A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Kepentingan Rawatan Tibi Terhadap...

Kepentingan Rawatan Tibi Terhadap Kesihatan

Penyakit Tuberkulosis (TB) merupakan penyakit berjangkit kedua tertinggi yang direkodkan di Malaysia dan berdasarkan data survelan TB 20 tahun kebelakangan ini, penyakit TB semakin banyak dilaporkan. Tuberkulosis adalah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh diubati, walau bagaimanapun, jangkitan boleh berulang semula sekiranya pesakit tidak mematuhi rejim rawatan TB dan menyebabkan rintangan kuman TB terhadap pelbagai ubat TB akibat ketidak-patuhan menerima rawatan TB.

Pengenalan

Penyakit Tuberkulosis (TB) merupakan penyakit berjangkit kedua tertinggi yang direkodkan di Malaysia dan berdasarkan data survelan TB 20 tahun kebelakangan ini, penyakit TB semakin banyak dilaporkan. Tuberkulosis adalah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh diubati, walau bagaimanapun, jangkitan boleh berulang semula sekiranya pesakit tidak mematuhi rejim rawatan TB dan menyebabkan rintangan kuman TB terhadap pelbagai ubat TB akibat ketidak-patuhan menerima rawatan TB. Dalam keadaan yang paling teruk, penyakit TB boleh menyebabkan kematian apabila pesakit tidak mengambil perhatian serius untuk merawat dan mematuhi tempoh rawatan TB yang telah ditetapkan.  Agen Penyakit TB dan cara jangkitan Penyakit TB disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Jangkitan kuman TB berlaku apabila seseorang tersedut udara yang mengandungi kuman TB apabila seseorang pesakit TB batuk atau bersin dan menghembus keluar titisan air yang mengandungi kuman TB. Masa pengeraman selepas pendedahan kepada kuman TB sehingga menunjukkan tanda dan gejala penyakit TB adalah dari 2 minggu sehingga 10 minggu.  

Tanda Dan Gejala Penyakit TB2

Tanda dan gejala penyakit TB adalah:    

  • Batuk melebihi 2 minggu·        
  • Demam 
  • Kahak berdarah
  • Sakit dada apabila batuk atau tarik nafas panjang
  • Berpeluh waktu malam    
  • Cepat letih atau lemah badan       
  • Hilang selera makan
  • Turun berat badan  

Rajah 1: Menunjukkan Tanda Dan Gejala Penyakit TB Yang Berlaku Kepada Seseorang

 Rajah 1 Tanda dan Gejala Penyakit TIBI²

Rawatan Penyakit TIBI

Fakta telah menunjukkan, kadar ingkar untuk rawatan dan kematian akibat penyakit TB untuk tempoh tahun 2010-2013 kekal pada 4% dan 9% masing-masing (Rajah 2) dan pencapaian pesakit menerima rawatan yang lengkap adalah masih di bawah daripada 3% 3, ini menunjukkan kadar pencapaian adalah masih lagi rendah. 

 

Rajah 2 Hasil rawatan bagi kes kes positif sapuan kahak positif baru (Kohort 2006 – 2013)

Tempoh minimum bagi rawatan TB adalah 6 bulan di mana pada 2 bulan pertama adalah fasa intensif dan 4 bulan berikutnya adalah fasa sambungan. Kedua-dua fasa rawatan ini menggunakan strategi Directly Observed Treatment (DOTS) yang merupakan mekanisme pengambilan ubat TB di bawah penyeliaan dan perlu direkodkan. Sekiranya pesakit menjalani rawatan TB dengan sempurna, pesakit boleh sembuh dari penyakit berkenaan. Manakala sekiranya pesakit TB mengingkari rawatan atau tidak mengikuti rejim rawatan yang telah ditetapkan, risiko yang berkemungkinan adalah kuman TB akan menghasilkan daya rintangan / daya tahan terhadap ubat TB yang digunakan dan menyebabkan ubat itu kurang / tidak berkesan terhadap kuman TB itu. Ini mengakibatkan pesakit perlu menggunakan ubat yang lebih kuat untuk rawatan dan tempoh rawatan mungkin dipanjangkan. Dalam kes pesakit yang ingkar / gagal ikuti rejim rawatan yang teruk, pesakit mungkin akan mati akibat penyakit TB.  Pesakit TB yang tidak mengikuti / tinggalkan rawatan akan kekal menjadi sumber jangkitan kuman TB kepada ahli keluarga atau sesiapa yang rapat dengan pesakit itu.  

Definisi/Terminologi

Kes Indek

  • Pesakit TB yang baru dijangkiti yang belum pernah menerima rawatan.
  • Pesakit TB berulang.
  • Pesakit TB kronik.

Kes Kontak

Mereka yang tinggal sebumbung dengan pesakit TB atau menghabiskan masa yang lama bersama pesakit TB.

Objektif Rawatan Penyakit TB

Objektif utama rawatan TB yang lengkap diberikan adalah untuk (Rajah 3):

  • Menyembuhkan pesakit dari penyakit TB
  • Mengurangkan risiko jangkitan / transmisi kuman TB kepada orang lain
  • Mencegah pesakit TB daripada mendapat jangkitan TB yang berulang

                               Rajah 3 Objektif Rawatan TB

Kumpulan Berisiko Tinggi Untuk Mendapat Jangkitan Penyakit TIBI

Terdapat 4 kumpulan orang yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan TB: 

1. Mereka yang mempunyai hubungan rapat yang tinggal bersama atau menghabiskan masa yang lama dengan individu yang mengidap penyakit TB. Kadar jangkitan TB adalah tinggi apabila pemeriksaan sapuan kahak pesakit adalah positif.

2. Individu yang mempunyai daya tahan imuniti yang rendah seperti:

  • Penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus),
  • Jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV),
  • Kanser,
  • Malnutrisi / Kurang zat makanan
  • Chronic Obstructive Pulmonary Disease,
  • Penyakit buah pinggang di peringkat akhir

3. Individu yang hidup dalam persekitaran penuh sesak seperti:

  • Gelandangan
  • Penjara
  • Institusi penjagaan seperti rumah orang tua dan tempat perlindungan

4. Penyalah-gunaan dadah dan perokok:

  • Penyalah-gunaan dadah
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Perokok

Risiko Jangkitan Penyakit TB Juga Berkaitan dengan:

  • Ruang pengudaraan dikongsi bersama pesakit,
  • Jarak fizikal dengan pesakit,
  • Tempoh pendedahan antara kes indeks (Pesakit TB) dan kontak.
  • Individu yang mempunyai sistem daya tahan imuniti yang rendah lebih mudah mendapat jangkitan penyakit TB.

Kepentingan Mendapatkan Rawatan Untuk Penyakit TB:

  •  Untuk mengurangkan jangkitan TB kepada orang lain;
  • Untuk mengubati pesakit TB dan memulihkan kualiti hidup dan produktiviti mereka;
  • Untuk mengelakkan kerintangan daya tahan ubat kuman;
  • Untuk mengelakkan jangkitan TB yang berulang.

Langkah-Langkah Kawalan Dan Pencegahan:

  • Bayi yang baru lahir perlu mendapatkan pelalian BCG untuk mencegah daripada jangkitan TB. Suntikan imunisasi BCG diberikan di kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta. Suntikan BCG diberikan percuma di kesihatan klinik dan hospital kerajaan di Malaysia untuk semua bayi yang baru lahir.
  • Sesiapa yang batuk selama dua minggu atau lebih, perlu SEGERA berjumpa doktor untuk pemeriksaan sapuan kahak untuk mengesan jangkitan kuman TB.
  • Jika disahkan sebagai pesakit TB, dapatkan RAWATAN dengan segera untuk mengubati penyakit TB dan mencegah penyakit TB daripada menjangkiti ahli keluarga atau mereka yang rapat dengan pesakit.
  • Ahli-ahli keluarga atau mereka yang rapat, atau tinggal serumah dengan pesakit TB juga perlu menjalani pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

Strategi-strategi yang boleh menyumbang kepada kejayaan rawatan penyakit Tuberculosis:

Melalui pendidikan kesihatan yang berkesan kepada pesakit dan ahli keluarga / rakan sekerja pada masa memulakan rawatan. Ini termasuklah memberi penerangan tentang:

  •  Ciri-ciri penyakit TB
  • Keperluan disiplin pesakit TB terhadap pematuhan dengan rawatan yang berpanjangan
  • Risiko terhadap pesakit yang ingkar / tidak mematuhi aturan/rejim rawatan
  • Kesan-kesan sampingan ubat-ubatan semasa rawatan
  • Risiko penyebaran kuman TB dan kepentingan mengamalkan etika semasa batuk atau bersin dengan betul

Amalan kebersihan dan etika semasa batuk atau bersin:

Tutup mulut dan hidung dengan kertas tisu semasa batuk atau bersin

Buang kertas tisu yang telah digunakan dalam tong sampah

Selepas batuk atau bersin, cuci tangan dengan sabun dan air

Pakai penutup mulut dan hidung apabila mengalami batuk atau bersin

Source : http://www.hosp.keio.ac.jp/en/annai/onegai/ accessed on 23rd May 2017

Rujukan

  1. Cawangan Kesihatan Primer, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia.2011.Garispanduan Pengurusan TIBI di Fasiliti Kesihatan.Edisi 2011.
  2. Malaysian Association for the Prevention of Tuberculosis (MAPTB).(2014).Berita MAPTB No. (August 2014). PP12731/06/2013 (033167). Percetakan Skyline Sdn.Bhd.
  3. Shajahan, R., Navaratnam, P., Kasinathan, G., Kadirvelu, A. and Pillai, N. (2016) Predictors of Re-Emerging Tuberculosis: A Review. Open Access Library Journal, 3: e2520. http://dx.doi.org/10.4236/oalib.1102520
  4. Ministry of Health. 2012. Management of Tuberculosis – Clinical Practice Guidelines. (3rd Edition).
  5. “Treatment of Tuberculosis guidelines”, WHO, Geneva, 2011, 29 www.who.int/tb/en/ – See more at: http://www.tbfacts.org/tb-treatment/#sthash.EZJ62G58.dpf
  6. http://www.hosp.keio.ac.jp/en/annai/onegai/ accessed on 23rd May 2017
  7. http://www.infosihat.gov.my/infosihat/media/buku%20kecil/T/pdf/07_tibi.pdf. Accessed on 25th May 2017.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2017
Penulis : Hjh. Ummi Nadiah Binti Yusoff
Akreditor : En. Mohamad Ridzuan Bin Mohd Salleh

Artikel Berkaitan

Rogol

Apakah yang dimaksudkan dengan rogol? RAPE IS VIOLENCE Mengikut seksyen

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,094,213

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia