Home > Umum > Forensik > Kerana Arak Badan Binasa

Kerana Arak Badan Binasa

Sebuah trak hitam polis membawa dua jasad yang terbujur kaku ke rumah mayat di sebuah hospital kerajaan. Hanya sejam yang lalu, kedua-dua jasad tersebut berada di dalam sebuah kereta mewah memecut laju di Lebuhraya Persekutuan. Setengah jam sebelumnya pula, mereka meninggalkan sebuah kelab malam setelah berseronok sambil meneguk arak.

Mengapakah padah sebegini berlaku? Adakah ini pengakhiran bagi suatu penghidupan?


Mayat di tempat kejadian akan ditutup sebelum dibawa ke hospital untuk bedahsiasat. Sumber dari http://perigitimur.blogspot.com.

Segala-galanya kerana inginkan keseronokan sementara. Arak yang ditagih, maut yang menjelma.

Andai sesuatu kes kemalangan maut seperti ini berlaku, pemeriksaan bedahsiasat akan dijalankan. Bedahsiasat atau autopsi ini dilakukan untuk mengetahui sebab sebenar mengapa kemalangan itu berlaku.

Bedahsiasat adalah satu proses pemeriksaan saintifik bagi menentukan sebab kematian. Sebab kematian individu yang terlibat dalam kemalangan perlu dikenalpasti bagi memberikan keadilan kepada mereka yang terlibat, sama ada yang hidup ataupun yang mati.

Namun, ramai yang tidak mengetahui mengapa pemeriksaan bedahsiasat dijalankan ke atas mayat mangsa kemalangan. Pelbagai spekulasi dan cerita diperdengarkan ke cuping telinga ahli keluarga sehingga mempengaruhi emosi dan rasional mereka.

Bedahsiasat Sebahagian Daripada Siasatan

Dalam sesuatu kes seperti contoh di atas, faktor pemberat adalah kepada beberapa persoalan yang perlu dirungkaikan oleh pegawai penyiasat. Dalam situasi sebegini, pegawai penyiasat (polis) memiliki sepenuh kuasa untuk menyelesaikannya dengan apa cara sekalipun.

Di antara persoalan yang dibebankan kepada pihak polis adalah; bagaimanakah kemalangan itu berlaku? Adakah mangsa di bawah pengaruh dadah dan alkohol? Adakah pemandu mengantuk semasa kejadian? Adakah terdapat lain-lain perkara yang menyumbang kepada kemalangan ini? Bagaimana dengan kesihatan mangsa sebelum kemalangan?

Mengikut perundangan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), had bagi kandungan alkohol di dalam darah seseorang yang sedang memandu kenderaan bermotor adalah sebanyak 80 miligram bagi setiap 100 mililiter darah. Manakala sebanyak 107 miligram alkohol pula bagi setiap 100 mililiter air kencing. (Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang, Malaysia, 2006)

Berdasarkan pernyataan ini, jika seorang pemandu mabuk dengan had alkohol yang tinggi terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematiannya atau orang lain, beliau telah melakukan kesalahan jalanraya. Oleh kerana itu, adalah penting bagi pegawai penyiasat mendapatkan kepastian sama ada mangsa kemalangan maut itu berada di dalam keadaan mabuk atau tidak.

Arak Boleh Membunuh

Arak adalah minuman yang diperam sehingga beralkohol. Ia adalah sebatian dadah yang paling awal dihasilkan dan digunakan oleh masyarakat dunia (Kobilinsky, 2012).

Arak yang biasa diminum ini adalah ethanol dengan struktur kimianya CH3CH2OH (Kobilinsky, 2012).

Individu yang meminum arak dengan banyak setiap hari (lebih daripada enam gelas) lebih mudah menghidap penyakit-penyakit yang boleh membawa maut. Bukan itu sahaja, arak boleh menyebabkan kematian dalam pelbagai cara seperti keganasan, kemalangan, keracunan toksik dan sebagainya (Kobilinsky, 2012).

Apabila seseorang meminum arak dalam jumlah yang banyak, ia memberi kesan kepada fungsi motor dalam tubuhnya. Fungsi motor yang dikawal oleh sistem saraf pusat akan terkesan akibat daripada tindakbalas kimia alkohol kepada sistem tubuh (National Institute of Health, 2008).

Akibatnya, fungsi otak akan terganggu sehingga menjejaskan tumpuan. Pada suatu tahap, seseorang yang meminum alkohol pada kadar yang terlalu tinggi boleh menjadi koma dan seterusnya mati.

Bayangkan bagaimana kesan alkohol kepada individu yang sedang memandu. Tentu sahaja pemandu itu tidak dapat mengawal pemanduannya secara normal. Ia boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Kerana itulah pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain boleh dikenakan tindakan di bawah Perkara 44. (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pesalah boleh dipenjarakan sehingga sepuluh tahun dan didenda sesehingga dua puluh ribu ringgit. Di atas perintah mahkamah juga berdasarkan akta yang sama di bawah Perkara 44. (3), seseorang pesalah boleh digantung lesennya sehingga lima tahun bagi kesalahan yang sama (Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang, Malaysia, 2006).

Maklumat Bedahsiasat Amat Penting

Semasa pemeriksaan bedahsiasat, sampel darah dan air kencing daripada mayat diambil. Sekurang-kurangnya 10 mililiter darah dan 25 mililiter air kencing diambil untuk tujuan analisis toksikologi (Jabatan Kimia Malaysia, 2004).

Analisis toksikologi ini dijalankan bertujuan untuk mendapatkan kepastian sama ada terdapat pengaruh alkohol atau dadah semasa kejadian tersebut berlaku. Darah dan air kencing amat sesuai dijadikan sampel  bagi analisis kandungan dan kepekatan alkohol serta dadah (Kobilinsky, 2012).

Kandungan kedua-dua bahan ini tidak akan terdapat di dalam tubuh mayat seandainya mangsa tidak mengambilnya (secara minum atau suntikan) sebelum kematiannya. Walau bagaimanapun, ada juga kedapatan kandungan alkohol yang rendah bagi kes-kes kematian yang telah lama sehingga sampel  darah dari mayat telah mereput (decomposed).


Sampel arak yang dianalisis di makmal sebagai sebahagian daripada siasatan.

Kedua-dua sampel darah dan air kencing ini akan diuji menggunakan teknik kromatografi gas. Teknik ini adalah teknik yang berkesan untuk mengukur kepekatan alkohol dalam sesuatu sampel. Kedua-dua sampel akan dibiarkan meruap sehingga membebaskan semua kandungan bahan yang boleh meruap termasuk alkohol. Ia kemudian dianalisis untuk menentukan identiti bahan dan kepekatannya di dalam sampel.

Dengan mendapatkan kepastian kepekatan alkohol di dalam darah dan air kencing mayat, pegawai penyiasat boleh membuat kesimpulan penuh yakin bahawa terdapatnya pengaruh alkohol semasa kemalangan berlaku.

Seronok Membawa Padah

Akhirnya, kedua-dua jasad mangsa kemalangan maut itu akan diserahkan semula kepada waris mereka. Pada peringkat ini, waris yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai akan mendapati bahawa pemeriksaan bedahsiasat yang dilakukan membantu mereka untuk lebih memahami kejadian yang berlaku. Pihak polis akan memberikan sedikit penerangan sambil dibantu oleh doktor yang menjalankan bedahsiasat.

Maka jelaslah pada siasatan awal polis yang mendapati bahawa kemalangan tersebut adalah berpunca daripada pengaruh arak. Maklumat itu pula disokong dengan keterangan saksi (rakan-rakan dan orang sekeliling) yang melihat bagaimana kedua-dua mangsa berseronok di kelab malam sebelum kemalangan.

Demikianlah bedahsiasat menjawab persoalan sebenar kematian yang berlaku. Hanya kerana mengejar keseronokan, mereka tidak sedar ia membawa padah.

Rujukan

  1. Jabatan Kimia Malaysia. (2004). Laman Web Rasmi Jabatan Kimia Malaysia. Retrieved 06 20, 2013, from http://www.kimia.gov.my: http://www.kimia.gov.my/images/document/forensik/borang%20kimia%2015.pdf
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2012, 02 22). Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. Retrieved 06 19, 2013, from http://www.moh.gov.my: http://www.moh.gov.my/circulars/253?mode=kkm
  3. Kobilinsky, L. (2012). Forensic Chemistry Handbook. New Jersey: John Wiley & Sons, Inc.
  4. National Institute of Health. (2008, 04). National Institute of Alcohol Abuse and Alcoholism. Retrieved 06 20, 2013, from http://www.niaaa.nih.gov: http://www.niaaa.nih.gov/alcohol-health/alcohols-effects-body
  5. Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang, Malaysia. (2006, 07 01). Kementerian Pengangkutan Malaysia. Retrieved 06 19, 2013, from http://www.mot.gov.my: http://www.mot.gov.my/Sectoral/Documents/Land/Akta%20Pengangkutan%20Jalan%201987%20%28akta%20333%29.pdf

 

Semakan Akhir : 7 Januari 2014
Penulis : Khairul Adli b. Nikman
Akreditor : Dr. Shahidan bin Md. Noor

 

(Visited 74 times, 1 visits today)