A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Oftalmologi
  8. /
  9. Kedudukan Kelopak Mata Yang...

Kedudukan Kelopak Mata Yang Tidak Normal

Terdapat beberapa keadaan yang boleh memberi impak pada kedudukan kelopak mata.Kedudukan kelopak mata yang tidak normal boleh menjejaskan penglihatan kerana kelopak mata yang jatuh akan menghalang penglihatan. Kelopak mata yang tidak normal juga boleh menyebabkan bukaan mata lebih besar dan bulu mata menggosok kornea yang menyebabkan iritasi dan seterusnya pengaliran air mata yang berlebihan juga boleh menjejaskan penglihatan.

JENIS

Terdapat empat jenis kedudukan kelopak mata tidak normal:

  1. Kelopak mata turun (ptosis)
  2. Kelopak mata berpusing kedalam (Entropion)
  3. Kelopak mata berpusing keluar (Ectropion)
  4. Retraksi kelopak mata (eyelid retraction)

PTOSIS – rujuk topik “ptosis”

ENTROPION (Kelopak mata berpusing kedalam)

Entropion adalah satu keadaan dimana kelopak mata terpusing kearah dalam. Ia akan menyebabkan bulu mata turut terpusing kedalam dan seterusnya menggosok permukaan mata iaitu kornea dan juga konjuntiva. Ini akan menyebabkan iritasi dan mata merah yang memerlukan rawatan samada dengan ubat-ubatan atau pembedahan.

Terdapat empat jenis  entropion:

  • “Involutional (senile)”
    Ini merupakan jenis yang paling banyak dilihat dan kebanyakkan melibatkan kelopak mata bawah. Ini adalah kerana kelopak mata atas mempunyai struktur tarsus (tulang belakang kepada kelopak mata) yang lebar dan ianya lebih stabil. Entropion jenis ini berlaku disebabkan oleh kombinasi perubahan struktur kelopak mata yang disebabkan oleh pertambahan umur seperti otot kelopak mata yang lemah dan kendur.
  • “Cicatricial”
    Entropion jenis ini terjadi disebabkan oleh parut yang terjadi pada tisu konjuntiva, dan seterusnya menarik kelopak mata kearah bola mata. Entropion jenis ini boleh terjadi samada pada kelopak mata atas ataupun bawah. Antara penyebab entropion jenis ini ialah parut yang terjadi akibat dari penyakit konjuntivitis (sakit mata) yang teruk, kecederaan kimia samada terkena asid atau bahan beralkali dan juga kesan dari melecur atau terbakar.
  • Kongenital
    Ini adalah jenis entropion yang terjadi sejak lahir dan ianya sangat jarang berlaku. Ianya terjadi disebabkan oleh pertumbuhan otot kelopak mata yang tidak normal.
  • “Acute spastic “
    Entropion jenis ini terjadi disebabkan berlakunya kekejangan pada otot kelopak mata (otot orbicularis) yang mengakibatkan iritasi pada mata dan berlakunya kekejangan pada kelopak mata.

Gejala- gejala entropion termasuk mata berair, iritasi pada mata, mata merah dan terdapat discaj mata. Pemeriksaan mata menunjukkan kelopak mata terpusing kedalam dan bulu mata menyentuh permukaan kornea dan konjuntiva. Tanda lain termasuk luka pada permukaan kornea yang disebabkan oleh gosokkan bulu mata yang berterusan keatas permukaan kornea.

Rawatan untuk entropion dapat di bahagi kepada rawatan medikal (rawatan sementara) dan pembedahan (rawatan kekal). Rawatan medikal yang biasa digunakan adalah ubat titis mata dan ubat salap mata bagi membantu melembab dan melicinkan permukaan mata dan seterusnya mengurangkan iritasi mata. Rawatan pembedahan pula dilakukan bagi membetulkan kedudukan kelopak mata dan jenis pembedahan bergantung kepada jenis dan tahap entropion. Ini akan ditentukan oleh pakar mata yang merawat.

EKTROPION

Ektropion adalah satu keadaan dimana kelopak mata terpusing kearah luar atau jauh dari bola mata. Dengan pertambahan umur, kelopak mata menjadi longgar atau kendur dan ini mengakibatkan kelopak mata jatuh dan terpusing keluar. Permukaan mata yang kering menyebabkan iritasi dan mata merah yang kronik. Entropion biasanya banyak terjadi pada kelopak mata bawah. Keadaan ini biasanya memerlukan rawatan samada dengan ubat-ubatan atau pembedahan.

 

Terdapat empat jenis ektropion:

  • “Involutional (senile)”
    Ianya mempunyai banyak persamaan dengan entropion, yang membezakannya ialah arah kedudukan kelopak mata. Ia biasanya melibatkan kelopak mata bawah. Perubahan yang disebabkan oleh pertambahan umur adalah penyebab ektropion iaitu lebih kurang sama dengan apa yang terjadi pada entropion dimana otot kelopak mata lemah dan kendur.
  • “Cicatricial”
    Ia disebabkan oleh parut dan tarikan pada kulit serta tisu dibawah kulit yang seterusnya menarik kelopak mata jauh dari bola mata. Penyebab terjadinya tarikan ini termasuk ketumbuhan pada kelopak mata atau struktur dibawahnya,kecederaan pada struktur kelopak mata dan juga kesan melecur dan terbakar.
  • Kongenital
    Ini adalah satu keadaan yang sangat jarang berlaku. Ektropion jenis ini mungkin terjadi secara sendirian atau berkaitan dengan sindrom blepharophimosis.
  • “Paralytic”
    Biasanya terjadi disebabkan saraf kranial ketujuh lemah.

Gejala- gejala ektropion termasuk mata berair, iritasi pada mata, mata merah dan terdapat discaj mata. Pemeriksaan mata menunjukkan kelopak mata terpusing keluar atau jauh dari bola mata, mata merah, luka pada kornea yang disebabkan oleh pengelipan mata yang tidak cukup dan ketidakupayaan untuk menutup mata sepenuhnya.

Rawatan untuk ektropion dapat di bahagi kepada rawatan medikal (rawatan sementara) dan pembedahan (rawatan kekal). Rawatan medikal yang biasa digunakan ialah menggunakan ubat titis mata dan ubat salap mata bagi membantu melembab dan melicinkan permukaan mata dan seterusnya mengurangkan iritasi mata. Rawatan pembedahan pula dilakukan bagi membetulkan kedudukan kelopak mata dan jenis pembedahan bergantung kepada jenis dan tahap entropion. Ini akan ditentukan oleh pakar mata yang merawat.

RETRAKSI KELOPAK MATA

Retraksi kelopak mata terjadi apabila kelopak mata atas teralih keatas dan kelopak mata bawah teralih kebawah. Ini akan mendedahkan sclera di antara limbus (pinggir kornea) dan kelopak mata. Retraksi kelopak mata bawah adalah merupakan varian yang normal bagi mereka yang mempunyai soket / orbit yang cetek.

Retraksi kelopak mata biasanya berlaku apabila otot terlampau aktif atau berlakunya keradangan. Juga boleh disebabkan parut yang mengakibatkan kelopak mata menjadi ketat dan menarik kelopak mata membuat mata terbuka lebih luas dari  biasa. Ini biasanya akan menampakkan seseorang itu seperti dalam keadaan terperanjat. Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya iritasi pada mata yang disebabkan mata kering. Keadaan ini biasa dilihat pada pesakit yang mengalami “thyroid orbitopathy”

Penyebab retraksi kelopak mata yang lain termasuk komplikasi dari pembedahan kosmetik (contohnya pembedahan kelopak mata bawah), mempunyai masalah otot mata atau penyakit saraf pusat.

Retraksi kelopak mata dapat dibetulkan melalui pembedahan yang akan ditentukan oleh pakar mata.

RUJUKAN

  1. www.mei.org/eyelid-malposition
  2. Jack J. Kanski Clinical Ophthalmology: A systematic Approach 4th edition 1999
  3. Lelli GJ Jr, KazimM. Levator excursion as a predictor of both eyelid lag and lagophthamos in thyroid eye disease. Ophthal Plast Reconstr Surg 2010; 26(1):7-10.
  4. Meyer DR, Wobig JL. Detection of contralateral eyelid retraction associated with blepharoptosis. Ophthalmology. 1992;99(3): 366 – 375
  5. http://www.pfofflaserandeye.com
  6. https://www.google.com.my/search?q=entropion+and+ectropion
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Rosniza bt. Ab Razak
Akreditor : Dr. Shamala a/p Retnasabapathy
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab Razak

Artikel Berkaitan

Lekangan Retina

Pengenalan Retina merupakan lapisan nipis tisu saraf yang melapisi bahagian

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,017,577

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia