A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kelahiran Pramatang

Tarikh kandungan seseorang dikira dari hari pertama haid terakhir ibu tersebut. Kandungan yang mencapai 37 hingga 42 minggu dikira matang, manakala bayi yang dilahir sebelum 37 minggu ia dianggap kelahiran pramatang.

Di Malaysia, prevalence (kelaziman) kelahiran pramatang adalah 10% (statistik 1998). Bukan semua ibu yang mengalami sakit bersalin kurang dari 37 minggu itu akan bersalin awal (hanya dalam linkungan 30% hingga 50% sahaja). Selebihnya sakit akan berhenti sendiri atau diberhentikan dengan bantuan ubat tokolitik.

Sebab-sebab

Sebab-sebab utama KP masih belum dikenalpasti, akan tetapi lebih kurang 20% darinya adalah disebabkan oleh doktor yang terpaksa mengeluarkan (melahirkan) bayi itu awal dari waktunya (induksi). Ini selalu terjadi jika ibu mengalami penyakit-penyakit yang hanya akan sembuh dengan bayi itu dilahirkan (seperti darah tinggi, kencing manis dan bayi yang mengalami masalah tumbesaran dalam kandungan).

Sukar untuk meramalkan pesakit mana yang boleh mendapat KP, tetapi ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang, diantaranya:

  1. Sejarah KP dikandungan yang lalu/lampau
  2. Mengandung kembar
  3. Pernah menjalani pembedahan bahagian serviks
  4. Struktur rahim yang tidak normal
  5. Pendarahan rahim semasa mengandung
  6. Penyalah gunaan dadah (heroin, ecstasy)
  7. Menghisap rokok
  8. Jangkitan kuman di pundi air kencing, rahim dan faraj
  9. Berat badan yang terlalu ringan atau berat badan tidak meningkat semasa mengandung.
  10. Air ketuban yang terlalu banyak ( polyhydraminous)
  11. Kurang darah merah (anemia) yang ketara semasa mengandung
  12. Mengandung terlalu kerap
  13. Mengandung pada usia remaja.
  14. Stres (fizikal dan psikologi) semasa mengandung

Simptom dan Tanda-Tanda

Kekadang simptomnya tidak berapa spesifik, akan tetapi, pesakit boleh mengadu sakit belakang atau sakit bahagian bawah perut. Walau bagaimanapun, tanda-tanda yang nyata adalah:

  1. Keluarnya “show” iaitu lendiran faraj bercampuran darah
  2. Sakit bersalin (kontraktsi) yang semakin meningkat kekerapan dan kekuatannya.
  3. Pecahnya air ketuban

Komplikasi

Oleh kerana organ-organ bayi belum matang ia akan lebih terdedah kepada banyak masalah yang boleh membawa maut kepada bayi. Antara masalah-masalah tersebut adalah kesusahan untuk bernafas secara normal, kesejukan, kesukaran menyusu, masalah pada penglihatan, usus dan saraf otak bayi.Lebih awal bayi dilahirkan, lagi teruk tahap komplikasinya. Namun masalah ini dapat dikurangkan dengan adanya rawatan hospital pakar yang lengkap dengan perkhidmatan ICU kanak-kanak.

Komplikasi berlaku lebih kerap dan lebih teruk jika bayi kurang dari 32 minggu dan/atau kurang dari 1 kg.

Rawatan

Tujuan rawatan KP tidak lebih dari ingin memperlambatkan masa bersalin selewat mungkin supaya kandungan tersebut dapat mencapai tahap kematangannya. Ubat untuk memberhentikan atau mengurangkan kontraksi akan diberi kepada ibu. Ubat suntikan steroids (sila lihat bawah) juga akan diberi untuk mematangkan paru-paru bayi.

Bayi yang lahir pra-matang ini perlu dijaga dan dirawat di hospital pakar yang lengkap dengan ICU kanak-kanak.  Jika ibu dimaksukkan ke hospital yang tidak mempunyai fasiliti ICU kanak-kanak, ibu akan dipindahkan ke hospital pakar lain dan ubat tokolitik (ubat untuk mengurang/memberhentikan kontraksi) diberi kepada ibu supaya bayi tidak lahir sebelum atau semasa pemindahan. Contoh ubat tokolitik termasuk nifedipine, terbutaline dan atosiban. Ubat ini perlu diberi awal supaya dapat keberkesanannya dan untuk kandungan kurang dari 32 minggu, ubat magnesium sulphate juga akan diberi untuk meminimakan kesan pramatang ke atas otak bayi.

Ubat tokolitik ini boleh memberhentikan sakit kelahiran pramatang kepada lebih separuh dari pesakit KP, bakinya, sakit itu hilang secara sendiri. Sementara itu, ibu-ibu ini akan dapat membawa kandunganya ke tahap matang.  Mereka ini boleh dibenarkan pulang ke rumah, tetapi, nasihat akan  diberikan supaya segera datang ke hospital jika terdapat tanda-tanda bersalin.  Mereka akan dinasihatkan untuk berehat dan mengurangkan aktiviti.

Steroids

Ia diberi kepada ibu untuk membantu kematangan paru-paru bayi pra matang ini. Ubat yang digunakan di KKM adalah dexamethasone dan ia diberi dalam bentuk suntikan di punggung pesakit. Dos yang digunakan adalah 12mg setiap 12 jam untuk 2 suntikan. Kebaikan steroids termasuk:

  1. Mengurangkan masalah pernafasan bayi selepas bersalin disebabkan pra-matang.
  2. Mengurangkan masalah pendarahan di dalam otak bayi selepas bersalin disebabkan pra-matang.
  3. Mengurangkan masalah jangkitan usus bayi selepas bersalin disebabkan pra-matang.
  4. Mengurangkan risiko kematian selepas bersalin disebabkan pra-matang.

Pencegahan

Oleh kerana punca utama KP masih belum diketahui, masalah KP sukar untuk dibendung. Akan tetapi, ada sesetengah keadaan atau tabiat-tabiat pesakit yang boleh mengurangkan risikonya seperti merokok atau penyalah gunaan dadah. Pengambilan ubat progesterone boleh membantu melambatkan kelahiran bagi sesetengah kes jika ia diberikan di antara 16 hingga 26 minggu mengandung dan diteruskan sehingga 36 minggu.

Kontraksi bersalin palsu

Nama lain adalah kontraksi Braxton Hicks. Keadaan dimana rahim mengetat (seperti kontraksi bersalin) kurang daripada lapan kali dalam masa satu jam atau empat kali setiap dua puluh minit. Kontraksi ini biasanya tidak teratur dan tidak sakit. Ia tidak disertai dengan pendarahan atau keputihan dari faraj. Secara umumnya, ia akan hilang dengan berehat. Kontraksi rahim tanpa rasa sakit adalah normal dan tidak meningkatkan risiko mendapat kelahiran pramatang. Malangnya, sukar untuk membezakan antara kontraksi kelahiran pramatang berbanding kontraksi persalinan palsu.

Walau bagaimanapun, jika kontraksi ini tidak hilang atau menjadi lebih kerap serta menyakitkan, ibu dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik atau hospital yang berhampiran. Pemeriksaan faraj (salur beranak) mungkin dilakukan untuk menentukan sama ada ibu mengalami kontraksi bersalin atau hanya pengekatan (kontraksi bersalin palsu).

Rujukan

  1. Annual Report on Perinatal Mortality, Malaysia; 1998.
  2. Hospitalisation and bed rest for multiple pregnancy. Crowther CA, Han S, Cochrane Database Syst Rev. 2010;
  3. Green-top Guidelines No. 7: Antenatal corticosteroids to reduce neonatal morbidity or mortality (October 2010)

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Hj. Mohamed Hatta b. Mohamed Tarmizi
Akreditor : Dr. Haris Njoo Suharjono
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

Anemia Semasa Hamil

Bila seorang wanita mengandung, beliau mungkin mengidapi anemia. Dalam keadaan ini, beliau mungkin merasa penat dan anak dalam kandungan mungkin akan jadi kecil dan dilahirkan sebelum waktunya. Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi.

Senaman Pranatal

Senaman pranatal adalah senaman semasa mengandung. Senaman pranatal sangat digalakkan

Senaman Posnatal

Senaman posnatal adalah untuk ibu-ibu selepas bersalin. Jenis-jenis senaman Di

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,233,973

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia