Home > Kesihatan Mental > Kemurungan (Dewasa)

Kemurungan (Dewasa)

Pengenalan

Kemurungan adalah kesedihan. Kesedihan adalah emosi normal bila seseorang menghadapi peristiwa yang tidak menggembirakan. Kemurungan boleh menjadi penyakit jika terlalu serius atau terlalu lama hingga menjejaskan keupayaan seseorang menjalani aktiviti harian. Kemurungan adalah sesuatu yang biasa berlaku. Dianggarkan sebanyak 30% daripada golongan orang dewasa menghidap kemurungan sekali atau lebih dalam masa hidupnya.

Tanda dan Gejala

  1. Perubahan perasaan
    • Kesedihan yang berpanjangan melebihi 2 minggu.
  2. Gangguan terhadap fungsi kognitif
    • Berasa putus asa, tidak mempunyai harapan.
    • Berasa bersalah, tidak berharga, tidak bermaya.
    • Fikiran ingin membunuh diri.
    • Hilang keseronokan
    • Hilang tumpuan
    • Hilang minat
  3. Tanda Biologi
    • Hilang selera makan
    • Hilang berat badan
    • Gangguan tidur
    • Hilang keinginan seksual
    • Gangguan kitaran haid
    • Cepat lesu.

Komplikasi

Kemurungan menyebabkan seseorang itu lebih berkemungkinan mengalami kemalangan. Kemurungan memberi kesan terhadap keyakinan dan merendahkan jati diri seseorang. Ia mengurangkan keupayaan seseorang untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

Rawatan

Kemurungan boleh dirawat secara berkesan. Terdapat banyak cara rawatan dan gabungan rawatan adalah lebih berkesan. Penilaian menyeluruh oleh doktor adalah perlu sebelum sesuatu diagnosa dibuat dan rawatan dimulakan.

  1. Pharmacotherapy:
    • Terdapat banyak ubat-ubatan anti kemurungan pada masa sekarang. Ubat-ubatan ini membantu merubah perasaan dan membuatkan seseorang itu lebih bersedia menerima lain-lain rawatan.
  2. Terapi Psikologikal:
    • Ianya meliputi psikoterapi dan kaunseling untuk membuatkan seseorang itu memahami dirinya dan menemui kemahiran dalam menyelesaikan masalah bagi mengatasi tekanan yang dihadapinya.
  3. Terapi Kognitif
    • Terapi ini membantu mengubah cara pemikiran dan menerima peristiwa yang berlaku disekelilingnya dan membantu mencapai pemahaman yang lebih baik terhadap maksud kejadian itu kepadanya dan meminimumkan kesan di sebalik kejadian itu.
  4. Terapi Berkumpulan
    • Ianya melibatkan perjumpaan satu kumpulan orang yang mempunyai masalah yang sama seperti pesakit yang mengalami kemurungan, duduk bersama berbincang pengalaman, kesukaran dan cara mereka mengatasi masalah tersebut.
  5. Terapi “Electro-convulsive”
    • Cara ini boleh dilakukan kepada mereka yang tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas dos yang sesuai dan tempoh rawatan ubat anti kemurungan. Ia juga boleh digunakan bila perubahan segera diperlukan contohnya dalam situasi mengancam nyawa atau dalam masa selepas bersalin di mana bayi memerlukan penyusuan dan penjagaan ibu dan bagi pesakit yang tahap pemikiran membunuh diri yang tinggi.

Langkah Pencegahan

Teknik mengurangkan stres.

Pemulihan

Setelah tanda-tanda penyakit dapat dikawal dengan mengambil ubat secara teratur, satu pelan pemulihan yang lengkap dan komprehensif harus diatur supaya pesakit dapat kembali berfungsi di dalam masyarakat seperti sediakala.

Setiap Jabatan Psikiatri di setiap hospital-hospital besar seluruh negara mempunyai unit pemulihan cara kerja dengan kakitangan terlatih bagi membantu anda pulih sepenuhnya dari penyakit anda.

Sebahagian daripada pusat-pusat kesihatan sudah dilengkapi dengan unit pemulihan psikososial di dalam komuniti bagi membantu anda pulih dari penyakit dan mengembalikan keyakinan diri untuk bekerja dan berinteraksi dengan masyarakat.

Kumpulan Sokongan

  • KAMI (kumpulan sokongan keluarga Johor)
  • MMHA (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia – Petaling Jaya)
  • Kumpulan-kumpulan Sokongan Keluarga di setiap negeri
Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Mohd Nasir bin Abd Kadir
Penyemak : Dr. Mohd Ariff Bin Mohd Noor