A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Cara Hidup Sihat
  6. /
  7. Derma Darah
  8. /
  9. Keistimewaan Menjadi Seorang Penderma...

Keistimewaan Menjadi Seorang Penderma Darah

Derma darah merupakan satu amalan mulia kerana darah yang diderma boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang memerlukannya. Amalan derma darah dapat memupuk nilai murni dalam diri dan boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial.

Derma darah merupakan satu amalan mulia kerana darah yang diderma boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang memerlukannya. Amalan derma darah dapat memupuk nilai murni dalam diri dan boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial.

Malaysia mengamalkan pendermaan darah secara sukarela tanpa memberi sebarang ganjaran kepada penderma darah. Walalu bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperuntukkan beberapa keistimewaan seperti dalam Jadual 1 kepada penderma darah.

Keistimewaan ini diberikan kepada penderma darah bagi menghargai jasa baik dan pengorbanan penderma darah. Ia juga bertindak sebagai insentif bagi menggalakkan penderma darah baru untuk meneruskan amalan mulia ini sebagai penderma darah tetap.

Di bawah peruntukan keistimewaan ini, penderma darah diberikan rawatan pesakit luar dan perubatan serta wad secara percuma di hospital atau klinik kerajaan. Tempoh sah perkhidmatan rawatan percuma adalah dikira dari tarikh terakhir pendermaan darah sehingga tempoh yang ditetapkan, iaitu 4 bulan hingga 10 tahun. Tempoh tersebut bergantung kepada bilangan pendermaan darah yang telah dilakukan dan kekerapan pendermaan.

Contohnya, penderma menderma darah sekali di mana-mana hospital atau tempat menderma darah, mereka layak menerima rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan secara percuma serta wad kelas dua dalam tempoh 4 bulan bermula dari tarikh pendermaan darah. Keistimewaan yang lain boleh dirujuk kepada Jadual 1.

Jadual 1: Keistimewaan Rawatan Penderma Darah Di Fasiliti Kesihatan (Hospital, Institusi Dan Klinik Kesihatan), Kementerian Kesihatan Malaysia Mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) 5/2005 Bertarikh 20 Julai 2005

Kekerapan menderma darah Keistimewaan rawatan

 

1 kali

 

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan) dan wad kelas dua untuk tempoh *4 bulan
2 kali (dalam tempoh 12 bulan) Percuma suntikan pencegahan Hepatitis B
2 – 5 kali Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh *4 bulan
6 – 10 kali Percuma rawatan pesakit luar selama *1 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh *6 bulan
11 – 15 kali Percuma rawatan pesakit luar selama *2 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 1 tahun
16 – 20 kali Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh *2 tahun
21 -30 kali Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh *3 tahun
31 – 40 kali Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh *4 tahun

41 – 50 kali

 

Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh *6 tahun
Lebih 50 kali (bagi penderma “whole blood”) dan lebih 150 kali (bagi penderma “aferesis”) Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan selepas itu wad kelas dua untuk seumur hidup

*Tempoh masa keistimewaan yang dinyatakan adalah sah digunakan bermula dari tarikh pendermaan terakhir.

Kemudahan wad adalah bergantung kepada keadaan semasa di hospital berkenaan. Jika tiada kekosongan wad kelas yang dinyatakan, maka penderma darah akan ditempatkan di wad kelas lain yang sesuai.

Keistimewaan ini hanya diberikan kepada penderma darah warganegara Malaysia dan yang berstatus penduduk tetap. Warganegara bukan Malaysia yang menderma darah di mana-mana pusat darah atau kempen derma darah bergerak tidak dapat menikmati keistimewaan ini.

Selain daripada rawatan percuma, penderma darah juga boleh mendapatkan suntikan vaksin terhadap penyakit Hepatitis B secara percuma sekiranya mereka menderma sekurang-kurangnya 2 kali dalam tempoh 12 bulan. Penderma darah boleh berhubung dengan pusat darah kerajaan terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Penderma darah perlu membawa buku Sijil Perkhidmatan Permindahan Darah Kebangsaan (PPDK 9/Pin. 4/99), iaitu Buku Derma Darah, bersama ke pusat kesihatan, hospital atau pusat darah dan menunjukkan buku tersebut kepada pihak berkenaan sebelum mendapatkan rawatan.

Bagi penderma darah yang ingin mendapatkan perkhidmatan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, mereka perlu pergi ke Pusat Darah Negara untuk mendapatkan surat pengesahan terlebih dahulu.

Selain daripada keistimewaan di atas, penderma darah juga diraikan dalam sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun setiap tahun bagi menunjukkan penghargaan masyarakat terhadap sumbangan mereka yang tidak ternilai ini. Anugerah diberikan kepada penderma darah dari segenap lapisan sebagai tanda penghargaan.

Keistimewaan Menjadi Seorang Penderma Darah1 Keistimewaan Menjadi Seorang Penderma Darah2

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Yessy Octavia Misdi
Akreditor : Katheleen Ng Li Fong
Penyemak : Dr. Jubaida Paraja

Artikel Berkaitan

Pemprosesan Dan Penyediaan Komponen Darah

Tahukah anda bahawa satu unit darah yang didermakan boleh diproses dan dibahagikan kepada tiga komponen darah yang berlainan? Darah terdiri daripada sel darah merah (erythrocytes), sel darah putih (leukocytes), platelet (thrombocytes) dan plasma.

Derma Darah

Sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,318,442

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia