A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kepentingan Penglibatan Masyarakat Dalam...

Kepentingan Penglibatan Masyarakat Dalam Program COMBI

Pengenalan

Sejak akhir-akhir ini, kita menyaksikan pelbagai kemunculan semula penyakit lama dan kejadian penyakit baru. Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Saintis Perubatan dan lain-lain pakar yang ada kaitan dengan agen penyakit ini sentiasa berusaha mencari penyebab, rawatan dan kaedah kawalannya. Penularan dan rebakan melintas sempadan antara negara juga sukar dibendung dengan proses globalisasi dunia yang sangat dinamik. Ini seterusnya memberi kesan negatif kepada sosio-ekonomi sesebuah negara.

Penyakit seperti  Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS ), Pandemik Influenza, H1H1, H5N1, Ebola dan Middle East Respiratory Coronavirus (MersCov) adalah antara penyakit yang baru muncul dalam ekosistem manusia dan haiwan. Penyakit seperti kolera, malaria, denggi dan TB masih menjadi cabaran utama kesihatan awam. Peningkatan risiko penyakit tidak berjangkit yang lain seperti diabetes, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan masalah kesihatan lain seperti obesiti dan stress juga terus meningkat.

Tanggungjawab dan peranan untuk mencegah, mengawal serta penjagaan kesihatan perlu perubahan atau pendekatan yang lebih menyeluruh, efektif, efisien dan berorientasikan masalah sebenar yang perlu ditangani bersama komuniti.

Program Communication for Behavioural Impact (COMBI) merupakan satu toolkits atau rangkaian kaedah dalam menggerakkan individu, keluarga, komuniti atau mana-mana kumpulan sasar untuk mengenal pasti faktor risiko, mengubah atau mengamalkan sesuatu tingkah laku yang dikehendaki secara berterusan dalam mencegah atau mengawal penyakit yang menjadi masalah kesihatan mereka. Strategi komunikasi dan mobilisasi dalam organisasi komuniti yang sedia ada akan digunakan dan ditambah baik selain komuniti juga akan diberi bimbingan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Banyak negara di dunia telah mengadaptasi program ini sesuai dengan masalah kesihatan yang mereka hadapi. Contohnya di Sudan (2004) dalam mengawal wabak Ebola, Fiji (2006) wabak demam campak  dan Kemboja (2004) dengan wabak Influenza. Di Malaysia, program kawalan penyakit menggunakan pendekatan COMBI khususnya dalam kawalan denggi bersama komuniti telah dimulakan inisiatifnya pada tahun 2001.

Organisasi COMBI

Pihak Kementerian Kesihatan melalui Pegawai-pegawai di lapangan yang telah mengenalpasti masalah kesihatan dalam satu lokaliti akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan komuniti sasaran. Penduduk, pada amnya akan membentuk jawatankuasa COMBI untuk  mengerakkan ahli dalam komuniti bersama agensi kerajaan lain atau swasta yang berkaitan dengan aktiviti yang akan dijalankan. Organisasi ini akan melaksanakan 5 strategi COMBI secara bersama dengan agensi terlibat iaitu :

  1. Advokasi perhubungan awam dan pentadbiran
    • Mewujudkan satu jawatankuasa khusus atau menggunakan jawatankuasa komuniti yang sedia ada bagi mengendalikan COMBI di lokaliti mereka.
    • Keahlian COMBI diwujudkan melalui Bengkel Pelan Tindakan Denggi Daerah.
    • Keahlian COMBI diletakkan di bawah tanggungjawab JK Tindakan Denggi Daerah.
    • Program COMBI diletakkan atau ‘dianakangkatkan’ oleh Pihak Berkuasa Tempatan melalui Program LA21.
    • Menggerakkan semua anggota pemberi perkhidmatan untuk mengadakan perjumpaan, mesyuarat atau perbincangan dengan pelbagai agensi, memberi ceramah, penerangan, taklimat dan sebagainya bertujuan memaklumkan mengenai perubahan tingkah laku sihat yang dikehendaki untuk amalan komuniti.
  2. Mobilisasi sosial
    • Menghubungkan organisasi dengan ahli komuniti yang lain dan melibatkan mereka dengan aktiviti berkaitan COMBI.
    • Melaksanakan kaedah ceramah melalui ceramah undangan.
    • Melalui kaedah Pencetus Program Mobilisasi.
    • Tindakan ini memberi tumpuan kepada penglibatan komuniti dalam menyampaikan mesej tingkah laku yang dikehendaki. Tindakan komunikasi termasuk penggunaan penyelidikan penyertaan, mesyuarat di kalangan komuniti, jerayawara, lawatan ke rumah dan sebagainya.
  3. Pengiklanan
    • Menyampaikan mesej tingkah laku kesihatan yang dikehendaki kepada seluruh komuniti melalui media cetak dan elektronik (poster, risalah, siaraya, wayang pacak dan pit stop denggi).
    • Mesej tingkah laku disalurkan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap perubahan tingkah laku yang dicadangkan.
  4. Penyampaian peribadi / komunikasi interpersonal
    • Mengadakan promoter di lokaliti bagi menjadi fasilitator dan memberi penerangan dengan lebih mendalam dan jelas.
    • Kaedah besar-besaran, berulangkali, bersungguh-sungguh dan berterusan.
  5. Promosi di pusat perkhidmatan dalam lokaliti
    • Mengenal pasti lokasi strategik di lokaliti bagi tujuan mengadakan pusat perkhidmatan COMBI yang menjalankan aktiviti seperti khidmat nasihat, pemberian kolateral dan pameran ( balai raya, bilik gerakan dan pejabat sukarelawan ).

Objektif COMBI

  • Memperkasa komuniti untuk mengubah tingkah laku lama kepada tingkah laku baharu yang diperkenalkan.
  • Mengurangkan kejadian penyakit berjangkit, kususnya demam denggi di peringkat daerah dan juga negeri.
  • Menggalakkan penglibatan antara agensi serta mempertingkatkan usaha sama dalam mencegah dan mengawal kejadian penyakit berjangkit, khususnya demam denggi.

Tanggungjawab Komuniti

Di negara kita, program COMBI yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan tertumpu kepada pencegahan dan pengawalan demam denggi. Walau bagaimanapun, kini program COMBI telah diperluas kepada isu dan masalah kesihatan lain seperti COMBI KCHS (Kempen Cara Hidup Sihat) yang berbentuk penggalakkan amalan tingkah laku sihat seperti berjalan 10,000 langkah, pemakanan sihat dan aktiviti kecergasan lain. Kajian menunjukkan mana-mana komuniti yang melaksanakan COMBI dengan penuh komitmen dan berterusan, dapat mengatasi atau mengurangkan secara signifikan kesan negatif kesihatan daripada isu kesihatan yang mereka hadapi seperti pengurangan kes demam denggi.

Dalam melaksanakan program COMBI, komuniti wajar memastikan 3 perkara utama yang diberikan tumpuan agar matlamat perubahan ini dapat dikekal dan diteruskan iaitu;

Pengetahuan

  • Mengenai penyakit demam denggi serta kaedah mengawal dan mencegah rebakan
  • Kitaran hidup nyamuk Aedes serta kaedah mengawal dan mencegah pembiakan nyamuk
  • Penguatkuasaan undang-undang dalam pengawalan dan pencegahan kejadian demam denggi

Sikap

  • Terhadap tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes
  • Tehadap pembersihan bekas simpanan air
  • Terhadap penggunaan racun pembunuh jentik-jentik
  • Terhadap aktiviti semburan kabus di dalam atau di luar rumah
  • Sentiasa ambil berat dan peduli tentang kebersihan persekitaran sendiri dan juga jiran-jiran

Amalan

  • Membuat pemeriksaan seminggu sekali di dalam atau di luar rumah bekas-bekas yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes serta menghapuskannya
  • Sentiasa memeriksa dan membersih bekas-bekas takungan air
  • Sentasa positif dan sedia berkongsi maklumat dan amalan bersama ahli komuniti lain.

Bagi memulakan COMBI, perkara paling utama yang diperlukan daripada komuniti adalah kesedaran tentang masalah kesihatan yang berlaku di sekeliling mereka dan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan sesuatu isu kesihatan itu berlaku. Tanggungjawab komuniti yang sebenar adalah sebagai penggerak seluruh ahli komuniti yang lain sehingga tingkah laku yang dikehendaki dicapai dan dikekalkan. Selain itu, komuniti juga bertanggungjawab mewujudkan rakan kongsi yang dapat bersama mengubah tingkah laku masyarakat dalam pencegahan penyakit. Ini bersesuaian dengan konsep daripada komuniti kepada komuniti. Kementerian Kesihatan akan sentiasa sedia membantu mana-mana komunti yang ingin menjalankan program COMBI di tempat mereka.

Rujukan :

  1. Communication For Behavioural Impact (COMBI): a toolkit for behavioural and social communication in outbreak response World Health Organization; UNICEF; Food and Agriculture Organization of the United Nations (2012).
  2. Garispanduan Pelaksanaan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku ( COMBI ) – Pencegahan dan Pengawalan Demam Denggi,Cawangan Penyaki Bawaan Vektor,Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 ( Pindaan 2000)
Semakan Akhir : 6 Mac 2017
Penulis : Md. Saman bin Baharudin
Akreditor : Yusof bin Rashman

 

Artikel Berkaitan

Arthritis

Pengenalan Arthritis adalah suatu jenis penyakit yang mendatangkan kesakitan, kemerahan,

Organisma ‘Alert’

Pengenalan / Definisi Organisma ‘alert’ adalah kumpulan mikroorganimsa spesifik tersenarai

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,096,522

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia