Home > Umum > Forensik > Keperluan & Kepentingan Bedah Siasat : Pandangan Dari Sudut Agama

Keperluan & Kepentingan Bedah Siasat : Pandangan Dari Sudut Agama

Pengenalan Kepada Perubatan Forensik

Perubatan Forensik adalah satu bidang ilmu yang mengasimilasi fakta, pengetahuan dan kemahiran perubatan untuk membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes-kes kematian yang melibatkan proses perundangan (Shahrom, 2001). Cabang ilmu ini dapat membantu pihak yang berkenaan mendapatkan gambaran sebenar akan perihal kejadian sesuatu jenayah. Ia juga dapat membantu pihak perundangan dan mahkamah mencapai pertimbangan yang lebih adil kepada penjenayah dan mangsa jenayah tersebut. Selain itu, maklumat yang diperolehi daripada proses ilmu ini juga boleh digunapakai dalam urusan-urusan berkaitan takaful dan insurans.

Peranan Perubatan Forensik

Perkhidmatan Perubatan Forensik di Kementerian Kesihatan Malaysia diterajui oleh Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) yang berpusat di Hospital Kuala Lumpur. Institusi ini yang dipecahkan mengikut wilayah-wilayah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak berperanan dalam menyediakan perkhidmatan patologi forensik, klinikal forensik dan juga sains forensik. Perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan adalah seperti berikut:

1. Patologi Forensik/Pemeriksaan Bedah siasat (Postmortem)


Gambar 1 : Keadaan di dalam bilik bedah siasat dengan seorang kakitangan sedang menyediakan kelengkapan yang diperlukan

Pemeriksaan bedah siasat (postmortem) ke atas mayat/jenazah akan dilakukan jika ada keperluan – didasari oleh arahan Polis DiRaja Malaysia. Bedah siasat akan hanya dijalankan sekiranya pihak berkuasa melalui Pegawai Penyiasat Polis mengeluarkan Borang Polis 61 – Permintaan Pemeriksaan Mayat. Pemeriksaan ini tidak hanya melibatkan pembedahan ke atas mayat/jenazah tetapi adakalanya hanya melibatkan pemeriksaan luaran mayat/jenazah sahaja (jika tiada keperluan untuk pembedahan).

Pemeriksaan bedah siasat ini akan dijalankan oleh pegawai-pegawai yang terlatih dalam bidang Perubatan Forensik. Kebiasaannya semasa pemeriksaan bedah siasat dijalankan, seorang Pakar Perubatan Forensik akan mengetuai operasi dengan dibantu oleh Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Pembantu Perawatan Kesihatan yang terlatih. Pegawai Penyiasat Polis dan kakitangannya yang berkenaan juga perlu hadir bersama.

Di antara tujuan pemeriksaan bedah siasat adalah untuk:

  • Mengenalpasti identiti si mati (bangsa, jantina, dsb)
  • Menganggarkan masa kematian
  • Mengenalpasti dan merekodkan keadaan yang membawa kepada kematiannya (kecederaan pada keadaan fizikalnya)
  • Menentukan sebab kematian dan membantu mengenalpasti cara kematian sama ada akibat penyakit semulajadi, kemalangan, bunuh diri ataupun dibunuh. mengumpul sampel sebagai bahan bukti
  • Mengenalpasti sama ada terdapat pengaruh dadah atau racun kepada kematiannya

*dipetik daripada Saukko & Knight, 2004Proses pemeriksaan bedah siasat ini akan dijalankan dengan teliti dan mengikut garispanduan yang telah disediakan agar pegawai yang menjalankan proses ini sentiasa bersikap profesional dan menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh undang-undang dan agama.

2. Klinikal Forensik


Gambar 2 : Peti simpanan mayat untuk menempatkan mayat-mayat sama ada untuk menunggu pemeriksaan bedah siasat dijalankan atau menunggu dituntut oleh waris.

Pemeriksaan Klinikal Forensik adalah pemeriksaan ke atas mangsa-mangsa yang telah diserang secara fizikal ataupun seksual oleh penjenayah sama ada dalam kes keganasan rumahtangga, penderaan kanak-kanak, pergaduhan, rogol, liwat, cabul dan sebagainya. Ia dilakukan oleh doktor pakar dengan dibantu pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan.

Tujuannya adalah untuk mengenalpasti dan merekodkan kecederaan mangsa serta mengumpul bahan bukti (biologi dan fizikal) dari tubuh mangsa.

3. Sains Forensik

Perkhidmatan Sains Forensik melibatkan pemeriksaan melalui analisa di makmal. Bahan bukti atau sampel biologi diambil daripada si mati (seperti darah, air kencing dan organ/tisu badan) untuk dijalankan analisa bagi mengenalpasti kandungan bahan kimia atau mengesan indikator biokimia dan patologi yang terdapat di dalam tubuh si mati sebelum, semasa atau selepas kematian berlaku.

Di antara analisa yang dijalankan adalah toksikologi (analisa berkaitan racun dan bahan-bahan kimia berbahaya), antropologi (analisa tulang), histopatologi (analisa tisu/organ) dan entomologi (analisis serangga).


Gambar 3 : Seorang saintis forensik sedang menyediakan sampel untuk dianalisa di makmal.

Keperluan dan Kepentingan Pemeriksaan Bedah Siasat Dijalankan

Ada beberapa keperluan yang mendesak dalam menjustifikasikan kepentingan menjalankan pemeriksaan bedah siasat bagi kes-kes kematian yang melibatkan isu medikolegal.

  • Pemeriksaan bedah siasat ke atas si mati adalah penting dalam menegakkan keadilan kepada semua pihak; si mati, yang dituduh, waris dan syarikat insurans yang terlibat.
  • Ia adalah penting dalam mengetahui sebab kematian yang sebenar dan faktor-faktor penyebab kepada kecederaan yang dialami serta fakta-fakta dalam mengenalpasti dan mengesahkan kejadian yang mengakibatkan kematian tersebut.
  • Ia bukan sahaja dapat membantu mengenalpasti si pelaku jenayah malah juga dapat menidakkan penglibatan seseorang (yang dituduh) daripada jenayah yang telah berlaku (sehingga menyebabkan kematian).
  • Data dan keputusan daripada semua pemeriksaan bedah siasat ini juga boleh digunakan dalam merangka dasar dan tindakan-tindakan pencegahan seperti mengurangkan risiko kemalangan jalanraya yang melibatkan kematian, risiko kemalangan di tempat kerja dan lain-lain lagi yang berkaitan.

Bedah siasat Mengikut Pandangan Islam

Pendekatan yang diambil oleh para ulama dan pemikir-pemikir Islam di seluruh dunia dalam membicarakan perihal bedah siasat dan hubungkaitnya dengan Islam adalah secara kritikal. Asal hukum pembedahan ke atas mayat adalah haram tetapi disebabkan oleh keadaan dharuriyyat yang mencengkam, ia menjadi sesuatu yang diharuskan selagi tidak melampaui batas dan menganiaya mayat bagi tujuan yang selainnya.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1989 telah menfatwakan seperti berikut:

“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup” (JAKIM, 2011).

Oleh yang demikian, berdasarkan kefahaman para ulama dan pemikir Islam ini, pemeriksaan bedah siasat boleh dilakukan ke atas mayat si mati atas tujuan-tujuan seperti yang telah dibincangkan di Perkara 3 di atas. Pemeriksaan bedah siasat itu juga perlu mengikut garispanduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil kira etika-etika yang perlu dipatuhi dalam menghormati mayat semasa mengendalikan pemeriksaan bedah siasat ini.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Khairul Adli b. Nikman
Akreditor : Dr. Mohd Shah bin Mahmood
Penyemak : Dr. Khoo Lay See