A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kaedah Perancang Keluarga

Kaedah Perancang Keluarga

A.   SUNTIKAN HORMON PENCEGAH KEHAMILAN

Soalan 1

Apakah suntikan hormon pencegah kehamilan?

Jawapan 1

Hormon sintetik yang diberikan secara suntikan bagi mencegah kehamilan.

Hormon ini berfungsi untuk:

  • mencegah ovulasi
  • menjadikan lendir serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma
  • menjadikan dinding rahim nipis dan tidak sesuai untuk pelekatan janin

Kekerapan dan keberkesanan suntikan.

Setiap suntikan berkesan untuk selama 12 minggu (3 bulan). Suntikan susulan harus diberi setiap 12 minggu untuk memastikan ia tetap berkesan.

Soalan 2

Di manakah suntikan ini boleh diperolehi?

Jawapan 2

  • Klinik kesihatan dan hospital kerajaan
  • Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN )
  • Klinik Persatuan Perancang Keluarga
  • Hospital dan klinik swasta

Soalan 3

Bilakah masa yang sesuai untuk mengambil suntikan ini?

Jawapan 3

Secara amnya, suntikan diambil pada hari yang ke-4 selepas haid bermula.

Ibu yang menyusu bayi selepas bersalin- Suntikan sebaiknya diberi pada atau sebelum 6 minggu

Bagi ibu yang tidak menyusu bayi selepas bersalin- Suntikan boleh diberi bila-bila masa selepas hari ke 5, tetapi sebaiknya sebelum 21 hari. Sekiranya suntikan diberi selepas 3 minggu, ibu tersebut seharusnya menggunakan kaedah perancang keluarga tambahan untuk jangkamasa 2 hingga 3 minggu.

Soalan 4

Apakah kesan sampingan suntikan ini?

Jawapan 4

Kesan sampingan yang mungkin anda alami termasuklah:

  • Kitaran haid yang tidak menentu (pendarahan berlebihan atau ketiadaan haid)
  • Perubahan berat badan
  • Sakit kepala
  • Perut kembung dan rasa tidak selesa
  • Senggugut
  • Rambut gugur
    Kebiasaannya, kesan sampingan ini adalah sementara sahaja dan berlaku di awal pengambilan suntikan.

Soalan 5

Apa yang perlu dilakukan sekiranya anda mengalami kesan sampingan seperti di atas?

Jawapan 5

Perlu berjumpa doktor atau rujuk ke klinik yang memberikan suntikan tersebut untuk memastikan kesan sampingan berlaku tidak disebabkan oleh penyakit lain.

Soalan 6

Siapakah yang tidak boleh mengambil suntikan ini?

Jawapan 6

  • Wanita hamil
  • Pesakit jantung atau strok, darah tinggi dan individu yang mempunyai risiko penyakit kardiovaskular (seperti perokok atau pesakit diabetes)
  • Pesakit diabetes yang kronik melebihi 20 tahun atau mengalami komplikasi
  • Pesakit kanser payudara, kanser uterus dan kanser serviks
  • Pernah mengalami pembekuan darah pada salur darah di kaki (Deep Vein Thrombosis)
  • Pernah menghidap penyakit jaundis (kawasan putih mata atau kulit menjadi kuning) semasa mengandung atau semasa menggunakan pil pencegah kehamilan
  • Penghidap penyakit hati (liver cirrhosis), jangkitan (hepatitis) atau ketumbuhan hati (tumour)

Apakah perbezaan antara suntikan hormon pencegah kehamilan dan pil perancang?

Suntikan Hormon Pil Perancang
Diberi secara suntikan. Diambil secara oral (makan)
Suntikan diberi setiap 12 minggu (3 bulan) mengikut jadual yang ditetapkan. Makan secara berterusan selama 21 hari setiap satu pusingan. Jika terlupa mengambil pil, risiko untuk mengandung adalah tinggi.
Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas 7 hari mendapat suntikan. Berkesan untuk mencegah kehamilan selepas 7 hari mengambil pil jenis kombinasi. Walaubagaimana pun, penggunaan pil Noriday adalah lebih cepat iaitu 2 hari.
Kesuburan kembali 3 hingga 6 bulan dari suntikan terakhir. Kesuburan kembali dengan segera setelah berhenti makan pil.

Apakah peluang untuk hamil semula setelah berhenti mengambil suntikan ini?

Suntikan hormon pencegah kehamilan adalah kaedah perancang keluarga untuk jangka masa panjang. Oleh itu, ia mengambil masa yang panjang untuk kesan suntikan berkurangan. Purata tempoh untuk kembali hamil adalah antara 1 hingga 4 bulan lebih lambat berbanding kaedah lain. Ini bermakna wanita akan hamil semula apabila berhenti mengambil suntikan ini selepas purata 10 bulan dari suntikan terakhir.

B.   PENGGUNAAN ALAT PENCEGAHAN KEHAMILAN DI DALAM RAHIM (IUCD)

Apakah Intra Uterine Contraceptive Device (IUCD)?

Merupakan satu kaedah perancang keluarga yang berkesan. Ia diperbuat daripada bahan khas yang mempunyai benang. Ia dimasukkan ke dalam rahim melalui faraj ketika haid dan dikeluarkan apabila genap 3 tahun.

Apakah fungsi IUCD?

  • Menghalang sperma dari memasuki rahim
  • Mencegah pelekatan janin pada dinding rahim

Apakah penjagaan khusus selepas pemasangan IUCD?

  • Pada minggu ke-4 selepas pemasangan IUCD, pemeriksaan hendaklah dilakukan oleh petugas kesihatan dan diulangi setiap 6 bulan.
  • Pengguna digalakkan untuk melakukan pemeriksaan sendiri seperti yang diajar oleh petugas kesihatan untuk mengenalpasti alat IUCD masih berada dalam rahim.

Berapa lamakah pemasangan alat IUCD?

Biasanya di antara 3 hingga 5 tahun bergantung kepada jenis IUCD yang digunakan.

Adakah ia akan menjejaskan hubungan kelamin semasa memakai IUCD?

Tidak, kerana IUCD berada di dalam rahim.

Apakah kesan sampingan penggunaan IUCD?

Antara kesan sampingan yang boleh dialami:

  • Pendarahan yang lebih dari biasa semasa haid
  • Perubahan kitaran haid
  • Senggugut akan menjadi lebih teruk di peringkat awal penggunaan IUCD
  • Sakit pinggang

Apakah yang boleh berlaku jika IUCD tidak dikeluarkan selepas tempoh yang ditetapkan?

Sekiranya IUCD tidak dikeluarkan selepas tempoh yang ditetapkan, ia mungkin akan menyebabkan

  • Jangkitan sistem reproduktif
  • Kurang keberkesanan untuk mencegah kehamilan

Semakan Akhir : 2 Ogos 2011

Artikel Berkaitan

Alahan Susu Lembu

Apa itu alahan susu lembu? “Susu terdiri dari protin,gula lemak,vitamin,bahan

O

Tiada Video

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,233,557

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia