Punca

Pengenalan

Persatuan Kajian Kesakitan Sedunia (The International Association for the Study of Pain (IASP)) mendefinisikan kesakitan sebagai satu pengalaman deria dan emosi yang tidak selesa akibat kerosakan tisu yang sama ada sudah berlaku atau berpotensi untuk berlaku atau seperti diterangkan apabila kerosakan berlaku.

Ciri-ciri kesakitan akut

  • Jangka masa kesakitan kurang dari 30 hari.

  • Berlaku secara tiba-tiba.

  • Biasanya bersifat “tajam”.

  • Sebagai tanda amaran suatu penyakit atau mudarat kepada badan.

  • Hilang apabila penyebab kesakitan telah dirawat atau sembuh. Kesakitan akut yang tidak hilang mungkin menjadi kesakitan kronik dan mengganggu kualiti kehidupan.

  • Selalunya disebabkan oleh pengaktifan reseptor kesakitan (somatik atau visceral) sebagai tindak balas kerosakkan tisu.

Kesakitan boleh dibahagikan kepada jenis-jenis berikut:

  • kesakitan “nociceptive” (disebabkan oleh kerosakan kepada tisu badan).

  • kesakitan “neuropathic” (disebabkan oleh kerosakan atau kepincangan sistem saraf). Ini selalunya menyebabkan kesakitan kronik.

  • kesakitan “campuran”, campuran kedua-dua jenis di atas.

Contoh kesakitan nociceptive akut:

  1. Kesakitan radang sendi (arthritis) seperti osteoarthritis, gout atau rheumatoid arthritis.

  2. Kesakitan tulang, otot dan daging (musculoskeletal) daripada osteoporosis, spondylosis, terseliuh, kekejangan dan lain-lain.

  3. Masalah gangguan pengedaran darah seperti angina dan claudication.

  4. Kesakitan kanser.

  5. Selepas pembedahan, selepas kecederaan tisu lembut akibat jatuh seperti luka, lebam, patah dan sebagainya.

  6. Kesakitan ulser dan penyakit organ dalaman.

  7. Terbakar, tertusuk, tercedera dan sebagainya.

  8. Sakit gigi dan yang berkaitan.

  9. Lain-lain.

Tanda dan Gejala

Kesakitan nociceptive boleh dibahagikan kepada:

  • Kesakitan somatik luaran (superficial somatic) dan

  • Kesakitan somatik dalaman (deep somatic) atau kesakitan visceral (visceral pain), dari organ dalaman.

Kesakitan somatik luaran (superficial somatic) bermula apabila nociceptor di bahagian kulit dan tisu luaran menjadi aktif.

Contohnya kesakitan radang sendi akibat osteoarthritis, gout atau rheumatoid arthritis; kesakitan akan berlaku apabila sendi-sendi terlibat digerakkan. Ia akan disertai oleh bengkak dan hangat di bahagian tersebut.

Kesakitan somatik dalaman (deep somatic) berlaku apabila reseptor kesakitan di bahagian otot, tulang, saluran darah, fasia dan daging terangsang. Ia merupakan kesakitan yang tumpul, lenguh dan sukar untuk menentukan lokasi tempat yang sakit dengan tepat.

Kesakitan visceral (visceral pain) berpunca daripada kesakitan organ dalaman yang amat sukar ditentukan lokasinya.

Di samping itu beberapa jenis organ dalaman menghasilkan kesakitan rujukan (referred pain) apabila organ itu tercedera. Rasa kesakitan berada di kawasan yang jauh dari punca asal akibat kecederaan atau patologi. Kesakitan di dada dan merebak ke leher adalah satu contoh kesakitan rujukan disebabkan oleh sakit jantung angina.

Komplikasi

Jika lewat mendapat rawatan kesakitan akut akan memanjangkan penderitaan dan mungkin mengakibatkan kerosakan ke tahap yang tidak boleh dirawat. Komplikasinya adalah seperti berikut:

  1. Gangguan fungsi: warga emas mungkin memerlukan pertolongan dalam mengendalikan aktiviti kehidupan hariannya. Ramai yang tidak dapat bergerak akibat kesakitan.

  2. Meracau (delirium): terdapat warga emas meracau dan menjadi tidak keruan apabila mereka di dalam kesakitan. Ini berlaku terutamanya di kalangan yang mempunyai masalah kognitif.

  3. Meningkatkan kos rawatan dan pengunaan perkhidmatan kesihatan.

Kesakitan akut yang tidak dirawat akhirnya akan bertukar kepada kesakitan kronik dan menyebabkan kesakitan psikologikal (psychological pain). Kesakitan psikologikal akan menyebabkan kesusahan dan penderitaan berpanjangan. Gejalanya termasuk perubahan emosi tidak menentu dan mudah resah. Masalah tidur adalah satu isu yang penting dalam aspek ini. Sesetengah pesakit menjadi terpinggir, kurang bergaul dan akhirnya menjadi murung.

Rawatan

  • Kesakitan akut akan berhenti apabila kecederaan sembuh atau apabila puncanya berjaya dirawat.

  • Kejayaan rawatan bergantung kepada kejayaan mengubati puncanya. Tanpa rawatan yang betul kesakitan akut boleh memberi kesan ke atas aktiviti harian dan kualiti kehidupan seseorang warga emas.

Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Dr. Yau Weng Keong
Penyemak : Dr. Ungku Ahmad Ameen bin Ungku Mohd Zam