A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kehilangan Deria Bau

(Kenapa saya tak bau Durian?)

Pengenalan

Kehilangan deria bau berlaku apabila terdapat masalah di dalam rongga hidung, struktur hidung, saraf olfaktori (deria bau) ataupun masalah pada otak. Kebanyakan daripada kita pernah mengalami kehilangan deria bau terutamanya apabila kita demam, selsema dan tersumbat hidung. Di dalam kebanyakan kes sebegini, masalah deria bau bersifat sementara. Mereka yang mengalami gangguan deria bau akan mengalami gangguan deria rasa juga.

Pakar sains menemui bahawa deria bau adalah paling sensitif dan tepat pada umur 30 – 60 tahun. Selepas umur 60 tahun, rangsangan deria bau akan berkurang. Manakala wanita setiap lapisan umur mempunyai deria bau yang lebih peka berbanding lelaki.

Saraf bau (olfaktori) terletak di dalam hidung. Ianya terletak di bahagian bumbung (roof) rongga hidung.

Sumber: http://www.brainfacts.org/sensing-thinking-behaving/senses-and-perception/ articles/ 2012/ taste-and- smell/

Bagaimana kita dapat menghidu bau?

3 elemen adalah perlu bagi memastikan kita dapat menghidu bau dengan sempurna.

  1. Zarah bau / aroma – partikel zarah bau ini dibebaskan daripada sesuatu bahan (contohnya aroma minyak wangi, kopi, bunga). Ianya akan masuk melalui hidung bersama udara semasa kita menarik nafas.
  2. Saraf olfaktori – partikel zarah akan merangsang saraf olfaktori yang terdapat di kedua-dua belah hidung.  Saraf ini terletak di bumbung rongga hidung dan diselaputi oleh mukosa nipis. Saraf olfaktori ini akan membawa isyarat elektrik (impul) ke otak.
  3. Otak – akan mentafsir dan menterjemahkan isyarat elektrik tersebut kepada sesuatu bau yang dikenali.

(Sila klik di sini untuk video animasi yang disediakan bagi memahami lebih mendalam)

Terdapat beberapa takrifan kehilangan deria bau seperti di dalam Jadual 1.

Jadual 1. Takrifan kehilangan deria bau
Anosmia Hilang keseluruhan deria bau
Hyposmia Hilang separa deria bau
Hyperosmia Terlebih rangsang deria bau
Phantosmia Perasaan ada bau di dalam keadaan sebenar tiada bau
Parosmia Kesilapan mentakrif bau yang dihidu

*Dalam artikel ini, takrifan anosmia dan hyposmia yang akan banyak dibincangkan

Apakah punca-punca hilang deria bau?

Diantara punca-punca yang biasa dikenalpasti ialah kecederaan kepala, jangkitan kuman virus dan rongga hidung yang tersumbat.

  1. Penyakit Kronik
    1. Alahan hidung (Allergic Rhinitis)
    2. Polip (pertumbuhan tisu membran mukus yang tidak normal di dalam hidung)
      – Polip boleh menyebabkan rongga hidung tersumbat dan menghalang aroma/partikel zarah bau yang dihidu sampai ke deria bau.
  2. Jangkitan kuman
    1. Radang sinus / Resdung
      Jangkitan sinus boleh menyebabkan pembengkakan pada mukosa yang menyeliputi saraf olfaktori. Ini akan menghalang aroma/partikel zarah bau daripada sampai ke deria saraf. Namun begitu, kehilangan deria bau ini bersifat sementara apabila mendapat rawatan yang betul.
    2. Otak bernanah (“brain abscess”)
      Nanah di otak atau jangkitan kuman boleh menyebabkan tisu otak rosak. Hilang deria bau boleh bersifat kekal jika tisu yang rosak itu adalah sel otak untuk mentafsir isyarat bau.
  3. Kecederaan
    1. Patah tulang di bumbung rongga hidung (“cribriform plate”)
      Patah di tulang ini boleh menyebabkan saraf terputus. Anosmia akan bersifat kekal. Namun begitu jika kepatahan menyebabkan mukosa sahaja membengkak, anosmia atau hyposmia akan bersifat sementara.
    2. Patah dan bengkok tulang hidung
      Menyebabkan hidung tersumbat dan menghalang aroma/partikel zarah daripada sampai ke deria bau.
    3. Otak – boleh bersifat kekal atau sementara
  4. Ketumbuhan
    1. Barah Hidung
      Barah seperti sinonasal carcinoma, chondrosarcoma boleh menyebabkan kerosakan pada saraf ataupun menghalang zarah bau/aroma tiba pada reseptor bau
    2. Barah Otak
      Meningioma, olfactory neuroblastoma, barah “frontal lobe” (tanda-tanda awal seperti pelupa dan boleh menyebabkan sawan dan tidak boleh bercakap pada peringkat lewat)
  5. Lain – lain
    1. Masalah Perubatan/endokrin
      1. Hypothyroid (kurang hormon tiroid)
      2. Diabetes
    2. Ubat / bahan toksik – phenol, chromium, kokain, racun serangga
    3. Proses penuaan – Alzheimer (nyanyuk), Parkinson
    4. Kongenital (diwarisi sejak dalam kandungan ibu)- Kallmann syn. (hypogonadism)

Sumber: http://3.bp.blogspot.com/_kaQ5P19FVgk/ TUH0_UoMT8I/ AAAAAAAAHes/ QPIcey3NXww/s1600/Olfactory_Nerve.JPG

Bolehkah Penyakit saya dirawat?

Rawatan adalah bergantung kepada punca penyakit yang dikesan.

  1. Ubat
    1. Ubat decongestan
      Diberikan untuk mengurangkan hingus/lendiran dan pembengkakan mukosa di dalam hidung.
    2. Ubat semburan steroid
      Diberikan kepada pesakit mengalami alahan hidung, sinusitis, resdung ataupun polip
    3. Ubat oral steroid
  2. Pembedahan
    1. “Functional endoscopic sinus surgery” (FESS)
      Pembedahan membuang polip, merawat sinusitis/resdung
    2. “Turbinoplasty / turbinectomy”
      Merawat hidung yang tersumbat kekal. Ini disebabkan oleh mukosa tulang “inferior turbinate”(terletak di dalam rongga hidung) yang bengkak.
    3. Membuang barah
      Sama ada barah hidung atau barah otak

Adakah kehilangan deria bau dapat dicegah?

Dapatkan rawatan hidung lebih awal sebelum ianya menjadi kronik

  • Dapatkan rawatan ubat jika anda mengalami selsema dan sakit muka yang teruk
  • Rawat alahan hidung anda dengan ubat semburan hidung jika memerlukan.
  • Elakkan terdedah kepada perkara yang menyebabkan alahan anda semakin teruk, seperti ; habuk, makanan laut, ais batu, penghawa dingin dan sebagainya
  • Lakukan ujian endoskopi (kamera kecil dimasukkan ke dalam hidung dan gambar dilihat di monitor/TV) untuk melihat struktur di rongga hidung(dilakukan oleh doktor ENT)

Adakah ia memudaratkan?

Anosmia boleh menyebabkan kemudaratan di dalam kehidupan seharian, contohnya kegagalan mengesan bau seperti bau asap terbakar, kebocoran gas ataupun mengesan makanan yang basi dan busuk. Justeru itu, jika anda adalah pesakit anosmia/hyposmia, maka:

  • Sediakan alat pengesan api,
  • Sediakan alat penggera asap
  • berhati-hati ketika mengambil makanan yang lama.

Sesetengah pesakit akan mengalami kemurungan, tidak mahu bergaul dengan orang ramai dan ketakutan yang melampau. Rawatan awal dapat mengelak komplikasi sakit mental yang lebih teruk.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, mencari punca anosmia memerlukan kesabaran yang tinggi daripada pesakit dan juga doktor. Malah rawatannya juga adalah rumit dan bergantung sepenuhnya kepada punca yang dapat di kesan. Namun begitu, rawatan awal serta khidmat nasihat dan pemeriksaan daripada doktor pakar adalah penting. Ini dapat mengelakkan punca yang boleh dirawat diperingkat awal menjadi lebih mudarat, dan tidak dapat dirawat langsung.

Rujukan

  1. Victorial Moore-Gillon, (1997). Abnormalities Of Smell. In Ian S.Mackay, T.R.Bull, Scott Brown’s 6th edition: Rhinology(chapter 5). Great Britain:Butterworth-Heinemann
  2. Smell and Taste Disorders. Washington, DC:AAO-HNS, 1986.
  3. Deems DA, Doty RL, Settle RG, Moore-Gillon V, Shaman P, Mester AF, Kimmelman CP, Brightman VJ, Snow JB. Smell and taste disorders: a study of 750 patients from the University of Pennsylvania Smell and Taste Center. Arch Otorhinolaryngol Head Neck Surg 1991;117;519-28
  4. Doty RL, Bartoshuk L, et al.: Causes of olfactory and gustatory disorders. In: Smell and Taste in Health and Disease. Edited by Getchell TV, Doty RL,et al. New York: Raven; 1991:449–462.
  5. Temmel AF, Quint C, Schickinger-Fischer B, Klimek L, Stoller E, Hummel T. Characteristics of olfactory disorders in relation to major causes of olfactory loss. Arch Otolaryngol Head Neck Surg 2002;128:635-41.
  6. Hummel T, Nordin S. Olfactory disorders and their consequences for QoL: a review. Acta Otolaryngolog 2005;125:116-21.

 

Semakan Akhir : 14 November 2014
Penulis : Dr. Eshamsol Kamar b. Omar
Akreditor : Dato’ Dr. Narizan bt. Ariffin

 

Artikel Berkaitan

Rinitis

Pengenalan Rinitis atau selsema adalah radang pada hidung. Ia adalah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,183,431

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia