A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kehilangan Gigi Di Kalangan Kanak-Kanak

Kehilangan gigi pada kanak-kanak akan menjejaskan penampilan serta oklusi kegigian kanak-kanak tersebut.

Pengenalan dan definisi

Kehilangan gigi pada kanak-kanak akan menjejaskan penampilan serta oklusi kegigian kanak-kanak tersebut. Keadaan ini boleh berlaku bukan saja pada kehilangan gigi yang banyak tetapi juga bila hanya sebatang yang hilang pada rahang tersebut. Susunan gigi menjadi tidak simetri sehingga  menjejaskan senyuman.

Punca kehilangan gigi boleh di kaitkan dengan penanggalan gigi ataupun ketiadaan gigi sejak lahir lagi. Penanggalan gigi adalah satu proses di mana satu atau lebih gigi menjadi longgor dan tercabut. Ini adalah proses yang normal bagi penggantian gigi susu ke gigi kekal. Selain daripada proses penggantian gigi,penanggalan gigi boleh juga disebabkan oleh kecederaan seperti kecederaan gigi teravulsi , atau penyakit seperti gigi berlubang dan penyakit gusi. Di sebalik ini kehilangan gigi dalam arkus boleh juga di sebabkan oleh ketiadaan kongenital kerana gangguan pembentukan gigi ketika bayi di dalam kandungan. Keadaan ini lebih kerap berlaku di kegigian kekal berbanding dengan kegigian susu.

Penyebab berlakunya kehilangan gigi:
  1. Gigi berlubang dan penyakit gusi.

    Gigi berlubang adalah disebabkan oleh penumpukan plak yang banyak pada gigi. Reaksi di antara plak dan bakteria akan menyebabkan gigi berlubang. Gigi berlubang jika dibiarkan dan tidak dirawat dalam jangkamasa yang lama akan menyebabkan jangkitan kuman yang lebih serius seperti di Gambar 1 (A) dan (B). Penumpukan plak dan kandungan bakteria yang tinggi di dalam mulut boleh menyebabkan gusi dan tulang hilang kekuatan untuk mendukung gigi di dalam mulut. Penyakit gusi seperti periodontitis akan menyebabkan kehilangan tisu pendukung gigi dan akhirnya gigi menjadi longgar dan perlu dicabut. Kehilangan gigi disebabkan oleh gigi berlubang dan penyakit gusi boleh dicegah dengan cara mengamalkan kesihatan oral dengan berkesan dan rawatan berkala oleh doktor gigi.

    Gambar 1 (A): Bengkak Gusi
    (B): Bengkak muka
  2. Kehilangan gigi secara semulajadi.

    Hypodontia adalah keadaan kekurangan bilangan gigi dari jumlah yang normal secara semulajadi disebabkan oleh gangguan dalam pembentukan gigi. Biasanya gigi susu tetap kekal tanpa diganti oleh gigi dewasa.Keadaan ini lebih ketara apabila gigi susu yang sudah tercabut atau longgar (terutama usia remaja) tidak diganti oleh gigi kekal. Namun begitu, keadaan sebaliknya boleh berlaku apabila gigi susu tetap kuat dan berfungsi dengan baik sehingga akar menjadi pendek disebabkan proses pereputan ataupun penyakit. Jika keadaan ini berlaku, gigi tersebut terpaksa dicabut.

    Ketiadaan gigi lebih banyak terjadi pada kegigian kekal dan banyak terjadi di kalangan kanak-kanak perempuan berbanding lelaki dengan ratio: 3:2. Gigi yang sering tidak tumbuh biasanya adalah gigi geraham bongsu, geraham kecil kedua dan gigi kacip kekal kedua.Sebaliknya, gigi kacip pertama di rahang bawah kerap tidak tumbuh di kalangan kanak-kanak di Malaysia sebanyak 32-49%.

  3. Trauma

    Trauma akan menyebabkan kehilangan gigi dengan pelbagai cara. Penyebab yang sering menyebabkan kehilangan gigi adalah disebabkan terjatuh ataupun kemalangan dimana gigi tersebut terkeluar dari soketnya (Gambar 2(A) dan Gambar (2B)). Namun begitu, ada juga keadaan yang mana gigi yang tercedera disebabkan trauma tidak kelihatan efeknya untuk beberapa bulan malah bertahun. Kadangkala, gigi tercedera tersebut boleh dirawat dan berfungsi secara normal untuk beberapa tahun sehingga terjadinya proses pereputan akar. Perkara ini berlaku disebabkan oleh sistem pertahanan tubuh yang mampu mengawal keadaan dan membiarkan sel yang ada menghancurkan bahagian permukaan akar gigi, oleh itu, ini membolehkan tulang baru tumbuh di kawasan yang berlaku kecederaan atau defek.

