Home > Umum > Forensik > Ke Arah Makmal Forensik Yang Ideal

Ke Arah Makmal Forensik Yang Ideal

Ke Arah Makmal Forensik Yang Ideal Di Malaysia

Pengenalan

Merujuk kamus dewan edisi keempat, makmal adalah suatu tempat mengadakan percubaan atau penyelidikan segala sesuatu yang berhubung dengan sains termasuklah kimia fizik dan biologi. Maka, makmal forensik boleh di definasikan sebagai suatu tempat yang mengadakan percubaan atau penyelidikan untuk tujuan mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan jenayah.

Sesebuah makmal forensik yang ideal, adalah sebuah makmal yang menyediakan semua perkhidmatan spesifik yang wujud di dalam bidang forensik seperti makmal toksikologi, serologi dan DNA, dan juga balistik dan bahan letupan. Selain itu, makmal tersebut mempunyai kemampuan untuk menyesuaikan diri dan menyokong perkembangan peralatan analisis.

Fasa Asas dalam Pembinaan Makmal

Dalam merangka sebuah makmal forensik, terdapat 4 fasa asas yang perlu diberi perhatian, iaitu perancangan, rekabentuk, pembinaan dan perpindahan.

  1. Perancangan

    Dalam fasa ini, pengguna menaksir keperluan fasiliti, keluasan kawasan yang diperlukan dan juga kos pembinaan makmal akan disediakan. Daripada data yang diperolehi, sistem dan program rekabentuk akan disediakan kegunaan arkitek dan jurutera.
     

  2. Rekabentuk

    Fasa seterusnya adalah fasa rekabentuk di mana proses merangka makmal berdasarkan perancangan yang telah dibuat. Secara asasnya, tiada pelan yang tepat untuk merangka sebuah makmal forensik kerana ia bergantung kepada keperluan spesifik makmal tersebut. Sebagai contoh, makmal yang menjalankan analisa kimia memerlukan ruang yang luas dan sistem pengudaraan yang baik berbanding dengan makmal yang hanya menjalankan analisa fizikal.
     

  3. Pra-pembinaan

    Dalam fasa pra-pembinaan ini, perkara yang perlu diambil perhatian adalah pengesahan terakhir pelan sebelum pembinaan dimulakan. Hal ini adalah kerana setiap perubahan pelan semasa atau selepas pembinaan makmal akan melibatkan kos yang tinggi dan masa.
     

  4. Perpindahan

    Fasa terakhir adalah fasa perpindahan peralatan dari makmal lama ke makmal baru  atau kemasukan peralatan yang baru. Jadi, bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan, proses perpindahan perlulah dijalankan secara sistematik iaitu sebelum berpindah, semasa berpindah dan selepas berpindah. Kakitangan yang berkaitan dan berpengalaman diperlukan dalam fasa ini untuk memastikan proses perpindahan peralatan berjalan dengan licin.

Skop Makmal Forensik Di Malaysia

  • Makmal Toksikologi
    • Perkhidmatan yang diberikan adalah analisis darah dan urin untuk mengesan kehadiran dadah, alcohol, racun dan bendasing. Keputusan analisis ini dapat membantu ke Pakar Perubatan Forensik dalam memberikan sebab kematian.
    • Makmal ini menggunakan bahan kimia yang berbahaya dalam proses analisis, maka pelan makmal perlu diberi perhatian penting seperti pengwujudan bilik khas dan berasingan untuk menjalankan setiap prosedur diperlukan.
    • Di antara peralatan yang asas digunakan dalam makmal ini adalah ‘Gas Chromatography Mass Spectrometry’ (GCMS), High Performance Liquid Chromatography (HPLC), dan Co-Oxymeter.
       
  • Makmal Biologi
    • Perkhidmatan yang diberikan adalah analisis DNA, Diatom, dan juga Serologi. Seksyen ini perlu direka berdasarkan makmal sains biologi dan juga mempunyai pangkalan data DNA bagi menyimpan semua keputusan DNA.
    • Bilik berasingan diperlukan dalam analisis DNA bagi mengelakkan kontaminasi silang
    • Bagi kes kematian yang melibatkan mati lemas, analisa diatom membantu dalam konstruksi sebab kematian akibat mati lemas.
       
  • Makmal Histopatologi
    • Dalam sekyen ini, formalin merupakan salah satu reagen utama yang digunakan dalam proses pengawetan sampel yang diambil semasa pemeriksaan bedahsiasat. Oleh itu, pelan reka bentuk makmal histopatologi memerlukan sistem pengudaraan yang baik. 
    • Di antara peralatan yang digunakan di makmal ini adalah:
      • Mesin memproses
      • Mesin menanam
      • Mikrotom
      • Water / floating bath
      • Mesin perwarnaan automatik
      • Meja ‘grossing
      • Kebuk wasap
    • Bilik asing diperlukan untuk proses grossing dan mesin memproses untuk mengurangkan pendedahan pekerja kepada risiko formalin.
    • Penggunaan personal protective equipment (PPE) adalah sangat penting dan perlu dititikberatkan. Bagi mengatasi masalah ini, penggunaan peralatan yang lebih moden boleh membantu pengguna mengurangkan pendedahan terhadap formalin.
       
  • Makmal Bahan Bukti Surih
    • Bahan bukti surih boleh didefinasikan sebagai bahan bukti yang bersifat halus seperti serpihan kaca, serpihan cat, dan serpihan peluru.
    • Analisis bahan surih kebiasaanya bergantung kepada mikroskop.
    • Terdapat pelbagai jenis mikroskop yang digunakan iaitu:
      • Scanning electron microscope
      • FTIR microscope
      • Comparison microscope

  • Makmal Balistik Dan Bahan Letupan
    • Seksyen ini melibatkan pemeriksaan senjata, projektil peluru dan kelongsong peluru. Analisis utama bagi seksyen ini analisis fizikal seperti perbandingan kesan projektil pada peluru.
       
  • Makmal Pemeriksaan Dokumen dan Tulisan
    • Bagi seksyen ini, dokumen yang dipertikaikan (Question Document) dan tulisan akan di analisa samada ianya adalah asli atau di tiru. Oleh itu, pelan reka bentuk makmal ini tidak rumit berbanding makmal kimia dan biologi kerana pemeriksaan yang dijalankan adalah bersifat analisa fizikal.
       
  • Makmal Pemeriksaan Cap Jari Pendam
    • Pemeriksaan cap jari pendam melibatkan analisis fizikal dan kimia. Oleh itu, pelan makmal perlulah menepati kriteria analisis yang diperlukan dari segi ruang dan pelan bilik yang berasingan.
    • Selain itu, kemudahan akses kepada pengkalan data merupakan salah satu keperluan bagi membuat perbandingan selepas cap jari telah di timbulkan.
       
  • Makmal Entomologi
    • Perkhidmatan yang diberikan oleh seksyen ini adalah analisa terhadap serangga dan juga arthropod lain bagi menentukan masa kematian. Secara kasarnya, bagi menentukan masa kematian seseorang itu melalui serangga, dua sampel ulat akan diambil (hidup dan yang akan dimatikan) semasa bedah siasat.
    • Ulat yang hidup ini akan dibiarkan menjadi dewasa bagi mengetahui kitaran hidup ulat dan mengetahui jenis lalat manakala ulat yang telah mati akan dianalisa untuk mengetahui fasa ulat tersebut. Proses ini memerlukan ruang yang luas bagi memelihara serangga dan ulat ini.

Akreditasi Makmal Forensik

Secara asasnya, semua makmal di Malaysia perlu menepati keperluan asas MS:ISO 15189 dan MS:ISO 17025 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM). Namun begitu, bagi membolehkan semua keputusan makmal forensik ini diterima pakai di dalam prosiding mahkamah, makmal forensik juga perlu diakreditasikan oleh badan professional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti ASCLD-LAB ® (“American Society of Crime Laboratory Directors / Laboratory Accreditation Board”). Selain itu, bagi makmal histopatologi pula, badan yang memberi akreditasi ini adalah The Royal Collage of Pathologists of Australasia (RCPA).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, dalam membina sebuah makmal forensik yang ideal, makmal tersebut perlulah dilengkapi dengan semua seksyen seperti yang dibincangkan di atas, di mana setiap seksyen mempunyai reka pelan tersendiri yang berbeza mengikut keperluan spesifik. Selain itu, makmal forensik menepati keperluan asas Skim Akriditasi Makmal Malaysia (SAMM) dan juga mendapat pengiktirafan pensijilan daripada badan professional antarabangsa.

Rujukan

  1. Forensics Laboratories: Handbook for Facility Planning, Design, Construction, and Moving – U.S. Department of Justice
  2. Staff Skill Requirements And Equipment Recommendation For Forensics Science Laboratories – Laboratory And Scientific Section United Nations Office On Drugs And Crime Vienna
  3. www.ascld-lab.org/
  4. www.kimia.gov.my/
  5. www.jsm.gov.my/skim-akreditasi-makmal-malaysia-samm
  6. www.rcpa.edu.au

 

Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Mohd Faizul bin Abd Wahab
Akreditor : Khoo Lay See