Home > Ubat & Anda > Kosmetik > Kawalan produk kosmetik di Malaysia

Kawalan produk kosmetik di Malaysia

Definasi Produk Kosmetik

Mengikut Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia, produk kosmetik ditakrifkan seperti berikut:

‘Mana-mana bahan atau penyediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia (kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin) atau gigi dan membran mukus mulut, dengan tujuan utama untuk membersih, mewangikan, mengubah rupa dan/atau memperbaiki bau badan dan/atau melindungi atau mengekalkan dalam keadaan baik.’

Contoh-contoh produk kosmetik adalah sabun badan, pencuci dan krim muka, pelindung matahari, syampu dan perapi rambut, produk penjagaan gigi dan cecair kumur mulut, pewarna rambut, pewangi, deodoran gincu bibir, pembayang mata dan pengilat kuku.

Akta-Akta dan Peraturan-Peraturan Berkaitan Produk Kosmetik

Produk kosmetik dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Peraturan- Peraturan ini adalah berkaitan dengan kawalan keselamatan, kualiti dan tuntutan produk untuk memastikan semua tuntutan kosmetik boleh disokong dengan data yang mencukupi, bagi tujuan melindungi dan menggalakkan kesihatan awam.

Latar Belakang Prosedur Notifikasi

Semenjak tahun 2002 sehingga hujung tahun 2007, produk-produk kosmetik dikawal melalui sistem pendaftaran; di mana syarikat yang bertanggungjawab untuk memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan perlu membuat Pendaftaran produk dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum produk kosmetik tersebut boleh dikilangkan, diimport atau dijual di negara ini.

Mulai 1 Januari 2008, prosedur pendaftaran produk kosmetik di Malaysia telah digantikan dengan prosedur notifikasi selaras dengan Skim Harmonisasi Kosmetik ASEAN dengan menerima pakai dan melaksanakan ASEAN Cosmetic Directive (ACD). Melalui Skim Harmonisasi Kosmetik ASEAN ini, semua Negara ASEAN telah bersetuju untuk melaksanakan prosedur notifikasi kosmetik sebagai sistem kawalan bagi semua produk-produk kosmetik di rantau ASEAN.

Notifikasi Produk Kosmetik di Malaysia

Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia perlu bernotifikasi dengan BPFK, KKM sebelum produk tersebut boleh diimport, dikilang, diedarkan atau dijual di Malaysia. Hanya produk kosmetik bernotifikasi boleh dikilangkan atau diimport ke dalam pasaran Malaysia secara sah. Produk kosmetik yang bernotifikasi tidak bermaksud bahawa produk tersebut telah diluluskan oleh KKM. Notifikasi produk adalah proses dimana syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik membuat pengisytiharan berkenaan maklumat produk kepada BPFK sebelum mereka memasarkan produk tersebut di pasaran Malaysia.

Setiap produk kosmetik bernotifikasi perlu mematuhi keperluan Garispanduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia. Syarikat yang mengemukakan notifikasi bagi sesuatu produk kosmetik adalah bertanggungjawab bagi setiap perkara yang berkaitan dengan produk tersebut yang dipasarkan di Malaysia. Pihak syarikat tersebut juga perlu memastikan bahawa produk tersebut mematuhi segala keperluan seperti yang dinyatakan dalam Garispanduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang boleh dimuat turun dari laman sesawang BPFK www.bpfk.gov.my.

Permohonan notifikasi produk dibuat secara online melalui sistem Quest di laman sesawang BPFK.

Syarikat yang mengemukakan permohonan notifikasi produk kosmetik adalah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa produk tersebut adalah selamat dan berkualiti. Mana-mana tuntutan yang dibuat pada label produk perlu dibuktikan dengan data yang mencukupi dan boleh dipercayai.

Memastikan Keselamatan Produk

Syarikat-syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan harus memastikan bahawa produk kosmetik tersebut adalah selamat digunakan. Produk-produk kosmetik tidak boleh mengandungi bahan terlarang atau bahan yang melebihi had dan syarat yang benarkan. Senarai bahan-bahan terlarang dan bahan-bahan terhad ada disenaraikan di dalam Garispanduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.

Memastikan Kualiti Produk

Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia mesti dikilangkan oleh pengilang yang mematuhi keperluan Amalan Perkilangan Baik (APB) untuk produk kosmetik. Syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan perlu memastikan pihak pengilang yang menghasilkan produk mereka adalah mematuhi keperluan garispanduan APB bagi produk kosmetik.

Aktiviti Surveilans Produk Kosmetik di Pasaran

Semua produk kosmetik yang bernotifikasi dengan BPFK dipantau secara berterusan oleh pihak BPFK melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi bagi memastikan setiap produk kosmetik bernotifikasi di pasaran adalah mematuhi keperluan garispanduan dan undang-undang yang ditetapkan, berkualiti dan selamat.

Aktiviti-aktiviti utama yang dijalankan oleh BPFK ke atas produk-produk kosmetik termasuklah penyaringan nama dan maklumat produk; audit ke atas Fail Maklumat Produk serta penilaian keselamatan produk; penyampelan produk untuk ujian kualiti, di mana tumpuan diberikan terutamanya kepada produk-produk yang berisiko tinggi untuk dicampurpalsu dengan bahan-bahan terlarang seperti produk pemutih/pencerah kulit; pemeriksaan premis pengilang bagi memastikan pematuhan kepada keperluan APB serta pemantauan label dan iklan produk bernotifikasi. BPFK juga memantau laporan kesan advers dan menjalankan penyiasatan ke atas aduan yang diterima berkaitan produk kosmetik.

Semasa aktviti surveilans kosmetik, BPFK mendapati terdapat beberapa katogeri produk di pasaran yang sering disalah ertikan sebagai produk kosmetik oleh pengguna antaranya; produk dengan tuntutan-tuntutan perubatan seperti minyak urut yang disapu untuk merawat sakit badan, pening kepala dan sakit sendi, produk-produk pelangsingan yang digunakan secara luaran atau dimakan dengan tuntutan seperti membakar lemak dan mengurangkan berat badan, produk berbentuk gel, minyak atau krim yang digunakan bagi tujuan rangsangan seksual dan produk-produk yang digunakan secara kaedah mesoterapi dan suntikan atau produk yang diminum atau dimakan untuk tujuan kecantikan. Kesemua produk-produk ini adalah tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik.

Tindakan Ke Atas Produk Yang Tidak Mematuhi Keperluan Garispanduan

Apabila sesuatu produk didapati tidak mematuhi keperluan Garispanduan dan undang-undang, BPFK akan mengambil tindakan di mana status notifikasi produk akan dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab diarahkan untuk memanggilbalik produk tersebut dari pasaran.

Kosmetik dan Anda

Walaupun pihak syarikat adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan produk kosmetik yang berada di pasaran adalah selamat dan berkualiti, namun sebagai pengguna kita haruslah menyedari dan perlu prihatin dengan apa yang kita gunakan pada tubuh badan sendiri. Sebagai pengguna, kita perlu membuat pilihan yang bijak apabila memilih produk-produk kosmetik di pasaran.

Pengguna diseru untuk mengemukakan sebarang pertanyaan dan aduan kepada BPFK sekiranya terdapat sebarang keraguan dan aduan berkaitan produk kosmetik untuk tindakan lanjut BPFK. Selain itu, pengguna juga digalakkan untuk membuat laporan kesan yang tidak diingini yang dialami ketika menggunakan produk kosmetik kepada BPFK.

Pengguna boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik pada laman sesawang rasmi BPFK iaitu www.bpfk.gov.my.

Semakan Akhir : 05 Februari 2014
Penulis : Erina Camillia bt. Mohd Chazali
Akreditor : Zuraida Abdullah