    Kehilangan gigi disebabkan oleh trauma boleh dihindari dengan pemakaian pelindung gigi sewaktu bersukan.

    Gambar 2 (A): Gigi keluar dari soketnya
    Gambar 2(B): Kecederaan gigi
  4. Sindrom dan masalah perubatan

    Ketiadaan gigi dapat terjadi secara sendiri ataupun dikesan dalam beberapa sindrom penyakit. Ketiadaan gigi yang banyak ataupun keabnormalan bentuk gigi dapat dijumpai seperti sindrom X-linked hypohidrotic ectodermal dysplasia, sindrom Ellis Van Crevald, Sindrom Down dan Celah bibir dan lelangit.

    Gambar 3 (A) : Sindrom Down
    Gambar 3 (B) : Clef Bibir dan Lelangit
       
    Gambar 3 (C) : Ectodermal Dysplasia
    Gambar 3 (D) : Keabnormalan saiz dan bentuk gigi

Apa yang boleh berlaku jika kehilangan gigi:

Kehilangan gigi bukan saja boleh menyebabkan masalah kesihatan tetapi boleh juga mengakibatkan hilang keyakinan diri disebabkan keabnormalan rupa paras dan senyuman.Berikut adalah beberapa akibat lain apabila kehilangan gigi

  1. Gangguan fungsi pengunyahan atau mastikasi Ketiadaan gigi mengakibatkan kanak-kanak sukar untuk mengunyah. Ini menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan berat badan dan menjejaskan perkembangan normal kanak-kanak tersebut.
     
  2. Gangguan pada ruangan di antara gigi di dalam rahang. Implikasi kehilangan gigi boleh mengakibatkan ketidaknormalan ruangan yang ada di lengkung rahang dan rupa paras yang tidak menawan. Keadaan ini berpotensi mengakibatkan ketiadaan tempat untuk pertumbuhan gigi kekal.


    Gambar 4 : Ruangan diantara gigi di rahang atas
     

  3. Impak psikososial terhadap kanak-kanak yang tidak mempunyai rupa paras yang menarik akan menyebabkan gangguan perkembangan kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang mempunyai rupa paras yang menawan sering mendapat perhatian dan menjadi tarikan di kalangan rakan-rakan sebaya mereka.
     
  4. Masalah pertuturan. Kehilangan gigi menyebabkan kesukaran untuk kanak-kanak bertutur dengan sempurna.
     
  5. Risiko kerosakan gigi dan penyakit gusi.

    Kehilangan gigi akan menghasilkan ruangan yang memudahkan penumpukan sisia makanan sehingga menghasilkan plak. Gusi akan menjadi bengkak dan merah serta mudah berdarah. Ini akan menyebabkan penyakit gusi dan kerusakan gigi bersebelahan.

    food-entrapment-child
    Gambar 5 : Penumpukan sisa makanan di antara gigi
     

  6. Rupa paras yang tidak simetri.

    Kehilangan gigi akan menyebabkan rahang atas dan rahang bawah tidak menutup dengan sempurna. Kesakitan pada sendi rahang boleh berlaku untuk jangkamasa panjang. Apabila gigi tiada, rahang yang tidak mengalami kehilangan gigi akan selalu digunakan untuk mengunyah. Oleh yang demikian, otot-otot tersebut diguna secara berlebihan dan menjadi lebih besar. Maka,wajah menjadi tidaksimetri serta sendi di rahang tersebut akan menjadi sakit dalam jangkamasa panjang.
     

  7. Pergerakan gigi
     
  8. Apabila kehilangan gigi berlaku, tulang dan gusi akan mengecut. Oleh yang demikian gigi yang bersebelahan akan bergerakke ruangan yang kosong.
     
  9. Gigi yang bertentangan akan tumbuh berlebihan.Gigi sentiasa mempunyai kemampuan untuk terus tumbuh. Oleh itu, apabila kehilangan gigi berlaku, (jika tidak dimbangi oleh gigi bersebelahan yang dicabut) gigi yang bertentangan,akan terus tumbuh ke ruangan tersebut.
     
  10. Kehilangan tulang penyokong gigi.Oleh sebab itu, apabila gigi tiada atau dicabut tulang yang menyokong gigi tidak lagi digunakan untuk mengunyah dan akhirnya ketinggian dan kelebaran tulang penyokong gigi tersebut akan berkurang dan menurun.

Rawatan-rawatan kehilangan gigi

Jika anda mengalami ketiadaan gigi, tidak kiralah satu ataupun banyak atau apabila gigi terpaksa dicabut, maka,pelbagai pilihan rawatan boleh dilakukan untuk menggantikan gigi yang tiada. Anda boleh berjumpa dan berbincang dengan dokter pergigian anda untuk mendapatkan rawatan yang sesuai. Ini adalah untuk mengelakkan keadaan seperti yang dijelaskan di atas.

Tujuan rawatan ini adalah untuk menggantikan gigi yang tiada, bergantung kepada kedudukan gigi tersebut di dalam lengkung rahang. Rawatan kehilangan gigi yang banyak di kalangan kanak-kanak boleh menjadi kompleks dan memerlukan penglibatan pelbagai kepakaran yang berbeza termasuk kaunseling genetik. Rawatan akanlebih berjaya jika keadaan ini dapat ditangani di peringkat awal.Walau bagaimanapun, rawatan definitif biasanya dijalankan selepas kesemua gigi kekal sudah tumbuh di dalam mulut.

Radiograf diperlukan untuk mengenal pasti jumlah kehilangan gigi yang terdapat di rahang tersebut. Ini penting kerana kita perlu mengira kesemua gigi yang ada dan mengetahui jika keadaan kekurangan bilangan gigi dari jumlah yang normal terjadi. Selain itu, pengetahuan mengenai anggaran umur sewaktu pembentukan gigi, pematangan gigi serta masa keluarnya gigi di dalam mulut amat penting untuk menghasilkan rencana perawatan yang berkesan

Pakar Pergigian Pediatrik memainkan peranan penting terhadap pencegahan karies gigi agar kegigian susu yang lengkap dan sihat mampu kekal lama di dalam mulut. Gigi susu adalah perlu supaya ruangan untuk pertumbuhan gigi kekal serta tulang pendukung gigi dapat dipertahankan untuk masa hadapan. Oleh yang demikian, terdapat beberapa pilihan rawatan yang ada untuk merawat kanak-kanak yang mengalami kehilangan gigi. Rawatan ini bergantung kepada bilangan gigi yang hilang dan merangkumi:
  1. Penjagaan kegigian susu yang bebas karies
  2. Penggunaan orthodontik aplian untuk menangani ruangan yang ada
  3. Restorasi menggunakan aplian kekal seperti jambatan gigi atau gigi palsu
  4. Implan

Rawatan Ortodontik

Pemuliharaan kegigian susu selama mungkin adalah perlu walaupun proses pereputan akar berlaku namun tidak mengganggu kestabilan gigi tersebut di dalam mulut.  Jika pencabutan gigi susu perlu dilakukan, ruangan tersebut perlu dipertahankan samada menggunakan aplian ortodontik yang boleh tanggal atau pun kekal untuk mengelakkan gigi yang lain bergerak ke ruangan yang kosong. Selain itu, aplian tersebut juga boleh membantu dalam penyusunan gigi yang ada untuk memberi ruang yang cukup sebelum diganti dengan pemakaian gigi palsu.
 

Gambar 6(A) : Penyusunan ruangan oleh aplian pendakap gigi kekal
Gambar 6 (B) : Penggunaan gigi palsu

Rawatan Restoratif

Pemakaian gigi palsu dapat mengembalikan fungsi gigi sebenar kepada kanak-kanak yang mengalami kehilangan gigi yang banyak.  Gigi palsu perlu diganti  apabila telah longgar mengikut kesesuaian umur kanak-kanak kerana rahang juga turut membesar.

Penempatan aplian tetap seperti  jambatan gigi dan prostesis dapat menghasilkan rawatan yang lebih baik dari segi estetik dan kestabilan gigi yang diganti. Walaubagaimanapun, rawatan ini hanya dibuat apabila kanak-kanak telah meningkat dewasa sekitar umur 16-18 tahun.

Penempatan awal aplian tetap tidak dilakukan kepada kanak-kanak kerana pembuatan aplian tersebut memerlukan pembuangan struktur gigi. Pembuangan tisu gigi yang berlebihan akan berisiko menyebabkan kerusakan pada pulpa gigi kerana keadaan ruang pulpa yang besar.

Gambar 7(A) dan (B) : Pembuatan aplian kekal iatu jambatan gigi yang menggantikan gigi premolar kedua di rahang atas
 

Implan Gigi

Rawatan implan akan dibuat apabila kanak-kanak tersebut mencapai umur matang. Selain itu, implan juga memberi kestabilan dan estetik yang lebih bagus. Walau bagaimanapun, penempatan implan gigi memerlukan,ketebalan dan ketinggian tulang yang sesuai.
 
Gambar 8: Penempatan implan gigi belakang
 

Kekurangan struktur tulang di ruangan gigi yang telah dicabut akan menjejaskan posisi implan. Oleh sebab itu, kadangkala penambahan tulang perlu dilakukan agar tulang menjadi lebih tebal dantinggi untuk pemasangan implan tersebut. Pemuliharaan kegigian susu yang kekal lama di dalam mulut dapat mempertahankan struktur tulang yang normal untuk penempatan implan jika diperlukan.

Kesimpulan

Keberkesanan hasil rawatan kehilangan gigi di kalangan kanak-kanak memerlukan penglibatan daripada pelbagai kepakaran pergigian. Oleh itu, adalah penting untuk ibubapa dan anak mereka mengetahui bilangan gigi yang normal serta memahami turutan pertumbuhan gigi.

Pemeriksaan pergigian secara berkala dengan Pakar Pergigian Pediatrik dapat mencegah daripada rawatan menjadi lebih kompleks.

Rujukan

  1. Craddock H.L.(2010). Consequences of tooth loss 2: Dentist Considerations-Restorative problems and implications; Dental update; 37:28-32
  2. http// educ 220-spring 2010 wikispaces.com
  3. http// orlandodent.com/bly/what-is-cleft-lip-and-cleft-palate
  4. Ladda R. Gangadhar SA, Kasalvo, Bhandari AJ (2013). Prosthodontic management of hypohidrotic ectodermal dysplasia with anodontia: A case report in pediatric patient and review of literature. Ann Med Health Sci  Res; 3; 277-81
  5. Laing E., Cunningham S.J., Jones S., Moles D., Gill D. (2010) Psychosocial impact of hypodontia in children. American Journal of Orthodontic Dentofacial Ortopedic; 137:35-41
  6. Parkin N., Elcock C., Smith R.N., Griffin R.C., Brook A.H.(2009). The aetiology of hypodontia: The prevalence, severity and location of hypodontia within families. Archives of Oral biology; 545: 552-6
  7. Riekman G.A., Paedo D., Elbradway H.E. (1985). Effects of premature loss of primary maxillary insicors on speech. Journal of Paediatric Dentistry; 7:119-22
  8. Tunc E.M., bayrack S., Koyuturk A.E.,(2011). Dental Development in children with mild-to-moderate hypodontia. American Journal of Orthodontic Dentofacial Ortopedic; 139: 334-8
  9. Valle A.L., Lorenzoni F.B., Martins L.M., Valle C.V.M., Henriques F.C., Almeida A.L.P., Pegoraro L.F.(2010). A multidisciplinary approach for the management of hypodontia: case report. Journal of Applied Science; 19: 544-8
  10. Worsae N., Jensen B.N., Holm B., Holsko J. (2007). Treament of severe hypodontia-oligodontia-an interdisciplinary concept. International Jlournal of Oral and Maxillofacial Surgeons; 36: 473-80

 

Semakan Akhir : 6 Oktober 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Azalina bt. Osman
Akreditor : Dr. Laila bt. Abd. Jalil

 

Artikel Berkaitan

Kaedah Penyusuan Bayi Dengan Klef

Permasalahan yang sering berlaku adalah jangkamasa penyusuan yang berpanjangan dan pengambilan nutrisi yang tidak mencukupi. Ini menyebabkan pembakaran kalori berlebihan dan  menjejaskan kenaikan berat badan bayi.

Penggabungan Rawatan Ortodontik Dan Restoratif

Rawatan ortodontik adalah rawatan untuk membetulkan maloklusi manakala rawatan restoratif adalah rawatan yang berkaitan dengan pengubahsuaian bentuk dan saiz gigi, dan juga penggantian gigi yang hilang

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,093,989

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia