Home > Umum > Forensik > Kanun Tatacara Jenayah Malaysia

Kanun Tatacara Jenayah Malaysia

Kanun Tatacara Jenayah Malaysia : Kaitannya Dengan Sains Forensik

Sistem Perundangan Jenayah Di Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun dan mengecapi kejayaan demi kejayaan. Namun demikian ianya tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai perlakuan jenayah yang dilakukan oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Adalah menjadi tanggungjawab sosial bagi sesebuah kerajaan yang prihatin untuk memastikan rakyatnya dapat menjalankan aktiviti harian tanpa berada dalam keadaan ketakutan menjadi mangsa kepada kejadian jenayah yang berlaku saban hari.

Untuk memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, satu sistem keadilan jenayah yang berkesan dan cekap perlu diwujudkan untuk memastikan bahawa para pesalah diberkas, didakwa dan dihukum dengan sewajarnya.

Kejayaan dan keberkesanan sistem pengadilan ini dalam membanteras jenayah yang dilaporkan akan menjadi satu bentuk petunjuk atau faktor penghalang kepada bakal pesalah daripada melakukan kesalahan-kesalahan khususnya bagi jenayah kekerasan.

Kelangsungan sistem keadilan ini dapat dilaksanakan dengan adanya peruntukan perundangan yang khusus dan merangkumi pelbagai aspek jenayah. Peruntukan undang-undang yang dimaksudkan adalah undang-undang jenayah.

Undang-undang jenayah yang menjadi rujukan di Malaysia ialah Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah. Kedua-dua peruntukan perundangan ini telah melalui pelbagai pindaan untuk memastikan kerelevananya seiringan dengan peredaran zaman.

Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah atau lebih dikenali sebagai Akta 593 adalah suatu peruntukan perundangan yang menjadi panduan kepada prosedur perundangan yang perlu dipatuhi untuk membawa pesalah ke muka pengadilan. Prosedur perundangan bermula daripada pelaporan sesuatu kejadian jenayah kepada pihak polis ,penyiasatan dan proses perbicaraan di mahkamah sehingga pelaku jenayah dihukum dengan setimpalnya diatas perbuatan mereka.

Walaupun bilangan kes dihadapkan ke mahkamah semakin hari semakin meningkat namun bukan semua daripada kes-kes ini akan berakhir dengan sabitan.

Defendan mungkin tidak bersalah atau mungkin tidak terdapat keterangan yang  memadai untuk membuktikan kesalahan melampaui keraguan munasabah.

Disamping itu disebalik kes-kes yang dihadapkan terdapat juga perlakuan jenayah yang tidak dapat diselesikan malahan tiada tangkapan dibuat disebabkan pelbagai faktor.
Masyarakat Malaysia sudah tentunya tidak akan melupakan kes-kes jenayah yang kejam yang masih belum lagi diselesaikan. Antaranya kes bunuh adik Nurin Jazlin pada 2007 atau kes kehilangan adik Sharlinie  Mohd Nashar dan banyak lagi.

Sistem perundangan di Malaysia merupakan satu sistem yang komprehensif namun pihak berkuasa masih tidak mampu menyelesaikan kesemua kes-kes jenayah yang dilaporkan. Bagaimanakah situasi ini boleh diperbaiki dan secara tidak langsung menurunkan bilangan kes jenayah khususnya jenayah berat.

Ilmu sains forensik telah membuka lebaran baru dalam sistem pengadilan jenayah yang mana pengetahuan bidang sains boleh digunakan untuk menganalisa bahan bukti yang di perolehi daripada tempat kejadian, mangsa ataupun pesalah untuk mendapakan sabitan melampaui keraguaan yang munasabah.

Sains Forensik bantu sistem pengadilan jenayah

Kelebihan bidang sains forensik adalah ia menjadi jambatan dalam menghubungkan ilmu sains dengan undang-undang. Bidang Sains forensik telah berkembang dengan pengenalan pelbagai teknik-teknik analisa baru yang banyak membantu pihak penguatkuasa undang-undang terutamanya pihak polis  dalam menyelesaikan pelbagai kes jenayah. Antara teknik-teknik yang sering digunakan dalam siasatan sesebuah kes adalah seperti berikut:

  • Pemeriksaan cap jari
  • Penganalisaan bahan asing di dalam sampel (darah,air liur dan cecair badan)
  • Analisa profil DNA
  • Analisa odontologi forensik
  • Pengkelasan tulang @ antropologi forensik
  • Penganalisaan darah
  • Penganalisaan tisu-tisu
  • Pemeriksaan post-mortem

Bahan bukti yang dianalisa kemudian akan memberikan maklumat yang tepat serta bukti saintifik yang akan digunakan dalam penyiasatan pihak polis dan seterusnya akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan sabitan kepada pesalah yang dituduh.

Maklumat yang diperolehi dengan teknik-teknik khusus boleh memberi gambaran yang jelas kepada kejadian sesuatu jenayah. Bahan bukti yang diperolehi juga boleh mengaitkan suspek dengan mangsa, tempat kejadian dan/atau senjata. Sebagai contoh, kesan air mani yang dijumpai ditempat kejadian dan pada bahagian sulit mangsa atau pakaian mangsa yang boleh mengaitkan pelaku kepada mangsa dan tempat kejadian kes rogol.

Malah bahan bukti saintifik juga boleh digunakan untuk memastikan samada seseorang saksi atau orang yang dituduh memberikan keterangan yang benar atau sebaliknya.
Laporan analisa yang dihasilkan berdasarkan bukti saintifik ini akan digunakan oleh pihak mahkamah untuk menentukan sama ada tertuduh bersalah atau tidak. Ia juga akan membantu dalam menentukan bagaimana sesuatu jenayah dilakukan di tempat kejadian (crime scene reconstruction).

Dengan adanya laporan ini maka pihak mahkamah boleh menyabitkan seseorang dengan pembuktian melampaui batas keraguan.

Perkara yang paling penting perlu diberikan disetiap  peringkat penyiasatan yang dibincangkan diatas adalah rantaian bukti yang menjamin integriti sampel yang diperolehi. Rantaian Bukti (Chain of Custody) adalah penting bagi memastikan proses penerimaan sehinggalah proses pemulangan kesemua bahan bukti adalah di dalam keadaan sempurna serta selamat di dalam penyimpanan sehinggalah kepada proses penyerahan.

Kegagalan untuk merekodkan dan menjaga bahan bukti dengan baik boleh mengakibatkan bahan bukti tersebut tidak dapat diterimapakai di mahkamah. Jika rantai bukti didapati tidak dijaga sepanjang waktu maka bahawa bukti tersebut tidak akan diterima semasa pendakwaan di mahkamah. Ini merupakan satu kerugian yang besar kerana bahan bukti bagi sesuatu kes adalah terhad dan tidak mungkin diperolehi lagi.

Contoh Kes :

Berikut adalah beberapa kes yang telah diselesaikan berdasarkan bukti saintifik.

#1 Canny Ong

Masyarakat Malaysia mungkin tidak akan melupakan kes pembunuhan kejam Canny Ong yang mendapat perhatian media secara menyeluruh. Kes berkenaan merupakan salah satu daripada beribu kes jenayah berjaya diselesaikan oleh pihak penyiasat dan pendakwaraya berdasarkan bahan bukti saintifik.

Bahagian Forensik Jabatan Kimia berjaya mengaitkan tertuduh dengan mangsa menggunakan bahan bukti biologi iaitu DNA (deoxyribonucleic acid). Dalam kes ini sperma @ kesan air mani pesalah telah berjaya diperolehi daripada baju yang dipakai oleh mangsa. Di samping itu kesan darah mangsa juga turut telah dijumpai pada seluar jeans kepunyaan pesalah. Kehadiran kedua-dua bukti ini telah mengaitkan pesalah kepada mangsa tanpa sebarang keraguan munasabah.

#2 Goh Yoke Seng

Pembunuhan kejam Goh Yoke Seng juga telah mengemparkan rakyat Malaysia. Mangsa telah dikerat kepada 11 bahagian yang berasingan dan kemudian disimpan didalam peti sejuk di sebuah kondominium Mont Kiara. Pihak polis telah mendapatkan khidmat Bahagian DNA Jabatan Kimia untuk membuktikan bahawa 11 bahagian yang ditemui adalah berasal daripada sumber yang sama. Analisis sampel DNA daripada mangsa dan ahli keluarga telah membuktikan bahawa semua bahagian yang ditemui adalah milik mangsa, Goh Yoke Seng.

Kesimpulan

Bidang sains forensik semakin penting dalam pelaksanaan sistem perundangan terutamanya dengan perkembangan sains dan teknologi. Pelbagai teknik baru yang lebih efisien diperkenalkan dan boleh diaplikasikan oleh pihak berwajib dalam menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku di Malaysia. Perkara yang paling penting adalah komitmen daripada pihak yang berkenaan untuk mengembangkan bidang ini ke tahap yang lebih tinggi untuk memastikan penjenayah dapat dihadapkan kemuka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan berpatutan dengan perunutkan undang-undang.

Rujukan

  1. Kanun Keseksaan (Akta 574)
  2. Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593)
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Saravanakumar a/l Maniam
Akreditor : Dr. Siew Sheue Feng
Penyemak : Dr. Khoo Lay See