A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Keloid Telinga

Keloid adalah parut besar yang timbul, tidak sekata dan akan semakin membesar.

“Ia Memalukan ……… Tolong Bantu Saya”


Pengenalan

Keloid adalah parut besar yang timbul, tidak sekata dan akan semakin membesar. Ianya disebabkan oleh pembentukan kolagen yang berlebihan di dalam proses pembaikan tisu dan penyembuhan luka. Biasanya keloid terjadi pada cuping telinga, lengan, bahagian pelvis dan dada.

Keloid sebenarnya adalah parut luka. Kolagen yang digunakan dalam pembaikan luka cenderung untuk tumbuh terlalu cepat. Proses yang terlalu cepat ini menghasilkan ketulan yang lebih besar daripada parut asal. Biasanya ia berlaku selepas trauma/kecederaan kepada kulit.

Keloid biasanya berlaku di kalangan orang muda yang berumur di antara 10 dan 20 tahun. Ianya kerap berlaku di kalangan bangsa Afrika, Amerika, Asia dan orang Hispanik. Tiada penjelasan yang nyata mengapa keloid berlaku lebih kerap pada orang yang berkulit gelap. Lelaki dan wanita mempunyai risiko yang sama untuk mendapat keloid.

Keloid juga dikatakan mempunyai kaitan dengan genetik keluaga. Ini bermaksud, seseorang itu lebih cenderung untuk medapat keloid jika salah seorang atau kedua ibubapa mereka mempunyai keloid.

Penyebab

Punca yang paling utama berlakunya keloid adalah trauma/kecederaan seperti kecederaan kepada kulit selepas menindik telinga. Di antara sebab-sebab lain yang biasa ialah:

  1. Jerawat yang teruk
  2. Kebakaran
  3. Jangkitan kuman di tempat luka
  4. Parut selepas dijangkiti cacar air (chicken pox)
  5. Benda asing di dalam luka
  6. Trauma yang berulang-kali di kulit
  7. Ketegangan kulit yang berlebihan semasa menjahit kulit yang luka
  8. Cucukan vaksinasi

Walaupun keloid biasanya berlaku selepas kecederaan, namun ianya juga boleh terjadi tanpa sebarang sebab.

Ciri Klinikal

Keloid boleh menyebabkan gatal-gatal atau pedih dan sering menjadi punca rasa tidak selesa, sakit atau rasa malu. Di antara ciri-cirinya termasuklah:

  1. Bengkak hitam/perang yang tidak normal di atas kulit
  2. Kulit yang terlampau sensitif. Geseran baju dengan keloid terasa teramat sensitif.
  3. Sensasi kulit seakan terbakar/perit
  4. Tompokan gatal di kulit
  5. Kawasan bonjolan atau lekukan pada kulit
Gambar 1 : Keloid Telinga

Keloid berkembang seperti cakaran di atas permukaan kulit normal. Ianya boleh menyebabkan kesakitan seperti jarum menusuk atau gatal tanpa amaran. Walaubagaimanapun tahap sensasi berbeza mengikut individu. Jika keloid dijangkiti kuman, keaadaan akan menjadi lebih teruk.

Rawatan

Adakah perlu keloid dibuang?

Pembuangan keloid telinga adalah lebih kepada sebab kosmetik berbanding sebab kesihatan. Keputusan doktor untuk membuang keloid adalah bergantung kepada faktor pesakit.

Keloid kecil tidak memerlukan pembedahan. Ianya boleh dihapuskan melalui beberapa siri suntikan steroid. Ini boleh dilakukan di klinik pesakit luar sahaja. Manakala keloid besar biasanya memerlukan pembedahan. Pesakit dan ibu bapa juga perlu menerima hakikat bahawa keloid masih boleh berulang walau telah dibuang.

Terdapat pelbagai kaedah lain membuang keloid selain daripada pembedahan seperti:

  1. Cecair nitrogen untuk membekukan dan membunuh sel kulit
  2. Sinaran Laser
  3. Terapi Sinaran Radiasi untuk mengecutkan sel
  4. Suntikan Steroid berkala
  5. Minyak pelembab untuk melembutkan tisu

Kaedah-kaedah ini boleh dilakukan bersama selepas pembedahan dan ianya akan dapat mengurangkan risiko keloid berulang kembali.

Bagaimana Pembedahan Dilakukan?

Pembedahan boleh dilakukan sama ada pesakit sedar atau pengsan. Ianya bergantung kepada usia kanak-kanak, saiz keloid dan tahap pesakit boleh menahan sakit semasa pembedahan.  Jika pesakit sedar, teknik ubat bius setempat (LA ) akan dicucuk di sekitar keloid. Pesakit yang tidak memenuhi kriteria untuk sedar semasa pembedahan (LA) akan dipengsan & ditidurkan. Teknik ini dikenali sebagai anestetik umum (GA).

Prosedur pembedahan keloid mengambil masa yang singkat dengan kesakitan yang minima selepas pembedahan. Kebanyakan pesakit boleh kembali bekerja atau ke rumah pada hari yang sama.

Bolehkah Ianya Berulang?

Ya, ia boleh berulang. Pembedahan boleh menyebabkan pembentukan parut baru pada kulit dan pembentukan keloid berulang jika ianya tidak dikawal. Malah ada keloid yang lebih besar daripada parut keloid asal.

Untuk mengurangkan risiko berulang, pakar bedah boleh memilih untuk menyuntik ubat steroid sebelum penutupan jahitan. Suntikan tambahan steroid boleh diulang secara berkala jika parut mulai menebal. Ada juga yang menggunakan subang tekanan selepas pembedahan.

Pendedahan parut luka kepada cahaya matahari boleh menyebabkan tisu semakin hitam dan gelap. Jadi, parut luka hendaklah dilindungi daripada terdedah terus kepada matahari.

Tonton Video Di SINI

Semakan Akhir : 24 Julai 2017
Penulis / Penterj : Dr. Eshamsol Kamar b. Omar
Akreditor : Dr. Faridah bt. Hassan

Artikel Berkaitan

Alahan Hidung

Pengenalan Alahan hidung ialah tindakbalas berlebihan pada sistem keimunan (sistem

Hilang Pendengaran Mengejut

Hilang pendengaran mengejut adalah situasi di mana seseorang akan mengalami kehilangan atau kekurangan keupayaan untuk mendengar secara tiba- tiba.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,093,364

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia