A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kehilangan Gigi – Bagaimana Ianya Diganti

Kehilangan gigi biasanya bermula pada usia enam tahun. Gigi susu akan tanggal bagi memberi ruang kepada gigi kekal untuk tumbuh.

Kehilangan gigi biasanya bermula pada usia enam tahun. Gigi susu akan tanggal bagi memberi ruang kepada gigi kekal untuk tumbuh. Dalam situasi normal, gigi ‘dewasa’ akan tumbuh tanpa sebarang masalah dan kekal sepanjang hayat kita.

Malangnya, mengekalkan gigi sepanjang hayat kadangkala tidak menjadi kenyataan. Orang dewasa boleh mengalami kehilangan gigi kerana beberapa sebab.

Kehilangan Gigi Boleh Terjadi Akibat:

  • Cabutan yang disebabkan oleh masalah pergigian (karies gigi atau penyakit gusi)
  • Trauma atau kecederaan
  • Tiada pembentukan gigi  kekal atau gigi gagal tumbuh selepas gigi susu tanggal
  • Dicabut untuk rawatan ortodontik

Tidak semua orang menghadapi masalah dengan kehilangan gigi. Ianya bergantung kepada bilangan gigi yang hilang dan kedudukannya di dalam mulut. Ia mungkin tidak memberi kesan atau impak yang penting semasa makan.Tetapi dalam sesetengah kes, ianya amat memberi kesan dari segi kosmetik atau fungsi yang mendorong individu itu mendapatkan rawatan bagi menggantikan kehilangan gigi tersebut.

Sepertimana yang kita ketahui, gigi mempunyai pelbagai fungsi seperti mengunyah, bertutur, senyuman yang menawan, menahan otot dan tisu muka serta mencegah gigi lain dari bergerak. Apabila kehilangan gigi berlaku, keseluruhan keseimbangan ini terganggu dan boleh menyebabkan berbagai masalah.

Masalah-Masalah Akibat Kehilangan Gigi :

  • Kesukaran untuk makan atau mengunyah
  • Kesukaran dalam pertuturan
  • Estetik (kecantikan)
  • Pipi dan bibir kelihatan ke dalam (sunken in)
  • Pergerakan gigi-gigi bersebelahan (Shifting or drifting )
  • Pertumbuhan melampau gigi bertentangan (over erupt)
  • Sakit pada sendi temporomandibel (antara rahang atas dan bawah)

Tidak semua kehilangan gigi perlu diganti.  Ianya perlu untuk menambahbaik salah satu atau kombinasi masalah di atas.

Dengan kemajuan pesat di dalam bidang pergigian moden, kehilangan gigi boleh diganti dengan beberapa cara.  Pilihan dibuat bergantung kepada beberapa faktor yang sama penting peranannya. Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan termasuklah kos, tempoh ketahanan, keselesaan, estetik, serta kesan terhadap gigi bersebelahan dan  tisu mulut yang lain. Empat pilihan asas rawatan yang perlu dipertimbangkan adalah:

  • Tidak perlu penggantian
  • Dentur sebahagian (boleh tanggal)
  • Jambatan tetap
  • Implan pergigian

Tidak Perlu Penggantian

Tidak semua kehilangan gigi perlu diganti. Ianya bergantung kepada gigi apa dan kedudukanya di dalam mulut. Jika kehilangan gigi tidak memberi kesan kepada fungsi dan estetik, maka tiada gantian merupakan pilihan terbaik. Contohnya kehilangan gigi molar ketiga (geraham bongsu) tidak menyebabkan fungsi kunyahan terjejas serta tiada memberi kesan kepada senyuman dan struktur muka yang lain. Kehilangan gigi molar kedua pula tidak semestinya perlu diganti. Kajian klinikal mendapati walaupun kesemua empat molar kedua tiada, keberkesanan fungsi kunyahan tidak terjejas. Kehilangan gigi ini jarang memberi kesan kepada senyuman dan struktur muka serta paras rupa. Walau bagaimanapun, gigi bertentangan mungkin akan tumbuh melampau kerana tidak ditentang. Ini tidak semestinya terjadi, tetapi doktor pergigian dapat memantaunya melalui pemeriksaan mulut berkala.

Dentur Sebahagian Boleh Tanggal

Ia adalah prostesis boleh tanggal yang duduk secara padan rapat dan/atau lekatan dan perlu ditanggalkan untuk tujuan pembersihan. Ianya boleh diperbuat daripada logam (contohnya: cobalt-chrome) dan/atau akrilik. Biasanya seseorang itu mengambil masa untuk menyesuaikan diri  memakainya. Makan dan bercakap akan menjadi lebih mudah setelah dapat menyesuaikan diri. Dengan peredaran masa, tulang dan gusi dibawah dentur akan mengecut. Ini akan menyebabkan dentur menjadi longgar dan perlu dibaiki untuk membolehkan ianya duduk semula dengan selesa.

Kelebihan

Kekurangan

  •  Murah dan lebih efektif dari segi kos untuk menggantikan kehilangan gigi yang banyak.
  • Kurang invasif dan proses rawatan ‘berbalik’ (reversible)
  • Boleh menggantikan tisu keras (gigi) dan tisu lembut (gusi)
  • Prostesis boleh tanggal  boleh bergerak semasa makan
  • Daya kunyahan berkurang berbanding pilihan lain
  • Lebih tebal berbanding pilihan lain
  • Tulang di tempat kehilangan gigi tidak dipelihara

Jambatan Tetap

Tidak seperti dentur sebahagian boleh tanggal, jambatan disimenkan tetap pada gigi asli ataupun pada implant. Gigi asli ini dipanggil gigi tupang yang bertindak sebagai penyokong jambatan. Gigi yang diganti dikenali sebagai pontik yang dihubungkan kepada korona yang meliputi gigi tupang.

Kelebihan

Kekurangan

  • Tetap pada kedudukannya dan tidak bergerak.
  • Saiz yang sama dengan gigi asli
  • Boleh meniru ciri estetik gigi yang hilang
  • Gigi tupang perlu dipangkas
  • Lebih rumit menjaga kebersihannya
  • Beban yang tinggi pada gigi tupang mungkin mengurangkan jangka hayatnya
  • Kegagalan jambatan akan melibatkan kerosakan gigi asli.
  • Tulang di tempat kehilangan gigi tidak dipelihara

 

Implan Pergigian

Implan pergigian adalah fikstur titanium yang ditanamkan ke dalam tulang untuk menggantikan akar gigi yang hilang. Ia tetap pada kedudukannya dan boleh membantu memelihara  tulang sekeliling. Ia paling sesuai untuk menggantikan kehilangan satu gigi atau sebagai penyokong kepada jambatan untuk kes kehilangan gigi yang banyak. Ia juga boleh digunakan sebagai penyokong dentur penuh dan sebahagian. Dalam menggantikan fungsi kehilangan satu atau lebih batang gigi, implan adalah pilihan terbaik kerana tidak menjejaskan gigi bersebelahan. Ia tidak terdedah kepada karies dan lebih tahan daya terhadap penyakit gusi berbanding dengan gigi asli.

Kelebihan

Kekurangan

  • Tidak memerlukan gigi tupang
  • Memenuhi fungsi kunyahan sepenuhnya
  • Boleh meniru ciri estetik gigi asli yang tumbuh daripada gusi
  • Boleh tahan lama berbanding pilihan lain
  • Memelihara tulang dengan mencegah kehilangan tulang
  • Kos yang tinggi berbanding jambatan dan dentur
  • Tempoh rawatan yang lama untuk siap
  • Mungkin memerlukan pemindahan dan penambahan tulang
  • Berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dengan kehadiran masalah perubatan lain

 

 
Dentur Sebahagian Diperbuat dari Cobalt-Chrome dan Akrilik
 
Dentur Penuh Dan Sebahagian  Diperbuat Dari Akrilik
     
 
Jambatan Tetap Menggantikan Kehilangan Beberapa Batang Gigi
     
 
Kehilangan Sebatang Gigi Digantikan Oleh Korona Yang Disokong Oleh Implan

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Dr. Zaini bt. Aziz
Akreditor : Dr. Kamarul Hisham bin Kamarudin
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

Leukoplakia Oral

Leukoplakia ditakrifkan sebagai tompokan putih atau plak yang tidak boleh dicirikan sebagai penyakit-penyakit spesifik yang lain secara klinikal atau patologi.

Kehausan Gigi

Kehausan gigi berpunca daripada pelbagai faktor atau keadaan yang mengakibatkan kehilangan lapisan enamel dan dentin gigi.

Anak Tidak Bekerjasama Untuk Rawatan Pergigian

Sejumlah besar kanak-kanak terlalu takut dengan rawatan pergigian, yang mana ini telah menyebabkan kanak-kanak ini susah untuk menerima rawatan pergigian secara konvensional. Terdapat beberapa teknik untuk membantu anak-anak anda lebih menerima rawatan pergigian.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,977

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia