Home > Umum > Forensik > Kesan Corak: Apa Yang Kita Dapat Tahu?

Kesan Corak: Apa Yang Kita Dapat Tahu?

Apa Itu Kesan Corak?

Dalam segala sesuatu yang kita lakukan, kita pasti akan meninggalkan tanda di mana sahaja kita pergi. Sebuah kereta akan meninggalkan trek tayar, kasut pada kaki akan membuat cetakan kasut dan pemutar skru yang digunakan untuk membuka tudung cat juga akan meninggalkan tandanya. Prinsip mudah yang telah dicadangkan oleh Edmund Locard adalah ‘setiap sentuhan meninggalkan jejak’ dan paling sesuai digunakan dalam bidang kesan tanda dan jejak, di mana apabila dua perkara diletakkan bersama-sama, mereka akan cenderung untuk meninggalkan tanda pada satu sama lain.

Jenis Kesan Corak      

Bukti kesan tandaan melibatkan interaksi antara dua atau lebih permukaan atau objek dengan cara sama ada meninggalkan tanda pada yang lain atau memindahkan sebahagian daripada permukaan satu atau kedua-duanya. Tandaan terbentuk oleh sentuhan dan pengekalan ciri-ciri dari setiap objek-objek ini.

Jenis-jenis tanda corak termasuklah (tetapi tidak terhad kepada) kesan tapak kasut, kesan tayar dan kesan alat.

Kesan Tapak Kasut      

Jejak tapak kasut sering ditemui di tempat kejadian jenayah. Bukti ini boleh memberi maklumat tertentu kepada penyiasat yang boleh membantu mereka dalam usaha mencari suspek.

Kebanyakan bahan bukti tapak kasut, apabila dikumpulkan dan dipelihara dengan betul, boleh member maklumat jenis kasut, pengilang, anggaran saiz, berapa orang suspek, jalan masuk dan keluar yang dilalui di tempat kejadian, bukti penglibatan dan peristiwa-peristiwa semasa berlakunya jenayah.

Bukti kesan tapak kasut boleh didapati dalam dua bentuk, iaitu secara jejak dan cetakan. Kesan ini biasanya digambarkan sebagai gambaran tiga dimensi, seperti kesan dalam lumpur atau bahan yang lembut, manakala cetakan boleh dibuat di atas permukaan yang keras oleh debu, serbuk, atau medium lain yang serupa.

Gambar 1 dan 2 : Contoh kesan tapak kasut yang boleh dijumpai di sesuatu tempat kejadian
(Sumber:forensicmindslcc.yolasite.com)

Kesan Tayar    

Jejak tayar adalah sumber bukti yang signifikan, yang merencana laluan masuk dan keluar dari tempat kejadian. Apabila tayar diterima untuk perbandingan, jejak ujian biasanya dilakukan untuk membantu penganalisis. Seperti dalam kes kesan tapak kasut, apabila ciri terperinci individu hadir antara tayar dan kesan yang diterima dari tempat kejadian, ia adalah mungkin untuk mengenal pasti kesan tersebut kepada tayar tertentu.

Ketika memeriksa kesan jejak tayar, penganalisis itu akan ambil perhatian:

  1. Rekaan pengeluar
  2. Saiz
  3. Corak pemakai
  4. Ciri-ciri individu
  5. Susunan yang tayar atas kenderaan yang disyaki
  6. Susunan tayar yang ditemui di tempat kejadian
  7. Bilangan alur
  8. Rekaan bunga
  9. Lain-lain ciri-ciri individu

Jejak tayar ditemui di tempat kejadian jenayah yang boleh dikemukakan sebagai acuan plaster, gambar, lif elektrostatik atau sebagai kesan di atas kertas atau kad bod.

Gambar 3 dan 4 : Contoh kesan tayar yang boleh dijumpai di tempat kejadian (luar atau dalam)
(Sumber:www.forensicsciencesimplified.org)

Kesan Alat       

Bahan bukti kesan alat biasa berlaku dalam kes-kes pecah masuk premis, kecurian, serangan dan pembunuhan. Matlamat analisis kesan alat adalah untuk menentukan sama ada alat tertentu menghasilkan tanda-tanda tertentu. Oleh sebab proses pembuatan dan penggunaan alat dalam sesuatu jangka masa, maka ciri-ciri mikroskopik yang unik boleh ditunjukkan, seterusnya membolehkan kesan alat boleh dikenal pasti secara positif sebagai berasal daripada sesuatu alat yang tertentu.

Alat-alat yang biasa digunakan:

  1. Pemotong bolt.
  2. Pengungkit bar.
  3. Pemutar skru.
  4. Penebuk lubang.
  5. Penukul.
  6. Pisau.

Bahan bukti yang biasa diterima:

  1. Mangga Kunci.
  2. Peti besi.
  3. Bingkai tetingkap.
  4. Bingkai pintu.
  5. Tombol pintu.
  6. Tayar.


Gambar 5 : Contoh kesan alat yang dijumpai
(Sumber : www.maine.gov)

Kesan Corak Pada Tubuh Badan

Kesan corak pada kulit seseorang individu boleh dilihat sebagai lebam.


Gambar 6 : Contoh kesan corak pada tubuh manusia
(Sumber : www.deviantart.com)

Kesan Corak di Tempat Kejadian

Item kasut dan jejak kesannya yang kekal di tempat kejadian menjadi bahan bukti yang boleh dipercayai dan demonstrative terhadap kehadiran seseorang. Kedua-dua teknik acuan makro dan mikro digunakan untuk perbandingan kesan tapak kasut, kesan tayar dan kesan-kesan lain. Selain teknik acuan, kesan corak boleh dipindahkan dari pelbagai permukaan. Teknik ini termasuk angkatan (lift) gel atau menggunakan peranti elektrostatik. Kemudian, ia boleh dibandingkan dengan kesan corak yang diketahui dan yang telah disediakan di makmal.

Bagaimana Kesan Corak Membantu Penyiasatan       

Perbandingan kesan tapak kasut dan kesan bunga tayar boleh dilakukan dengan kasut atau tayar yang dikemukakan. Bukti kesan corak boleh diperiksa dalam bentuk gambar, angkatan (lift), atau item asal yang mengandungi kesan. Kasut boleh dikenal pasti secara muktamad dengan kesannya jika terdapat cukup cirri-ciri terperinci untuk mengenal pasti kasut tersebut. Tayar boleh dikenal pasti secara positif dengan kesannya jika kriteria-kriteria yang sama telah dipenuhi.

Kasut adalah item pakaian yang menarik.Ia dibuat dalam pelbagai cara dan dalam beribu-ribu reka bentuk. Sebaliknya, setiap reka bentuk dibuat dalam pelbagai perbezaan saiz. Reka bentuk dan ciri-ciri lain tapak luar kasut akan semakin berubah akibat pemakaian. Mereka memperoleh luka, calar dan ciri-ciri lain yang bersifat rawak. Ciri-ciri ini berfungsi untuk memberikan mereka sifat individu. Memandangkan mereka meninggalkan kesan pada tanah, salji, pasir, sis, dan bahan-bahan lain, serta menyokong berat badan pemakainya, mereka mempamerkan ciri-ciri individu yang berbeza pada atau ke dalam permukaan yang mana mereka lalui.

Bagi membandingkan alat yang dikemukakan daripada suspek dengan tanda yang dikenali sebagai bahan bukti, ujian kesan corak perlu dibuat ke atas  bahan yang sama. Biasanya, plumbum lembut digunakan untuk tujuan perbandingan. Gambaran ujian dan tanda yang dikenali dibandingkan sebelah menyebelah pada mikroskop perbandingan untuk menentukan jika terdapat apa-apa ciri-ciri individu yang boleh menghubungkan kedua-dua bahan. Dua jenis tanda yang dikenalpasti dalam peperiksaan kesan alat adalah jaluran dan kesan corak. Jaluran terbentuk oleh tindakan gelongsor atau mengikis satu bahan di atas yang lain, manakala kesan corak adalah mampatan atau kesan tandaan.

Bagaimana Penerimaan Bahan Bukti Kesan Corak Di Mahkamah

Ramai peguam telah berusaha untuk menolak kredibiliti pemeriksa daripada kes dengan mendakwa bahawa pemeriksaan kesan corak pada bahan bukti adalah tidak teguh dalam bidang sains atau kesimpulan pemeriksa adalah secara subjektif sahaja dan tidak boleh dipercayai. Asas saintifik dan objektif terdapat dalam mana-mana perbandingan kesan tanda oleh pemeriksa yang berpengalaman. Sejak kebelakangan ini, beberapa kumpulan penyelidik yang berbeza sedang berusaha untuk membuat perbandingan kesan tanda secara objektif dengan menggunakan perbandingan algoritma statistik untuk mengukuhkan idea-idea pemeriksaan kesan corak.

Rujukan

  1. Nota kuliah untuk Forensic Evidence and The Aspects of Law. Sarjana Sains Forensik. Universiti Teknologi Malaysia. 2010.
Semakan Akhir : 19 Mei 2015
Penulis : Salina bt. Hisham
Akreditor : Khoo Lay See