A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Kanta Lekap : Jenis...

Kanta Lekap : Jenis Dan Tempoh Masa Pemakaian

Types & Mode Of Wearing

Kanta lekap ialah kepingan plastik nipis melengkung yang dilekapkan ke kornea. Tujuan pemakaiannya untuk baiki masalah rabun atau terapeutik. Ramai juga memakainya untuk kelihatan lebih cantik.

Contact Lens

Sehingga kini, teknologi optikal telah berkembang dengan pesat. Hasilnya, terdapat banyak jenis kanta lekap dijual dalam pasaran sekarang.

Sebelum anda membeli, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan iaitu :

  1. Jenis rabun anda. Contohnya, astigmatisma lebih sesuai pakai kanta lekap jenis RGP atau torik.
  2. Gaya hidup/pekerjaan. Bekerja di kawasan berhabuk dan kotor tidak boleh pakai kanta lekap.
  3. Minat peribadi. Jenis lembut lebih digemari berbanding RGP kerana lembut dan lebih selesa.
  4. Masa memakai kanta lekap. Fikirkan berapa lama anda akan memakai kanta lekap untuk satu hari. Fikirkan juga masa diperlukan untuk menjaga dan menyelenggara kanta lekap itu.

Tentukan dahulu sama ada mata anda sesuai atau tidak untuk menggunakan kanta lekap. Oleh itu, semua bakal pemakai hendaklah menjalani pemeriksaan mata. Gunakan peluang ini berbincang dengan Optometris tentang kanta lekap yang sesuai.

Jenis-jenis kanta lekap :

Jenis-jenis kanta lekap

1. Kanta lekap lembut (Soft Contact Lens)

Dibuat daripada plastik (hidrogel) yang lembut, fleksibel dan boleh serap air. Ramai orang rasa selesa memakai jenis ini. Tetapi, jenis ini mudah koyak.

Kotoran iaitu deposit protein mudah terbentuk di atas permukaannya. Oleh itu, kita perlu cuci dengan bersih untuk tanggalkannya. Sekiranya masih kotor, gunakan protein remover seminggu sekali.

Tetapi, saiz kanta lekap lembut adalah terhad. Sekiranya saiz tidak sesuai pada mata, masalah boleh berlaku.

Contohnya, kanta lekap lembut yang ketat akan menyebabkan mata sakit. Malah, ada yang mengadu mata jadi kabur. Oleh itu, adalah penting mata diperiksa sebelum memakai kanta lekap.

Material terbaru untuk kanta lekap lembut ialah silikon hidrogel. Kanta silikon hidrogel ini lebih baik daripada kanta lekap lembut lain.

Ini disebabkan materialnya mempunyai ketelapan oksigen yang tinggi. Apabila banyak oksigen dapat tembusi kornea, kesihatan mata dapat dipelihara. Disebabkan itu, kanta silikon hidrogel boleh dipakai lebih lama.

2. Kanta separa keras atau RGP (Rigid Gas Permeable)

Bagi seseorang yang mahu mata kekal sihat, RGP adalah pilihan terbaik. RGP diperbuat daripada plastik yang tegar (rigid) dan tidak mengandungi air.

Saiz RGP lebih kecil daripada kanta lekap lembut. Diameternya tidak lebih daripada 10 mm. Keadaan ini membenarkan banyak oksigen masuk ke kornea.

Selain itu, deposit atau kotoran sangat sukar terbentuk di atas permukaan RGP. Ini dapat mengurangkan risiko untuk dapat jangkitan mata.

Tetapi, sifat RGP ialah separa keras. Ramai orang yang memakainya akan berasa kurang selesa. Seseorang akan ambil masa lebih lama untuk beradaptasi pada awalnya.

Setiap RGP yang ditempah dibuat mengikut bentuk kornea. Jadi, penglihatan semasa memakai RGP sememangnya jelas. RGP adalah pilihan terbaik untuk betulkan rabun iaitu astigmatisma dan presbiopia.

RGP biasa boleh betulkan kuasa astigmatisma sehingga 3DC. Manakala, bagi kuasa astigmatisma lebih daripada 3DC, perlu memakai RGP torik.

Penyakit mata seperti Keratokonus mempunyai permukaan kornea tidak sekata. Ini disebabkan struktur korneanya semakin menipis dan membonjol ke hadapan. Hasilnya rabun astigmatisma yang tinggi.

Jadi, dengan memakai cermin mata sahaja, tidak dapat membantu melihat jelas. Pesakit dengan keratokonus perlu memakai RGP keratokonus. RGP juga boleh melambatkan proses penonjolan pada kornea tersebut.

Orthokeratology (Ortho-K)

Sekiranya anda rabun tetapi tidak mahu memakai cermin mata atau kanta lekap pada siang hari. atau anda tidak mahu mata anda dibedah mahupun menjalani rawatan laser, anda boleh mencuba Ortho-K.

Ortho-K menggunakan RGP khas untuk mengubah bentuk kornea. RGP khas itu dipakai semasa tidur sahaja selama 8 jam. Selepas bangun daripada tidur, mata akan melihat jelas seperti semula jadi.

Keadaan ini bersifat sementara. Jadi, seseorang perlu memakainya setiap malam.

Orthokeratology (Ortho-K)2

3. Kanta lekap hibrid

Hybrid Contact Lenses

Terbaharu dalam pasaran, kanta lekap hibrid ialah hasil gabungan dua material. Di kawasan tengah, material RGP digunakan dan dikelilingi dengan material hidrogel.

Material RGP dapat memberikan mutu penglihatan baik.

Material hidrogel pula memberikan rasa selesa kepada pemakai. Jenis kanta lekap mengikut reka bentuk berbeza boleh ditempah mengikut saiz atau bentuk kornea dan kuasa rabun. Contohnya, saiz kornea kecil perlu dipakai kanta lekap dengan diameter kecil. Bagi rabun tua (presbiopia), seseorang boleh mencuba kanta lekap bifokal atau multifokal.

Berikut ialah jenis kanta lekap mengikut reka bentuk :

  1. Kanta lekap sferikal. Bentuknya bulat dan dapat membetulkan rabun jenis miopia dan hiperopia.
  2. Kanta lekap torik. Jenis ini sesuai dipakai untuk rabun jenis astigmatisma.
  3. Kanta lekap bifokal.

Seperti dalam gambar, jenis ini mempunyai 2 segmen kuasa. Segmen atas ialah kuasa untuk pandangan jauh. Manakala segmen bawah ialah kuasa untuk pandangan dekat.

Distance Near

 

Eye is wearing a bifocal contact lensMata sedang memakai kanta lekap bifokal

translating bifocal contact lens

Apabila mata memandang objek jauh, mata akan guna segmen atas. Untuk membaca, tanpa gerakkan kepala, mata pandang ke bawah. Kanta lekap teranjak ke atas, mata akan melihat menggunakan segmen bawah.

4. Kanta lekap multifokal

Seperti cermin mata, multifokal mempunyai banyak zon kuasa untuk penglihatan dekat dan jauh.

Kanta lekap multifokal

Multifocal contact lenses2

5. Kanta lekap berwarna

Walaupun tiada rabun, kini ramai yang memakai kanta lekap berwarna. Memakainya adalah satu trend dan seseorang akan tampil bergaya dan menarik. Contohnya anak mata warna asal ialah coklat telah bertukar menjadi biru.

6. Kanta prostetik

Kanta lekap berwarna yang digunakan untuk tujuan perubatan dipanggil kanta prostetik. Mata tercedera atau berpenyakit boleh memburukkan rupa.

Seperti gambar bawah, kanta lekap prostetik dipakai untuk menutup kecacatan rupa. Malah, kelihatan serupa dengan mata yang normal. Pesakit juga rasa lebih yakin pada diri sendiri.

Kanta prostetik

Tempoh Masa Pemakaian Kanta Lekap

Setiap syarikat pengeluar mempunyai mod pemakaian tertentu bagi setiap kanta lekap. Semua pemakai hendaklah mematuhi tempoh masa yang disarankan. Rujuk pada kotak kanta lekap sebelum memakai.

Secara umumnya, kanta lekap lembut boleh dipakai 8 hingga 12 jam sehari. Terdapat 2 jenis tempoh masa pemakaian bagi kanta lekap lembut :

Daily wear contact lenses. Jenis ini dipakai pada waktu pagi dan ditanggalkan pada waktu malam. Jenis ini paling banyak di pasaran dan bertahan sehingga satu tahun. Wajib ditanggalkan sebelum tidur walaupun sekejap.

Extended wear soft contact lens diperbuat daripada silikon lembut berkelembapan tinggi. Sifat ini benarkan kanta lekap jenis ini dipakai lebih 14 jam. Kanta ini juga boleh dipakai berterusan beberapa hari. Hanya perlu dibuka sekali dalam satu minggu untuk rehatkan mata.

Contohnya jenis Focus night & day dipakai berterusan selama 6 hari dan dibuka pada hari ketujuh. Cara ini diulang pada hari berikutnya sehingga cukup tempoh sebulan. Selepas sebulan, kanta lekap itu perlu dibuang dan diganti dengan yang baharu.

Malangnya, memakai kanta lekap semalaman adalah tidak baik untuk kesihatan mata. Memakainya sewaktu tidur akan meningkatkan risiko penyakit mata.

Manakala kanta RGP boleh dipakai sehingga 16 jam sehari. Ingat, tidak semua mata boleh pakai kanta lekap sehingga waktu maksimum.

Sekiranya mata didapati merah untuk jangka masa tertentu, tanggalkan kanta lekap. Kemungkinan, tempoh masa itu ialah had mata anda memakai kanta lekap.

Contohnya, setelah memakai selama 8 jam, mata kelihatan merah dan tidak selesa. Jadi, pastikan setiap hari anda memakai kanta lekap untuk 8 jam sahaja.

Penting juga untuk merehatkan mata daripada memakai kanta lekap sehari dalam seminggu. Pastikan juga cermin mata anda tersedia untuk keadaan kecemasan. Ini bagi pastikan kesihatan kornea terjamin.

Kornea mempunyai 5 lapisan. Setiap lapisan mesti kekal terang tanpa sebarang kelegapan (opacity). Oksigen memainkan peranan penting dalam proses ini.

The cornea has five layers

Masalah akan berlaku apabila kornea pada mata tidak mendapat oksigen yang secukupnya. Kornea akan menjadi lemah dan bakteria akan mudah menembusi mata. Seterusnya jangkitan boleh berlaku. Komplikasi lain seperti parut, kornea jadi legap, tumbuhnya salur darah baru dan ulser kornea. Jika kes teruk, boleh menyebabkan mata buta secara kekal.

Bila kanta lekap anda perlu dibuang dan diganti?

Setiap kanta lekap mempunyai jangka hayat tertentu. Walaupun telah dijaga dengan baik, kanta lekap perlu diganti mengikut masa ditetapkan.

Selepas sesuatu tempoh, kanta lekap itu telah berubah bentuk dan sifat. Selain itu, deposit dan kotoran telah banyak melekat pada permukaan kanta lekap. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit mata dan kurang rasa selesa.

Kekerapan dibuang dan diganti untuk kanta lekap lembut dikelaskan seperti berikut :

Daily disposable lenses : dibuang selepas satu hari kanta lekap tersebut dipakai. Risiko mendapat jangkitan paling rendah kerana mata sentiasa memakai yang baharu.

Disposable lenses : dibuang dan diganti setiap dua minggu atau setiap bulan. Kebanyakan kanta lekap jenis ini dipakai setiap hari secara daily wear.

Frequent replacement lenses : dipakai dan dibuang selepas tempoh satu bulan.

Conventional lenses : Kanta lekap yang biasa digunakan kerana jimat kos. Hanya dibuang dan diganti dengan yang baharu setiap tahun. Tetapi, perlu penjagaan pengekalan yang rapi.

RGP ialah kanta lekap paling tahan lama iaitu sehingga dua tahun. Hanya jika pemakai mematuhi syarat penjagaan kanta RGP itu.

Rujukan

    1. http://focalpointeeyecare.com/contact-lenses/speciality-contacts/
    2. http://visiqueoptometrist.co.nz/orthokeratology/
    3. http://westsideoptometrynow.com/tag/bifocal-contact-lenses/
    4. http://www.artificialeyeco.com/prosthetic-contact-lens.php
    5. http://www.eyecenter.com.ph/cornea-external-diseases.html
    6. http://www.gizmag.com/stem-cell-contact-lens/11855/
    7. http://www.kiyanoptometric.com/contact-presbyopia.html
    8. http://www.mulqueenyeyecenters.com/blog/tags/contact-lenses-st-louis-mo
    9. http://www.pasadenaeye.com/services/contact-lenses/
    10. http://www.reviewofcontactlenses.com/
    11. http://www.seethedetails.co.uk/air_optix_aqua_multifocal
    12. http://www.theeyepractice.com.au/optometrist-sydney/multifocal-contact-lenses-for-your-eye-condition
Semakan Akhir : 17 Disember 2015
Penulis : Pn. Lily Muhanifa Binti Mustafa
Akreditor : Pn. Noor Zahirah Binti Husain

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,369,153

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia