Home > Bayi & Kanak-Kanak > Keengganan Kanak-kanak ke Sekolah

Keengganan Kanak-kanak ke Sekolah

Alam persekolahan semestinya adalah masa yang paling digemari oleh kanak-kanak. Sekolah merupakan tempat di mana kanak-kanak mempelajari pelbagai kemahiran dan ilmu baru, bertemu kawan-kawan baru, bermain bersama dan sebagainya. Namun ada segelintir kanak-kanak yang tidak gemar ke sekolah. Pelbagai alasan diberikan untuk mereka tidak hadir ke sekolah. Kes keengganan ke sekolah kian bertambah hari demi hari dan ia amat membimbangkan. Kanak-kanak yang tidak hadir ke sekolah akan tercicir dari sesi pembelajaran dan kemahiran. Kes keengganan ke sekolah tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan masa depan kanak-kanak berkenaan. Malaysia adalah sebuah negara maju dan menuju taraf negara berpendapatan tinggi. Tahap akademik dan kemahiran amatlah diutamakan di dalam pengambilan tenaga kerja mahir. Kanak-kanak yang enggan ke sekolah dan keciciran di dalam pelajaran akan mengalami kesukaran untuk mendapat kerja pada masa hadapan. Oleh yang demikian, kes keengganan ke sekolah ini perlulah diberi perhatian serius oleh pihak penjaga, ibubapa dan para guru.

childGambar hiasan: www.childmind.org

Faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada keengganan kanak-kanak ke sekolah adalah seperti:

Kerisauan/kebimbangan terhadap perpisahan

Kanak-kanak enggan ke sekolah kerana takut untuk berpisah daripada penjaga atau orang yang disayangi. Ini kerana mereka percaya akan berlaku sesuatu yang buruk kepada penjaga atau orang yang disayangi sekiranya mereka hadir ke sekolah. Kanak-kanak ini memberi pelbagai alasan, menangis, menjerit dan bersembunyi untuk tidak hadir ke sekolah. Biasanya kanak-kanak ini takut sekiranya mereka hadir ke sekolah, ibubapa mereka akan bercerai dan berpisah semasa ketiadaan mereka. Ada juga kes di mana kanak-kanak enggan ke sekolah kerana bimbang ibu mereka menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

2

Gambar hiasan: http://www.anxietytreatmenthub.com

1

Gambar hiasan: www.mpoweredparenting.com

Kerisauan/kebimbangan terhadap pencapaian diri

Ada di kalangan kanak-kanak yang merasa risau/bimbang yang berlebihan ketika menghadiri peperiksaan, memberi ucapan di hadapan kelas atau di khalayak umum, dan menyertai aktiviti sukan. Ini kerana kanak-kanak ini beranggapan mereka akan dimalukan oleh rakan sebaya dan berasa rendah diri sekiranya pencapaian mereka tidak seperti yang diharapkan.

4

Gambar hiasan: www.universitas.ca

Kerisauan/kebimbangan terhadap komuniti sosial

Segelintir kanak-kanak merasa risau/bimbang berlebihan mengenai penerimaan rakan sebaya dan guru-guru (komuniti sosial) terhadap mereka. Mereka juga merasa tidak selesa untuk berkomunikasi dan bersosial dengan rakan sebaya yang lain.

5

Gambar hiasan: www.emedicalguild.com

6

Gambar hiasan: www.redorbit.com

Kerisauan/kebimbangan umum

Kanak-kanak ini merasakan mereka terdedah kepada bahaya dan merasa risau/bimbang yang berlebihan tentang sesuatu buruk seperti kemalangan, peperangan, bencana alam) akan berlaku sekiranya mereka hadir ke sekolah.

Tekanan perasaan

Sesetengah kanak-kanak mengalami tekanan perasaan atau kombinasi tekanan perasaan dan kerisauan/kebimbangan yang berlebihan. Ciri-ciri kanak-kanak ini adalah merasa sedih tanpa sebab yang munasabah, tidak berminat dengan sebarang aktiviti, penurunan berat badan, sukar untuk tidur malam, merasa diri tidak berguna dan merasa bersalah tanpa sebab yang munasabah. Kanak-kanak yang menyatakan keinginan untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain, perlulah dirujuk segera ke hospital berhampiran untuk rawatan segera bagi menjamin keselamatan kanak-kanak itu dan orang lain.

7

Gambar hiasan: www.wfsb.com

Buli

Ada di kalangan kanak-kanak yang enggan ke sekolah kerana takut dibuli oleh rakan sebaya atau pelajar lain. Terdapat dua jenis buli yang sering terjadi pada kanak-kanak sekolah iaitu buli secara fizikal dan buli secara verbal. Buli secara fizikal mungkin akan mengakibatkan kecederaan pada mangsa. Manakala buli secara verbal akan mengakibatkan tekanan perasaan kepada mangsa.

8

Gambar hiasan: www.socialmoms.net

Masalah kesihatan

Kanak-kanak ini seringkali menggunakan alasan kesihatan untuk tidak hadir ke sekolah. Antara aduan-aduan biasa yang dibuat oleh kanak-kanak ini adalah pening, sakit perut, demam, perasaan nak muntah dan lain-lain. Penjaga atau ibubapa perlulah membawa kanak-kanak ini ke klinik/hospital berhampiran bagi pemeriksaan lanjut dan pengesahan aduan masalah kesihatan yang dibuat. Terdapat juga kes di mana kanak-kanak yang telah sembuh dari sakit, tetapi masih tidak mahu ke sekolah atas alasan merasa belum sembuh sepenuhnya.

9

Gambar hiasan: http://world.edu/stay-home-coping-school-refusal/

10

Gambar hiasan: www.docgautham.com

Tanda-tanda masalah keengganan kanak-kanak ke sekolah:

  1. Kerap menerima aduan dari pihak sekolah mengenai ketidakhadiran ke sekolah
  2. Kanak-kanak kerap tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah
  3. Kanak-kanak tidak hadir pada hari-hari tertentu seperti hari peperiksaan, hari pengucapan awam, hari sukan dan sebagainya.
  4. Kanak-kanak kerap membuat pemintaan kepada guru untuk pulang ke rumah lebih awal dari biasa
  5. Kanak-kanak merasa risau/bimbang terhadap penjaga atau ibubapa apabila berada di sekolah
  6. Kanak-kanak sering menangis untuk pulang ke rumah

Adaptasi dari American Occupational Therapy Association (2009), peranan Pemulihan Perubatan (Carakerja) di dalam pemulihan kanak-kanak adalah seperti berikut:

  1. Membuat penilaian melalui pemerhatian, temubual (kanak-kanak, penjaga, ibubapa), menilai rekod kemajuan kanak-kanak dan melakukan beberapa penilaian standad.
  2. Rancang dan beri rawatan pemulihan untuk kanak-kanak berkenaan
  3. Mengenalpasti dan mengurangkan halangan-halangan yang menyebabkan kanak-kanak tersebut enggan ke sekolah
  4. Membuat lawatan ke sekolah, perbincangan dengan guru yang berkaitan dan modifikasi yang bersesuaian supaya persekitaran sekolah lebih kondusif kepada kanak-kanak berkenaan

Sekiranya penjaga/ibubapa/guru-guru mendapati kanak-kanak mengalami salah satu tanda-tanda di atas, adalah dinasihatkan untuk membawa kanak-kanak itu ke klinik/hospital bagi pengesanan dan rawatan awal.

Rujukan

  1. School Refusal: Information for Educator (2013). Retrieved on 1 April 2014 from nasponline.org/families/schoolrefusal.pdf
  2. When Kids refuse to go to School (2012). Retrieved on 21 April 2014 from http://www.childmind.org/en/posts/articles/2012-10-2-what-is-school-refusal
  3. Anxiety and School Refusal (2012). Retrieved on 22 April 2014 from http://www.med.monash.edu.au/spppm/research/devpsych/download/rdudley.pdf

 

Semakan Akhir : 31 Mei 2018
Penulis : Noor Emellia bt. Jamaluddin
Akreditor : Rokiah bt. Alias