Home > Umum > Forensik > Kemalangan Jalan Raya: Kebenaran Di Sebaliknya

Kemalangan Jalan Raya: Kebenaran Di Sebaliknya

Apa itu Kemalangan Jalan Raya?

Malaysia merupakan antara negara yang mengalami kadar kemalangan dan kematian yang paling tinggi di dunia. Statistik yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) antara tahun 2000 hingga 2014 menyaksikan peningkatan ketara jumlah kemalangan jalan raya iaitu dari 250,429 kes kepada 476,196 kes. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula adalah lebih daripada 6000 kes setiap tahun.

Kajian bertarikh Februari 2014 oleh Institut Penyelidikan Pengangkutan, Universiti Michigan Amerika Syarikat, telah meletakkan Malaysia menduduki tempat ke-17 teratas dalam kadar kematian jalan raya di dunia. Kajian ini telah berdasarkan data tahun 2008 daripada Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut melibatkan 193 negara yang lain.

Mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, kemalangan jalan raya ditakrifkan sebagai kemalangan atau kejadian yang mana kerosakan berlaku ke atas mana-mana orang, harta, kenderaan, struktur atau haiwan dan berlaku di mana-mana jalan awam termasuklah jambatan, terowong, hentian sebelah, jalan bertingkat, jejambat, plaza tol dan sebagainya.

Kemalangan jalan raya melibatkan sama ada kenderaan motor, basikal, beca, pejalan kaki dan lain-lain jenis kenderaan.

Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mendefinisikan kemalangan jalan raya sebagai “pelanggaran atau kejadian yang mungkin boleh atau tidak membawa kepada kecederaan, berlaku di jalan awam dan melibatkan sekurang-kurangnya sebuah kenderaan yang bergerak”.

Jenis-jenis Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya boleh diklasifikasikan berdasarkan kategori mangsa yang terlibat iaitu pejalan kaki, pemandu dan penumpang. Di negara-negara membangun seperti Malaysia, klasifikasi turut melibatkan penunggang kenderaan beroda dua seperti motosikal kerana kekerapan kesnya yang agak tinggi. Setiap kategori mangsa biasanya mengalami tahap kecederaan yang berbeza.

  1. Pejalan kaki

    Kecederaan yang dialami oleh pejalan kaki secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga jenis. Kecederaan primer berlaku ketika impak pertama perlanggaran terus kepada pejalan kaki. Seterusnya, akibat impak pertama perlanggaran, mangsa biasanya akan tercampak dan menghentam mana-mana bahagian kenderaan tersebut. Kecederaan ini disebut kecederaan sekunder. Kecederaan tertier pula terhasil akibat mangsa tercampak ke atas permukaan jalan.


    Jenis Kecederaan yang dialami oleh pejalan kaki

    Sifat kecederaan pejalan kaki bergantung kepada kelajuan dan bahagian kenderaan yang melanggarnya. Dalam penyiasatan kes langgar-dan-lari, penyiasat akan cuba mengesan kenderaan pesalah dengan mencari padanan di antara kesan kecederaan dengan kesan impak perlanggaran di kenderaan. Contohnya, pelanggaran mangsa dengan bampar hadapan kereta akan menghasilkan kecederaan primer pada kaki mangsa pada ketinggian yang lebih kurang sama dengan ketinggian bampar kereta tersebut.

    Kelajuan kenderaan ketika perlanggaran turut mempengaruhi sifat kemalangan tersebut. Pelanggaran berkelajuan rendah (kenderaan bergerak dalam 20km/j) biasanya akan menyebabkan pejalan kaki terdampar di hadapan atau di sisi kenderaan. Dalam kes kelajuan sederhana (20-60 km/j), mangsa biasanya akan tercampak ke atas bonet atau di cermin hadapan kenderaan. Bagi kes berkelajuan tinggi (60-100 km/j) pula, mangsa akan tercampak ke atas dan jatuh ke tanah. Pelanggaran berkelajuan rendah sering mengakibatkan mangsa pejalan kaki digilis kenderaan yang melanggarnya manakala dalam kes kelajuan tinggi boleh menyebabkan trauma kepala yang teruk apabila mangsa pejalan kaki terhentak ke permukaan tanah.

  2. Pemandu dan Penumpang

    Perlanggaran di antara kenderaan yang dipandu sama ada dengan kenderaan lain atau dengan struktur yang terdapat di tepi jalan boleh mengakibatkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

    Kecederaan boleh berlaku apabila pemandu dan penumpang terkena hentaman bahagian dalaman kereta yang keras semasa perlanggaran. Selain itu, kecederaan turut berlaku jika mangsa tercampak keluar daripada kenderaan tersebut.

    Pemandu boleh mengalami kecederaan yang serius apabila dadanya terhentak pada stereng kereta. Walau bagaimanapun, tali pinggang keledar yang dipakai pemandu boleh menghalangnya daripada terhentak pada stereng, menghentam cermin hadapan dan seterusnya tercampak keluar dari kereta yang mana boleh mengakibatkan trauma teruk


    Kecederaan disebabkan
    tali pinggang keledar

    Sumber: epainassist.com

    Menentukan sama ada mangsa menggunakan tali pinggang keledar atau tidak semasa kemalangan merupakan bahagian yang penting dalam mana-mana penyiasatan. Siasatan untuk menentukan identiti pemandu dan penumpang juga penting untuk menentukan liabiliti dalam kemalangan tersebut. Kesan melecet (abrasion) yang disebabkan oleh mampatan tali pinggang keledar ketika kemalangan boleh membantu untuk mengesan kedudukan mangsa di dalam kenderaan yang seterusnya menentukan pemandu sebenar ketika kemalangan.

  3. Penunggang Kenderaan Beroda Dua

    Di negara-negara membangun, kegunaan jalan raya didominasikan oleh kenderaan-kenderaan beroda dua seperti motosikal. Penunggang motosikal mempunyai risiko tertinggi dalam kes kemalangan jalan raya terutamanya untuk mendapat kecederaan kepala.

    Di Malaysia, kes kemalangan maut sangat signifikan melibatkan penunggang motosikal jika melihat kepada statistik kebangsaan yang dikeluarkan oleh MIROS. Statistik kes kematian jalan raya daripada tahun 2000 hingga 2014 menunjukkan bahawa penunggang motosikal merupakan penyumbang kematian yang tertinggi iaitu kira-kira 50% daripada kes kematian yang dilaporkan.

    Keadaan ini berbeza dengan negara-negara maju di mana kemalangan melibatkan motosikal agak rendah disebabkan persepsi di negara tersebut bahawa menunggang motosikal lebih dianggap sebagai aktiviti masa lapang berbanding negara dengan membangun yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan yang paling lazim dan penting.

Peranan Forensik dalam Penyiasatan Kemalangan Jalan Raya

  1. Rekonstruksi Kemalangan

    Salah satu peranan forensik dalam penyiasatan kemalangan jalan raya ialah rekonstruksi kemalangan. Tujuan rekonstruksi kemalangan dijalankan adalah untuk menentukan cara sesuatu perlanggaran tersebut berlaku berdasarkan bukti-bukti fizikal yang ada. Antara perkara yang ingin diketahui adalah kelajuan kenderaan, arah pergerakan kenderaan dan kedudukan kenderaan di jalan raya ketika perlanggaran berlaku.

    Proses rekonstruksi klasik biasanya bermula dengan menggunakan data pasca kemalangan dan untuk menentukan urutan peristiwa yang berlaku sebelum kemalangan tersebut. Proses menganalisis dan menggunakan bukti fizikal untuk memahami cara bagaimana kemalangan tersebut berlaku boleh diibaratkan seperti menyusun kepingan teka-teki (jigsaw puzzle). Kepingan teka-teki yang lengkap akan dapat menentukan imej asalnya. Begitulah juga dalam proses rekonstruksi kemalangan. Akhirnya, kuantiti dan kualiti bukti fizikal dapat menentukan apa yang boleh dipelajari daripada kemalangan tersebut.

    Bukti fizikal yang biasa ditemui adalah seperti kesan tayar di jalan raya, kesan kerosakan kenderaan, corak serpihan dan kedudukan akhir kenderaan selepas perlanggaran.

    Kesan tayar yang ditinggalkan di jalan raya sebelum, semasa dan selepas perlanggaran boleh memberi maklumat penting berkenaan kemalangan tersebut. Kedudukan dan orientasi kesan tayar akan menunjukkan laluan kenderaan sebelum dan selepas kemalangan. Perubahan arah kesan tayar, goresan dan geseran di atas permukaan jalan pula boleh menunjukkan kedudukan kenderaan semasa hentaman. Sifat dan dimensi kesan tayar membolehkan penyiasat mengira kelajuan satu atau lebih kenderaan yang mana ia merupakan komponen penting dalam analisis punca kemalangan.

    Kesan tayar yang biasa ditemui adalah kesan gelinciran tayar (skid mark). Ia terjadi apabila roda kenderaan berhenti berpusing apabila brek ditekan dan menyebabkan tayar terseret sepanjang jalan. Kelajuan kenderaan ketika perlanggaran dapat dikira berdasarkan panjang kesan gelinciran tayar dengan menggunakan formula tertentu. Selain itu, kesan gelinciran itu dapat memberitahu keadaan brek kenderaan yang meninggalkan kesan tersebut. Kesan tayar juga dapat dilihat ketika pemandu menukar arah roda secara mendadak, untuk mengelak daripada perlanggaran ataupun ketika mengambil selekoh tajam dengan kelajuan tinggi.

    Kesan penyimpangan tayar daripada laluan asalnya disebut kesan olengan (yaw mark). Tanda ini biasanya melengkung dan mempunyai corak garis panjang merentasinya. Tanda lain yang boleh ditemui termasuklah kesan goresan (gouge mark) di atas jalan raya. Kesan goresan diakibatkan oleh rim tayar apabila tayar telah menjadi leper atau tayar terkeluar daripada rimnya. Selain itu, kesan ini ia boleh juga terjadi apabila arah roda ditukar secara mendadak dengan kelajuan tinggi. Kesan goresan ini membantu penyiasat untuk menentukan sama ada tayar yang leper telah menyebabkan kemalangan ataupun sebaliknya kesan kemalangan menyebabkan tayar menjadi leper.


    Keadaan brek dapat diketahui melalui kesan gelincir tayar
    Sumber : m/s 294 Successful Personal Injury Investigation: Master the Techniques of Finding the Facts that Win Cases for Plaintiff Attorneys:
    Francis D. Ritter

     

    Kesan gelincir tayar
    Sumber:http://aug-cdn.com
    Kesan olengan tayar
    Sumber: http://www.caranddriver.com
    Kesan goresan
    Sumber:https://underthehollywoodsign.wordpress.com

    Kerosakan yang dialami oleh kenderaan pula boleh memberikan maklumat kualitatif dan kuantitatif. Sifat dan kedudukan kerosakan kenderaan akan menentukan arah daya hentaman perlanggaran dan kedudukan kenderaan semasa perlanggaran. Tahap kerosakan kenderaan boleh membantu penyiasat membuat anggaran kadar kelajuan kenderaan semasa perlanggaran berlaku. Antara sebab penting mengapa kelajuan kenderaan perlu ditentukan dalam penyiasatan kemalangan adalah kerana faktor kelajuan seringkali menjadi penyebab sesuatu kemalangan. Contohnya seseorang pemandu boleh terbabas dan hilang kawalan apabila melalui selekoh dengan kelajuan yang tinggi.

    Kedudukan relatif kereta ini dan kenderaan yang melanggarnya dapat ditentukan dengan melihat kerosakan bahagian hadapannya
    Sumber: http://www.marshu.com
    Proses Rekonstruksi Kemalangan
    Sumber: http://www.evansar.com

     

  2. Menentukan sama ada kejadian tersebut merupakan satu kes kemalangan biasa, bunuh diri atau kes bunuh

    Penyiasatan kemalangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa termasuklah dalam mengklasifikasikan cara kematian, iaitu sama ada ia merupakan kemalangan biasa, bunuh diri atau kes bunuh. Semua maklumat yang didapati daripada penyiasatan tempat kejadian, temubual terhadap saksi dan pemeriksaan bedahsiasat medikolegal forensik ke atas mangsa akan digunakan untuk menentukan cara kematian dalam sesuatu kes kemalangan.

    Semasa bedahsiasat, pegawai perubatan akan memeriksa kecederaan yang dialami oleh mangsa. Antara aspek kecederaan yang dilihat adalah seperti jenis-jenis luka dan beza di antara luka yang dilakukan sendiri oleh mangsa, dicederakan oleh orang lain atau kecederaan akibat kemalangan yang tidak dirancang. Kecederaan tersebut ditentukan sama ada berpadanan atau boleh diakibatkan oleh kemalangan tersebut. Selain itu, spesimen seperti darah dan urin akan diambil daripada mangsa untuk dihantar ke makmal untuk ujian dadah, alkohol dan sebagainya mengikut keperluan penyiasatan. Hasil bedahsiasat ini yang menentukan punca kematian dan cara kematian mangsa akan membantu dalam penyiasatan polis.

Penutup

Penggunaan pengetahuan dalam bidang forensik sangat penting dalam penyiasatan kemalangan jalan raya. Sepanjang proses penyiasatan, pelbagai bukti dan maklumat akan digunakan untuk menyokong satu dengan yang lain. Selain mengetahui punca kemalangan, penemuan yang didapati dalam penyiasatan kemalangan akhirnya akan dapat digunakan oleh pihak berkuasa untuk mendidik masyarakat dan menambahbaik sistem keselamatan jalan raya di negara ini.

Rujukan

  1. Akta 333, Akta Pengangkutan Jalann Raya 1987 seksyen 2 (Malaysia). Diambil dari Portal Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia: http://www.jpj.gov.my/web/eng/act-333.
  2. Dina Murad (2014). Malaysia Has 17th Most Dangerous Roads in the World, According to Michigan University Research. Diambil pada 30 Jun, 2015, dari http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/ 02/22/Nations-with-deadliest-roads-Malaysia-17th/.
  3. Jamieson, A. & Moenssens, A. (2009). Reconstruction: Accident. Wiley Encyclopedia of Forensic Science, vol. 5, 2250-2256.
  4. Kibayashi, K., Shimada, R. & Nakao K. (2014). Fatal Traffic Accidents and Forensic Medicine. International Association of Traffic and Safety Sciences,38, 71-76.
  5. Liu BC et al. (2004). Helmets for Preventing Injury in Motorcycle Riders. Cochrane Database of Systematic Reviews, (2):CD004333.
  6. Malaysia Institute of Road Safety Research (2015). Statistics and Accident Characteristics Involving Motorcycles in Malaysia. Diambil pada 30 Jun, 2015, dari http://www.miros.gov.my/c/document_ library/get_file?uuid=9d24d742-5abd-481d-abf5-9128c1384128&groupId=26426
  7. Malaysia Institute of Road Safety Research (2015). General Road Accident Data in Malaysia (1997 – 2014). Diambil pada 30 Jun, 2015, dari http://www.miros.gov.my/web/guest/road
  8. Mohamad Ghazali, M., Khairil Anuar, M.I. & Mohd Pozi, M.T. (2011). Children, Youth and Road Environment: Road Traffic Accident. Asian Journal Of Environment-Behaviour Studies, Vol 2, No. 6.
  9. Ooi, S. S., Wong, S. V., Radin Umar, R. S., Azhar, A. A. & Megat Ahmad, M. M. H. (2005). Cervical Spine Injuries Sustained by Motorcyclists in Road Crashes in Malaysia. International Journal of Crash, 10(2).
  10. Peden, M, Oyegbite K, Ozanne-Smith J, et al.. (2008). World Report on Child Injury Prevention. Geneva: World Health Organization. Diambil pada 30 Jun, 2015, dari http://whqlibdoc.who. int/publications/2008/9789241563574_eng.pdf?ua=1.
  11. Rudram, D. (2000). Accident Investigation/ Determination of The Cause: Overview. Encyclopedia of Forensic Science, Three-Volume Set, 9-16.
  12. Ritter, F. D. (2000) Successful Personal Injury Investigation: Master the Techniques of Finding the Facts that Win Cases for Plaintiff Attorneys. Boleh didapati dari https://books.google.com.my/books /about/Successful_Personal_Injury_Investigation.html?id=2eS5V6PADrUC&redir_esc=y.
  13. Singh, N. (2014). Road Traffic Injury [Power Point slides]. Diambil pada 30 Jun, 2015 dari: http://www.slideshare.net/ neharikasingh9678/road-traffic-injury.
  14. Worley, H. (2006). Road Traffic Accidents Increase Dramatically Worldwide. Diambil pada 30 Jun, 2015, dari Population Reference Bureau PRB: http://www.prb.org/Articles/2006/RoadTrafficAccidents IncreaseDramaticallyWorldwide.aspx.

 

Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Asrul Fahmi bin Abdul Mutalib
Akreditor : Khoo Lay See