A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Cara Hidup Sihat
  6. /
  7. Derma Darah
  8. /
  9. Kelayakan Pendermaan Darah

Kelayakan Pendermaan Darah

Seseorang individu yang berhasrat untuk mendermakan darah mereka tetapi tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai penderma darah, tidak akan dibenarkan untuk mendermakan darah mereka.

Darah yang selamat dari penderma darah yang sihat.

Di Malaysia, darah yang diperolehi adalah dari penderma ikhlas secara sukarela. Kriteria kelayakan pendermaan darah diwujudkan bertujuan untuk memastikan hanya penderma darah yang berkelayakan sahaja dibenarkan untuk menderma darah. Ini bertujuan untuk memastikan proses pendermaan darah adalah selamat dan tidak memudaratkan penderma itu sendiri. Seseorang individu yang berhasrat untuk mendermakan darah mereka tetapi tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai penderma darah, tidak akan dibenarkan untuk mendermakan darah mereka.

Prosedur untuk tidak melayakkan penderma tersebut menderma darah dikenali sebagai “deferral”atau terjemahannya deferal. Secara globalnya, kadar deferal adalah berbeza dari sesebuah pusat darah ke pusat darah yang lain, dan adalah di antara 5 hingga 25%. Di Malaysia juga kadar deferal berbeza dari setiap pusat kutipan darah juga adalah pada kadar yang sama.

Apakah itu deferal pendermaan darah?

Ia bermakna penderma tersebut tidak layak untuk mendermakan darah mereka. Deferal ini boleh berlaku semasa proses pendaftaran sebagai penderma darah, semasa menjalankan ujian pra-pendermaan darah, selepas sesi temubual pra-pendermaan darah ataupun sejurus sebelum prosedur pendermaan darah dilakukan oleh kakitangan terlatih.

Berapa lamakah tempoh deferal yang dikenakan keatas penderma darah ?

Tempoh deferal yang harus dilalui oleh seseorang individu yang ingin menderma itu bergantung kepada sebab-sebab mengapa individu yang ingin menderma itu tidak layak untuk menderma darah.

Terdapat dua tempoh deferal yang dilalui oleh penderma-penderma darah , iaitu tempoh sementara dan tempoh kekal. Tempoh deferal sementara boleh sesingkat 1 hari sehingga 2 tahun, manakala deferal kekal bermaksud penderma darah tersebut tidak layak untuk menderma darah sepanjang hayat mereka bermula dari tarikh tidak layak tersebut.

Apakah sebab-sebab deferal sementara?

Beberapa contoh sebab-sebab deferal sementara yang ditemui ialah paras hemoglobin yang rendah (kurang darah), situasi dimana penderma mengalami tekanan darah rendah ataupun tekanan darah tinggi, berat badan yang kurang daripada 45 kg, sedang dalam rawatan penyakit yang memerlukan mengambil ubat seperti antibiotik, aspirin dll, selepas penerimaan vaksinasi, mengalami jangkitan kuman seperti selsema dan denggi, menjalani pembedahan (major atau minor) dan prosedur seperti rawatan gigi, tattoo ataupun prosedur akupuntur.

Di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur, kadar deferal penderma darah adalah sebanyak 15% hingga 20% daripada jumlah penderma darah yang mendaftar sebagai penderma setiap tahun, dan kebanyakannya (90%) daripada jumlah ini merupakan penderma yang tidak layak menderma untuk tempoh yang singkat (deferal sementara). Paras hemoglobin yang rendah merupakan sebab utama penderma tidak layak menderma diikuti oleh penderma yang mengalami tekanan darah tinggi atau tekanan darah rendah.

Apakah sebab-sebab deferal kekal?

Penderma darah yang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser, penyakit dalam darah, sakit jantung, dan golongan penderma-penderma yang berisiko tinggi (individu yang bertukar-tukar pasangan seks, penagih dadah secara suntikan, pelacur dan individu yang melanggani pelacur, lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki yang lain) tidak akan dibenarkan menderma darah sama sekali (Deferal secara kekal).

Sebanyak 10% daripada kes-kes penderma deferal adalah deferal kekal. Kebanyakan daripada deferal kekal adalah disebabkan individu berisiko tinggi dan sejarah lawatan ke United Kingdom atau Eropah dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Individu yang pernah melawat atau mendiami di United Kingdom (England, Norther Ireland, Wales, Scotland, the Isle of Man, Channel Island) selama tempoh 6 bulan atau lebih dari 1 Januari 1980 sehingga 31 Disember 1996 adalah tidak layak menderma (deferal kekal).

Deferal kekal juga akan dikenakan ke atas individu yang pernah melawat atau mendiami di Eropah Barat (Austria, Belgium, Denmark, Finland, France, Germany, Greece, Holland, Iceland, Republic of Ireland, Italy, Liechtenstein, Luxembourg, Norway, Portugal, Spain, Sweden, Switzerland) dari 1980 sehingga sekarang selama tempoh 6 bulan atau lebih.

Bolehkah saya menilai kelayakan saya sebagai penderma darah?

Boleh. Kriteria pendermaan darah boleh dibaca melalui poster dan carta alih yang dipamerkan di ruang pendaftaran pendermaan darah di pusat-pusat kutipan ataupun kempen derma darah yang diadakan maupun melayari laman web Pusat Darah Negara : www.pdn.moh.gov.my Proses ini dikenali sebagai self deferral di mana individu yang tidak memenuhi kriteria pendermaan darah atau menyedari bahawa darahnya sendiri berpotensi menjangkiti penerima darah dan membuat keputusan supaya tidak menderma darah pada waktu itu. Individu dalam golongan risiko tinggi yang dinyatakan diatas adalah dinasihati untuk tidak meneruskan niat untuk menderma darah mereka demi menjamin keselamatan bekalan darah dan kemungkinan menjangkiti pesakit yang menerima pemindahan darah tersebut.

Apakah yang akan berlaku sekiranya saya tetap menderma darah walaupun tidak layak?

Individu yang tidak memenuhi kriteria pendermaan darah (contohnya kurang paras hemoglobin, tekanan darah rendah) mungkin akan mengalami kesan sampingan dari pendermaan darah seperti sakit kepala, pening atau pitam. Individu yang tidak layak menderma untuk tempoh masa sementara adalah dinasihati dan digalakkan supaya kembali selepas tamat tempoh deferal tersebut.

Individu dalam golongan berisiko tinggi mempunyai potensi untuk menularkan penyakit bawaan darah seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C atau Syphilis kepada pesakit yang menerima darah tersebut. Darah itu tercemar sekiranya penderma mendermakan darah mereka dalam tempoh window period. Ini kerana ujian saringan yang digunakan kini tidak berupaya untuk mengesan jangkitan tersebut dalam tempoh window period ini. Unit darah tersebut melepasi ujian saringan yang dijalankan dan digunakan untuk tujuan pemindahan darah berpotensi untuk menjangkiti pesakit.

Apakah yang akan berlaku sekiranya saya tidak mendedahkan maklumat seperti amalan risiko tinggi dan meneruskan pendermaan darah?

Seseorang penderma darah yang tidak mendedahkan maklumat yang dianggap penting seperti amalan risiko tinggi boleh mendatangkan banyak mudarat. Setiap unit darah yang didermakan boleh menyelamatkan sebanyak 3 nyawa apabila darah tersebut diproses kepada 3 komponen darah yang berbeza. Jadi jika pendermaan darah tersebut berlaku dalam tempoh window period penderma, maka darah tersebut berpotensi menjangkiti 3 pesakit yang berbeza pada satu-satu masa.

Penderma darah dalam golongan berisiko tinggi perlu memahami kemungkinan kemudaratan yang akan dihadapi oleh pesakit-pesakit. Setiap penderma darah perlu mempunyai rasa penuh tanggungjawab dan beretika kepada pesakit-pesakit yang bakal menerima pemindahan darah yang telah mereka dermakan. Penderma-penderma darah yang didapati memberikan pengakuan yang tidak benar berkaitan dengan tingkah laku dan gaya hidup mereka yang berisiko tinggi boleh didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Apakah implikasi deferal pendermaan darah ke atas penderma darah dan bekalan darah?

Deferal sementara memberikan impak negatif kepada penderma darah. Kajian telah menunjukkan bahawa penderma darah yang tidak memenuhi kriteria kelayakan pendermaan darah (deferral sementara) mempunyai kurang kecenderungan untuk kembali menderma darah berbanding dengan penderma darah yang layak dan telah mendermakan darah mereka. Adalah penting supaya penderma darah yang tidak layak untuk menderma (deferal sementara) diberikan penerangan dan nasihat yang terbaik supaya mereka akan kembali semula untuk menderma darah setelah tempoh deferal tersebut tamat.

Deferal kekal pula boleh membawa kesan psikologi, dan kadang kala boleh menyebabkan perasaan seperti penolakan, kekeliruan, ketakutan, ketidakpercayaan, kemarahan, stigma dan kehilangan pada penderma itu sendiri. Perlu ditekankan bahawa tujuan deferal adalah untuk menjaga kepentingan dan keselamatan penderma dan juga pesakit.Kefahaman yang tinggi dari pihak penderma akan memudahkan penerimaan situasi dimana penderma tersebut tidak boleh menderma untuk tempoh kekal. Penderma yang terlibat ini akan diberi kaunseling secara professional oleh kakitangan yang terlatih dan kompeten supaya penderma darah boleh memahami tujuan dan mengapa mereka tidak dibenarkan menderma.

Kriteria kelayakan pendermaan darah juga dikaji dan dikemaskini dari semasa ke semasa untuk menambahbaik kriteria kelayakan pendermaan darah dan mengelakkan pihak kutipan darah kehilangan penderma berpotensi tanpa sebab yang kukuh.

Di manakah boleh mendapat lebih maklumat?

Kriteria kelayakan pendermaan darah boleh diketahui dengan melayari laman web Pusat Darah Negara. Sila kunjungi www.pdn.gov.my untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kriteria kelayakan pendermaan darah.

Kriteria kelayakan pendermaan darah juga terkandung di dalam Transfusion Practice Guidelines for Clinical and Laboratory Personnel, di laman web Pusat Darah Negara.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Kam Wooi Seong
Akreditor : Dr. Afifah bt. Hassan
Penyemak : Dr. Jubaida Paraja

Artikel Berkaitan

Derma Darah

Sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya.

Keistimewaan Menjadi Seorang Penderma Darah

Derma darah merupakan satu amalan mulia kerana darah yang diderma boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang memerlukannya. Amalan derma darah dapat memupuk nilai murni dalam diri dan boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial.

Pemprosesan Dan Penyediaan Komponen Darah

Tahukah anda bahawa satu unit darah yang didermakan boleh diproses dan dibahagikan kepada tiga komponen darah yang berlainan? Darah terdiri daripada sel darah merah (erythrocytes), sel darah putih (leukocytes), platelet (thrombocytes) dan plasma.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,316,870

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia