Kekeliruan

Pengenalan

  • Kekeliruan merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh warga emas berusia 65 tahun ke atas.

  • Gejala penyakit adalah seperti kurang kesedaran, kurang keupayaan berfikir, kurang daya pemahaman serta kurang kesedaran dan kebolehan untuk bertindak balas kepada rangsangan luar. Pesakit biasanya hilang orientasi, kurang memberi perhatian, tidak mampu memberi pendapat, mengantuk dan daya ingatan terjejas.

  • Gejala penyakit mungkin berlaku secara tiba-tiba, atau progresif dan boleh bertambah teruk.

  • Ia mempengaruhi kira-kira 10 hingga 30 peratus daripada pesakit dalam hospital, terutamanya di kalangan warga emas.

  • Ia boleh melambatkan pesakit keluar hospital, meningkatkan morbiditi dan kematian. Kekeliruan juga merupakan punca utama kemasukan warga emas ke pusat jagaan.

Sebab-sebab kekeliruan

Untuk warga emas, kekeliruan biasanya merupakan gejala untuk:

Delirium

Deliriummerupakan keadaan di mana pesakit mengalami kekeliruan atau kurang kesedaran secara akut dan sementara. Pesakit juga mengalami gangguan sementara pada fungsi kognitif iaitu cara mereka berfikir, gangguan psikomotor dan juga emosi. Kebanyakan pesakit, delirium yang berpunca daripada masalah perubatan dapat dipulihkan dengan rawatan.

Delirium hendaklah dikenalpasti dan perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Sebab-sebab delirium termasuklah:

  • Gangguan metabolik seperti gangguan elektrolit, kurang atau terlebih kandungan gula di dalam darah.

  • Jangkitan kuman.

  • Kurang aliran darah ke jantung (contoh: dehidrasi – kekurangan air dalam badan, serangan jantung dan lemah jantung).

  • Angin ahmar.

  • Ubat-ubatan.

  • Pengambilan alkohol dan/ atau dadah yang lain.

  • Pertukaran warga emas ke persekitaran yang baru (cth: kemasukan ke hospital dan pindah rumah baru).

  • Sebab-sebab lain seperti sembelit dan retensi air kencing.

Dementia / Nyanyuk

Dementia / Nyanyuk adalah  penurunan fungsi intelektual yang berlaku sehingga boleh menyebabkan pesakit tidak berupaya melakukan aktiviti harian yang biasa. Penurunan daya ingatan merupakan ciri utama dementia / nyanyuk. Berbanding delirium, dementia adalah kekeliruan dan penurunan fungsi intelektual yang berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh masa beberapa bulan atau tahun, progresif dan kebanyakan perubahan adalah kekal.

Dementia / nyanyuk boleh dikategorikan sebagai jenis yang boleh dipulihkan atau jenis yang tidak boleh dipulihkan.

Sebab-sebab Dementia / nyanyuk yang tidak boleh dipulihkan termasuklah:

  • Penyakit Alzheimer’s

  • Angin ahmar

Sebab-sebab Dementia yang berpotensi untuk dipulihkan termasuklah:

  • Kelenjar Tiroid kurang berfungsi.

  • Kekurangan vitamin seperti vitamin B12 dan asid folik.

  • Jangkitan seperti neurosifilis.

  • Gangguan Metabolik seperti kandungan urea yang tinggi di dalam darah.

Kemurungan

Kekeliruan biasanya merupakan gejala untuk delirium atau dementia/nyanyuk. Walau bagaimanapun, ia boleh juga disebabkan oleh kemurungan.

Gejala utama kemurungan ialah emosi yang murung dan/ atau kehilangan minat atau kepuasan untuk melakukan kebanyakan aktiviti. Gejala-gejala lain termasuklah penurunan atau peningkatan berat badan, perubahan selera makan yang ketara, susah tidur, senang marah, penat atau kehilangan tenaga, kehilangan harga diri atau rasa bersalah, kurang keupayaan untuk memberi tumpuan atau membuat keputusan, selalu berfikir untuk mati, mencuba atau merancang untuk membunuh diri.

Bagi menepati kriteria untuk kemurungan, gejala-gejala ini mestilah menjejaskan fungsi seseorang dengan ketara dan bukan disebabkan oleh masalah perubatan yang lain atau semasa proses berkabung.

Pada kebanyakan masa, kekeliruan akan dianggap sebagai delirium terlebih dahulu kecuali punca lain kekeliruan dapat dikenal pasti. Ini adalah kerana delirium adalah penyakit yang boleh dipulihkan dengan rawatan.

Tanda dan Gejala

Sebab-sebab kekeliruan boleh dikenal pasti dengan pengambilan sejarah penyakit yang lengkap, semakan ke atas ubat-ubatan, pemeriksaan fizikal, penilaian status mental dan ujian makmal.

Pengambilan Sejarah

Masalah ini perlu disyaki apabila terdapat gejala penurunan secara tiba-tiba dalam fungsi otak, terutama sekali untuk pesakit dalam wad. Faktor-faktor lain yang boleh mengakibatkan kekeliruan termasuklah: kurang penglihatan, penyakit yang teruk, masalah kognitif yang sedia ada dan kekurangan air badan.

Masalah ini mungkin dikesan oleh saudara-mara, penjaga ataupun jururawat apabila terdapat gejala kekeliruan perlaku.

Semakan ke atas ubat-ubatan adalah penting semasa pengambilan sejarah pesakit kerana penggunaan ubat yang banyak dan kesan sampingan ubat merupakan penyebab utama kekeliruan. Oleh itu, adalah penting untuk pesakit atau penjaga membawa semua ubat-ubatan yang diambil termasuklah ubat yang diberi oleh doktor dan yang dibeli dari farmasi setiap kali mereka berjumpa doktor.

Pemeriksaan Fizikal

Pemeriksaan fizikal membantu untuk membezakan di antara kekeliruan yang disebabkan oleh masalah saraf (neurologi) atau masalah kesihatan mental (psikiatri) di kalangan warga emas.

Doktor akan memberi perhatian ke atas sistem kardiovaskular, neurologi dan psikiatri. Pemeriksaan juga meliputi penilaian tahap kesedaran dan orientasi pesakit.

Pemeriksaan Status Mental

Pemeriksaan ‘Mini-Mental State Examination’ (MMSE) akan dilakukan untuk menilai kekeliruan pesakit warga emas. Antara soalan-soalan dan tugas-tugasan di dalam pemeriksaan ini adalah seperti:

  • Apakah tarikh hari ini?
  • Apakah nama bangunan ini?
  • Bolehkah anda menulis satu ayat di atas kertas yang disediakan?

Ujian makmal

Ujian makmal yang penting termasuklah: tahap gula, elektrolit, urea, creatinine, ujian fungsi hati dan amonium, fungsi tiroid, analisa air kencing dan saringan kencing untuk dadah (jika perlu), X-ray dada dan electrocardiogram (ECG) perlu dilakukan.

Pemeriksaan lanjutan seperti Electroencephalogram (EEG), scan Computed tomographic (CT) atau Magnetic resonance imaging (MRI) hanya akan dilakukan sekiranya difikirkan perlu oleh doktor selepas pemeriksaan.

Rujukan kepada pakar neurologi, neuropsikiatri atau psikiatri akan dibuat untuk kes-kes rumit.

Komplikasi

Prognosis dan Komplikasi

Prognosis untuk pulih daripada kekeliruan adalah berbeza. Apabila faktor penyebab boleh dikenalpasti dan diperbetulkan, pesakit mungkin boleh sembuh dalam masa beberapa hari. Untuk segelintir warga emas yang lain, ia mungkin berkekalan untuk jangka masa yang lebih panjang (bulan) dan bukan semua yang akan sembuh sepenuhnya.

Rawatan

Rawatan penyakit kekeliruan adalah berbeza mengikut puncanya. Contoh rawatan adalah seperti berikut:

  • Rawatan spesifik untuk masalah delirium.
  • Henti ubat dan penukaran ubat sekiranya ubat-ubatan dikenal pasti sebagai punca kekeliruan.
  • Rawatan spesifik untuk masalah kemurungan.

Jika dementia/nyanyuk yang tidak boleh pulih dikesan, perhatian perlu diberi ke atas pengurangan morbiditi dan kematian sepanjang hayat pesakit. Ubat spesifik untuk dementia/nyanyuk yang tidak boleh pulih mungkin boleh diberi selepas mengambil kira risiko dan faedah rawatan. Perkara ini perlu dibincangkan bersama doktor.

Pencegahan

Adalah dianggarkan bahawa 30 hingga 40 peratus daripada pesakit yang menghadapi masalah kekeliruan boleh dicegah dengan penjagaan perubatan yang berkualiti tinggi. Faktor risiko pada pesakit perlu dikenal pasti dan diperbetulkan, program pendidikan kepada doktor dan jururawat adalah penting untuk membantu mencegah, pengesanan awal dan pengendalian yang bersesuaian ke atas pesakit warga emas demi mengurangkan kejadian kekeliruan.

Untuk mencegah kekeliruan di kalangan warga emas, langkah-langkah pencegahan perlu diambil seperti membetulkan keseimbangan cecair dan elektrolit dalam badan, mengekalkan status pemakanan yang bagus, rawatan ke atas jangkitan, mengurangkan pertukaran staf, elakkan mengongkong pesakit secara paksa, memberi komunikasi dan penjelasan yang berkesan dan sokongan kepada pesakit/penjaga.

Apabila ubat diperlukan, dos yang paling rendah perlu digunakan dan ubat tidur seperti benzodiazepines perlu dielakkan.

Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Penyemak : Dr. Nor Hazlin bt Talib