan

  • Sekiranya mengalami selsema atau allergi pada hidung, elakkan dari melakukan aktiviti yang melibatkan perubahan tekanan mendadak seperti menyelam atau menaiki kapal terbang. Dapatkan rawatan dan nasihat doktor sebelum meneruskan aktiviti.
  • Penggunaan penyumbat telinga (ear plug) membantu untuk mengurangkan kesan perubahan tekanan dalam telinga.
  • Ketika dalam penerbangan, disarankan untuk mengunyah makanan atau menelan air liur ketika fasa pelepasan dan pendaratan.
  • Bagi aktiviti menyelam, penyelam disarankan untuk menyelam dan timbul secara perlahan-lahan bagi membolehkan tekanan udara diseimbangkan secara semulajadi.

Pengurusan Audiologi

Ujian Audiologi yang dijalankan bagi pesakit barotrauma ialah:

  • Ujian Timpanometri
    Ujian ini adalah untuk mengukur fungsi telinga tengah. Keputusan ujian timpanometri memberikan maklumat keadaan telinga tengah seperti tekanan yang terlalu rendah atau tinggi, kehadiran cecair atau gegendang telinga berlubang.
  • Ujian Audiometri Nada Tulen
    Ujian ini untuk mengetahui tahap pendengaran samada keadaan barotrauma memberi kesan pada pendengaran. Bagi sesetengah kes akan menyebabkan masalah pendengaran konduktif sekurang-kurangnya pada tahap ringan ke sedehana.

Kesimpulan

Perubahan tekanan udara dalam telinga atau barotrauma boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Kebiasaannya barotrauma boleh dirawat dan dipulihkan namun terdapat juga kesan barotrauma yang kekal dan menjejaskan pendengaran. Hubungi Pegawai Audiologi di hospital berdekatan bagi mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan barotrauma dan kesannya pada pendengaran.

Rujukan

Semakan Akhir : 30 Mei 2018
Penulis/Penterjemah : Rosnani bt. Rajikan
Akreditor : Khadijah Azura bt. Salim

Artikel Berkaitan

Alat Bantu Pendengaran : Teknologi RIE (Receiver-In-The-Ear)

RIE (receiver-in-the-ear) merupakan alat bantu pendengaran dengan kedudukan receiver atau speaker diletakkandi dalam salur telinga. Ini merupakan inovasi alat bantu pendengaran jenis belakang telinga yang memberi bunyi yang lebih baik dan mengecilkan saiz alat bantu pendengaran. Kebiasaannya alat ini dihubungkan dengan dome atau insert eartip. namun boleh juga menggunakan ear mould bergantung kepada tahap masalah pendengaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,233,757

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia