Home > Kesihatan Mental > Keperluan Lain

Keperluan Lain

Terdapat beberapa keperluan lain yang juga penting bagi memastikan warga emas mengekalkan kesihatan mental yang baik. Antaranya :

Stigma

Stigma seperti yang ditakrifkan Kamus Dwibahasa Oxford Fajar membawa maksud kekejian, keaiban atau kecelaan. Stigma boleh menyisihkan warga emas atau mereka yang mengalami penyakit mental. Stigma terhadap penyakit mental sering menghalang warga emas untuk mendapatkan bantuan. Adalah perlu untuk mendidik diri sendiri bagi mengelakkan perasaan stigma terhadap penyakit dan rawatan penyakit mental.

Penuaan

Bermaksud mudah membenarkan tanggapan, fikiran dan sikap negatif terhadap orang yang telah berusia. Prasangka ini timbul di kalangan semua lapisan masyarakat termasuk anggota kesihatan serta turut disokong oleh pihak media.

Ini boleh mengakibatkan pengalaman dan kebijaksanaan warga emas tidak dihargai dan mereka kehilangan manfaat yang sepatutnya mereka kecapi.

Sebagai contoh kita jarang melihat warga emas diberi peranan positif di dalam isu kemasyarakatan. Kita boleh mengatasi masalah ini dengan membuat pembelaan dan mengadakan kempen menentang prasangka terhadap gelaran tua.

Diskriminasi Dalam Pekerjaan

‘Diskriminasi’ dalam pekerjaan bermaksud majikan atau agensi pekerjaan tidak melayan pekerja dan calon pekerja secara saksama. Diskriminasi dalam pekerjaan boleh berlaku atas dasar jantina, keturunan, warna kulit, agama, kewarganegaraan, kecacatan dan umur. Sebagai contoh: enggan mengambil pekerja yang berumur lebih dari 40 tahun. Walaupun Undang-Undang Buruh di Malaysia tidak mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi pekerjaan namun pada hakikatnya persaraan wajib pada umur 55 tahun bermaksud diskriminasi dari segi umur seseorang.

Kemiskinan

Kajian menunjukkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia telah menurun dari 15% pada tahun 1990 kepada 7.5 % pada tahun 1999. Nisbah kemiskinan bagi warga emas banyak bergantung kepada jantina, kumpulan etnik, status perkahwinan dan usia. Kajian juga menunjukkan bahawa warga emas berkemungkinan menjadi miskin jika mereka terdiri dari golongan:

  • Wanita
  • Bujang
  • Dari kumpulan etnik tertentu
  • Tinggal di kawasan luar bandar

Isi rumah yang diketuai oleh golongan warga emas didapati mempunyai kadar kemiskinan yang jauh lebih tinggi iaitu 22.7%. Namun demikian kemiskinan boleh diatasi dengan beberapa kaedah seperti:

  • Menggiatkan program pembasmian kemiskinan kepada kumpulan sasaran
  • Mengenal pasti golongan miskin di kawasan terpencil termasuk dari kalangan kumpulan yang terabai.
  • Mengadakan program yang menjurus kepada isu kemiskinan di bandar
  • Melaksanakan program penyediaan kemudahan sosial meliputi program perumahan, kesihatan dan pendidikan.

Terdapat beberapa keperluan lain yang juga penting bagi memastikan wargatua mengekalkan kesihatan mental yang baik. Antaranya:

Penjagaan Kesihatan

Warga emas berbelanja lebih 3 kali ganda di dalam penjagaan kesihatan berbanding dengan golongan muda. Malangnya terdapat banyak halangan dan masalah yang dihadapi mereka berhubung dengan polisi dan amalan perkhidmatan terhadap golongan ini disetiap peringkat penjagaan. Ini meliputi :

  • Penjagaan Perubatan Primer
  • Perkhidmatan Kepakaran

Kumpulan Sokongan

Terdapat pertubuhan dan kumpulan sokongan yang menjaga kebajikan golongan warga emas. Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, sokongan terhadap mereka masih agak kurang. Kumpulan sokongan amat penting di dalam :

  • Mewujud dan menetapkan polisi serta menjalankan kerja penyelidikan mengenai isu penuaan.
  • Menguatkan jaringan kerjasama di antara kerajaan dan badan bukan kerajaan.
  • Mencari inovasi dan intervensi baru untuk mengatasi isu-isu berkaitan dengan warga emas.
  • Mempromosi hak-hak melibatkan kepentingan dan kebajikan golongan warga emas.
Semakan Akhir : 16 September 2008
Penulis : Dr. Suraya binti Yusoff
: Dr. Susy Mathew
: En. Harol Hanam bin Muhammed Wahid